Soalan:         

Assalamualaikum w.b.t. Bagaimanakah cara menulis lafaz salam yang betul ketika bermesej atau menghantar pesanan ringkas melalui aplikasi whatsapp dan sebagainya? Adakah lafaz salam pendek seperti lafaz ‘salam’ atau “السَّلَامُ” yang biasanya terdapat di dalam mesej dikira sebagai salam atau hanya diambil kira sebagai salam jika ditulis dengan lafaz yang penuh? Mohon pencerahan.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَإِذَا حُيِّيتُم بِتَحِيَّةٍ فَحَيُّوا بِأَحْسَنَ مِنْهَا أَوْ رُدُّوهَا ۗ إِنَّ اللَّـهَ كَانَ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ حَسِيبًا

Maksudnya:Dan apabila kamu diberikan penghormatan dengan sesuatu ucapan hormat (seperti memberi salam), maka balaslah penghormatan itu dengan yang lebih baik daripadanya, atau balaslah dia (dengan cara yang sama). Sesungguhnya Allah sentiasa menghitung tiap-tiap sesuatu.”[1]

Di dalam mentafsirkan ayat di atas, Syeikh al-Sa‘di menyatakan dalam kitab tafsirnya bahawa ucapan salam merupakan lafaz yang diucapkan dan dijawab kepada seseorang untuk memuliakan dan mendoakan kebaikannya.[2] Justeru, apabila seseorang daripada kalangan kita hendak memasuki sebuah rumah, tidak kira rumah tersebut berpenghuni ataupun tidak, maka berilah salam kepada sebahagian yang lain dengan lafaz “السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ” atau “السَّلَامُ عَلَيْنَا وَعَلَى عِبَادِ اللهِ الصَّالِحِينَ” sekiranya tiada seorang pun di dalam rumah tersebut. Ucapan salam ini telah disyariatkan oleh Allah SWT dan ia merupakan ucapan yang diberkati, yang menumbuhkan rasa kasih sayang dan cinta. Apatah lagi, ia disukai oleh orang yang mendengar.[3] Malah, sebahagian ulama berpendapat bahawa hukum yang sama terpakai ketika memasuki masjid-masjid dan bukan semata-mata ketika memasuki rumah sahaja.[4]

Cara menulis lafaz salam

Untuk menjawab soalan ini, kami melihat ia berkait rapat dengan persoalan memendekkan lafaz salam kerana kebiasaannya dalam penulisan mesej pesanan ringkas atau melalui whatsapp dan lain-lain, ruang ada sangat terhad atau adanya kesukaran dari segi masa untuk menulisnya secara penuh atau sebab-sebab yang lain.

Secara umumnya, para ulama telah berbeza pendapat mengenai isu memendekkan lafaz salam kepada lafaz “السَّلَامُ” sahaja. Sebahagian ulama tidak membenarkannya seperti yang disebutkan oleh Abu al-Hasan al-‘Adawi dalam hasyiahnya bahawa tidak boleh dengan hanya lafaz “السَّلَامُ” sahaja, sama ada ketika memberi salam ataupun menjawabnya kerana ia adalah ibadah.[5]

Manakala sebahagian ulama yang lain pula, mengharuskan lafaz salam diringkaskan hanya kepada “السَّلَامُ” atau “سَلَامٌ” sama ada ketika memberi salam atau menjawabnya. Bahkah Syeikh Muhammad bin Soleh al-Uthaimin menyebutkan bahawa tidak mengapa memendekkan lafaz salam menjadi “السَّلَامُ” kerana Nabi Ibrahim A.S, ketika menjawab salam para malaikat Baginda menjawabnya dengan lafaz “سَلَامٌ” iaitu dengan makna “عَلَيْكُمْ سَلَامٌ” yang bermaksud “Ke atas kamu kesejahteraan”. Begitulah juga ketika memberi salam, tidak mengapa, jika seseorang memberi salam dengan lafaz “سَلَامٌ” iaitu dengan makna “سَلَامٌ عَلَيْكُم” yang bermaksud “Salam sejahtera ke atas kamu” atau dengan lafaz “السَّلَامُ” iaitu dengan makna “السَّلَامُ عَلَيْكُمْ” (Salam sejahtera ke atas kamu).[6]

Pendapat mereka yang membolehkannya ini, dikuatkan lagi dengan sebuah hadith daripada riwayat Umar bin al-Khattab R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

الأَعْمَالُ بِالنِّيَّةِ، ولِكُلِّ امْرِئٍ مَا نَوَى

Maksudnya: “Amalan-amalan itu adalah berdasarkan kepada niat, dan bagi setiap orang apa yang dia niatkan.”[7]

Selain itu, ia juga bertepatan dengan kaedah fiqh yang menyebutkan:

الاِعْتِبَارُ بِالـمَقَاصِدِ، لَا بِالْأَلْفَاظِ

Maksudnya:Sesuatu itu dikira berdasarkan kepada niat dan tujuan, bukannya kepada lafaz semata-mata.”[8]

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, kami berpendapat bahawa memendekkan lafaz salam ketika memberi salam dalam penulisan mesej-mesej melalui aplikasi whatsapp dan sumpamanya adalah diharuskan, dengan syarat lafaz-lafaz salam yang telah dipendekkan (short-form) itu, dapat difahami dengan maksudnya sebagai lafaz salam. Hal ini kerana seseorang itu tidak akan menulis atau memendekkan lafaz salam melainkan dia berniat atau bermaksud untuk memberi salam. Misalnya, dia menulis di awal mesejnya ‘salam’ atau ‘aslmkm’ atau apa-apa singkatan yang boleh difahami daripadanya bahawa penulis mesej berkenaan maksudkan sebagai memberi salam.

Walaupun begitu, yang paling baik (afdhal) dan keluar daripada khilaf, adalah memberi salam atau menulisnya dengan menggunakan lafaz yang sempurna, sekurang-kurangnya dengan lafaz, “Assalamualaikum” atau “السَّلَامُ عَلَيْكُمْ”.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahua‘lam.

Bertarikh: 19 Februari 2022 bersamaan 17 Rejab 1443H

[1] Surah al-Nisa’: 86

[2] Lihat Tafsir al-Sa‘di, 1/191.

[3] Lihat al-Tafsir al-Muyassar, hlm. 358.

[4] Lihat Tafsir Ibn Juzai, 2/76.

[5] Lihat Hasyiah al-‘Adawi ‘ala Kifayah al-Talib al-Rabbani, 2/473.

[6] Lihat Fatawa Nur ‘ala al-Darb, 24/2.

[7] Riwayat al-Bukhari (54); Muslim (1907)

[8] Lihat Ma‘lamah Zayid lil Qawaid al-Fiqhiyyah wa al-Usuliyyah, 16/8.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *