Ummul Mukminin Ummu Salamah binti Huzaifah R.Anha

Beliau ialah Ummu Salamah Hind binti Abu Umayyah bin al-Mughirah bin Abdullah bin Umar bin Makhzum bin Yaqazah bin Murrah al-Makhzumiyyah. Beliau adalah anak saudara kepada Khalid bin al-Walid R.A dan juga anak saudara kepada Abu Jahal bin Hisyam.  Sebelum berkahwin dengan Nabi SAW, beliau adalah isteri kepada Abu Salamah bin ‘Abd al-Asad al-Makhzumi yang merupakan adik-beradik susuan Baginda dan Abu Salamah R.A juga ialah seorang lelaki yang soleh. Ummu Salamah termasuk salah seorang sahabat yang awal berhijrah. Beliau berhijrah bersama suaminya ke Habasyah, kemudian berhijrah pula ke Madinah. Malah, ada pendapat menyatakan, beliau adalah wanita pertama yang berhijrah ke Madinah menaiki tunggangan.

Nabi SAW mula menggauli Ummu Salamah R.Anha sebagai suami isteri pada tahun ke-4 Hijrah. Tambahan lagi, Ummu Salamah R.Anha merupakan antara perempuan yang paling cantik dan paling mulia nasabnya dalam kalangan Arab. Selain daripada itu, beliau juga memiliki anak-anak dalam kalangan sahabat iaitu Umar, Salamah dan Zainab. Terdapat riwayat daripada Umar bin Abu Salamah, katanya: “Rasulullah SAW telah mengutus bapaku ke Abu Qatan pada bulan al-Muharram tahun 4 Hijrah, dan beliau telah menghabiskan masa selama 29 malam. Kemudian, beliau kembali pulang pada bulan Safar, dan lukanya ketika perang Uhud dahulu semakin parah. Lalu beliau meninggal dunia disebabkan oleh luka tersebut, lapan hari setelah berlalunya bulan Jumada al-Akhirah. Ibuku tempoh iddahnya habis pada bulan Syawal. Setelah itu, Rasulullah SAW menikahinya.”

Bapa Ummu Salamah diberi gelaran sebagai Zad al-Rakib (iaitu bekalan bagi orang yang bermusafir). Bapanya digelar sedemikian kerana dia seorang yang sangat pemurah. Buktinya, apabila dia bermusafir, orang lain yang bersamanya dalam permusafiran tersebut tidak perlu lagi membawa bekalan kerana bekalan yang disediakannya itu sudah mencukupi buat mereka. Dikatakan, nama bapanya ialah Huzaifah, dan ada juga yang berpendapat namanya ialah Sahl. Ibunya pula bernama ‘Atikah binti ‘Amir bin Rabi‘ah bin Malik bin Khuzaimah bin ‘Alqamah bin Firas. Bukan itu sahaja, para ulama juga berselisih mengenai nama sebenarnya. Sebahagian mereka berpendapat, namanya ialah Ramlah. Sebahagian lagi pula berpendapat, namanya ialah Hind, dan inilah pendapat yang tepat serta merupakan pendapat sekumpulan ulama berkenaan nama Ummu Salamah. (Lihat Siyar A‘lam al-Nubala’, 2/201-203; al-Isabah fi Tamyiz al-Sahabah, 8/342;  al-Isti‘ab fi Ma‘rifah al-Ashab, 4/1920).

Begitu juga beliau turut  meriwayatkan sejumlah hadith. Manakala di antara mereka yang meriwayatkan pula daripadanya ialah Sa‘id bin al-Musayyib, Syaqiq bin Salamah, al-Aswad bin Yazid, al-Sya‘bi, Abu Soleh al-Samman, Mujahid, Nafi‘ bin Jubair bin Mut‘im, Nafi‘ maulanya, Nafi‘ maula Ibn Umar, ‘Ata’ bin Abu Rabah, Syahr bin Hausyab, Ibn Abi Mulaikah dan ramai lagi. Bukan itu sahaja, beliau turut dianggap sebagai salah seorang ahli fiqh dalam kalangan sahabat. (Lihat Siyar A‘lam al-Nubala’, 2/202-203).

Seperti yang sudah diketahui, Ummu Salamah merupakan antara perempuan yang paling cantik dan paling mulia nasabnya dalam kalangan Arab. Setelah wafatnya Abu Salamah, Rasulullah SAW sendiri telah meminangnya serta mendoakannya. Bukan itu sahaja, bahkan Baginda juga ada mengajarkan kepadanya doa ketika ditimpa. Hal ini adalah diceritakan menerusi riwayat daripada Ibn Safinah, daripada Ummu Salamah, bahawasanya beliau berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:

مَا مِنْ مُسْلِمٍ تُصِيبُهُ مُصِيبَةٌ فَيَقُولُ: مَا أَمَرَهُ اللَّهُ: إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ. اللَّهُمَّ أَجِرْنِي فِي مُصِيبَتِي وَأَخْلِفْ لِي خَيْرًا مِنْهَا إِلَّا أَخْلَفَ اللَّهُ لَهُ خَيْرًا مِنْهَا. قَالَتْ: فَلَمَّا مَاتَ أَبُو سَلَمَةَ قُلْتُ: أَيُّ الْمُسْلِمِينَ خَيْرٌ مِنْ أَبِي سَلَمَةَ؟ أَوَّلُ بَيْتٍ هَاجَرَ إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ. ثُمَّ إِنِّي قُلْتُهَا. فَأَخْلَفَ اللَّهُ لِي رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ. قَالَتْ: أَرْسَلَ إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ حَاطِبَ بْنَ أَبِي بَلْتَعَةَ يَخْطُبُنِي لَهُ. فَقُلْتُ: إِنَّ لِي بِنْتًا وَأَنَا غَيُورٌ. فَقَالَ: أَمَّا ابْنَتُهَا فَنَدْعُو اللَّهَ أَنْ يُغْنِيَهَا عَنْهَا. وَأَدْعُو الله أن يذهب بالغيرة.

Maksudnya:Tidaklah seorang Muslim ditimpa musibah lalu dia membaca apa yang diperintahkan oleh Allah SWT: ‘إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ. اللَّهُمَّ أَجِرْنِي فِي مُصِيبَتِي وَأَخْلِفْ لِي خَيْرًا مِنْهَا’ (Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali. Ya Allah, berilah kami pahala kerana musibah ini dan berikanlah ganti kepadaku dengan yang lebih baik daripadanya), melainkan Allah SWT akan memberikan ganti kepadanya dengan yang lebih baik.” Ummu Salamah berkata: “Ketika Abu Salamah telah meninggal dunia, aku bertanya: ‘Siapakah Muslim yang lebih baik daripada Abu Salamah? Dia ialah orang yang pertama hijrah kepada Rasulullah SAW. Kemudian aku pun mengucapkan doa tersebut. Maka Allah SWT menggantikan buatku Rasulullah SAW.” Ummu Salamah berkata: “Rasulullah SAW menghantar Hatib bin Abu Balta‘ah untuk melamarku bagi pihak Baginda. Aku pun berkata: ‘Aku mempunyai seorang anak perempuan dan aku jenis yang kuat cemburu.’ (Maksudnya beliau risau jika berkahwin nanti, anaknya akan terbiar dan beliau akan menyakitkan Baginda disebabkan oleh cemburunya itu). Baginda SAW bersabda: ‘Adapun anak perempuannya, kita doakan semoga Allah mencukupkan keperluannya — yakni bertemu dengan pasangannya sendiri, lalu ada yang menjaganya agar tidak terlalu terikat dengan Ummu Salamah — dan aku juga berdoa agar Allah menghilangkan perasaan kuat cemburu itu.’

Riwayat Muslim (918)

Beliau juga merupakan isteri Baginda yang terakhir sekali meninggal dunia. Beliau diberi umur yang panjang sehinggakan beliau masih lagi hidup ketika peristiwa pembunuhan al-Husain. Beliau hidup kira-kira 90 tahun. Beliau meninggal dunia pada bulan Zulkaedah tahun 59 Hijrah. Namun, ada pendapat menyatakan, beliau meninggal dunia pada awal pemerintahan Khalifah Yazid bin Mu‘awiyah pada tahun 60 Hijrah. Dikatakan juga beliau meninggal dunia pada bulan Ramadhan atau Syawal tahun 59 Hijrah, dan solat jenazahnya diimamkan oleh Abu Hurairah. Akan tetapi ada yang berpendapat, solat jenazahnya diimamkan oleh Sa‘id bin Zaid.  

Terdapat riwayat daripada Muharib bin Dithar bahawa ketika mana Ummu Salamah hampir wafat, beliau telah mewasiatkan agar solat jenazahnya diimamkan oleh Sa‘id bin Zaid, dan Gabenor Madinah ketika itu ialah Marwan. Namun, menurut al-Hasan bin Uthman, gabenor ketika itu ialah al-Walid bin ‘Utbah, dan solat jenazahnya diimamkan oleh Abu Hurairah. Manakala jenazahnya pula dimasukkan ke dalam kubur oleh kedua anaknya iaitu Umar dan Salamah, Abdullah bin Abdullah bin Abu Umayyah dan Abdullah bin Wahb bin Zam‘ah. Beliau dikebumikan di perkuburan Baqi‘. (Lihat Siyar A‘lam al-Nubala’, 2/202-203;  al-Isti‘ab fi Ma‘rifah al-Ashab, 4/1921).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *