Soalan
Assalamualaikum ustaz. Apa hukum seorang suami yang tidak bekerja dan menjadi suri rumah? Seorang suami diberhentikan kerja kerana masalah kewangan syarikat, lalu kemudian menjadi ‘house husband’. Isterinya yang menanggung perbelanjaan keluarga. Hal ini menyebabkan berlaku sedikit ketegangan dalam rumah tangga. Namun, suami tersebut adalah seorang yang baik dan bertanggungjawab, serta membantu urusan kerja rumah dan menguruskan anak-anak ke sekolah. Mohon pandangan dan nasihat ustaz.
Jawapan
Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.
Perkahwinan bertujuan untuk membangunkan institusi kekeluargaan dan ia sangatlah digalakkan di dalam Islam. Ia juga bertujuan untuk memenuhi keperluan fitrah manusia, mengembangkan masyarakat Islam serta mewujudkan ketenangan dan ketenteraman jiwa. Galakan Islam terhadap perkahwinan agar mendapat banyak kebaikan dan faedah daripadanya.
Begitu juga, suami isteri merupakan pasangan yang saling melindungi di antara satu sama lain dan saling perlu memerlukan. Ini diperumpamakan di dalam al-Quran, firman Allah SWT:
هُنَّ لِبَاسٌ لَّكُمْ وَأَنتُمْ لِبَاسٌ لَّهُنَّ
Maksudnya: “Isteri-isteri kamu itu adalah sebagai pakaian bagi kamu dan kamu pula sebagai pakaian bagi mereka.”[1]
Ibn Kathir menukilkan pandangan Ibn Abbas R.Anhuma, Mujahid, Sa’id bin Jubair, al-Hasan, Qatadah, al-Suddi dan Muqatil bin Hayyan bahawa maksud yang dikehendaki dari ayat di atas “Mereka adalah ketenangan bagi kalian dan kalian pun adalah ketenangan bagi mereka.”[2]
Syeikh Dr. Mustafa al-Khin di dalam kitab beliau telah menyatakan beberapa hikmah perkahwinan, antaranya:
- Memenuhi keperluan fitrah manusia
- Mengembangkan masyarakat islam dengan keturunan
- Mewujudkan ketenangan jiwa dan ketenteraman rohani
- Memelihara akhlak daripada kerosakan dan keruntuhannya.
- Memelihara generasi manusia yang sejahtera
- Mengembangkan kekeluargaan dan mengeratkan semangat kerjasama.[3]
Takrif Nafkah
Nafkah dari segi bahasa mengeluarkan, iaitu pembiayaan belanja seseorang terhadap ahli keluarganya. Manakala dari segi syarak ialah makanan, pakaian, tempat tinggal dan selainnya. Ia dinamakan nafaqah kerana dikeluarkan atau digunakan untuk keperluan itu.[4]
Pengarang kitab al-Fiqh al-Manhaji menyebut, nafaqah bermaksud semua keperluan asas manusia, seperti makanan, minuman, pakaian dan juga tempat tinggal. Ia dinamakan nafaqah kerana ia dikeluarkan atau dihabiskan untuk tujuan keperluan asas tersebut.[5]
Nafkah menurut Kamus Dewan Edisi Keempat ialah wang atau makanan dan lain-lain yang diperlukan untuk hidup dan sara hidup dan juga perbelanjaan dan lain-lain yang wajib diberikan oleh suami kepada isterinya.[6]
Terdapat pelbagai nas al-Quran dan Sunnah berkenaan nafkah di antaranya, firman Allah SWT:
لِيُنفِقْ ذُو سَعَةٍ مِّن سَعَتِهِ ۖ وَمَن قُدِرَ عَلَيْهِ رِزْقُهُ فَلْيُنفِقْ مِمَّا آتَاهُ اللَّـهُ ۚ لَا يُكَلِّفُ اللَّـهُ نَفْسًا إِلَّا مَا آتَاهَا ۚ سَيَجْعَلُ اللَّـهُ بَعْدَ عُسْرٍ يُسْرًا
Maksudnya: “Hendaklah orang yang mampu memberi nafkah menurut kemampuannya; dan sesiapa yang di sempitkan rezekinya, maka hendaklah ia memberi nafkah dari apa yang diberikan Allah kepadanya (sekadar yang mampu); Allah tidak memberati seseorang melainkan (sekadar kemampuan) yang diberikan Allah kepadanya. (Orang-orang yang dalam kesempitan hendaklah ingat bahawa) Allah akan memberikan kesenangan sesudah berlakunya kesusahan.”[7]
Tanggungjawab Suami Memberi Nafkah kepada Keluarga
Di dalam Sunnah, terdapat hadith yang diriwayatkan daripada Mu’awiyah al-Qusyairi RA, bahawa beliau telah bertanya kepada Nabi SAW: “Wahai Rasulullah, apakah hak isteri salah seorang dari kami yang menjadi kewajipan suaminya?” Maka Rasulullah SAW menjawab:
أَنْ تُطْعِمَهَا إِذَا طَعِمْتَ ، وَتَكْسُوَهَا إِذَا اكْتَسَيْتَ – أَوِ اكْتَسَبْتَ – وَلاَ تَضْرِبِ الْوَجْهَ ، وَلاَ تُقَبِّحْ ، وَلاَ تَهْجُرْ إِلاَّ فِي الْبَيْتِ
Maksudnya: “Engkau memberi makan kepadanya, jika engkau makan. Engkau memberi pakaian kepadanya, jika engkau berpakaian. Janganlah engkau pukul wajahnya, janganlah engkau memburukkannya, dan janganlah engkau meninggalkannya kecuali di dalam rumah.” [8]
Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili menyatakan bahawa majoriti ulama mengatakan nafkah yang wajib diberi kepada isteri itu ialah tujuh perkara iaitu:
- Makanan,
- Barang-barang dapur,
- Pakaian,
- Tempat tinggal,
- Alat-alat untuk membersihkan diri,
- Barangan rumah,
- Pembantu kepada isteri jika sekiranya kebiasaannya isteri mempunyai pembantu.[9]
Para ulama bersepakat (Ijma’) suami wajib memberi nafkah kepada isterinya. Malah, ianya termasuk juga sekiranya isteri mempunyai pendapatan, harta atau pekerjaan. Kewajipan nafkah tetap dipikul oleh suami. Hal ini bersandarkan kepada firman Allah SWT:
وَٱلۡوَٰلِدَٰتُ يُرۡضِعۡنَ أَوۡلَٰدَهُنَّ حَوۡلَيۡنِ كَامِلَيۡنِۖ لِمَنۡ أَرَادَ أَن يُتِمَّ ٱلرَّضَاعَةَۚ وَعَلَى ٱلۡمَوۡلُودِ لَهُۥ رِزۡقُهُنَّ وَكِسۡوَتُهُنَّ بِٱلۡمَعۡرُوفِۚ
Maksudnya: “Dan ibu-ibu hendaklah menyusukan anak-anak mereka selama dua tahun genap iaitu bagi orang yang hendak menyempurnakan penyusuan itu; dan kewajipan bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu itu menurut cara yang sepatutnya.”[10]
Ibn Kathir menyatakan di dalam tafsirnya bahawa wajib ke atas ayah untuk memberi nafkah dari sudut pakaiannya dengan cara yang sepatutnya iaitu apa-apa pakaian yang diterima oleh adat atau seumpama dengannya di negara tersebut tanpa berlaku pembaziran dan tidak menyusahkan. Ia sekadar apa yang termampu ketika dia (ayah atau suami) dalam keadaan senang dan bersederhana serta apa yang melaziminya.[11]
Berdasarkan ayat di atas, para ulama mengatakan bahawa wajib ke atas seorang suami untuk memberikan nafkah kepada isterinya. Imam al-Haramain Abdul Malik al-Juwaini berkata:
وَالأَمْرُ بِالشَّيْء نَهْيٌ عَنْ ضِدِّهِ
Maksudnya: “Perintah melakukan sesuatu itu merupakan suatu larangan terhadap meninggalkannya.”[12]
Justeru, perintah untuk seorang suami memberikan nafkah kepada isteri apabila ianya ditinggalkan maka ia termasuk dalam perkara yang dilarang.
Dalam permasalahan nafkah, ianya perlu difahami dengan baik. Hal ini kerana, nafkah adalah suatu elemen yang penting dalam perkahwinan yang dimasukkan di bawah tanggungjawab suami ke atas isteri dan tanggungannya.
Bahkan meninggalkan pemberian nafkah kepada isteri dan anak-anak dianggap sebagai satu dosa berdalilkan hadith yang diriwayatkan daripada Abdullah bin ‘Amr bin al-As, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
كَفَى بِالْمَرْءِ إِثْمًا أَنْ يُضَيِّعَ مَنْ يَقُوتُ
Maksudnya: “Cukuplah seorang lelaki itu dikira berdosa apabila dia mengabaikan tanggungjawabnya ke atas sesiapa yang berada di bawah penjagaannya.”[13]
Isu Suami Tidak Bekerja dan Menjadi Suri Rumah
Berbalik kepada persoalan di atas – seperti yang kami telah jelaskan di atas – bahawa pada asalnya, wajib suami menafkahi isteri dan anak-anaknya. Namun jika isteri menafkahi suami dan anak-anaknya, maka itu adalah ihsan dan pahala yang besar ke atasnya. Tanggungjawab suami menafkahi isteri ini disebut dalam al-Quran.
Selain itu, diriwayatkan daripada Jabir RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
ابْدَأْ بِنَفْسِكَ فَتَصَدَّقْ عَلَيْهَا فَإِنْ فَضَلَ شَيْءٌ فَلأَهْلِكَ فَإِنْ فَضَلَ عَنْ أَهْلِكَ شَيْءٌ فَلِذِي قَرَابَتِكَ فَإِنْ فَضَلَ عَنْ ذِي قَرَابَتِكَ شَىْءٌ فَهَكَذَا وَهَكَذَا
Maksudnya: “Mulakan nafaqah dengan dirimu. Jika berbaki, berikanlah kepada ahli keluargamu. Jika masih berbaki, berikanlah kepada saudara-maramu yang terdekat dan jika masih berbaki lagi, berikanlah kepada mereka dan seterusnya.”[14]
Berkata para pengarang kitab al-Fiqh al-Manhaji (4/170-179), seorang suami wajib menafkahkan isteri dan anak-anak kandungnya yang tidak mampu mencari nafkah sendiri atas faktor masih kecil, sakit, cacat atau gila.
Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:
فَإِنْ أَرْضَعْنَ لَكُمْ فَآتُوهُنَّ أُجُورَهُنَّ
Maksudnya: “Kemudian, jika mereka menyusukan anak untuk kamu, maka berikanlah kepada mereka upahnya.”[15]
Ayat ini menjelaskan bahawa perempuan yang menyusukan anak orang lain wajib diberi upah oleh bapa kepada anak tersebut. Ini bermakna kewajipan memberi nafaqah kepada anak lebih utama dilaksanakan oleh bapa. Allah SWT berfirman:
وَالْوَالِدَاتُ يُرْضِعْنَ أَوْلَادَهُنَّ حَوْلَيْنِ كَامِلَيْنِ ۖ لِمَنْ أَرَادَ أَن يُتِمَّ الرَّضَاعَةَ ۚ وَعَلَى الْمَوْلُودِ لَهُ رِزْقُهُنَّ وَكِسْوَتُهُنَّ بِالْمَعْرُوفِ
Maksudnya: “Dan ibu-ibu hendaklah menyusukan anak-anak mereka selama dua tahun genap, iaitu bagi orang yang hendak menyempurnakan penyusuan itu, dan kewajipan bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu itu menurut cara yang sepatutnya.”[16]
Dalam ayat ini, menisbahkan anak kepada bapanya yang menggunakan huruf lam ikhtisas membawa makna bapa dikhususkan bertanggungjawab memberi nafaqah kepada anak-anaknya. Oleh itu, kewajipan bapa memberi nafaqah kepada ibu yang menyusukan anaknya menunjukkan bahawa kewajipannya memberi nafaqah kepada anak-anak adalah lebih utama.
Hal ini berdasarkan hadith, daripada Aisyah R.Anha, katanya:
أَنْ هِنْدًا بِنْتُ عُتْبَةَ قَالَتْ: يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنَّ أَبَا سُفْيَانَ رَجُلٌ شَحِيحٌ وَلَيسَ يُعْطِينِي مَا يَكْفِينِي وَوَلَدِي إِلاَّ مَا أَخَذْتُ مِنْهُ وهو لا يَعْلَم، فقال: خُذِي مَا يَكْفِيكِ وَوَلَدَكِ بِالْمَعْرُوف
Maksudnya: “Hindun binti ‘Utbah berkata: “Wahai Rasulullah! Abu Sufyan ialah seorang lelaki yang bakhil dan tidak pernah memberi aku belanja yang mencukupi untukku dan anakku melainkan yang aku ambil daripadanya tanpa pengetahuannya.” Rasulullah SAW bersabda: “Ambillah perbelanjaan untukmu dan anakmu secukupnya.”[17]
Manakala nafkah kepada isteri lebih utama berbanding anak-anak. Dalil firman Allah SWT:
الرِّجَالُ قَوَّامُونَ عَلَى النِّسَاءِ بِمَا فَضَّلَ اللَّهُ بَعْضَهُمْ عَلَىٰ بَعْضٍ وَبِمَا أَنفَقُوا مِنْ أَمْوَالِهِمْ
Maksudnya: “Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah telah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) ke atas orang-orang perempuan, dan juga kerana orang-orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafaqah) sebahagian dari harta mereka.”[18]
Daripada Jabir RA, katanya:
فَاتَّقُوا اللَّهَ فِي النِّسَاءِ فَإِنَّكُمْ أَخَذْتُمُوهُنَّ بِأَمَانِ اللَّهِ …وَلَهُنَّ عَلَيْكُمْ رِزْقُهُنَّ وَكِسْوَتُهُنَّ بِالْمَعْرُوفِ وَقَدْ تَرَكْتُ فِيكُمْ مَا لَنْ تَضِلُّوا بَعْدَهُ إِنِ اعْتَصَمْتُمْ بِهِ كِتَابَ اللَّهِ
Maksudnya: “Bertaqwalah kepada Allah dalam mengendalikan urusan kaum wanita. Kamu mengambil mereka dengan amanah Allah…Kewajipan kamu pula ialah memberikan nafaqah dan pakaian yang sepatutnya kepada mereka. Sesungguhnya, aku tinggalkan satu perkara yang kamu tidak akan sesat selama-lamanya, selagi kamu berpegang dengannya, iaitu kitab Allah.”[19]
Berkata pengarang al-Fiqh al-Manhaji (4/181-182) dengan fenomena wanita bekerja untuk menafkahi keluarga:
Beberapa perkara akan berlaku kesan daripada tindakan tersebut, iaitu:
- Perempuan terpaksa melibatkan diri untuk bekerja dan mencari rezeki. Akibatnya, mereka terpaksa bersaing dengan golongan lelaki dalam pelbagai bidang pekerjaan. Jika ini berlaku, golongan perempuan pasti terdedah kepada perkara yang negatif serta penyelewengan. Keadaan yang berlaku hari ini adalah bukti paling jelas terhadap kenyataan itu. Kesannya, rumahtangga yang memerlukan seseorang untuk mengurus dan menjaga hal ehwalnya serta mendidik anak-anak tidak dapat dipenuhi. Malah, rumahtangga menjadi tidak terurus. Rumahtangga yang sepatutnya menjadi sumber kebahagiaan, pencetus kedamaian, tempat berehat dan berkumpul, kini bertukar menjadi punca masalah dan kacau bilau.
- Jika rumahtangga dibina atas satu daripada dua rukun yang telah dinyatakan, sudah pasti hak berada di tangan isteri sama ada secara bersama atau bersendirian. Undang-undang ekonomi dan sosial menyatakan, sesiapa yang mengeluarkan belanja, maka dialah yang berkuasa. Dalam perbincangan tajuk telah dinyatakan bahawa terdapat hikmah yang amat besar apabila hak berada di tangan suami.
Nafaqah kepada isteri mempunyai kadar tertentu. Walau bagaimanapun, jumlah dan jenisnya berbeza berdasarkan kemampuan suami. Kedudukan isteri dari segi kekayaan, kemiskinan, keturunan dan lain-lain tidak mempengaruhi kadar tersebut kerana faktor yang diambil kira ialah kemampuan suami. Perkara ini merujuk kepada pemberi nafaqah yang bukan penerimanya. Firman Allah SWT:
لِيُنفِقْ ذُو سَعَةٍ مِّن سَعَتِهِ ۖ وَمَن قُدِرَ عَلَيْهِ رِزْقُهُ فَلْيُنفِقْ مِمَّا آتَاهُ اللَّهُ ۚ لَا يُكَلِّفُ اللَّهُ نَفْسًا إِلَّا مَا آتَاهَا ۚ سَيَجْعَلُ اللَّهُ بَعْدَ عُسْرٍ يُسْرًا
Maksudnya: “Hendaklah orang yang mampu memberi nafaqah menurut kemampuannya, dan sesiapa yang disempitkan rezekinya, maka hendaklah ia memberi nafaqah dari apa yang diberikan Allah kepadanya (sekadar yang mampu), Allah tidak memberati seseorang melainkan (sekadar kemampuan) yang diberikan Allah kepadanya. (Orang-orang yang dalam kesempitan hendaklah ingat bahawa) Allah akan memberikan kesenangan sesudah berlakunya kesusahan.”[20]
Penutup
Melihat kepada dalil-dalil di atas, kami menyatakan bahawa wajib bagi suami untuk berusaha sebaik mungkin menafkahkan keluarganya dengan segala upaya tanpa berharap kepada pendapatan isteri.
Sekurang-kurangnya hendaklah lelaki itu berusaha menyediakan atau menyumbang tempat tinggal yang selamat dengan peralatan-peralatan asas seperti tempat tidur, duduk dan memasak, makanan dan minuman, pakaian yang sesuai dan menutup aurat, dan alat dan bahan kebersihan, untuk isteri dan anak-anaknya. Kegagalan menyediakan atau berusaha membantu keluarga akan merendahkan martabat seorang lelaki yang dipertanggungjawabkan dalam Syarak untuk menjaga keluarganya.
Sekiranya seorang lelaki itu enggan dan tidak mahu berusaha menafkahi keluarga dalam keperluan asas, maka isteri memiliki hak untuk menfasakhkan perkahwinan dan itu tidak termasuk perkara dosa. Hal ini berdasarkan hadith daripada Abi Hurairah RA, katanya:
فِي الرَّجُلِ لاَ يَجِدُ مَا يُنْفِقُ عَلَى امْرَأَتِهِ قَالَ يُفَرَّقُ بَيْنَهُمَا
Maksudnya: “Nabi bersabda tentang seorang lelaki yang tidak mempunyai sesuatu untuk diberi nafaqah kepada isterinya: “Pisahkan mereka berdua.”[21]
Justeru, kami cenderung menyatakan bahawa hukum suami menjadi suri rumah adalah tidak digalakkan jika tidak diredhai oleh isteri. Namun jika isteri meredhainya, maka itu dibenarkan seperti mana diharuskan untuk suami memakan mahar isteri sekiranya dibenarkan.[22]
Kami mengambil kesempatan di sini untuk menyatakan beberapa perkara:
- Tindakan isteri membantu keluarga adalah satu tindakan terpuji dan pengorbanan yang wajib diterima kasih oleh suami.
- Isteri tersebut juga hendaklah bersyukur kerana masih mempunyai suami yang baik sekalipun beliau diuji tanpa pekerjaan. Ini kerana, ada juga terdapat musibah dalam kehidupan berkeluarga apabila suami bukan dari kalangan yang baik.
- Hendaklah isteri bersabar dalam situasi seperti ini dan sentiasa berbincang dengan penuh harmoni antara suami isteri.
- Jelaskan yang bahawa matlamat kehidupan adalah mencari mardhatillah dan kebahagiaan dalam hidup. Insya Allah, kabus yang sukar ini akan berlalu pergi berganti dengan cahaya kebahagiaan hidup.
- Suami hendaklah sentiasa berusaha dan mencuba untuk mencari pekerjaan dalam menafkahkan kepada isteri serta keluarganya.
- Kehidupan bukanlah sentiasa dalam keadaan tenang tetapi di sana adanya badai yang memerlukan sebuah kebijaksanaan, hikmah, ketenangan dan kecerdikan untuk penyelesaian dalam melayari bahtera kehidupan agar ia selamat dan sejahtera.
- Banyakkan berdoa kepada Allah semoga dimurahkan rezeki seperti banyakkan istighfar, qiamullail, sedekah dan membantu mereka yang memerlukan.
Saya berdoa kepada Allah agar penanya dan keluarganya dapat hidup dengan penuh ketenangan. Semoga rumahtangga yang dibina menjadi seperti yang diharapkan iaitu Baiti Jannati. Jangan lupa membaca doa seperti:
رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا
Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”[23]
Wallahu a’lam.
Bertarikh: 21 Februari 2022 bersamaan 19 Rejab 1443H
[give_form id=”14962″][1] Surah al-Baqarah: 187
[2] Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 1/510
[3] Lihat al-Fiqh al-Manhaji 4/13-16
[4] Lihat Hasyiyah al-Bajuri ala Ibn Qasim, 2/185, al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafie, 4/274
[5] Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 3/101
[6] Lihat https://prpm.dbp.gov.my/cari1?keyword=nafkah
[7] Surah al-Talaq: 7
[8] Riwayat Abu Daud (2142), Ibn Majah (1850) dan Ahmad (20013)
[9] Lihat al-Fiqh al-Islam wa Adillatuh, 10/7349
[10] Surah al-Baqarah: 233
[11] Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 1/634
[12] Lihat Syarh al-Waraqat fi Usul al-Fiqh, hlm. 115
[13] Riwayat Abu Daud (1692)
[14] Riwayat al-Bukhari (6763) dan Muslim (997)
[15] Surah al-Talaq: 6
[16] Surah al-Baqarah: 233
[17] Riwayat al-Bukhari (5049) dan Muslim (1714)
[18] Surah al-Nisa’:34
[19] Riwayat Muslim (1218)
[20] Surah al-Talaq: 7
[21] Riwayat al-Daraqutni (3/297)
[22] Dalam isu suami menggunakan mahar yang telah diberikannya kepada isteri:
- Haram hukumnya bagi suami memakan/menggunakan/mengambil manfaat daripada mahar isteri jika tanpa kerelaan dan kebenaran isteri, kerana mahar merupakan hak milik isteri yang telah diisytiharkan oleh Allah SWT dalam al-Qur’an.
- Harus hukumnya bagi suami memakan/menggunakan/mengambil manfaat daripada mahar isteri jika dengan kerelaan dan kebenaran isteri.
[23] Surah al-Furqan: 74