Sale!
Original price was: RM28.00.Current price is: RM20.00.
Sale!
Original price was: RM35.00.Current price is: RM20.00.
Sale!

Buku Fizikal

Taufan Al-Aqsa

Original price was: RM20.00.Current price is: RM10.00.
Sale!
Original price was: RM20.00.Current price is: RM10.00.
Sale!
Original price was: RM40.00.Current price is: RM30.00.
Sale!
Original price was: RM70.00.Current price is: RM60.00.
Sale!
Original price was: RM310.00.Current price is: RM160.00.

Soalan:         

Assalamualaikum w.b.t. Apakah hukum memakan daging penguin? Terima kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا النَّاسُ كُلُوا مِمَّا فِي الْأَرْضِ حَلَالًا طَيِّبًا

Maksudnya: “Wahai sekalian manusia! Makanlah daripada apa yang ada di bumi yang halal lagi baik.”[1]

Ayat ini ditujukan kepada seluruh manusia sama ada orang beriman ataupun kafir, supaya memakan apa yang ada di atas muka bumi, yang terdiri daripada biji-bijian, buah-buahan dan haiwan-haiwan yang telah dihalalkan untuk mereka mengambilnya (yakni makan dan ambil manfaat daripadanya), bukan dengan cara merampasnya, mencuri, jual beli yang diharamkan atau perkara-perkara yang seumpamanya.  Manakala lafaz ‘tayyiban’ pula bermaksud bukan daripada perkara yang buruk (yakni kotor dan jijik) seperti bangkai, darah, daging babi dan lain-lain. Oleh itu, ayat ini merupakan dalil bahawa hukum asal bagi sesuatu perkara itu (untuk dimakan dan diambil manfaatnya) adalah harus.[2]

Definisi penguin dan habitatnya

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, penguin ialah sejenis burung laut di Antartika yang berwarna hitam putih, berkaki pendek, menggunakan sayapnya untuk berenang, dan berjalan tegak lurus di darat.[3] Penguin membentuk order penguin, Sphenisciformes, dan famili Spheniscidae. Ia termasuk dalam sekumpulan burung akuatik yang tidak dapat terbang.[4]

Penguin ialah burung luar biasa yang berdiri tegak di atas kakinya yang pendek dan berjalan tergedek-gedek dengan gaya yang kekok dan menggelikan hati. Penguin tidak boleh terbang tetapi pandai berenang. Penguin tinggal di separuh bahagian di dunia selatan. Beberapa jenis penguin, termasuk penguin Adelie dan penguin Maharaja tinggal di atas ais Antartika. Yang lain-lain terdapat jauh di utara di kawasan yang menerima arus laut yang sejuk dari kawasan Antartika.

Semua penguin mempunyai bulu pendek dan tebal pada badannya yang pendek dan gempal. Bulunya putih di perut dan hitam atau hitam kebiru-biruan di belakang. Sesetengah penguin mempunyai jambul daripada bulu panjang di sisi kepalanya dan tompok-tompok berwarna cerah pada lehernya yang pendek dan lebar. Penguin hilang keupayaan untuk terbang berjuta-juta tahun dahulu. Sayapnya bertukar menjadi sayap sirip yang berfungsi sebagai dayung dalam air. Sayap sirip ini serta kaki renang, menjadikan penguin pandai berenang dan menyelam. Bulunya yang pendek dan lebat menjadi bulu kalis air. Lapisan lemak yang tebal memanaskan penguin semasa dalam air sejuk.

Penguin memakan ikan. Ia menghabiskan sebahagian besar hidupnya dalam air, tetapi bertelur dan membela anaknya di atas darat atau di ais. Semasa di darat, ia membuat sarang dalam koloni yang dikenali sebagai rookery. Sesuatu rookery mungkin mengandungi sehingga sejuta penguin.[5]

Hukum memakan penguin

Pada asasnya, ulama mazhab Syafi‘i berpendapat, semua jenis burung air adalah halal untuk dimakan kecuali burung bangau — kerana terdapat perbezaan pendapat mengenainya — sebagaimana yang ditegaskan oleh Imam al-Rafi‘i.[6] Tambahan lagi Imam al-Ghazali ada menyebutkan bahawa semua burung air itu hukumnya adalah harus untuk dimakan dan begitu juga seluruh haiwan air yang lain kecuali haiwan yang ada bandingannya dengan haiwan di darat yang haram kerana dalam hal ini terdapat dua pendapat mengenainya — iaitu sama ada halal atau haram.[7] Penjelasan mengenai burung bangau bolehlah merujuk kepada artikel kami yang bertajuk: #325 Memakan Burung Bangau.[8]

Justeru, begitulah juga hukumnya ke atas daging penguin iaitu halal dimakan kerana ia adalah sebagaimana hukum burung-burung air yang lain. Begitu juga, penguin tidak termasuk dalam kategori burung yang mempunyai kuku kuat dan boleh melukakan sebagaimana yang dilarang oleh Nabi SAW. Hal ini adalah berdasarkan kepada riwayat daripada Ibn Abbas R.Anhuma, beliau berkata:

 نَهَى رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم عَنْ كُلِّ ذِي نَابٍ مِنَ السِّبَاعِ وَعَنْ كُلِّ ذِي مِخْلَبٍ مِنَ الطَّيْرِ

Maksudnya:Rasulullah SAW melarang daripada memakan setiap binatang buas yang bertaring dan setiap jenis burung yang mempunyai kuku untuk mencengkam.”[9]

Kesimpulannya

Berdasarkan kepada perbincangan dan perbahasan di atas, kami berpendapat bahawa daging penguin halal untuk dimakan kerana penguin termasuk dalam kategori burung air. Selain itu, ia juga tidak termasuk dalam kategori burung yang mempunyai kuku yang kuat dan boleh melukakan.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahua‘lam.

Bertarikh: 21 Januari 2022 bersamaan 18 Jamadil Akhir 1443H

[1] Surah al-Baqarah: 168

[2] Lihat Tafsir al-Sa‘di, 1/80

[3] Lihat https://prpm.dbp.gov.my/cari1?keyword=penguin. Diakses pada 19 Januari 2022.

[4] Lihat https://en.wikipedia.org/wiki/Penguin. Diakses pada 19 Januari 2022.

[5] Lihat Ensiklopedia Dunia, (Terj. DBP), 16/638-640.

[6] Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 9/33; al-Najm al-Wahhaj fi Syarh al-Minhaj, 9/555.

[7] Lihat al-Wasit fi al-Mazhab, 7/163.

[8] Lihat https://maktabahalbakri.com/325-memakan-burung-bangau/.

[9] Riwayat Muslim (1934); Abu Daud (3803)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *