Sale!
Original price was: RM28.00.Current price is: RM20.00.
Sale!
Original price was: RM35.00.Current price is: RM20.00.
Sale!

Buku Fizikal

Taufan Al-Aqsa

Original price was: RM20.00.Current price is: RM10.00.
Sale!
Original price was: RM20.00.Current price is: RM10.00.
Sale!
Original price was: RM40.00.Current price is: RM30.00.
Sale!
Original price was: RM70.00.Current price is: RM60.00.
Sale!
Original price was: RM310.00.Current price is: RM160.00.

Soalan:         

Assalamualaikum w.b.t. Adakah babi air dihukumkan sebagai najis sebagaimana babi yang biasa kita kenali di darat? Mohon pencerahan.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pada asasnya anjing dan babi termasuk di dalam kategori najis mughallazah (berat) dan wajib dicuci mengikut kaedah yang ditetapkan oleh syarak. Hal ini adalah sebagaimana firman Allah SWT:

حُرِّمَتْ عَلَيْكُمُ الْمَيْتَةُ وَالدَّمُ وَلَحْمُ الْخِنزِيرِ

Maksudnya: “Diharamkan kepada kamu (memakan) bangkai (binatang yang tidak disembelih), dan darah (yang keluar mengalir), dan daging babi (termasuk semuanya).”[1]

Dr. Wahbah al-Zuhaili menyebutkan bahawa pengharamkan babi itu meliputi semua bahagiannya sehingga pada lemak dan kulitnya. Adapun dikhususkan dengan menyebut dagingnya sahaja kerana ia merupakan tujuan yang terpenting — yakni untuk dimakan. Sesungguhnya syarak telah melarang untuk mengambil manfaat daripada semua bahagian babi berdasarkan firman Allah SWT:

أَوْ لَحْمَ خِنزِيرٍ فَإِنَّهُ رِجْسٌ

Maksudnya: “atau daging babi kerana sesungguhnya ia adalah kotor.”[2]

Begitu juga, Rasulullah SAW ada bersabda:

مَن لَعِبَ بالنَّرْدَشِيرِ، فَكَأنَّما صَبَغَ يَدَهُ في لَحْمِ خِنْزِيرٍ ودَمِهِ

Maksudnya: “Sesiapa yang bermain dengan dadu, maka seolah-olah dia telah melumuri tangannya dengan daging dan darah babi.”[3]

Justeru, jika sentuhan — yakni pegang — itu pun dilarang, maka memakannya adalah lebih-lebih lagi dilarang.[4]

Apakah itu babi air?

Para ulama silam telah membahaskan hukum mengenai babi air (خِنْزِيرُ الْمَاءِ) dalam kitab-kitab mereka. Namun, persoalan yang timbul, adakah babi air yang dimaksudkan mereka ini sama sepertimana babi air yang dikenali pada hari ini, iaitu capybara? Kamaluddin al-Damiri menukilkan di dalam kitabnya bahawa Malik pernah ditanya mengenai babi air ini, lalu menyebutkan:

أنتم تسمونه خنزيرا يعني أن العرب لا تسميه بذلك لأنها لا تعرف في البحر خنزيرا والمشهور أنه الدلفين

Maksudnya: “Kamu telah menamakannya sebagai babi yakni sedangkan orang Arab tidak pun menamakannya demikian kerana tidak diketahui di dalam laut adanya babi, dan yang masyhurnya ia dikenali sebagai dolphin (ikan lumba-lumba).”[5]

Kenyataan ini apabila diteliti seolah-olahnya dikuatkan atau disokong lagi, apabila Dr. Muhammad al-Zuhaili memasukan babi air ini sebagai hidupan air yang tidak menyerupai ikan sebagaimana kebiasaannya dan menyebutkan bahawa ia adalah halal serta tidak perlu kepada sembelihan sebagaimana ikan-ikan yang lain.[6]

 Justeru, sekiranya benar babi air yang dimaksudkan oleh ulama silam itu ialah dolphin, maka tiada masalah memegang atau menyentuhnya kerana ia termasuk dalam hidupan laut yang halal lagi suci. Penjelasan lanjut mengenai perkara ini, boleh dirujuk kepada artikel kami yang bertajuk: #320 Memakan Ikan Lumba-lumba.[7]

Capybara adalah berbeza dengan babi yang biasa kita kenali

Namun, sekiranya babi air yang dimaksudkan ialah capybara sebagaimana namanya yang dikenali sekarang, maka terlebih dahulu kita perlu melihat adakah capybara itu merupakan haiwan yang berasal daripada famili dan spesies yang sama dengan babi — sebagaimana yang biasa dikenali — ataupun bukan?

Capybara atau nama saintifiknya Hydrochoerus hydrochaeris ialah rodensia yang paling besar daripada kesemua rodensia. Ia kelihatan seperti babi kecil atau tikus belanda besar. Ia boleh berenang dengan baik. Sesetengah orang menamakannya babi air.[8] Capybara ialah satu-satunya spesies daripada famili Hydrochoeridae. Rupanya mirip cavy dan tikus belanda (guinea pig) daripada famili Caviidae.[9]

Manakala babi pula sama ada liar mahupun domestik merupakan haiwan mamalia omnivor daripada famili Suidae. Ia mempunyai badan yang berat, kaki pendek, dan kulit tebal yang dilapisi dengan bulu-bulu yang nipis.[10]

Oleh itu, jelas bahawa capybara bukanlah berasal daripada spesies dan famili yang sama dengan babi — yang biasa kita kenali. Hal ini kerana ia berasal daripada famili Hydrochoeridae sedangkan babi pula daripada famili Suidae.

Hukum menyentuh capybara

Asal setiap haiwan itu adalah suci — yakni bukan najis — melainkan ada nas yang menunjukkan sebaliknya seperti kenajisan babi, anjing atau seumpamanya. Al-Khatib al-Syirbini menyebutkan bahawa setiap haiwan — yang hidup — itu adalah suci melainkan apa yang dikecualikan oleh syarak.[11] Justeru, capybara termasuk dalam haiwan yang suci dan bangkainya pula tergolong dalam kategori najis sederhana.

Tambahan lagi tiada dalil khusus yang menyatakan bahawa capybara atau babi air itu adalah najis sepertimana babi yang biasa kita kenali. Selain itu juga, babi air bukanlah berasal daripada keturunan dan keluarga yang sama dengan babi yang kita kenali. Akan tetapi ia berasal daripada keluarga Hydrochoeridae yang mirip dengan keluarga Caviidae.

Sekadar memanggilnya dengan nama babi, tidaklah memberi sebarang kesan mahupun hukum ke atasnya kerana kaedah ada menyebutkan:

العِبْرَةُ بِحَقَائِقِ الأَشْيَاءِ لاَ بِأَسْمَائِهَا

Maksudnya: “Hukum sesuatu itu diambil kira berdasarkan kepada hakikatnya dan bukan pada namanya.”

Selain itu, al-Mawardi juga menolak hujah mereka yang mengharamkan babi air disebabkan oleh bandingannya dengan babi di darat.[12] Beliau menyatakan bahawa perbezaan pada tempat sekalipun mempunyai nama dan rupa yang sama memberi kesan pada hukum haiwan tersebut kerana keldai liar dan keldai peliharaan (domestik), kedua-duanya mempunyai nama yang sama dan rupa bentuk yang serupa. Namun, kedua-duanya berbeza pada hukum iaitu keldai liar halal untuk dimakan, manakala keldai peliharaan pula haram untuk dimakan kerana kedua-duanya tinggal di tempat yang berbeza sekalipun sama di atas daratan. Oleh itu, mana-mana haiwan yang berbeza tempat tinggal iaitu satu hidup di dalam air dan satu lagi hidup di atas daratan adalah lebih utama untuk dibezakan hukum ke atas kedua-duanya, sekalipun mereka berkongsi nama dan mempunyai rupa bentuk yang serupa.[13]

Tambahan pula, perkara ini jelas disebut oleh Ibn Rusyd al-Hafid sebagaimana kenyataannya bahawa kaum Muslimin telah bersepakat akan pengharaman babi. Lafaz babi membawa erti seluruh jenis babi secara zat selagimana bukan hanya sekadar berkongsi nama atau disebut sebagai babi, tetapi pada hakikatnya ia bukan daripada jenis babi secara zatnya, contohnya seperti babi air.[14]

Kesimpulannya

Berdasarkan kepada perbahasan dan perbincangan di atas, kami berpendapat bahawa diharuskan untuk menyentuh babi air kerana pada hakikatnya babi air ini tidak sama dengan babi di darat yang biasa kita kenali. Justeru, ia tergolong dalam kategori haiwan yang suci serta tidak mengambil hukum babi dan keturunannya. Bangkainya juga dikira sebagai najis mutawassitah (sederhana) dan bukannya najis mughallazah (berat) sepertimana babi di darat.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahua‘lam.

Bertarikh: 21 Januari 2022 bersamaan 18 Jamadil Akhir 1443H

[1] Surah al-Ma’idah: 3

[2] Surah al-An‘am: 145

[3] Riwayat Muslim (2260)

[4] Lihat al-Tafsir al-Munir, 6/77

[5] Lihat Hayah al-Hayawan al-Kubra, 2/429.

[6] Lihat al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, 2/548.

[7] Lihat https://maktabahalbakri.com/memakan-ikan-lumba-lumba/.

[8] Lihat Ensiklopedia Dunia, Terj. DBP, 5/95.

[9] Lihat Encyclopedia Britannica, https://www.britannica.com/animal/capybara.

[10] Lihat Encyclopedia Britannica, https://www.britannica.com/animal/pig-mammal-group.

[11] Lihat Mughni al-Muhtaj, 1/226

[12] Hal ini adalah sebagaimana pendapat ketiga yang dinukilkan oleh al-Nawawi dalam kitabnya iaitu dengan melihat haiwan yang seumpamanya di daratan seperti lembu dan kambing, maka ia juga adalah halal untuk dimakan. Sekiranya haiwan seumpamanya di daratan tidak halal dimakan, maka ia juga adalah haram untuk dimakan seperti babi air dan anjing laut. Kemudian sekiranya haiwan itu tidak ada bandingannya di daratan, maka ia adalah halal. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 9/34).

[13] Lihat al-Hawi al-Kabir, 15/62.

[14] Lihat Bidayah al-Mujtahid wa Nihayah al-Muqtasid, 1/10.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *