Sale!
Original price was: RM28.00.Current price is: RM20.00.
Sale!
Original price was: RM35.00.Current price is: RM20.00.
Sale!

Buku Fizikal

Taufan Al-Aqsa

Original price was: RM20.00.Current price is: RM10.00.
Sale!
Original price was: RM20.00.Current price is: RM10.00.
Sale!
Original price was: RM40.00.Current price is: RM30.00.
Sale!
Original price was: RM70.00.Current price is: RM60.00.
Sale!
Original price was: RM310.00.Current price is: RM160.00.

Soalan:         

Assalamualaikum w.b.t. Bolehkah sebelum makan membaca bacaan basmalah dengan lafaz “بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ” sedangkan dalam hadith hanya dengan lafaz ‘bismillah’ tanpa sebarang tambahan ‘al-Rahman al-Rahim’? Mohon pencerahan. Terima Kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

لَقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِمَنْ كَانَ يَرْجُو اللَّهَ وَالْيَوْمَ الْآخِرَ وَذَكَرَ اللَّهَ كَثِيرًا

Maksudnya: “Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang).”[1]

Ayat di atas menunjukkan bahawa sesungguhnya telah ada bagi kamu (wahai orang-orang yang beriman) pada perkataan-perkataan Nabi SAW, perbuatan-perbuatannya, dan keadaan-keadaannya contoh teladan yang baik, agar kamu semua dapat mengikutinya. Maka, berpeganglah dengan sunnahnya kerana sesungguhnya ia dipegang dan diikuti oleh orang-orang yang mengharapkan (keredhaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat. Begitu juga, perbanyakkanlah mengingati Allah dan memohon keampunan daripada-Nya, serta bersyukur kepada-Nya dalam setiap keadaan.[2]

Maka, termasuk dalam aspek kehidupan tersebut berkaitan adab-adab makan dan minum. Di samping itu, terdapat riwayat daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

كلُّ كلامٍ، أو أمرٍ ذي بالٍ لا يُفتَحُ بذِكْرِ اللَّهِ عزَّ وجلَّ فَهوَ أبترُ

Maksudnya:Setiap ucapan atau perkara yang tidak dimulai dengan mengingati Allah ‘Azza wa Jalla (zikrullah), maka amalan tersebut akan terputus.[3]

Menurut Imam al-Nawawi, maksud perkara penting dalam hadith di atas ialah sesuatu perkara yang dititikberatkan oleh seseorang itu. Manakala makna terputus pula bermaksud kurangnya keberkatan. Justeru, para ulama berpendapat disunatkan untuk memulakan setiap penulisan, pembelajaran, pengajaran, khutbah, percakapan dan lain-lain perkara yang dilihat penting dengan memuji Allah SWT.[4]

Berbalik kepada soalan yang diajukan, Nabi SAW mengajarkan kepada umatnya adab-adab makan. Di antaranya adalah membaca basmalah sebelum makan. Hal ini adalah sebagaimana riwayat daripada Umar bin Abu Salamah, bahawa Rasulullah SAW bersabda kepadanya:

سَمِّ اللَّهَ، وَكُلْ بيَمِينِكَ، وَكُلْ ممّا يَلِيكَ

Maksudnya: “Bacalah bismillah, makanlah dengan tangan kananmu dan makanlah makanan yang paling hampir denganmu.”[5]

Selain itu, terdapat dalam riwayat lain yang datang dengan lafaz:

إِذَا أَكَلَ أَحَدُكُمْ طَعَامًا فَلْيَقُلْ: بِسْمِ اللَّهِ، فَإِنْ نَسِيَ فِي أَوَّلِهِ فَلْيَقُلْ: بِسْمِ اللَّهِ فِي أَوَّلِهِ وَآخِرِهِ

Maksudnya: “Sekiranya seorang daripada kamu hendak makan, maka ucapkanlah ‘bismillah’. Sekiranya dia terlupa — yakni untuk membaca ‘bismillah’ — pada awal (mula makan), maka ucapkanlah, ‘bismillahi awwaluhu wa akhirahu’ (Dengan nama Allah pada awal dan akhirnya).”[6]

Justeru, apabila melihat kepada riwayat-riwayat yang ada, lafaz yang terdapat dalam hadith sebelum memulakan makan ialah bacaan ‘bismillah’ tanpa sebarang penambahan ‘al-Rahman al-Rahim’. Manakala bacaan ketika terlupa membaca basmalah di awal permulaan makan pula ialah ‘bismillahi awwaluhu wa akhirahu’.

Para fuqaha telah berpendapat bahawa bacaan basmalah sebelum makan hukumnya adalah sunat. Lafaznya (sighah) ialah “بِسْمِ اللَّهِ” dan “بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ”. Sekiranya dia lupa untuk membacanya di awal — yakni sebelum makan — maka bacalah pada bakinya (makanan itu) dengan menyebut “بِاسْمِ اللَّهِ أَوَّلَهُ وَآخِرَهُ”.[7]

Imam al-Nawawi menyebutkan bahawa antara perkara penting yang mesti seseorang itu tahu mengenai sifat basmalah dan kadar minima — yakni yang mencukupi — ketika diucapkan. Sebaik-baik lafaznya dan paling afdhal adalah apabila seseorang mengucapkan “بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ”. Adapun jika seseorang itu hanya menyebut ‘bismillah’ sahaja, maka ia juga sudah mencukupi baginya dan dia mendapat pahala sunat serta tetap mendapat fadhilat membaca basmalah tanpa sebarang khilaf dalam kalangan ulama.[8]

Begitu juga Dr. Sa‘id al-Qahtani juga turut menyatakan bahawa sunnah di dalam bacaan basmalah adalah dengan mengucapkan “بِسْمِ اللَّهِ”. Akan tetapi tidak mengapa jika seseorang itu mengucapkan dengan lafaz “بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ” kerana al-Rahman dan al-Rahim adalah termasuk dalam nama-nama Allah yang mulia.[9] Tambahan lagi, Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah juga menyebutkan bahawa seseorang yang ketika hendak makan mengucapkan “بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ”, perkara itu — yakni penambahan pada lafaz basmalah itu — adalah baik dan sempurna berbeza halnya ketika hendak menyembelih.[10]

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, berdasarkan kepada perbahasan di atas, kami berpendapat bahawa tidak mengapa mengucapkan ‘bismillahirrahmanirrahim’ (بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ) yakni dengan menambah pada bacaan basmalah lafaz ‘al-Rahman al-Rahim’. Bahkan ia merupakan lafaz basmalah yang paling baik dan afdhal diucapkan sebelum seseorang itu makan atau minum.

Namun, jika seseorang itu hanya membaca ‘bismillah’ (بِسْمِ اللَّهِ) sahaja pun, ia sudah mencukupi dan memadai baginya, serta dia tetap mendapat fadhilat dan kelebihan basmalah tersebut sebagaimana yang dinyatakan oleh Imam al-Nawawi. Begitu juga jika seseorang itu terlupa untuk membaca basmalah sebelum makan dan hanya teringat ketika sedang makan, hendaklah dia mengucapkan ‘bismillahi awwaluhu wa akhirahu’ (بِاسْمِ اللَّهِ أَوَّلَهُ وَآخِرَهُ).

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahua‘lam.

Bertarikh: 28 Februari 2022 bersamaan 26 Rejab 1443H

[give_form id=”14962″]

[1] Surah al-Ahzab: 21

[2] Lihat al-Tafsir al-Muyassar, hlm. 420.

[3] Riwayat Ahmad (8712); Ahmad Syakir menyatakan bahawa sanadnya adalah sahih. Manakala Syu‘aib al-Arna’ut pula menyebutkan bahawa sanadnya adalah dhaif. Begitu juga riwayat Ibn Majah dengan hadith seumpamanya (1894)

[4] Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 1/73.

[5] Riwayat al-Bukhari (5376); Muslim (2022)

[6] Riwayat al-Tirmizi (1858)

[7] Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 8/92.

[8] Lihat al-Azkar, hlm. 388; al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 1/344.

[9] Lihat Ithaf al-Muslim bi Syarh Hisni al-Muslim, hlm. 1186.

[10] Lihat al-Fatawa al-Kubra, 5/480.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *