Sale!
Original price was: RM28.00.Current price is: RM20.00.
Sale!
Original price was: RM35.00.Current price is: RM20.00.
Sale!

Buku Fizikal

Taufan Al-Aqsa

Original price was: RM20.00.Current price is: RM10.00.
Sale!
Original price was: RM20.00.Current price is: RM10.00.
Sale!
Original price was: RM40.00.Current price is: RM30.00.
Sale!
Original price was: RM70.00.Current price is: RM60.00.
Sale!
Original price was: RM310.00.Current price is: RM160.00.

Soalan

Assalamualaikum ustaz. Adakah roh orang yang telah mati boleh kembali ke dunia?

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Pertamanya, ingin kami bawakan firman Allah SWT yang berkaitan dengan roh:

وَيَسْأَلُونَكَ عَنِ الرُّوحِ ۖ قُلِ الرُّوحُ مِنْ أَمْرِ رَبِّي وَمَا أُوتِيتُم مِّنَ الْعِلْمِ إِلَّا قَلِيلًا

Maksudnya: “Dan mereka bertanya kepadamu tentang roh. Katakan: “Roh itu dari perkara urusan Tuhanku; dan kamu tidak diberikan ilmu pengetahuan melainkan sedikit sahaja.” [1]

Imam Al-Razi menafsirkan ayat tersebut dengan menyatakan Allah SWT ingin menjelaskan bahawa akal manusia terhad dan tidak mampu untuk mengetahui lebih dalam berkenaan dengan roh.[2]

Imam Jalaluddin Al-Mahalli dan Imam Al-Suyuti menyebut bahawa ayat ini jelas menyebut bahawa urusan roh adalah di bawah pengetahuan Allah. Adalah lebih baik untuk kita tidak pergi lebih dalam mengkaji berkenaan dengan roh.[3]

Sayyid Qutb berkata: Apabila mereka bertanya Rasulullah SAW mengenai ruh, maka Allah memerintahnya supaya memberi jawapan kepada mereka bahawa ruh itu adalah urusan Allah. Hanya ilmu Allah sahaja yang mengetahuinya dan tiada sesiapa pun yang mengetahui selain Allah.[4]

Syeikh Abdul Rahman al-Sa’di Rahimahullah di dalam tafsirnya, Taisir al-Karim al-Rahman mengatakan bahawa ayat di atas menunjukkan kepada kita akan kelemahan insan itu sendiri yang mana dalam sesetengah perkara, manusia tidak dapat untuk mencapai dan mengetahuinya. Disebabkan oleh itu, Allah mengarahkan Nabi agar menjawab persoalan mengenai roh ini dengan menyerahkan urusannya kepada Allah .

Sehubungan dengan itu, kami cuba untuk membincangkan permasalahan ini dengan melihat kepada nas yang sahih serta tafsiran ulama’ yang muktabar mengenainya. Semoga perbahasan mengenainya dapat memberikan manfaat buat kita semua.

Makna Roh

Di dalam kitab Taj al-‘Urus disebutkan beberapa takrifan mengenai roh. Antaranya:

  • Al-Farra’ mengatakan roh itu sesuatu yang mana dengannya manusia akan hidup. Allah tidak mengkhabarkan mengenai perihal penciptaannya dan Allah juga tidak memberikan ilmu mengenainya.
  • Abu al-Haitham mengatakan roh itu adalah jiwa yang mana manusia bernafas dengannya. Ianya mengalir di keseluruhan jasad. Jika ia keluar, maka tidak akan bernafaslah manusia.[5]

Boleh kita simpulkan bahawa roh bermakna satu jisim yang halus terdapat pada manusia dan haiwan yang hidup.

Ruh ialah jisim nurani, sejenis cahaya yang hidup dan bergerak dari alam yang tinggi. Tetapi tabiatnya berbeza dengan tabiat jisim yang dapat dikesan oleh pancaindera kerana tabiat jisim biasanya dapat berjalan dalam jasad yang kasar sebagaimana air yang mengalir dalam bunga mawar, minyak dalam buah zaitun, dan api dalam bara.

Jisim yang biasa tidak dapat diganti, dipisah-pisah mahupun dipecah-pecahkan, bahkan memberi kehidupan kepada jasad dengan segala kaitannya selagi jasad kasar itu wajar menerima curahan cahaya daripadanya dan selagi tidak ada hal-hal yang menghalang alirannya. Jika tidak demikian, matilah jasad itu. Pendapat ini adalah yang dipilih oleh al-Razi dan Ibn al-Qayyyim dalam kitabnya yang masyhur, al-Ruh.

Ruh juga bukanlah jisim dan bukan pula jenis jasmani. Ia berkaitan dengan tubuh sebagai pembimbing dan pengatur sahaja. Ini pendapat hujjatul Islam, Imam al-Ghazali dan juga Abu Qasim al-Raghib al-Asfahani.[6]

Adakah Roh Orang Mati Boleh Kembali ke Dunia?

Mereka yang telah mati meninggalkan kita, roh mereka tidak mungkin kembali ke dunia lagi. Sama ada kembali untuk menziarahi ahli keluarganya, membalas dendam ataupun dari segala macam perbuatan manusia lain yang masih hidup. Sama ada roh itu dalam keadaan baik ataupun buruk.

Kami kemukakan di sini dalil-dalil yang berkait dengan permasalahan ini:

  • Al-Quran

Ini berdasarkan firman Allah :

لَعَلِّي أَعْمَلُ صَالِحًا فِيمَا تَرَكْتُ ۚ كَلَّا ۚ إِنَّهَا كَلِمَةٌ هُوَ قَائِلُهَا ۖ وَمِن وَرَائِهِم بَرْزَخٌ إِلَىٰ يَوْمِ يُبْعَثُونَ

Maksudnya: “Supaya aku mengerjakan amal-amal yang soleh dalam perkara-perkara yang telah aku tinggalkan”. Tidak! Masakan dapat? Sesungguhnya perkataannya itu hanyalah kata-kata yang ia sahaja yang mengatakannya, sedang di hadapan mereka ada alam barzakh (yang mereka tinggal tetap padanya) hingga hari mereka dibangkitkan semula (pada hari kiamat).[7]

Al-Tabari menukilkan riwayat Mujahid (tabi’en dan juga anak murid kepada Ibn ‘Abbas R.Anhuma) yang mana menyebut bahawa barzakh di dalam ayat di atas ialah hijab (seperti tembok penghalang) diantara orang yang telah mati untuk pulang ke dunia.[8]

Imam Ibn Kathir dalam menjelaskan maksud al-barzakh dalam ayat di atas menukilkan beberapa pandangan, antaranya:

  • Muhammad bin Ka`ab mentakrifkannya sebagai sesuatu antara dunia dan akhirat, bukan bersama ahli dunia yang boleh makan dan minum dan bukan bersama ahli akhirat yang menerima balasan amal mereka.
  • Abu Sakhr mengatakan al-barzakh adalah kubur, bukan di dunia, bukan di akhirat. Mereka menetap di dalamnya sehingga hari dibangkitkan.
  • Al-Dahhak menyebut, ia adalah satu tempoh antara kematian dan hari dibangkitkan.
  • Mujahid pula memberi definisi al-barzakh sebagai penghalang untuk mereka (orang yang mati) kembali ke dunia.[9]

Syeikh al-Maraghi berkata: “Di hadapan mereka terbentang sesuatu yang menghalang mereka untuk kembali ke dunia hingga ke hari Kiamat. Di sini terdapat keputusan muktamad untuk mereka berkenaan kembali semula ke dunia. Jika mereka tidak dapat kembali semula sebelum hari Kiamat, maka apalagi sesudahnya, pasti mereka tidak akan berjaya untuk kembali ke dunia selama-lamanya kerana sudah pasti setelah berlaku hari kebangkitan, seseorang itu tidak dapat kembali semula ke dunia kecuali akan tinggal di akhirat untuk selama-lamanya.[10]

Firman Allah lagi:

‏ اللَّهُ يَتَوَفَّى الْأَنفُسَ حِينَ مَوْتِهَا وَالَّتِي لَمْ تَمُتْ فِي مَنَامِهَا ۖ فَيُمْسِكُ الَّتِي قَضَىٰ عَلَيْهَا الْمَوْتَ وَيُرْسِلُ الْأُخْرَىٰ إِلَىٰ أَجَلٍ مُّسَمًّى ۚ إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَآيَاتٍ لِّقَوْمٍ يَتَفَكَّرُونَ

Maksudnya: Allah (Yang Menguasai Segala-galanya), Ia mengambil dan memisahkan satu-satu jiwa dari badannya, jiwa orang yang sampai ajalnya semasa matinya, dan jiwa orang yang tidak mati: dalam masa tidurnya; kemudian Ia menahan jiwa orang yang Ia tetapkan matinya dan melepaskan balik jiwa yang lain (ke badannya) sehingga sampai ajalnya yang ditentukan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan Allah bagi kaum yang berfikir (untuk memahaminya).[11]

Ayat di atas juga menjadi dalil yang menunjukkan bahawa roh orang yang mati tidak akan kembali, bahkan Allah yang berkuasa menahannya dari kembali ke dunia. Ini sepertimana riwayat daripada Sa’id bin Jubair Rahimahullah (tabi’en dan juga anak murid kepada Ibn ‘Abbas R.Anhuma) yang mana mengatakan bahawa telah dikumpulkan di antara roh-roh orang yang hidup dan yang telah mati (di dalam mimpi) kemudian Allah  menahan roh orang yang telah mati dan melepaskan roh orang yang hidup kepada jasadnya semula. Ianya juga adalah pendapat Ibn Zaid Rahimahullah.[12]

Diriwayatkan daripada Ibn Abbas R.Anhuma, beliau menjelaskan tafsir ayat tersebut dengan katanya:

إِنَّ أَرْوَاحَ الْأَحْيَاءِ وَالْأَمْوَاتِ تَلْتَقِي فِي الْمَنَامِ فَتَتَعَارَفُ مَا شَاءَ اللَّهُ مِنْهَا، فَإِذَا أَرَادَ جَمِيعُهَا الرُّجُوعَ إِلَى الْأَجْسَادِ أَمْسَكَ اللَّهُ أَرْوَاحَ الْأَمْوَاتِ عِنْدَهُ، وَأَرْسَلَ أَرْوَاحَ الْأَحْيَاءِ إِلَى أَجْسَادِهَا

Maksudnya: Sesungguhnya ruh orang yang hidup dan ruh orang mati bertemu dalam mimpi. Mereka saling mengenal sesuai yang Allah kehendaki. Ketika masing-masing hendak kembali ke jasadnya, Allah menahan ruh orang yang sudah mati di sisi-Nya, dan Allah melepaskan ruh orang yang masih hidup ke jasadnya.[13]

Said bin Jubair Rahimahullah pula berkata:

إِنَّ اللَّهَ يَقْبِضُ أَرْوَاحَ الْأَمْوَاتِ إِذَا مَاتُوا، وَأَرْوَاحَ الْأَحْيَاءِ إِذَا نَامُوا، فَتَتَعَارَفُ مَا شَاءَ اللَّهُ أَنْ تَتَعَارَفَ

MaksudnyaSesungguhnya Allah menahan ruh-ruh orang mati apabila mereka mati dan ruh-ruh orang hidup apabila mereka tidur. Mereka akan bertemu dan berkenalan mengikut kehendak Allah.[14]

Imam Ibnu Qayyim al-Jauziyah menyatakan di dalam ayat tersebut Allah SWT mahu mengkhabarkan bahawa kematian ada dua. Kematian yang besar (وفاة كبرى) dan kematian kecil (وفاة صغرى) iaitu ketika tidur. Begitu juga roh ada dua jenis iaitu:

  • Roh yang telah sampai ajal matinya. Ia akan ditahan dan tidak dikembalikan semula ke dunia.
  • Roh yang masih belum sampai ajal kematiannya. Ia akan dikembalikan semula ke jasadnya sehinggalah tiba waktu kematiannya. (Lihat al-Ruh, hlm 58).

Justeru, berdasarkan nas dan keterangan ulama di atas, dapat difahami bahawa roh orang yang mati tidak boleh kembali semula ke dunia.

  • Al-Hadith

Terdapat sebuah hadith yang diriwayatkan oleh al-Imam Ahmad di dalam Musnadnya, sebuah hadith yang berkaitan dengannya. Ianya sebuah hadith riwayat Jabir RA:

قَالَ لِي رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: ” يَا جَابِرُ، أَمَا عَلِمْتَ أَنَّ اللهَ عَزَّ وَجَلَّ أَحْيَا أَبَاكَ، فَقَالَ لَهُ: تَمَنَّ عَلَيَّ، فَقَالَ: أُرَدُّ إِلَى الدُّنْيَا، فَأُقْتَلُ مَرَّةً أُخْرَى، فَقَالَ: إِنِّي قَضَيْتُ، أَنَّهُمْ  إِلَيْهَا لَا يُرْجَعُونَ

Maksudnya: Telah berkata kepadaku Rasulullah : Wahai Jabir! Adakah kamu tidak mengetahui bahawa Allah ‘azza wa jal telah menghidupkan ayahmu dan berfirman kepadanya: “Mohonlah kepada-Ku”. Lantas ayahmu berkata: “Kembalikanlah diriku ke dunia hingga aku terbunuh (dalam jihad fi sabilillah) sekali lagi. Maka Allah berfirman: “Aku telah memutuskan bahawa nereka (yang telah mati) tidak akan kembali lagi ke dunia.”[15]

Hadith di atas jelas menunjukkan bahawa seseorang yang telah mati tidak akan kembali ke dunia. Ianya adalah ketetapan daripada Allah .

Kesimpulan

Setelah melihat kepada nas-nas yang ada beserta pendapat para ulama’, kami nyatakan di sini bahawa roh tidak mampu untuk pulang ke dunia kerana ianya berada di satu alam yang dinamakan barzakh. Ianya seperti mana yang telah kita bincangkan di atas.

Nas yang sahih lagi sarih seperti yang terdapat pada hadith Jabir RA menjadi pemutus dan penghukum di samping tafsiran para mufassirin mengenai ayat-ayat Al-Quran yang berkaitan dalam isu ini, yang mana menunjukkan bahawa roh tidak dapat kembali ke dunia.

Terdapat juga pendapat yang mengatakan bahawa roh orang yang telah mati boleh bertemu dengan roh orang yang masih hidup ketika mereka sedang tidur (di dalam mimpi).[16]

Wallahu a’lam.

Bertarikh: 2 Februari 2022 bersamaan 30 Jamadil Akhir 1443H

[1] Surah al-Isra’: 85

[2] Lihat Mafatih Al-Ghaib , 21/31

[3] Lihat Tafsir Jalalain, hlm 378

[4] Lihat Fi Zilal al-Quran, 10/261

[5] Lihat Taj al-‘Arus, 6/408 dan Lisan al-‘Arab, 2/462

[6] Lihat Tafsir al-Maraghi, 8/4020

[7] Surah al-Mukminun: 100

[8] Lihat Jami’ al-Bayan ‘an Ta’wil Ay al-Quran, 19/71

[9] Lihat Tafsir al-Quran al-`Azim, 5/494. Lihat juga Ma’alim al-Tanzil, 5/428

[10] Lihat Tafsir al-Maraghi, 9/4690

[11] Surah al-Zumar: 42

[12] Lihat Jami’ al-Bayan ‘an Ta’wil Ay al-Quran, 21/298-299

[13] Lihat Jami’ al-Bayan fi Ta’wil al-Qur’an, 21/298; al-Jami’ li Ahkam al-Quran, 15/260; Madarik al-Tanzil wa Haqa’iq al-Ta’wil, 4/56 dan Zad al-Masir oleh Ibn al-Jauzi 4/20

[14] Lihat al-Jami’ li Ahkam al-Quran, 15/260

[15] Riwayat Ahmad (14881). Komentar Syeikh Syu’aib al-Arnout: Isnadnya hasan.

[16] Lihat al-Ruh oleh Ibn Qayyim al-Jauziyyah, hlm. 20

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *