Sale!
Original price was: RM28.00.Current price is: RM20.00.
Sale!
Original price was: RM35.00.Current price is: RM20.00.
Sale!

Buku Fizikal

Taufan Al-Aqsa

Original price was: RM20.00.Current price is: RM10.00.
Sale!
Original price was: RM20.00.Current price is: RM10.00.
Sale!
Original price was: RM40.00.Current price is: RM30.00.
Sale!
Original price was: RM70.00.Current price is: RM60.00.
Sale!
Original price was: RM310.00.Current price is: RM160.00.

Soalan:         

Assalamualaikum w.b.t. Apakah hukum seseorang mengambil wuduk sambil lewa tanpa meratakannya sehingga kadang-kadang air wuduk tidak sampai pada siku dan tumit? Mohon pencerahan.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا قُمْتُمْ إِلَى الصَّلَاةِ فَاغْسِلُوا وُجُوهَكُمْ وَأَيْدِيَكُمْ إِلَى الْمَرَافِقِ وَامْسَحُوا بِرُءُوسِكُمْ وَأَرْجُلَكُمْ إِلَى الْكَعْبَيْنِ

Maksudnya:Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu hendak mengerjakan solat (padahal kamu berhadas kecil), maka (berwuduklah) iaitu basuhlah muka kamu, dan kedua belah tangan kamu meliputi siku, dan sapulah sebahagian daripada kepala kamu, dan basuhlah kedua belah kaki kamu meliputi buku lali.[1]

Al-Maraghi menyatakan bahawa makna ayat di atas adalah sekiranya seseorang itu hendak bangun bagi mendirikan solat — dan masih lagi dalam keadaan berhadas. Hal ini kerana seluruh kaum Muslimin menyatakan bahawa bersuci (yakni berwuduk dan mandi wajib) tidak diwajibkan ke atas orang yang ingin mengerjakan solat melainkan dia masih dalam keadaan berhadas.[2]

Mukadimah

Wuduk berasal daripada perkataan wadha’ah (وَضَاءَةٌ). Dari segi bahasa, ia bererti elok dan berseri. Sementara dari segi syarak pula ialah perbuatan menggunakan air pada anggota-anggota tertentu beserta dengan niat. Ia dinamakan demikian kerana perbuatan tersebut mengelokkan dan menyerikan anggota yang dibasuh dan dibersihkan.[3]

Habib Hasan bin Ahmad al-Kaff menyebutkan bahawa rukun wuduk ada enam. Empat daripadanya adalah berdasarkan ayat al-Quran iaitu membasuh muka, membasuh kedua tangan, menyapu sebahagian kepala dan membasuh kedua kaki. Manakala dua rukun yang berbaki adalah berdasarkan sunnah iaitu niat dan tertib.[4]

Syarat sah wuduk

Di antara syarat sah wuduk ialah tidak terdapat perkara yang menghalang air daripada terkena pada anggota wuduk dan mengalirkan air pada anggota yang dibasuh.[5] Begitu juga dinukilkan di dalam al-Fiqh al-Manhaji[6] bahawa wajib meratakan basuhan kesemua bulu dan kulit. Sekiranya terdapat kotoran di bawah kuku atau memakai cincin yang menghalang air sampai ke kulit maka wuduknya tidak sah.

Hal ini adalah berdasarkan sebuah hadith daripada Abdullah bin ‘Amr R.Anhuma, beliau berkata:

رَجَعْنَا مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مِنْ مَكَّةَ إِلَى الْمَدِينَةِ حَتَّى إِذَا كُنَّا بِمَاءٍ بِالطَّرِيقِ تَعَجَّلَ قَوْمٌ عِنْدَ الْعَصْرِ فَتَوَضَّئُوا وَهُمْ عِجَالٌ فَانْتَهَيْنَا إِلَيْهِمْ وَأَعْقَابُهُمْ تَلُوحُ لَمْ يَمَسَّهَا الْمَاءُ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم: وَيْلٌ لِلأَعْقَابِ مِنَ النَّارِ أَسْبِغُوا الْوُضُوءَ

Maksudnya:Kami pulang bersama-sama Rasulullah SAW dari Makkah ke Madinah. Apabila kami sampai ke kawasan air di pertengahan jalan, sekumpulan orang bergegas untuk mendirikan solat Asar. Lalu mereka berwuduk dengan tergesa-gesa. Kami pun menghampiri mereka dan dapati buku lali mereka tidak dibasahi air. Lantas Rasulullah SAW bersabda: ‘Celakalah bagi tumit-tumit (yang tidak tersentuh air wuduk) kerana termasuk (yang dibakar) dalam api neraka. Oleh itu, berwuduklah kamu dengan sempurna.’[7]

Begitu juga dalam hadith yang lain, daripada riwayat Umar bin al-Khattab R.A bahawa:

أَنَّ رَجُلاً تَوَضَّأَ فَتَرَكَ مَوْضِعَ ظُفُرٍ عَلَى قَدَمِهِ فَأَبْصَرَهُ النَّبِىُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ: ارْجِعْ فَأَحْسِنْ وُضُوءَكَ فَرَجَعَ ثُمَّ صَلَّى

Maksudnya:Seorang lelaki telah berwuduk dan tertinggal basuhan pada kuku kakinya, lalu dilihat oleh Nabi SAW. Baginda pun bersabda: ‘Ulanglah semula dan berwuduklah dengan sempurna.’ Lalu dia terus mengulanginya dengan sempurna. Kemudian dia mendirikan solat.”[8]

Oleh itu, jelaslah bahawa wuduk seseorang itu dikira tidak sah sekiranya terdapat bahagian anggota yang wajib dibasuh tetapi tertinggal atau tidak berbasuh walaupun sedikit.

Kesempurnaan dalam berwuduk

Mengenai hal ini, terdapat sebuah hadith daripada Nu‘aim bin Abdullah al-Mujmir, beliau berkata:

رَأَيْتُ أبا هُرَيْرَةَ يَتَوَضَّأُ فَغَسَلَ وجْهَهُ فأسْبَغَ الوُضُوءَ، ثُمَّ غَسَلَ يَدَهُ اليُمْنى حتّى أشْرَعَ في العَضُدِ، ثُمَّ يَدَهُ اليُسْرى حتّى أشْرَعَ في العَضُدِ، ثُمَّ مَسَحَ رَأْسَهُ، ثُمَّ غَسَلَ رِجْلَهُ اليُمْنى حتّى أشْرَعَ في السّاقِ، ثُمَّ غَسَلَ رِجْلَهُ اليُسْرى حتّى أشْرَعَ في السّاقِ، ثُمَّ قالَ: هَكَذا رَأَيْتُ رَسولَ اللهِ ﷺ يَتَوَضَّأُ. وَقَالَ: قَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: أَنْتُمُ الْغُرُّ الْمُحَجَّلُونَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ مِنْ إِسْباغِ الْوُضُوءِ، فَمَنِ اسْتَطَاعَ مِنْكمْ فَلْيُطِلْ غُرَّتَهُ وَتَحْجِيلَهُ

Maksudnya:Aku pernah melihat Abu Hurairah berwuduk. Beliau membasuh wajahnya, kemudian menyempurnakan wuduknya. Kemudian beliau membasuh tangan kanannya hingga mengenai bahagian atas lengan kanannya (atas daripada siku), kemudian membasuh tangan kirinya pula hingga mengenai bahagian atas lengan kirinya (atas daripada siku). Kemudian beliau menyapu kepalanya. Kemudian beliau membasuh kaki kanannya hingga sebahagian betis, kemudian membasuh kaki kirinya pula hingga sebahagian betis. Setelah itu, beliau berkata: ‘Demikianlah aku melihat Rasulullah SAW berwuduk.’ Beliau berkata lagi: Rasulullah SAW bersabda: ‘Kamu ialah orang yang memiliki cahaya pada wajah dan tangan serta kaki (iaitu pada anggota-anggota wuduk) pada Hari Kiamat kerana menyempurnakan wuduk. Oleh itu, sesiapa dalam kalangan kamu yang mampu, hendaklah dia memanjangkan cahaya itu.’[9]

Lafaz “الْغرَّة” ialah warna putih yang terdapat pada dahi kuda. Manakala “التَّحْجِيلُ” pula ialah warna putih yang terdapat pada tangan dan kaki kuda. Dinamakan cahaya yang muncul pada anggota-anggota wuduk pada hari Kiamat dengan warna putih yang terdapat pada dahi, tangan dan kaki kuda adalah sebagai satu bentuk perumpamaan.[10] Syeikh Mustafa al-Bugha ketika memberi komentar terhadap hadith ini dalam Sahih al-Bukhari menyebutkan bahawa makna hadith ini ialah cahaya akan terpancar daripada wajah-wajah, tangan-tangan dan kaki-kaki mereka pada Hari Kiamat. Ini merupakan di antara kelebihan-kelebihan yang diberikan terhadap umat ini iaitu Allah SWT menjadikan kelebihan-kelebihan tersebut sebagai penyaksian ke atas manusia.[11]

Kesimpulannya

Berdasarkan kepada perbahasan dan perbincangan di atas, kami berpendapat bahawa wuduk seseorang itu dikira tidak sah sekiranya terdapat bahagian anggota yang wajib dibasuh tetapi tertinggal atau tidak berbasuh walaupun sedikit. Hal ini kerana meratakan air mutlak ke seluruh bahagian anggota wuduk termasuk dalam syarat sah wuduk.

Selain itu, tidak sepatutnya seorang Muslim itu mengambil wuduk dengan sambil lewa, apatah lagi sehingga tertinggal bahagian anggota yang wajib dibasuh kerana dikhuatiri ia akan memberi kesan kepada ibadah-ibadah lain yang berhajat kepada wuduk — yakni suci daripada hadas kecil seperti solat, memegang mashaf dan lain-lain.

Justeru, yang lebih utama (afdhalnya) adalah kita hendaklah menyempurnakan segala bentuk basuhan atau sapuan mengikut rukun dan tertib yang telah ditetapkan, di samping meraikan perkara-perkara sunat wuduk dan berusaha sehabis mungkin untuk meninggalkan segala perkara makruh ketika berwuduk.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahua‘lam.

Bertarikh: 26 Januari 2022 bersamaan 23 Jamadil Akhir 1443H

[1] Surah al-Ma’idah: 6

[2] Lihat Tafsir al-Maraghi, 6/61.

[3] Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/53.

[4] Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 82.

[5] Lihat al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i,1/70.

[6] Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/55.

[7] Riwayat Muslim (241)

[8] Riwayat Muslim (243)

[9] Riwayat Muslim (246)

[10] Lihat al-Dibaj ‘ala Sahih Muslim, 2/31

[11] Lihat Sahih al-Bukhari, 1/39.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *