Sale!
Original price was: RM28.00.Current price is: RM20.00.
Sale!
Original price was: RM35.00.Current price is: RM20.00.
Sale!

Buku Fizikal

Taufan Al-Aqsa

Original price was: RM20.00.Current price is: RM10.00.
Sale!
Original price was: RM20.00.Current price is: RM10.00.
Sale!
Original price was: RM40.00.Current price is: RM30.00.
Sale!
Original price was: RM70.00.Current price is: RM60.00.
Sale!
Original price was: RM310.00.Current price is: RM160.00.

Soalan

Assalamualaikum ustaz. Ketika saya sedang mendirikan solat, kemudian saya menyedari bahawa saya tersalah menghadap arah kiblat yang betul. Apa tindakan yang saya perlu lakukan? Adakah saya perlu memulakan semula solat, atau cukup sekadar memalingkan diri dengan menghadap ke arah kiblat yang betul? Mohon pencerahan.

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Definisi Kiblat

Dari sudut bahasa, qiblat bermaksud arah (al-jihah) yang kita solat ke arahnya, dan menurut istilah syara’ ia difahami sebagai Kaabah secara mutlaq tanpa mengandungi maksud yang lain.[1]

Tiada khilaf dalam kalangan fuqaha’ bahawa menghadap ke arah Kaabah merupakan syarat sah solat bagi yang berkemampuan.[2]

Menghadap Kiblat Sebagai Syarat Sah Solat

Berdasarkan nas daripada kitab al-Fiqh al-Manhaji menyebut: “Apa yang dimaksudkan dengan kiblat ialah Kaabah, manakala menghadap kiblat bermaksud Kaabah berhadapan dengannya. Dalil bagi syarat ini ialah firman Allah SWT:

وَمِنْ حَيْثُ خَرَجْتَ فَوَلِّ وَجْهَكَ شَطْرَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ ۚ وَحَيْثُ مَا كُنتُمْ فَوَلُّوا وُجُوهَكُمْ شَطْرَهُ

Maksudnya: Maka hadapkanlah mukamu ke arah Masjid al-Haram (Kaabah), dan di mana sahaja kamu berada maka hadapkanlah muka kamu ke arahnya.[3]

Begitu juga hadith, Rasulullah SAW bersabda kepada orang yang diajarnya cara-cara bersolat:

إِذَا قُمْتَ إِلَى الصَّلاَةِ فَأَسْبِغِ الْوُضُوءَ، ثُمَّ اسْتَقْبِلِ الْقِبْلَةَ فَكَبِّرْ

Maksudnya: “Apabila engkau hendak bersolat berwudhu’lah dengan sempurna, kemudian menghadaplah ke kiblat dan bertakbir.”[4]

Maksud Masjid al-Haram di dalam ayat dan maksud kiblat di dalam hadith tersebut ialah Kaabah…Orang yang bersolat sama ada berhampiran Kaabah yang dapat dilihatnya apabila dikehendaki atau jauh daripadanya yang tidak mungkin dilihat. Orang yang berhampiran dengan Kaabah wajib menghadap Kaabah tersebut dengan yakin manakala yang jauh dari Kaabah wajib menghadapnya dengan berpandukan petunjuk-petunjuk yang kukuh sekiranya tidak terdapat petunjuk yang pasti dan tepat.”[5]

Menghadap Kaabah itu yakni menghadap dengan dada, bukan dengan kepala bagi orang yang solat berdiri dan duduk; dengan kepala dan dada bagi orang yang solat baring atas lambung; dan dengan kepala dan hujung jemari kaki bagi orang yang solat dengan terlentang.[6]

Bagi mereka yang jauh dari Kaabah atau mereka yang terhalang daripada melihat terus kepada Kaabah, tidak memudaratkan solat jika posisi agak ke kanan sedikit dan ke kiri sedikit daripada ain Kaabah, kerana itu adalah kesilapan yang tidak terlalu jauh, selagi mana tidak tersasar daripada arah Kaabah.[7]

Dalam mazhab al-Syafie, cara-cara mengetahui kiblat mengikut susunan keutamaan itu ada empat, iaitu:

  • Ilmu pengetahuan sendiri yang meyakinkan, seperti orang yang celik melihat ain Kaabah atau orang buta yang memegang Kaabah.
  • Perkhabaran seorang yang terpercaya dengan pengetahuannya.
  • Ijtihad seperti menggunakan kompas dan seumpamanya.
  • Orang yang bertaqlid kepada ijtihad orang lain.[8]

Tersedar Salah Kiblat Ketika Solat

Jika seseorang itu sedang menunaikan solat, kemudian dia tersedar bahawa dia tersalah arah kiblat, maka di sini ulama’ mazhab Syafi’i ada dua qaul padanya:

Pertama: Memulakan semula solatnya ke arah ijtihadnya yang baharu.

Kedua: Tidak memulakan semula solatnya malah cukup dengan hanya memalingkan diri atau beralih arah ke ijtihadnya yang baharu dan meneruskan solat (menghadap ijtihadnya yang baharu).

Pendapat kedua ini merupakan pendapat yang paling sahih dalam mazhab Syafi’i. Sekalipun jika seseorang itu solat menghadap ke empat arah yang berbeza dalam satu solat disebabkan ijtihad, maka sah solatnya.[9]

 

Penutup

Kesimpulannya, jika seseorang itu menyedari bahawa dia telah tersalah kiblat ketika sedang menunaikan solat (kerana wujudnya petunjuk yang pasti), maka hendaklah dia memalingkan dirinya ke arah yang baharu.

Selain itu, jika ada yang menyedari seseorang itu salah dalam arah kiblatnya dan dia mengetahui dengan pasti arah kiblat yang betul, maka perlulah dia menegur orang yang sedang solat tersebut dan dia (orang yang bersolat itu) wajib beralih jika dia yakin bahawa teguran itu adalah benar dan dipercayai.

Wallahu a’lam.

Bertarikh: 2 Februari 2022 bersamaan 30 Jamadil Akhir 1443H

 

[1] Lihat Mughni al-Muhtaj, 1/142

[2] Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 32/302

[3] (Surah al-Baqarah: 150)

[4] Riwayat al-Bukhari (5897) dan Muslim (397)

[5] Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/127-128

[6] Lihat Kasyifah al-Saja, hlm. 197; al-Taqrirat al-Sadidah, hlm.200

[7] Lihat al-Mu`tamad fi al-Fiqh al-Syafie, 1/217

[8] Lihat I`anah al-Talibin, 1/145

[9] Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 3/221

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *