Soalan:
Assalamualaikum w.b.t. Ada seorang sahabat memberikan cadangan bagi pengubatan penyakit asma, iaitu dengan menumbuk kuda laut sehingga halus, lalu mencampurkannya dalam minuman. Justeru, persoalan yang timbul, apakah hukum memakan kuda laut? Terima Kasih.
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t.
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT:
أُحِلَّ لَكُمْ صَيْدُ الْبَحْرِ وَطَعَامُهُ
Maksudnya: “Dihalalkan bagi kamu binatang buruan laut, dan makanan yang didapati dari laut.”[1]
Syeikh al-Sa‘di menyebutkan, tatkala haiwan buruan itu merangkumi haiwan buruan darat dan lautan, Allah SWT telah mengecualikan bagi kamu — dalam keadaan kamu sedang berihram — haiwan buruan laut iaitu haiwan laut yang hidup dan makanan yang didapati dari laut iaitu haiwan laut yang sudah mati. Justeru, perkara itu menunjukkan bahawa bangkai haiwan laut adalah halal. Selain itu, faedah kehalalannya itu adalah bertujuan supaya kamu memanfaatkannya dan begitu juga temanmu yang bersama kamu dalam perjalanan turut memanfaatkannya.[2]
Definisi kuda laut
Kuda laut ialah binatang laut yang kepalanya menyerupai kepala kuda, Hippocampus hudsonius.[3] Manakala di dalam Ensiklopedia Dunia, dinyatakan bahawa kuda laut ialah ikan kecil yang dinamakan demikian kerana kepalanya menyerupai kuda kecil. Lebih kurang 25 spesies kuda laut hidup di laut tropika yang cetek. Sesetengah spesies juga terdapat di perairan iklim sederhana. Kebanyakan kuda laut kurang daripada 15 sentimeter panjangnya. Satu spesies kuda laut dari kawasan Pasifik boleh mencapai 30 sentimeter panjangnya. Kuda laut tergolong dalam famili yang sama dengan ikan paip.
Badan kuda laut terbina daripada plat bertulang. Ikan ini mempunyai muncung yang panjang dan makan dengan menyedut haiwan kecil ke dalam mulutnya yang berbentuk silinder. Ekornya panjang, fleksibel, dan berupaya mencengkam. Kuda laut menggunakan ekornya untuk melekap pada tumbuh-tumbuhan berakar atau tumbuh-tumbuhan laut yang terapung. Anak kuda laut sering membentuk kumpulan kecil dengan berpaut pada satu sama lain dengan ekornya. Pundi renang yang besar pada kuda laut berisi udara dan membolehkan kuda laut berada pada kedalaman tertentu. Kuda laut berenang perlahan dengan menggunakan sirip belakang dan sirip pektoral. Sirip pektoral terletak di sisi kepala yang kelihatan seperti sepasang telinga. Kuda laut mempunyai cara membiak yang luar biasa. Kuda laut jantan mempunyai kantung khas tempat kuda betina bertelur. Kuda jantan kemudiannya membebaskan anak yang halus.[4]
Namun, faktor pemanasan global serta keadaan persekitaran yang tidak mengizinkan mengakibatkan kuda laut berhadapan ancaman kepupusan, apatah lagi jika tiada sebarang usaha melindungi hidupan ini. Justeru, Perbadanan Bioteknologi dan Biodiversiti Negeri Johor (J-Biotech) tampil menjadi agensi pertama yang menjalankan penyelidikan konservasi kuda laut dan ekosistem persekitarannya sejak tahun 2008. Ketua Pegawai Operasi J-Biotech, Azman Mohamed Shah, menyebutkan bahawa rancangan penyelidikan biodiversiti yang dirangka dengan kerjasama Universiti Malaysia Terengganu (UMT) itu membuka lembaran baru dalam program konservasi marin di Johor yang merangkumi elemen penyelidikan dan komersial.
Tambah beliau lagi, pembangunan penyelidikan konservasi kuda laut fasa pertama yang sedang dilakukan adalah penyelidikan saintifik komprehensif menerusi program pembiakan dan asuhan, ternakan secara persekitaran tiruan dan pemulangan semula ke kawasan habitat asal. Manakala fasa kedua pula membabitkan penyelidikan hiliran iaitu usaha mengekstrak sebatian bioaktif dalam kuda laut bagi tujuan perubatan dan klinikal yang sedang diusaha dan dibangunkan. Hal ini kerana sebatian kuda laut dilihat berpotensi untuk membantu merawat kanser , ketumbuhan, mati pucuk, pembekuan darah, penyaktoksik buah pinggang, asma, rawatan kulit, antipenuaan sebatian anti-fatigue (anti kelesuan), sistem hormon ketahanan badan serta saraf.[5]
Hukum kuda laut
Pada asasnya, haiwan air dapat dibahagikan kepada dua kategori iaitu spesies ikan sebagaimana rupa bentuknya yang telah diketahui umum. Ia adalah halal untuk dimakan walau bagaimanapun cara ia dimatikan serta tidak perlu disembelih. Hal ini adalah berdasarkan firman Allah SWT:
أُحِلَّ لَكُمْ صَيْدُ الْبَحْرِ وَطَعَامُهُ مَتَاعًا لَّكُمْ وَلِلسَّيَّارَةِ
Maksudnya: “Dihalalkan bagi kamu binatang buruan laut, dan makanan yang didapati dari laut, sebagai bekalan bagi kamu (untuk dinikmati kelazatannya) dan juga bagi orang-orang yang dalam pelayaran.”[6]
Begitu juga, terdapat riwayat daripada Ibn Umar R.Anhuma, beliau berkata:
أُحِلَّت لَنا مَيتَتانِ ودَمانِ؛ الجَرادُ والحيتانُ، والكَبدُ والطِّحالُ
Maksudnya: “Dihalalkan ke atas kita dua jenis bangkai dan dua jenis darah. (Dua jenis bangkai) iaitu belalang dan ikan. (Dua jenis darah) iaitu hati dan limpa.”[7]
Keduanya, haiwan air yang tidak menyerupai bentuk kebiasaan ikan seperti babi air dan anjing laut. Para ulama telah berselisih pendapat dalam kategori ini.[8] Bagi kategori ini, Imam al-Nawawi ada menukilkan tiga pendapat yang masyhur mengenai perkara ini dalam kitab beliau, dan menyatakan bahawa pendapat yang sahih di sisi ulama mazhab al-Syafi‘i adalah semuanya halal untuk dimakan, tanpa perlu berhajat kepada sembelihan. Justeru, bangkainya adalah halal untuk dimakan. Hal ini kerana perkataan al-Samak “السَّمَك” — sebagaimana yang terdapat dalam hadith — merujuk kepada semua hidupan air.[9] Ia termasuk sebagaimana firman Allah SWT:
أُحِلَّ لَكُمْ صَيْدُ الْبَحْرِ وَطَعَامُهُ
Maksudnya: “Dihalalkan bagi kamu binatang buruan laut, dan makanan yang didapati dari laut.”[10]
Begitu juga, terdapat riwayat daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
هُوَ الطَّهُورُ مَاؤُهُ، الحِلُّ مَيْتَتُهُ
Maksudnya: “Air laut itu suci lagi menyucikan dan halal bangkainya.”[11]
Kesimpulannya
Berdasarkan kepada perbincangan dan perbahasan di atas, kami berpendapat bahawa kuda laut adalah halal untuk dimakan kerana ia termasuk dalam jenis haiwan air iaitu spesies ikan yang tidak menyerupai bentuk kebiasaan ikan. Oleh itu, ia dihukumkan sebagai halal dan begitu juga bangkainya berdasarkan kepada keumuman nas al-Quran dan juga al-Sunnah.
Lebih-lebih fakta juga menunjukkan bahawa kuda laut dimakan dan ia dianggap sebagai makanan istimewa di bahagian tertentu di dunia.[12]
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.
Wallahua‘lam.
Bertarikh: 9 Februari 2022 bersamaan 7 Rejab 1443H
[1] Surah al-Ma’idah: 96
[2] Lihat Tafsir al-Sa‘di, 1/244.
[3] Lihat https://prpm.dbp.gov.my/Cari1?keyword=kuda+laut. Diakses pada 4 Februari 2022.
[4] Lihat Ensiklopedia Dunia, (Terj. DBP), 11/560-561.
[5] Lihat https://www.bharian.com.my/bhplus-old/2016/05/150349/ubat-kuda-laut-penawar-mujarab. Diakses pada 4 Februari 2022.
[6] Surah al-Ma’idah: 96.
[7] Riwayat al-Baihaqi (1211) dan beliau menyebutkan dalam al-Sunan al-Kabir, sanad hadith ini adalah sahih.
[8] Lihat al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, 2/547-548.
[9] Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 9/33-34; al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, 2/548.
[10] Surah al-Ma’idah: 96
[11] Riwayat Abu Daud (83); al-Tirmizi (69) dan al-Nasa’i (59)
[12] Lihat https://catchandfillet.com/can-you-eat-a-seahorse/ dan https://fishmasters.com/can-you-eat-seahorse/. Diakses pada 4 Februari 2022.