Ummul Mukminin Zainab binti Khuzaimah R.Anha

Beliau ialah Zainab binti Khuzaimah bin al-Harith bin Abdullah bin ‘Amr bin ‘Abd Manaf bin Hilal bin ‘Amir bin Sa‘sa‘ah al-‘Amiriyyah. Para ulama tidak berselisih pendapat mengenai nasabnya. Beliau dipanggil sebagai Ummu al-Masakin (iaitu ibu bagi orang-orang miskin) pada zaman Jahiliyyah kerana beliau suka memberi makan dan bersedekah kepada orang miskin. Sebelum berkahwin dengan Rasulullah SAW, beliau berkahwin dengan Abdullah bin Jahsy. (Ini merupakan pendapat yang dipilih oleh Ibn ‘Abd al-Bar dan al-Zahabi). Suaminya telah gugur syahid dalam peperangan Uhud. Lalu Rasulullah SAW telah menikahinya pada tahun 3 Hijrah. Rasulullah SAW menggaulinya sebagai suami isteri selepas Baginda menggauli Hafsah binti Umar R.Anhuma. Akan tetapi Zainab R.Anha berada di sisi Nabi SAW tidak lama, lebih kurang dua bulan atau tiga bulan sahaja kerana beliau meninggal dunia ketika Rasulullah SAW masih lagi hidup.

Namun, Qatadah menyebutkan, Zainab binti Khuzaimah sebelum berkahwin dengan Nabi SAW adalah isteri kepada al-Tufail bin al-Harith. Ini merupakan pendapat Ibn Syihab. Manakala Abu al-Hasan Ali bin ‘Abd al-‘Aziz al-Jurjani pula berpendapat, Zainab binti Khuzaimah adalah isteri kepada al-Tufail bin al-Harith bin al-Muttalib bin ‘Abd Manaf, kemudian beliau dinikahi pula oleh saudara lelakinya, ‘Ubaidah bin al-Harith bin al-Muttalib bin ‘Abd Manaf. (Lihat al-Isti‘ab fi Ma‘rifah al-Ashab, 4/1853; al-Isabah fi Tamyiz al-Sahabah, 8/157; Siyar A‘lam al-Nubala’, 2/218)

Sebagaimana yang telah dinyatakan, beliau hanya sempat hidup bersama Rasulullah SAW sekitar dua bulan atau lebih sahaja, sebelum meninggal dunia. Menurut Ibn al-Kalbi, Rasulullah SAW berkahwin dengan Zainab binti Khuzaimah R.Anha pada bulan Ramadhan tahun 3 Hijrah. Kemudian beliau sempat hidup bersama Baginda selama 8 bulan, sebelum meninggal dunia pada bulan Rabi‘ul Akhir tahun 4 Hijrah. (Lihat al-Isabah fi Tamyiz al-Sahabah, 8/157).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *