Soalan:         

Assalamualaikum w.b.t. Bolehkah kita berdoa dalam solat sebelum memberi salam? Mohon pencerahan.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَقَالَ رَبُّكُمُ ادْعُونِي أَسْتَجِبْ لَكُمْ

Maksudnya:Dan Tuhan kamu berfirman: ‘Berdoalah kamu kepada-Ku, nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu.’[1]

Ayat ini merupakan dalil yang menunjukkan bahawa Allah SWT menuntut para hamba-Nya untuk berdoa kepada-Nya berkaitan hajat-hajatnya serta ia menjadi dalil akan pensyariatannya dan perkara ini tiada khilaf dalam kalangan orang Islam.[2]

Di dalam agama Islam, doa bukanlah sesuatu perkara yang remeh tetapi mempunyai peranannya yang besar. Oleh sebab itu, ia sendiri dianggap sebagai ibadah. Hal ini adalah sebagaimana riwayat daripada al-Nu‘man bin Basyir bahawa beliau mendengar Nabi SAW bersabda:

الدُّعَاءُ هُوَ العِبَادَةُ

Maksudnya:Doa itu merupakan ibadah.”[3]

Pada asasnya, memang terdapat beberapa riwayat yang menyebut anjuran berdoa di penghujung solat. Antaranya, Imam al-Nasa’i dalam kitab sunannya ada meletakkan sebuah bab yang bertajuk, “Bab Membaca Ta‘awwuz Pada Penghujung Solat.” Beliau kemudiannya meriwayatkan hadith yang menjelaskan lagi bab tersebut, yang merupakan riwayat daripada Muslim bin Abu Bakrah, beliau berkata:

كَانَ أَبِي يَقُولُ فِي دُبُرِ الصَّلاَةِ اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنَ الْكُفْرِ وَالْفَقْرِ وَعَذَابِ الْقَبْرِ، فَكُنْتُ أَقُولُهُنَّ. فَقَالَ أَبِي: أَىْ بُنَىَّ عَمَّنْ أَخَذْتَ هَذَا؟ قُلْتُ: عَنْكَ. قَالَ: إِنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم كَانَ يَقُولُهُنَّ فِي دُبُرِ الصَّلاَةِ

Maksudnya:Bapaku membaca pada penghujung solat: ‘Ya Allah, sesungguhnya aku memohon perlindungan kepada-Mu daripada kekufuran, kefakiran, dan juga azab kubur.’ Maka aku pun membaca kesemuanya itu (di penghujung solatku). Maka bapaku bertanya kepadaku: ‘Wahai anakku, daripada siapakah engkau mengambil ini (yakni bacaan doa ini)?’ Aku menjawab: ‘Daripada engkau.’ Maka bapaku berkata: ‘Sesungguhnya Rasulullah SAW membacanya di penghujung solat.’[4]

Demikian juga berdasarkan sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Muaz bin Jabal bahawa Rasulullah SAW bersabda:

أُوصِيكَ يَا مُعَاذُ لاَ تَدَعَنَّ فِي دُبُرِ كُلِّ صَلاَةٍ تَقُولُ: اللَّهُمَّ أَعِنِّي عَلَى ذِكْرِكَ وَشُكْرِكَ وَحُسْنِ عِبَادَتِكَ

Maksudnya:Aku berpesan kepadamu wahai Muaz, janganlah kamu meninggalkan pada penghujung setiap solat daripada membaca, “اللَّهُمَّ أَعِنِّي عَلَى ذِكْرِكَ وَشُكْرِكَ وَحُسْنِ عِبَادَتِكَ” (Ya Allah, bantulah aku untuk mengingati-Mu, bersyukur kepada-Mu, dan elok dalam beribadah kepada-Mu).[5]

Selain itu, tidak dapat dinafikan bahawa antara waktu yang kita digalakkan untuk berdoa padanya bagi mendapatkan kemustajaban adalah pada penghujung solat. Ini juga berdasarkan sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Abu Umamah al-Bahili R.A bahawa Rasulullah SAW pernah ditanya: “Wahai Rasulullah, doa apakah yang paling didengari?” Lalu Baginda SAW bersabda:

جَوْفُ اللَّيْلِ الآخِرُ وَدُبُرَ الصَّلَوَاتِ الْمَكْتُوبَاتِ

Maksudnya:Di pertengahan malam dan pada penghujung solat fardhu.”[6] [3]

Berdasarkan hadith di atas, Rasulullah SAW memberikan petunjuk bahawa antara waktu yang mustajab padanya untuk berdoa ada dua, iaitu pada pertengahan malam dan juga pada penghujung solat fardhu. Al-Mubarakfuri menjelaskan mengenai perkara ini dengan katanya iaitu doa yang lebih tepat menuju ke langit atau paling hampir kepada kemustajaban.”[7]

Ringkasnya, para ulama telah berbeza pendapat dalam memahami maksud ‘penghujung solat’ yang terdapat dalam hadith berkenaan. Sebahagian ulama berpendapat, ‘penghujung solat’ bermaksud selepas tasyahhud dan sebelum salam sebagaimana yang telah dinukilkan oleh Ibn Qayyim al-Jauziyyah bahawa gurunya iaitu Ibn Taimiyyah telah memilih pendapat ini.[8] Manakala sebahagian lagi pula berpendapat, maksudnya adalah selepas salam.

Adapun dalam isu ini, kami berpendapat hendaklah dihimpunkan kedua pendapat ini dengan meletakkannya secara harmoni. Justeru, kami nyatakan bahawa riwayat-riwayat yang menyebut tentang zikir-zikir dan disertakan isyarat bahawa ia dibaca sesudah solat, maka maksud penghujung solat di situ adalah selepas solat. Manakala riwayat-riwayat yang menyebutkan bacaan doa penghujung solat tanpa mengikatnya dengan bacaan selepas solat, maka penghujung solat di situ adalah selepas tasyahhud akhir dan sebelum salam. Perbahasan lanjut mengenai perkara ini, bolehlah merujuk kepada artikel kami yang bertajuk: #214 Makna Dubur (Penghujung) Solat.[9]

Oleh itu, kami berpendapat bahawa berdoa dalam solat iaitu selepas membaca tasyahhud akhir dan sebelum memberi salam adalah dibenarkan. Lebih-lebih lagi perkara ini dikuatkan lagi dengan riwayat daripada Abu Hurairah R.A, beliau mendengar Nabi SAW bersabda:

إِذَا فَرَغَ أَحَدُكُمْ مِنَ التَّشَهُّدِ الْآخِرِ، فَلْيَتَعَوَّذْ بِاللهِ مِنْ أَرْبَعٍ: مِنْ عَذَابِ جَهَنَّمَ، وَمِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ، وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَحْيَا وَالْمَمَاتِ، وَمِنْ شَرِّ الْمَسِيحِ الدَّجَّالِ

Maksudnya:Apabila kamu selesai membaca tasyahhud akhir, maka mohonlah perlindungan dengan Allah daripada empat perkara, iaitu; daripada azab neraka Jahannam, seksaan kubur, fitnah kehidupan dan kematian, dan daripada kejahatan al-Masih al-Dajjal.”[10]

Begitu juga Imam al-Bukhari telah meletakkan sebuah bab dalam kitab Sahihnya, iaitu “Bab Doa Sebelum Salam.” Lalu menukilkan di bawah bab berkenaan beberapa hadith yang menjelaskan lagi bab tersebut. Di antaranya, riwayat daripada Aisyah R.Anha bahawa:

أَنَّ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يَدْعُو فِي الصَّلاَةِ: اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ القَبْرِ، وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ فِتْنَةِ الـمَسِيحِ الدَّجَّالِ، وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ فِتْنَةِ المَحْيَا، وَفِتْنَةِ الـمَمَاتِ، اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنَ الـمَأْثَمِ وَالـمَغْرَمِ

Maksudnya:Rasulullah SAW berdoa dalam solat dengan mengucapkan: “اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ القَبْرِ، وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ فِتْنَةِ المَسِيحِ الدَّجَّالِ، وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ فِتْنَةِ المَحْيَا، وَفِتْنَةِ المَمَاتِ، اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنَ المَأْثَمِ وَالمَغْرَمِ” (Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu daripada seksaan kubur, aku berlindung kepada-Mu daripada al-Masih al-Dajjal dan aku berlindung kepada-Mu daripada fitnah kehidupan dan kematian. Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu daripada dosa dan hutang).[11]

Begitu juga riwayat daripada Abu Bakar al-Siddiq, yang meminta kepada Rasulullah SAW untuk mengajarkannya satu doa yang dibaca di dalam solat. Lalu Baginda bersabda:

اللَّهُمَّ إِنِّي ظَلَمْتُ نَفْسِي ظُلْمًا كَثِيرًا، وَلاَ يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إِلَّا أَنْتَ، فَاغْفِرْ لِي مَغْفِرَةً مِنْ عِنْدِكَ، وَارْحَمْنِي إِنَّكَ أَنْتَ الغَفُورُ الرَّحِيمُ

Maksudnya:Ya Allah, sesungguhnya aku amat menzalimi diriku sendiri, dan tidak ada yang mengampuni dosa-dosa selain Engkau. Maka, ampunilah aku dengan keampunan daripada sisi-Mu, dan rahmatilah aku. Sesungguhnya Engkau Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.[12]

Selain itu, terdapat juga riwayat daripada Ali bin Abu Talib R.A, beliau berkata:

ثُمَّ يَكُونُ مِنْ آخِرِ مَا يَقُولُ بَيْنَ التَّشَهُّدِ وَالتَّسْلِيمِ: اللهُمَّ اغْفِرْ لِي مَا قَدَّمْتُ وَمَا أَخَّرْتُ، وَمَا أَسْرَرْتُ وَمَا أَعْلَنْتُ، وَمَا أَسْرَفْتُ، وَمَا أَنْتَ أَعْلَمُ بِهِ مِنِّي، أَنْتَ الْمُقَدِّمُ وَأَنْتَ الْمُؤَخِّرُ، لَا إِلَهَ إِلَّا أَنْتَ

Maksudnya:Kemudian apa yang dibaca di antara tasyahhud dan juga salam ialah: “اللهُمَّ اغْفِرْ لِي مَا قَدَّمْتُ وَمَا أَخَّرْتُ، وَمَا أَسْرَرْتُ وَمَا أَعْلَنْتُ، وَمَا أَسْرَفْتُ، وَمَا أَنْتَ أَعْلَمُ بِهِ مِنِّي، أَنْتَ الْمُقَدِّمُ وَأَنْتَ الْمُؤَخِّرُ، لَا إِلَهَ إِلَّا أَنْتَ” (Ya Allah, ampunilah dosa aku yang telah aku lakukan dan yang aku telah tangguhkan, apa yang telah aku rahsiakan serta apa yang telah aku zahirkan, apa yang telah aku bazirkan, sesungguhnya Engkau lebih mengetahuinya lebih daripadaku. Engkau yang mendahulukan serta Engkau yang mengakhirkan. Tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Engkau).[13]

Kesimpulannya

Justeru, kami berpendapat bahawa berdoa dalam solat iaitu selepas membaca tasyahhud akhir dan sebelum salam adalah dibolehkan berdasarkan hadith-hadith sahih yang jelas menunjukkan akan perkara tersebut. Lebih-lebih lagi waktu itu juga merupakan antara waktu yang mustajab untuk berdoa.

Adapun mengenai doa yang perlu dibaca, al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani ketika mensyarahkan hadith-hadith berkenaan doa sebelum daripada memberi salam menyebutkan bahawa dibenarkan bagi setiap orang yang mendirikan solat untuk berdoa dengan apa jua doa yang dikehendaki.[14] Walau bagaimanapun, tidak dapat dinafikan bahawa doa yang thabit daripada Baginda SAW adalah doa yang paling terbaik dan afdhal.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahua‘lam.

Bertarikh: 16 Februari 2022 bersamaan 14 Rejab 1443H

[1] Surah al-Ghafir: 60

[2] Lihat al-Tahrir wa al-Tanwir, 183/24

[3] Riwayat al-Tirmizi (3247); beliau menyatakan bahawa hadith ini hasan sahih.

[4] Riwayat al-Nasa’i (1347)

[5] Riwayat Abu Daud (1552)

[6] Riwayat al-Tirmizi (3499)

[7] Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 9/472.

[8] Lihat Zad al-Ma‘ad, 1/295.

[9] Lihat https://maktabahalbakri.com/makna-dubur-penghujung-solat/. Diakses pada 16 Februari 2022.

[10] Riwayat Muslim (588)

[11] Riwayat al-Bukhari (832)

[12] Riwayat al-Bukhari (834)

[13] Riwayat Muslim (771)

[14] Lihat Fath al-Bari, 2/318.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *