Mukadimah

Pada saat hampir keseluruhan masyarakat dunia berperang dengan wabak pandemik Covid-19, masih ada juga sebahagian pihak yang berperang menahan lapar dan dahaga. Ia lantaran krisis ekonomi harian mereka yang tergugat ekoran penularan wabak ini.

Kini, kita sudah memasuki bulan Ramadhan al-Mubarak, yang merupakan satu bulan yang amat dinanti-nantikan oleh seluruh umat Islam. Bersempena dengan ketibaan bulan yang mulia ini, satu inisiatif telah diambil bagi mewujudkan program yang dinamakan sebagai “Dapur It’am (إطعام)”. Program ini dilaksanakan di bawah seliaan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).

Istilah It’am (إطعام) merupakan kalimah Arab yang berasal dari perkataan أطعم yang bermaksud memberi makan. Nama ini dipilih khas senada dengan konsep yang ingin diketengahkan iaitu memberi makan dan pada masa yang sama, hasrat kami untuk menjadikan masjid sebagai sebuah badan atau pusat yang bertindak memberikan bantuan makanan buat mereka yang memerlukan.

Objektif program ini adalah bagi memastikan sekurang-kurangnya ada makanan untuk berbuka puasa khususnya terhadap golongan asnaf, rakan jalanan dan juga golongan B40 yang tinggal di Wilayah Persekutuan. Di samping itu, kami juga berharap agar dapat membudayakan masjid sebagai sebuah dapur komuniti.

Program ini akan dilaksanakan di seluruh kawasan Wilayah Persekutuan merangkumi W.P Kuala Lumpur, W.P Putrajaya dan W.P Labuan. Di Putrajaya, masjid yang terlibat ialah Masjid Mahmoodiah dan 9 surau Jumaat. Manakala bagi kawasan Labuan, program ini akan dilaksanakan di Masjid al-Nur. Keseluruhan masjid yang terlibat adalah sebanyak 72 masjid termasuk surau Jumaat.

Sedikit info mengenai dana dan juga peruntukan yang digunakan bagi program ini, setiap masjid pada setiap hari akan dibantu oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dengan jumlah sebanyak RM1000. Maka, jumlah peruntukan untuk setiap masjid selama sebulan adalah sebanyak RM30,000. Lalu, jumlah peruntukan keseluruhan selama sebulan bagi 72 masjid adalah sebanyak RM2.16 juta. Peruntukan RM 2.16 Juta ini akan memberi manfaat kepada 25,200 keluarga pada setiap hari khususnya bagi golongan asnaf, rakan jalanan dan juga golongan B40 di Wilayah Persekutuan.

Kami turut meletakkan beberapa kaedah pelaksanaan untuk program ini, antaranya:

  • Pintu pagar masjid hendaklah ditutup sepenuhnya
  • Nama petugas hendaklah diberi kepada pengawal keselamatan
  • Imbasan suhu wajib dilaksanakan bagi setiap petugas di pintu masuk masjid
  • Melibatkan 3 orang petugas untuk persiapan awal dan 3 orang petugas untuk proses memasak
  • Petugas seramai 6 orang tersebut hendaklah diberi suntikan tifoid yang dilakukan dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL)
  • Semua petugas diwajibkan mengambil langkah-langkah melindungi diri dengan dibekalkan dengan hand sanitizer termasuk penutup mulut dan hidung (mask) untuk digunakan sepanjang tempoh bertugas.
  • Petugas yang terlibat memasak seperti tukang masak diwajibkan memakai penutup kepala dan sarung tangan
  • Proses memasak dilakukan di dapur masjid
  • Cara agihan dilakukan dengan dihadkan hanya kepada wakil penduduk yang akan mengambilnya selepas Asar.

Justeru, pelaksanaan program ini akan dijalankan dengan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

 

Memberi Makan Suatu Amalan Mulia

Amalan memberi makan adalah amat digalakkan terutamanya kepada mereka yang fakir miskin dan anak yatim. Allah SWT memuji orang-orang yang bersedekah seperti dalam bentuk makanan sebagaimana dalam firman-Nya:

وَيُطْعِمُونَ الطَّعَامَ عَلَىٰ حُبِّهِ مِسْكِينًا وَيَتِيمًا وَأَسِيرًا

Maksudnya: Mereka juga memberi makan benda-benda makanan yang dihajati dan disukainya, kepada orang miskin dan anak yatim serta orang tawanan.

Surah al-Insan (8)

Dalam menjelaskan ayat ini, Ibn Abbas berkata: Iaitu pada saat bekalan sedikit dan ia diberikan atas dasar kasih sayang kepada mereka. (Lihat al-Jami’ li Ahkam al-Quran, 10/84; Tafsir Fath al-Qadir, 11/820)

Ibn Kathir pula berkata: Dhamir (kata ganti) dalam ayat ini kembali ke perkataan al-ta’am (الطَّعَامَ). Maksudnya, mereka memberikan makanan ketika mereka menyukainya dan sangat berselera pada makanan tersebut. Ayat tersebut sama seperti firman-Nya: “وَآتَى الْمَالَ عَلَىٰ حُبِّهِ” (dan mendermanya seseorang akan hartanya sedang ia menyayanginya) Surah al-Baqarah: 177) (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 8/358).

Ada juga pendapat menyatakan, pemberian tersebut atas rasa suka untuk memberi makan, kerana kesukaan mereka untuk melakukan kebaikan. Ini sepertimana disebut oleh Fudhail bin Iyadh. Pendapat lain pula menyebut bahawa dhamir pada lafaz “حُبِّهِ” ini kembali kepada Allah. Justeru, maksudnya adalah mereka memberi makan atas dasar cinta kepada Allah SWT. (Lihat Tafsir Fath al-Qadir, 11/820)

Di dalam hadis Nabi SAW, turut dijelaskan berkenaan keutamaan sedekah memberi makan ini. Diriwayatkan daripada Abdullah bin Salam, ketikamana Nabi SAW sampai ke kota Madinah, Baginda SAW bersabda:

يَا أَيُّهَا النَّاسُ أَفْشُوا السَّلاَمَ ، وَأَطْعِمُوا الطَّعَامَ ، وَصِلُوا الأَرْحَامَ ، وَصَلُّوا بِاللَّيْلِ وَالنَّاسُ نِيَامٌ ، تَدْخُلُوا الْجَنَّةَ بِسَلاَمٍ

Maksudnya: “Hai orang ramai. Sebarkanlah salam, berilah makan, sambunglah silaturrahim dan solatlah di waktu malam ketika mana manusia sedang tidur. Nescaya kamu dapat masuk Syurga dengan sejahtera dan selamat.”

Riwayat al-Tirmizi (2485), Ibnu Majah (3251) dan Ahmad (5/451)

Dalam menjelaskan hadis ini, Imam al-Khattabi berkata: Nabi SAW menjadikan (memberi makan) sebagai seafdhal amalan di mana ia menjadi penguat kepada badan. (Lihat A’lam al-Hadith, 1/149)

Sesungguhnya amalan memberi makan menunjukkan hilangnya rasa takut dan kefakiran, sehingga akhirnya menjadikan hati sesama umat Islam akan semakin dekat dan hubungan silaturrahim akan terjalin semakin kuat. (Lihat Bahjah al-Nazirin Syarh Riyadh al-Salihin, 2/64)

Justeru, jelas bahawa amalan memberi makan ini sangat dianjurkan di dalam Islam dan sesungguhnya ia satu amalan yang mulia yang dijanjikan pahala, lebih-lebih lagi ia dilakukan dalam bulan Ramadhan di mana pahala akan digandakan.

Di tempat ayat yang lain, Allah SWT turut menyebut ancaman terhadap orang yang kedekut dan bakhil terhadap harta mereka. Di dalam surah al-Ma’un ayat 1 hingga 3, Allah SWT mengkhabarkan tentang salah satu ciri-ciri orang yang mendustakan agama, di mana firman-Nya:

أَرَأَيْتَ الَّذِي يُكَذِّبُ بِالدِّينِ ﴿١﴾ فَذَٰلِكَ الَّذِي يَدُعُّ الْيَتِيمَ ﴿٢﴾ وَلَا يَحُضُّ عَلَىٰ طَعَامِ الْمِسْكِينِ

Maksudnya: “Tahukah engkau akan orang yang mendustakan agama (meliputi hari pembalasan)? Orang itu ialah yang menindas serta berlaku zalim kepada anak yatim, Dan ia tidak menggalakkan untuk memberi makanan yang berhak diterima oleh orang miskin.”

Surah al-Ma’un (1-3)

Dalam menjelaskan ayat “وَلَا يَحُضُّ عَلَىٰ طَعَامِ الْمِسْكِينِ”, Imam al-Qurtubi berkata: Yakni seseorang itu tidak mahu berkongsi dan membenci orang lain yang berkongsi akan sesuatu rezeki. Ini disebabkan kebakhilannya dan pendustaannya terhadap balasan dan ganjaran di akhirat nanti.

Pada asasnya, mereka yang dicela oleh ayat ini adalah orang-orang yang memiliki sifat kedekut dan tidak mahu berkongsi. Ayat ini tidaklah ditujukan kepada orang-orang yang tidak berkemampuan kerana mereka sememangnya tidak mampu. (Lihat al-Jami’ li Ahkam al-Quran, 10/144)

Justeru, mudah-mudahan dengan melazimi amalan bersedekah memberi makan ini, sedikit sebanyak ia dapat menghakis sifat kedekut dan bakhil, sebaliknya digantikan dengan sifat suka memberi, saling mengasihi serta mendahulukan orang lain dalam berkongsi nikmat Allah yang dikurniakan.

 

Dapur It’am (إطعام) dan Galakan Amalan Bersedekah di Bulan Ramadhan

Dalam bulan Ramadhan, kita sebagai umat Islam digalakkan untuk mengikuti satu sunnah Baginda SAW iaitu memberi makan orang yang berpuasa. Galakan untuk memberi makan orang yang berpuasa ini adalah perkara yang thabit daripada hadith Nabi Muhammad SAW. Ini berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Zaid bin Khalid al-Juhani R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ فَطَّرَ صَائِمًا كَانَ لَهُ مِثْلُ أَجْرِهِ غَيْرَ أَنَّهُ لاَ يَنْقُصُ مِنْ أَجْرِ الصَّائِمِ شَيْئًا

Maksudnya: “Sesiapa yang memberi makan kepada orang yang berpuasa dia akan mendapat pahala yang sama dengan orang yang berpuasa dalam keadaan pahala orang tersebut tidak berkurangan sedikit pun.”

Riwayat al-Tirmizi (807)

Imam Izzuddin Al Izz bin Abd al-Salam dalam menjelaskan fadhilat memberi makan kepada orang yang berpuasa menyebut: “Sesiapa yang memberi makan kepada 36 orang yang berpuasa dalam sepanjang tahun, maka dia akan mendapat pahala berpuasa selama setahun’’. (Lihat Maqasid al-Saum, Izz Abd al-Salam, Hlm. 18).

Kewujudan Dapur It’am ini boleh dijadikan suatu bentuk pencetus dan contoh galakan kepada seluruh umat Islam di Malaysia untuk terus melakukan amalan bersedekah walaupun pada nilaian yang sedikit. Dalam al-Quran, Allah SWT berfirman:

إِن تُبْدُوا الصَّدَقَاتِ فَنِعِمَّا هِيَ ۖ وَإِن تُخْفُوهَا وَتُؤْتُوهَا الْفُقَرَاءَ فَهُوَ خَيْرٌ لَّكُمْ ۚ وَيُكَفِّرُ عَنكُم مِّن سَيِّئَاتِكُمْ ۗ وَاللَّـهُ بِمَا تَعْمَلُونَ خَبِيرٌ

Maksudnya: “Kalau kamu zahirkan sedekah-sedekah itu (secara terang), maka yang demikian adalah baik (kerana menjadi contoh yang baik). Dan kalau pula kamu sembunyikan sedekah-sedekah itu serta kamu berikan kepada orang-orang fakir miskin, maka itu adalah baik bagi kamu dan Allah akan menghapuskan dari kamu sebahagian dari kesalahan-kesalahan kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha mengetahui secara mendalam akan apa yang kamu lakukan.”

Surah al-Baqarah (271)

Syeikh al-Maraghi berkata: “Jika kamu mengeluarkan derma secara terbuka, maka cara seperti itu adalah lebih baik kerana ia akan menjadi teladan yang baik kepada orang lain, sehingga ada antara mereka yang akan menirunya. Di samping itu, zakat menjadi salah satu sendi ajaran Islam yang andaikata jika dia lakukan dengan sembunyi-sembunyi, maka orang yang enggan mengeluarkannya akan berasa bimbang untuk melakukannya. Tetapi jika kamu memberi kepada orang fakir secara diam-diam, maka itulah yang terbaik kerana ia dapat menjauhkan diri dari sifat riya’, bahkan sejajar dengan keterangan dalam hadith-hadith dan contoh-contoh perbuatan sahabat.” (Lihat Tafsir al-Maraghi, 2/620).

 

Kesimpulan

Tuntasnya, amalan memberi makan merupakan satu amalan kebajikan yang amat digalakkan di dalam Islam lebih-lebih lagi jika amalan tersebut dilaksanakan di dalam bulan Ramadhan yang mulia ini. Amalan ini turut menjadi amalan Rasulullah SAW, para sahabat dan juga para ulama’ terdahulu dalam melakukan perkara kebajikan di samping meraih ganjaran pahala orang yang berpuasa seperti yang dinyatakan di dalam hadith.

Kewujudan Dapur It’am ini memupuk semangat dan juga sebagai galakan kepada orang ramai untuk bersama-sama melaksanakan amalan menjamu makan ini. Semoga dengan program ini, dapat membantu juga golongan-golongan yang kurang berkemampuan, di samping menggalakkan orang ramai untuk bersedekah di bulan mulia ini.

Akhir kalam, kami mendoakan agar Allah SWT memberikan keikhlasan dan keluhuran hati untuk memberi makan kepada mereka yang memerlukan, moga Allah berikan juga ganjaran yang besar buat kita semua di atas usaha yang kecil ini dan moga Allah berkati segala amal perbuatan kita. Amin.

 

Unit Penyelidikan Ilmiah
Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama)
Jabatan Perdana Menteri

 

PENAFIAN: Al-Bayan adalah siri pandangan hukum yang dikeluarkan oleh Unit al-Bahth al-‘Ilmi (Penyelidikan Ilmiah) Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama). Ianya tidak berperanan sebagai fatwa dalam konteks akta, enakmen atau ordinan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *