Sale!
Original price was: RM28.00.Current price is: RM20.00.
Sale!
Original price was: RM35.00.Current price is: RM20.00.
Sale!

Buku Fizikal

Taufan Al-Aqsa

Original price was: RM20.00.Current price is: RM10.00.
Sale!
Original price was: RM20.00.Current price is: RM10.00.
Sale!
Original price was: RM40.00.Current price is: RM30.00.
Sale!
Original price was: RM70.00.Current price is: RM60.00.
Sale!
Original price was: RM310.00.Current price is: RM160.00.

Soalan:         

Assalamualaikum w.b.t. Baru-baru ini saya ada melihat influencer sedang live sambil melakukan ibadah tawaf di instagramnya. Jadi, soalan saya, apakah hukum seseorang itu melakukan tawaf sambil live (siaran langsung) melalui telefon bimbit mereka? Mohon pencerahan.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَلْيَطَّوَّفُوا بِالْبَيْتِ الْعَتِيقِ

Maksudnya:Dan hendaklah mereka tawaf akan Baitullah (Kaabah) yang tua sejarahnya itu.”[1]

Al-Syaukani menyatakan bahawa tawaf yang dimaksudkan di dalam ayat di atas ialah tawaf ifadhah. Kaabah disebut sebagai “الْعَتِيقِ” kerana Allah SWT telah membebaskannya daripada kekuasaan orang yang zalim. Terdapat pendapat lain menyatakan bahawa maknanya ialah mulia.[2]

Syarat Sah Tawaf

Secara umumnya, suatu tawaf itu dianggap sah sekiranya memenuhi kesemua syarat-syaratnya. Antaranya ialah:

  1. Syarat sah tawaf adalah sebagaimana syarat sah solat, iaitu niat, suci daripada hadas besar dan kecil, suci daripada najis sama ada pada badan, pakaian atau tempat tawaf dan menutup aurat.
  2. Semasa tawaf, mana-mana bahagian badan, tidak boleh termasuk ke dalam sempadan Kaabah. Justeru, hendaklah tawaf di luar kawasan Hijr Ismail kerana ia juga termasuk di dalam kawasan Kaabah dan tidak boleh tawaf di dalamnya.
  3. Selain itu, tawaf juga hendaklah dimulakan daripada Hajar Aswad dengan Kaabah berada di sebelah kiri badan. Sesiapa yang memulakan tawaf di belakang garisan Hajar Aswad ia belum dikira tawaf sehingga dia sampai ke garisan tersebut. Seterusnya, dia hendaklah menyempurnakan tawafnya sebanyak 7 kali.[3]

Melakukan Tawaf Sambil Bersiaran Langsung (live)

Terdapat sebuah hadith daripada Ibn Abbas R.Anhuma bahawa Nabi SAW bersabda:

الطَّوَافُ حَوْلَ البَيْتِ مِثْلُ الصَّلاَةِ ، إِلاَّ أَنَّكُمْ تَتَكَلَّمُونَ فِيهِ ، فَمَنْ تَكَلَّمَ فِيهِ فَلاَ يَتَكَلَّمَنَّ إِلاَّ بِخَيْرٍ

Maksudnya:Tawaf mengelilingi Kaabah sama seperti solat, hanya sahaja kamu (boleh) bercakap di dalamnya (ketika tawaf). Sesiapa yang mahu bercakap-cakap tatkala tawaf, maka hendaklah mengucapkan ucapan yang baik.”[4]

Al-Amir al-San‘ani menyatakan bahawa penyerupaan tawaf dengan solat adalah pada pahala dan syarat suci baginya. Selain itu, hadith ini juga menunjukkan bahawa diharuskan bagi seseorang itu untuk berbicara dengan orang lain ketika menunaikan ibadah tawaf. Adapun perkataan berupa zikir-zikir ketika tawaf, maka hukumnya adalah sunat.[5]

Selain itu, Imam al-Syafi‘i dan para ashab berpendapat bahawa bercakap-cakap di dalam tawaf hukumnya adalah diharuskan. Perbuatan bercakap-cakap tersebut tidak membatalkan tawafnya dan tidak juga dihukumkan sebagai makruh. Akan tetapi meninggalkan perbuatan bercakap-cakap itu adalah lebih utama melainkan pada percakapan yang baik seperti amar makruf nahi mungkar, mengajar orang yang jahil, memberi fatwa (menjawab pertanyaan) atau seumpamanya.[6]

Bukan itu sahaja, Badruddin al-‘Aini menukilkan daripada Imam al-Syafi‘i daripada riwayat Ibn Umar bahawasanya beliau berkata:

أقلوا الْكَلَام فِي الطّواف، فَإِنَّمَا أَنْتُم فِي صَلَاة

Maksudnya:Kurangkanlah percakapan di dalam tawaf kerana sesungguhnya kamu berada di dalam solat.[7]

Imam al-Tirmizi menambah lagi dengan menyatakan bahawa yang menjadi amalan di sisi kebanyakan ulama ialah mereka lebih menyukai sekiranya seseorang itu tidak bercakap-cakap ketika melakukan tawaf melainkan kerana adanya keperluan atau berzikir kepada Allah atau ilmu.[8]

Tambahan pula, dinukilkan daripada Abu Umar daripada ‘Ata’ bahawa beliau tidak suka untuk bercakap-cakap ketika tawaf melainkan ada keperluan. Begitu juga Mujahid akan membaca al-Quran di dalam tawafnya. Imam al-Syafi‘i berkata: “Aku lebih suka untuk membaca al-Quran di dalam tawaf kerana ia merupakan sebaik-baik perkara yang diucapkan oleh manusia.”[9]

Demikianlah juga, perbuatan makan dan minum ketika tawaf, hukumnya adalah makruh. Namun, hukum makruh bagi perbuatan minum adalah lebih ringan. Sekalipun begitu, tawaf tidak terbatal dengan salah satu daripada perbuatan tersebut, mahupun kedua-duanya secara serentak. Imam al-Syafi‘i menyatakan bahawa tidak mengapa meminum air ketika tawaf dan aku juga tidak menghukumkannya sebagai makruh — yakni berdosa — tetapi aku lebih menyukai sekiranya perbuatan itu ditinggalkan kerana meninggalkannya adalah lebih baik dari sudut adabnya.

Bahkan sepatutnya seseorang yang sedang melakukan tawaf itu mengkhusyukkan diri dengan menghadirkannya ke dalam hati mereka dengan penuh adab secara zahir dan batin, dalam setiap keadaan, pergerakan dan penglihatan mereka. Hal ini kerana tawaf itu adalah seperti mana solat, maka beradablah dengan adab-adabnya, di samping merasakan di dalam hatinya keagungan Allah SWT.[10]

Kesimpulannya

Berdasarkan kepada perbahasan dan perbincangan di atas, kami berpendapat bahawa melakukan tawaf sambil bersiaran langsung (live) adalah makruh dan sebaiknya perbuatan tersebut ditinggalkan kerana ia akan mengganggu tumpuannya yang sepatutnya diberikan kepada ibadah tawaf ini. Selain itu perbuatan tersebut juga akan mengganggu perjalanan tawaf para jemaah lain yang sedang mengerjakannya.

Di samping itu juga waktu tawaf tersebut termasuk dalam waktu ibadat yang sepatutnya digunakan dan ditumpukan untuk acara ibadat seperti berzikir, berdoa, membaca al-Quran, berselawat ke atas Nabi SAW, merasakan keagungan Allah SWT di dalam hati dan lain-lain.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahua‘lam.

Bertarikh: 20 Januari 2022 bersamaan 17 Jamadil Akhir 1443H

[1] Surah al-Hajj: 29

[2] Lihat Zubdah al-Tafasir min Fath al-Qadir oleh al-Asyqar, hlm. 437.

[3] Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 2/141

[4] Riwayat al-Tirmizi (960)

[5] Lihat al-Tanwir Syarh al-Jami‘ al-Saghir, 7/183

[6] Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 8/46

[7] Lihat ‘Umdah al-Qari, 9/263

[8] Lihat Sunan al-Tirmizi, 2/285.

[9] Lihat ‘Umdah al-Qari, 9/263

[10] Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 8/46

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *