Sale!
Original price was: RM28.00.Current price is: RM20.00.
Sale!
Original price was: RM35.00.Current price is: RM20.00.
Sale!

Buku Fizikal

Taufan Al-Aqsa

Original price was: RM20.00.Current price is: RM10.00.
Sale!
Original price was: RM20.00.Current price is: RM10.00.
Sale!
Original price was: RM40.00.Current price is: RM30.00.
Sale!
Original price was: RM70.00.Current price is: RM60.00.
Sale!
Original price was: RM310.00.Current price is: RM160.00.

Soalan:         

Assalamualaikum w.b.t. Adakah makan daging unta membatalkan wuduk? Mohon pencerahan.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

أَفَلَا يَنظُرُونَ إِلَى الْإِبِلِ كَيْفَ خُلِقَتْ

Maksudnya:(Mengapa mereka yang kafir masih mengingkari akhirat) tidakkah mereka memperhatikan keadaan unta bagaimana ia diciptakan?[1]

Sayyid Qutb menyebutkan bahawa unta merupakan haiwan masyarakat Arab yang utama. Ia merupakan kenderaan dan pengangkutan mereka. Selain itu, unta merupakan antara sumber utama mereka kerana susu dan dagingnya menjadi makanan dan minuman mereka. Begitu juga, bulu dan kulitnya menjadi pakaian dan khemah mereka. Di samping itu, unta mempunyai sifat-sifat yang tidak ada pada haiwan-haiwan yang lain. Walaupun bentuk tubuh badannya kuat, besar dan gagah, tetapi ia mudah dituntun. Ia akan mengikut dan patuh walaupun dituntun oleh kanak-kanak yang kecil. Begitulah juga, meskipun kegunaan dan perkhidmatannya banyak, namun perbelanjaan untuk memeliharanya adalah kecil dan murah. Selain itu, ia juga merupakan haiwan yang paling sabar dan tahan lasak.

Oleh kerana itu, al-Quran menarik pandangan orang-orang yang ditujukan ayat ini kepada mereka supaya memerhatikan hikmah penciptaan unta yang terbentang di hadapan mata mereka, tanpa perlu pergi ke tempat lain mahupun mencari ilmu pengetahuan yang baru.[2]

Definisi unta dan habitatnya

Unta ialah sejenis binatang besar yang lehernya panjang, kuku berbelah dan belakangnya berbonggol satu atau dua.[3] Menurut Ensiklopedia Dunia, unta ialah haiwan gurun yang besar dan kuat. Ia boleh bergerak jauh merentas gurun yang panas, kering dengan sedikit air dan makanan. Ia mudah berjalan di atas padang pasir yang lembut yang tidak dapat dilalui oleh trak, dan membawa manusia dan muatan berat ke tempat yang tiada jalan raya. Unta juga berguna kepada manusia di gurun dalam banyak cara. Unta tingginya dari 1.8 meter hingga lebih sedikit daripada 2 meter pada paras bahu dan beratnya dari 250 hingga 680 kilogram. Ekornya yang seperti tali panjangnya lebih daripada 50 sentimeter. Unta kelihatan lebih besar daripada saiz sebenar kerana bulunya yang tebal, yang berwarna perang, dari hamper putih hingga hamper hitam.

Unta membawa bekalan makanannya sendiri dalam bonggol di atas belakangnya. Bonggol iniadalah ketulan lemak yang membekalkan tenaga sekiranya makanan sukar didapati. Terdapat dua jenis utama unta: (1) unta Arab, yang juga dikenali sebagai dromedary, yang mempunyai satu bonggol, dan (2) unta Bactria, yang mempunyai dua bonggol. Pada masa dahulu, kacukan daripada kedua-dua jenis ini banyak digunakan di Asia. Unta kacukan ini mempunyai satu bonggol yang lebih panjang, lebih besar dan lebih kuat daripada unta induknya. Unta telah dijadikan haiwan bela jinak sejak beribu-ribu tahun lamanya. Unta Arab mungkin pernah hidup liar di Tanah Arab, tetapi kini ia tidak lagi hidup liar. Terdapat beberapa juta unta Arab, dan kebanyakannya hidup bersama mereka yang tinggal di gurun di Afrika dan Asia. Unta Bactria awal dipercayai hidup di Mongolia dan Turkestan, yang dikenali sebagai Bactria pada zaman dahulu. Beberapa ratus unta Bactria liar masih berkeliaran di sesetengah bahagian Mongolia dan lebih daripada sejuta unta Bactria yang dibela jinak, hidup di Asia.

Berjuta-juta orang yang tinggal di Afrika dan Asia bergantung pada unta untuk membekalkan kebanyakan keperluan mereka. Di kawasan di pinggir gurun, unta menarik bajak, menggerakkan kincir air untuk mengairi ladang, dan mengangkut bijian ke pasar. Jauh di gurun, unta adalah satu-satunya sumber pengangkutan, makanan, pakaian dan perlindungan. Sebaliknya, unta memerlukan bantuan manusia untuk mengambil air dari telaga supaya ia boleh hidup pada musim panas. Unta bekerja keras untuk manusia, tetapi kelakuannya tidak boleh diramal. Unta Bactria boleh meludahi manusia, dan semua unta boleh menendang. Unta boleh menjerit dan memekik apabila dibebani muatan dan ketika hendak berdiri. Tetapi unta biasanya membawa muatan sehingga 150 kilogram selama lapan jam. Ia boleh membawa muatan lebih berat tetapi melakukannya dengan tidak rela. Biasanya unta bekerja hanya enam bulan dalam setahun. Sekiranya tenaganya digunakan berlebihan, unta akan mati.

Unta adalah sumber makanan yang penting di gurun. Manusia memakan daging unta muda, walaupun daging ini sangat liat. Manusia mencairkan lemak daripada bonggol unta untuk dibuat mentega. Manusia meminum susu unta, dan membuat keju daripada susu ini. Unta juga membekalkan bulu dan kulit untuk dibuat pakaian dan sebagai perlindungan. Pemilik unta menenun bulu unta yang lembut, lebat untuk dijadikan kain yang halus dan selimut. Bulu unta Bactria yang panjang sesuai ditenun menjadi kain. Orang Arab menggunakan kain ini untuk dibuat pakaian dan juga dibuat khemah. Kain bulu unta dijual di banyak bahagian di dunia untuk dibuat selimut, kot dan sut. Kulit unta yang kuat, liat sesuai dibuat kasut, beg, dan pelana. Tulang unta yang dikeringkan boleh diukir seperti gading untuk dibuat barang kemas dan perkakas. Najis unta pula dikeringkan dan digunakan sebagai bahan api.[4]

Daging unta membatalkan wuduk

Mengenai hal ini, para ulama telah berbeza pandangan kepada dua pendapat. Pendapat pertama, jumhur ulama daripada mazhab Hanafi, Maliki dan al-Syafi‘i berpendapat bahawa memakan daging unta tidak membatalkan wuduk.

Imam al-Nawawi menyebutkan bahawa suatu makanan itu tidak akan membatalkan wuduk seseorang, tidak kira makanan itu dimasak (disentuh api) ataupun tidak, kecuali daging unta. Ulama mazhab al-Syafi‘i berbeza pendapat pada daging unta (yakni sama ada membatalkan wuduk atau tidak) kepada dua pendapat. Pendapat jadid lagi masyhur, ia tidak membatalkan wuduk dan ini merupakan pendapat muktamad di sisi ulama mazhab al-Syafi‘i. Manakala pendapat kedua pula — iaitu pendapat qadim — daging unta membatalkan wuduk dan ini merupakan pendapat yang lemah di sisi ulama mazhab al-Syafi‘i.[5] Selain itu, ini juga merupakan pendapat yang diriwayatkan daripada Abu Bakar al-Siddiq, Umar, Uthman, Ali, Ibn Mas‘ud, Ubai bin Ka‘ab, Abu Talhah, Abu al-Darda’, Ibn Abbas, ‘Amir bin Rabi‘ah dan Abu Umamah R.Anhum.[6]

Jumhur ulama telah berhujah dengan riwayat daripada Jabir bin Abdullah R.Anhuma bahawa seseorang telah bertanya kepadanya tentang hukum berwuduk kerana makan makanan yang disentuh (dimasak) oleh api? Beliau menjawab:

لاَ، قَدْ كُنَّا زَمَانَ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لاَ نَجِدُ مِثْلَ ذَلِكَ مِنَ الطَّعَامِ إِلَّا قَلِيلًا. فَإِذَا نَحْنُ وَجَدْنَاهُ لَمْ يَكُنْ لَنَا مَنَادِيلُ إِلَّا أَكُفَّنَا وَسَوَاعِدَنَا وَأَقْدَامَنَا. ثُمَّ نُصَلِّي وَلاَ نَتَوَضَّأُ

Maksudnya:Tidak (perlu), kerana sesungguhnya kami pada zaman Nabi SAW, kami tidak mendapati makanan seperti itu (yang dimasak menggunakan api) kecuali sedikit (jarang-jarang). Apabila kami mendapatinya, maka tidak ada bagi kami sapu tangan (untuk menyapu tangan kami) kecuali tapak-tapak tangan kami, lengan-lengan kami dan kaki-kaki kami. Selepas itu, kami menunaikan solat dan tidak berwuduk (mengulanginya).[7]

Begitu juga berdasarkan riwayat lain daripada Jabir bin Abdullah R.Anhuma, beliau berkata:

كَانَ آخِرَ الْأَمْرَيْنِ مِنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ تَرْكُ الْوُضُوءِ مِمَّا غَيَّرَتِ النَّارُ

Maksudnya:Antara perintah terakhir Rasulullah SAW adalah meninggalkan wuduk pada apa-apa makanan yang diubah (disentuh) api.”[8]

 Selain itu, terdapat riwayat daripada Ibn Abbas R.Anhuma bahawa:

إِنَّما الوُضوءُ ممّا يخرجُ وليسَ مما يدخلُ

Maksudnya:Sesungguhnya wuduk itu disebabkan oleh apa yang keluar, bukannya disebabkan oleh apa yang masuk.[9]

Hal ini kerana daging unta itu dimakan sama seperti makanan-makanan yang lain.[10]

Manakala pendapat kedua pula, memakan daging unta membatalkan wuduk, tidak kira daging itu mentah atau dimasak. Begitu juga sama ada orang itu tahu akan batalnya wuduk dengan memakannya ataupun tidak.  Ini merupakan pendapat mazhab Hanbali, pendapat yang dipegang oleh Ishaq bin Rahawayh dan Yahya bin Yahya. Selain itu, al-Mawardi ada menukilkan sejumlah sahabat yang berpegang dengan pendapat ini seperti Zaid bin Thabit, Ibn Umar, Abu Musa dan Abu Talhah R.Anhum. Terdapat juga sebahagian ulama mazhab Syafi‘i yang memilih pendapat ini seperti Abu Bakar bin Khuzaimah dan Ibn al-Munzir. Begitu juga al-Baihaqi memberi isyarat kepada tarjihan dan pilihannya kepada pendapat ini. [11] Demikianlah juga Imam al-Nawawi sendiri menguatkan dan menyokong pendapat ini dengan menyebutkan bahawa pendapat yang lemah ini sebenarnya adalah lebih kuat dan sahih dari sudut dalil, dan beliau lebih cenderung kepada pendapat ini dari sudut ketepatannya.[12]

Mereka berhujah dengan hadith daripada al-Barra’ bin ‘Azib, beliau berkata:

سُئِلَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنِ الْوُضُوءِ مِنْ لُحُومِ الْإِبِلِ، فَقَالَ: تَوَضَّئُوا مِنْهَا، وَسُئِلَ عَنْ لُحُومِ الْغَنَمِ، فَقَالَ: لَا تَوَضَّئُوا مِنْهَا

Maksudnya:Rasulullah SAW ditanya mengenai hukum berwuduk disebabkan makan daging unta. Baginda SAW menjawab: ‘Berwuduklah kamu disebabkannya.’ Baginda SAW juga ditanya mengenai hukum berwuduk disebabkan makan daging kambing. Baginda SAW menjawab: ‘Tidak perlu berwuduk disebabkannya.’[13]

Hal ini kerana hadith di atas mengandungi perintah Nabi SAW untuk berwuduk disebabkan oleh makan daging unta dan hukum asal suatu perintah itu adalah wajib.

Begitu juga berdasarkan riwayat daripada Jabir bin Samurah bahawa:

أنَّ رَجُلًا سَأَلَ رَسولَ اللهِ صَلّى اللَّهُ عليه وسلَّمَ أأَتَوَضَّأُ مِن لُحُومِ الغَنَمِ؟ قالَ: إنْ شِئْتَ فَتَوَضَّأْ، وإنْ شِئْتَ فلا تَوَضَّأْ قالَ: أتَوَضَّأُ مِن لُحُومِ الإبِلِ؟ قالَ: نَعَمْ فَتَوَضَّأْ مِن لُحُومِ الإبِلِ

Maksudnya:Seseorang telah bertanya kepada Rasulullah SAW, adakah perlu berwuduk disebabkan makan daging kambing? Baginda menjawab: ‘Sekiranya engkau mahu, engkau boleh berwuduk (yakni memperbaharuinya) dan sekiranya engkau mahu, engkau boleh untuk tidak berwuduk.’ Dia bertanya lagi: ‘Adakah perlu berwuduk disebabkan makan daging unta?’ Baginda menjawab: ‘Ya, perlu berwuduk disebabkan makan daging unta.’[14]

Hadith ini menunjukkan bahawa Nabi SAW memberi pilihan kepada sahabat sama ada untuk memperbaharui wuduk atau tidak, selepas makan daging kambing. Akan tetapi Baginda SAW tidak memberi pilihan terhadap sesiapa yang makan daging unta. Justeru, ini menunjukkan berwuduk selepas makan daging unta adalah wajib.

Walau bagaimanapun, jumhur ulama menjawab dalil-dalil yang dikemukakan dengan menyatakan bahawa:

  1. Hadith yang memerintahkan untuk berwuduk selepas makan daging unta telah dimansuhkan dengan hadith hadith Jabir bin Abdullah Anhuma, beliau berkata:

كَانَ آخِرَ الْأَمْرَيْنِ مِنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ تَرْكُ الْوُضُوءِ مِمَّا غَيَّرَتِ النَّارُ

Maksudnya:Antara perintah terakhir Rasulullah SAW adalah meninggalkan wuduk pada apa-apa makanan yang diubah (disentuh) api.[15]

  1. Lafaz ‘wuduk’ yang terdapat dalam hadith bermaksud membasuh tangan dan berkumur. Lalu dikhususkan perkara tersebut — yakni membasuh tangan dan berkumur-kumur — ke atas daging unta adalah disebabkan lemak yang berlebihan ada pada dagingnya. Bahkan, Nabi SAW melarang seseorang itu tidur dalam keadaan terdapat lemak daging pada tangan dan mulutnya kerana dibimbangi akan disengat oleh kala jengking dan seumpamanya sebagaimana yang disebutkan di dalam Sunan Abi Daud.[16]

Kesimpulannya

Berdasarkan kepada perbincangan dan perbahasan di atas, kami cenderung kepada pendapat bahawa wuduk seseorang itu tidak terbatal disebabkan oleh makan daging unta sebagaimana pendapat jumhur ulama. Walau bagaimanapun, disunatkan kepada sesiapa yang memakan daging unta untuk memperbaharui wuduknya sebagai langkah berhati-hati dan keluar daripada khilaf mereka yang mewajibkan.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahua‘lam.

Bertarikh: 28 Januari 2022 bersamaan 25 Jamadil Akhir 1443H

[1] Surah al-Ghasyiyah: 17

[2] Lihat Fi Zilal al-Quran, 6/3898.

[3] Lihat https://prpm.dbp.gov.my/cari1?keyword=unta.

[4] Lihat Ensiklopedia Dunia, (Terj. DBP), 22/278-280.

[5] Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 57/2.

[6] Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 8/42.

[7] Riwayat al-Bukhari (5457)

[8] Riwayat Abu Daud (192); Syeikh Syuaib al-Arna’ut mengatakan sanad hadith ini adalah sahih

[9] Riwayat al-Baihaqi (8512); al-Nawawi menyebutkan bahawa sanadnya adalah hasan atau sahih. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 6/317).

[10] Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 8/42.

[11] Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 8/43.

[12] Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 57/2.

[13] Riwayat Abu Daud (184); al-Tirmizi (81); Ibn Majah (494); Syeikh Syuaib al-Arna’ut menyatakan bahawa sanad hadith ini sahih.

[14] Riwayat Muslim (360)

[15] Riwayat Abu Daud (192); Syeikh Syuaib al-Arna’ut mengatakan sanad hadith ini adalah sahih.

[16] Lihat https://www.aliftaa.jo/Question2.aspx?QuestionId=251#.YeTUDP5By3A.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *