Soalan:
Assalamualaikum w.b.t. Adakah disunatkan membaca ‘bismillah’ sebelum makan dan apakah hikmahnya? Terima Kasih.
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t.
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT:
لَقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِمَنْ كَانَ يَرْجُو اللَّهَ وَالْيَوْمَ الْآخِرَ وَذَكَرَ اللَّهَ كَثِيرًا
Maksudnya: “Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang).”[1]
Ayat di atas menunjukkan bahawa sesungguhnya telah ada bagi kamu (wahai orang-orang yang beriman) pada perkataan-perkataan Nabi SAW, perbuatan-perbuatannya, dan keadaan-keadaannya contoh teladan yang baik, agar kamu semua dapat mengikutinya. Maka, berpeganglah dengan sunnahnya kerana sesungguhnya ia dipegang dan diikuti oleh orang-orang yang mengharapkan (keredhaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat. Begitu juga, perbanyakkanlah mengingati Allah dan memohon keampunan daripada-Nya, serta bersyukur kepada-Nya dalam setiap keadaan.[2]
Maka, termasuk dalam aspek kehidupan tersebut berkaitan adab-adab makan dan minum. Di samping itu, terdapat riwayat daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
كلُّ كلامٍ، أو أمرٍ ذي بالٍ لا يُفتَحُ بذِكْرِ اللَّهِ عزَّ وجلَّ فَهوَ أبترُ
Maksudnya: “Setiap ucapan atau perkara yang tidak dimulai dengan mengingati Allah ‘Azza wa Jalla (zikrullah), maka amalan tersebut akan terputus.”[3]
Menurut Imam al-Nawawi, maksud perkara penting dalam hadith di atas ialah sesuatu perkara yang dititikberatkan oleh seseorang itu. Manakala makna terputus pula bermaksud kurangnya keberkatan. Justeru, para ulama berpendapat disunatkan untuk memulakan setiap penulisan, pembelajaran, pengajaran, khutbah, percakapan dan lain-lain perkara yang dilihat penting dengan memuji Allah SWT.[4]
Berbalik kepada soalan yang diajukan, Nabi SAW mengajarkan kepada umatnya adab-adab makan. Di antaranya adalah membaca basmalah sebelum makan. Hal ini adalah sebagaimana riwayat daripada Umar bin Abu Salamah, bahawa Rasulullah SAW bersabda kepadanya:
سَمِّ اللَّهَ، وَكُلْ بيَمِينِكَ، وَكُلْ ممّا يَلِيكَ
Maksudnya: “Bacalah bismillah, makanlah dengan tangan kananmu dan makanlah makanan yang paling hampir denganmu.”[5]
Selain itu, terdapat dalam riwayat lain yang datang dengan lafaz:
إِذَا أَكَلَ أَحَدُكُمْ طَعَامًا فَلْيَقُلْ: بِسْمِ اللَّهِ، فَإِنْ نَسِيَ فِي أَوَّلِهِ فَلْيَقُلْ: بِسْمِ اللَّهِ فِي أَوَّلِهِ وَآخِرِهِ
Maksudnya: “Sekiranya seorang daripada kamu hendak makan, maka ucapkanlah ‘bismillah’. Sekiranya dia terlupa — yakni untuk membaca ‘bismillah’ — pada awal (mula makan), maka ucapkanlah, ‘bismillahi awwaluhu wa akhirahu’ (Dengan nama Allah pada awal dan akhirnya).”[6]
Para fuqaha telah berpendapat bahawa bacaan basmalah sebelum makan hukumnya adalah sunat. Lafaznya (sighah) ialah “بِسْمِ اللَّهِ” dan “بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ”. Sekiranya dia lupa untuk membacanya di awal — yakni sebelum makan — maka bacalah pada bakinya (makanan itu) dengan menyebut “بِاسْمِ اللَّهِ أَوَّلَهُ وَآخِرَهُ”.[7]
Dr. Sa‘id al-Qahtani menyebutkan bahawa bacaan ‘bismillah’ sebelum makan itu bermaksud aku memohon keberkatan dengan nama Allah, dengan mengharapkan Dia — yakni Allah — akan memberi manfaat buatku dengan makanan ini.[8] Manakala al-Mubarakfuri pula, ketika menyatakan mengenai bacaan ‘Bismillahi awwaluhu wa akhirahu’ menyebutkan bahawa maknanya ialah pada seluruh bahagian-bahagiannya. Boleh juga untuk dikatakan bahawa makna yang dikehendaki pada lafaz ‘awwalihi’ ialah separuh bahagian yang pertama manakala lafaz ‘akhirihi’ ialah separuh bahagian yang kedua. Hasilnya, ia menjadi sempurna dan menyeluruh.[9]
Demikianlah juga, terdapat riwayat daripada Wahsyi bin Harb bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda sebahagian sahabat yang mengadu mereka makan tetapi tidak kenyang sebagaimana sabdanya:
فاجتَمِعوا على طَعامِكم، واذكُروا اسمَ اللهِ عليه، يُبارِكْ لكم فيه
Maksudnya: “Hendaklah kamu makan secara bersama-sama dan sebutlah nama Allah ke atas makan itu. Maka, Dia akan memberikan keberkatan buat kamu padanya (makanan itu).”[10]
Selain itu, bacaan basmalah juga menghalang dan menjauhkan syaitan daripada makan bersama-bersama dengan kita. Hal ini adalah sebagaimana yang diceritakan oleh seorang sahabat Nabi bahawa:
كان رسول الله صلى الله عليه وسلم جالسا، ورجلٌ يأكلُ، فلم يُسمّ حتى لم يبقَ من طعامه إلا لقمة، فلما رفعها إلى فِيه، قال: بسم الله أوّله وآخرُه؛ فضحكَ النبيّ صلى الله عليه وسلم، ثم قال: ما زَالَ الشَّيْطانُ يأكُلُ مَعَهُ، فَلَمَّا ذَكَرَ اسْمَ اللَّهِ اسْتَقَاءَ ما في بَطْنِهِ
Maksudnya: “Rasulullah SAW pernah duduk, dan ada seorang lelaki sedang makan tetapi tidak membaca nama Allah sehinggalah tidak tinggal daripada makanannya melainkan satu suapan sahaja. Kemudian, tatkala dia mengangkat suapan terakhir tersebut ke dalam mulutnya, dia membaca, ‘Bismillahi Awwaluhu wa Akhiruhu’ (Dengan nama Allah pada awal dan akhirnya). Nabi SAW ketawa dan kemudiannya bersabda: ‘Syaitan terus makan bersamanya, kemudian apabila dia menyebut nama Allah, syaitan itu memuntahkan semula apa yang ada di dalam perutnya (yang dimakan).’”[11]
Kesimpulannya
Justeru, berdasarkan kepada perbahasan di atas, kami berpendapat bahawa bacaan basmalah sebelum makan hukumnya adalah sunat. Lafaznya yang paling baik dan afdhal ialah ‘bismillahirrahmanirrahim’ (بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ), manakala lafaznya yang paling minima — yakni memadai dan mencukupi bagi mendapatkan pahala serta fadhilatnya — ialah ‘bismillah’ (بِسْمِ اللَّهِ). Namun, jika seseorang itu terlupa untuk membaca basmalah sebelum makan dan hanya teringat ketika sedang makan, hendaklah dia mengucapkan ‘bismillahi awwaluhu wa akhirahu’ (بِاسْمِ اللَّهِ أَوَّلَهُ وَآخِرَهُ).
Hikmahnya adalah supaya makanan yang sedang dimakan oleh kita itu diberkati oleh Allah SWT dan kita memperoleh keberkatan pada makanan tersebut. Imam al-Nawawi menyebutkan bahawa keberkatan makanan bermaksud makanan yang mengenyangkan, terhindar daripada perkara yang memudaratkan — yakni penyakit — dan mendapat kekuatan untuk melakukan ibadah kepada Allah SWT dan sebagainya.[12] Di samping itu, bacaan basmalah itu juga menghalang dan menjauhkan syaitan daripada makan bersama-bersama dengan kita.
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.
Wallahua‘lam.
Bertarikh: 28 Februari 2022 bersamaan 26 Rejab 1443H
[give_form id=”14962″][1] Surah al-Ahzab: 21
[2] Lihat al-Tafsir al-Muyassar, hlm. 420.
[3] Riwayat Ahmad (8712); Ahmad Syakir menyatakan bahawa sanadnya adalah sahih. Manakala Syu‘aib al-Arna’ut pula menyebutkan bahawa sanadnya adalah dhaif. Begitu juga riwayat Ibn Majah dengan hadith seumpamanya (1894)
[4] Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 1/73.
[5] Riwayat al-Bukhari (5376); Muslim (2022)
[6] Riwayat al-Tirmizi (1858)
[7] Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 8/92.
[8] Lihat Ithaf al-Muslim bi Syarh Hisni al-Muslim, hlm. 1183.
[9] Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 5/483.
[10] Riwayat Abu Daud (3764)
[11] Riwayat Abu Daud (3768)
[12] Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 13/206; Tuhfah al-Ahwazi, 5/424.