Sale!
Original price was: RM28.00.Current price is: RM20.00.
Sale!
Original price was: RM35.00.Current price is: RM20.00.
Sale!

Buku Fizikal

Taufan Al-Aqsa

Original price was: RM20.00.Current price is: RM10.00.
Sale!
Original price was: RM20.00.Current price is: RM10.00.
Sale!
Original price was: RM40.00.Current price is: RM30.00.
Sale!
Original price was: RM70.00.Current price is: RM60.00.
Sale!
Original price was: RM310.00.Current price is: RM160.00.

Soalan:         

Assalamualaikum w.b.t. Bulan Ramadhan hampir tiba, jadi biasanya saya suka untuk makan awal kerana risau kalau saya tidur dahulu, saya akan terlewat bangun lalu tidak sempat untuk bersahur. Justeru, adakah makan awal biasanya selepas solat tarawih iaitu dalam pukul 10 atau 11 malam dikira sebagai bersahur dan mendapat fadhilatnya? Terima kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pada asasnya, bersahur termasuk dalam perkara sunat yang digalakkan bagi sesiapa yang ingin berpuasa. Bahkan Ibn al-Munzir menyatakan bahawa umat telah bersepakat bahawa sahur termasuk dalam perkara sunat dan digalakkan, serta tidak berdosa bagi sesiapa yang meninggalkannya.[1] Di samping itu, Nabi SAW sendiri menyarankan umatnya untuk bersahur kerana terdapat pelbagai kelebihan dan keberkatan padanya.  Hal ini adalah sebagaimana riwayat daripada Anas bin Malik R.A, bahawa Nabi SAW bersabda:

تَسَحَّرُوا فَإِنَّ فِي السَّحُورِ بَرَكَةً

Maksudnya:Bersahurlah, kerana sesungguhnya di dalam sahur itu ada keberkatan.[2]

Selain itu juga, bersahur ini merupakan pembeza di antara puasa orang islam dan puasa ahli kitab. Hal ini adalah sebagaimana hadith yang diriwayatkan daripada ‘Amr bin al-‘As R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

فَصْلُ مَا بَيْنَ صِيَامِنَا وَصِيَامِ أَهْلِ الْكِتَابِ، أَكْلَةُ السَّحَرِ

Maksudnya:Perbezaan antara puasa kita dan puasa ahli kitab adalah dengan makan sahur.”[3]

Imam al-Nawawi ketika mensyarahkan hadith ini menyebutkan, maknanya ialah perbezaan yang paling ketara antara puasa orang Islam dengan puasa ahli kitab adalah bersahur. Hal ini kerana mereka tidak bersahur, sedangkan orang Islam disunatkan untuk bersahur.[4]  Selain daripada itu, al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani menyebutkan, pendapat yang lebih utama bahawa keberkatan dalam sahur dapat diperolehi atau terhasil dari sudut yang pelbagai iaitu mengikut sunnah, menyalahi ahli kitab, menguatkan diri untuk melakukan ibadah, menambahkan tenaga dan semangat, menahan diri daripada perbuatan yang tidak baik disebabkan oleh lapar, penyebab memberi sedekah kepada yang meminta atau berkesempatan untuk makan bersama-samanya, penyebab kepada zikir dan doa pada waktu mustajab untuk berdoa. Selain itu, waktu sahur juga dapat mengingatkan niat puasa bagi sesiapa yang lalai daripadanya — yakni terlupa untuk niat — sebelum tidur.

Menurut Ibn Daqiq al-‘Id, keberkatan ini boleh jadi terdapat pada perkara-perkara akhirat. Hal ini kerana dengan menegakkan sunnah pasti dia memperoleh pahala dan tambahannya. Boleh jadi juga ia terdapat pada perkara-perkara dunia seperti kekuatan badan untuk berpuasa dan memudahkan seseorang untuk berpuasa tanpa memberi mudarat kepada dirinya disebabkan oleh puasa itu. Begitu juga di antara perkara yang menjadi sebab kepada galakan (sunat) perbuatan sahur ini adalah kerana ia menyalahi ahli kitab. Hal ini kerana perbuatan sahur ini dilarang di sisi mereka, dan ini menjadi salah satu perkara yang menambahkan lagi pahala dari sudut ukhrawi. [5]

Selain itu, dalam al-Fiqh al-Manhaji dinyatakan bahawa waktu bersahur bermula pada tengah malam.[6] Begitu juga Imam al-Nawawi menyebutkan, waktu bersahur adalah di antara tengah malam dan terbitnya fajar.[7] Walau bagaimanapun, terdapat dalam kalangan ulama yang berpendapat bahawa masuknya waktu sahur adalah pada seperenam akhir malam.[8] Selain daripada itu, maksud sahur itu tercapai dengan sebarang makanan sama ada banyak atau sedikit serta dengan air. Tambahan lagi, ulama dalam kalangan mazhab Syafi‘i dan selainnya telah bersepakat bahawa afdhal untuk melewatkan sahur.[9] Dalam erti kata lain, disunatkan untuk melewatkan sahur sebelum terbit fajar. Kadar melewatkan waktu sahur dengan waktu fajar adalah kira-kira bacaan 50 ayat al-Quran. Perkara ini adalah berdasarkan kepada riwayat daripada Zaid bin Thabit R.A, beliau berkata:

تَسَحَّرْنَا مَعَ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، ثُمَّ قَامَ إِلَى الصَّلاَةِ، قُلْتُ: كَمْ كَانَ بَيْنَ الأَذَانِ وَالسَّحُورِ؟ قَالَ: قَدْرُ خَمْسِينَ آيَةً

Maksudnya:Kami bersahur bersama Nabi SAW. Kemudian Baginda berdiri untuk solat. Aku (Anas) bertanya: ‘Berapakah lama (tempoh masa) antara azan dan sahur?’ Beliau (Zaid) menjawab: ‘Kadarnya (kira-kira membaca) lima puluh ayat.’[10]

Menurut Imam al-Nawawi, maknanya ialah jarak antara kedua waktu tersebut dalam anggaran bacaan 50 ayat al-Quran, dan hadith ini mengandungi galakan untuk melewatkan sahur sehingga sebelum waktu fajar.[11] Al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani menyatakan, kadar bacaan 50 ayat tersebut adalah kadar bacaan sederhana. Tidak terlalu laju dan tidak pula terlalu lambat. Begitu juga dengan kadar panjang ayat yang sederhana yakni bukanlah ayat yang terlalu panjang, mahupun ayat yang terlalu pendek.[12]

Berbalik kepada soalan yang diajukan, makan awal iaitu di awal malam tidak dikira sebagai bersahur. Hal ini dijelaskan oleh al-Dimyati bahawa waktu sahur masuk atau bermula pada pertengahan malam — yakni separuh malam yang kedua. Oleh itu, jika seseorang itu makan pada waktu sebelumnya — yakni pada separuh malam yang pertama — maka ia tidak dinamakan sebagai sahur, dan tidak mendapat pahala sunnah bersahur. Selain itu, afdhalnya adalah melewatkan sahur sehingga dekat dengan waktu fajar, dengan kadar bacaan 50 ayat al-Quran.[13] Begitu juga Ibrahim al-Baijuri turut menyebutkan, sesiapa yang makan sebelum sampai pertengahan malam — yakni separuh malam yang kedua — maka tidak mendapat pahala sunnah bersahur kerana waktu sahur bermula pada pertengahan malam sehingga terbitnya fajar.[14]

Kesimpulannya

Oleh itu, berdasarkan kepada perbahasan dan perbincangan di atas, kami berpendapat bahawa orang yang makan awal, yakni sebelum masuknya separuh malam yang kedua tidak dikira sebagai bersahur kerana waktu sahur itu bermula pada pertengahan malam yang kedua. Justeru, sesiapa yang makan pada atau selepas pertengahan malam dikira sebagai bersahur, dan kelebihan bersahur itu diperoleh dengan sebarang makanan sama ada banyak atau sedikit serta dengan air. Walau bagaimanapun, disunatkan untuk melewatkan sahur dan ia termasuk dalam perkara yang afdhal.

Selain itu, kami turut mengambil kesempatan di sini, sebaiknya berusahalah untuk bersahur pada waktunya meskipun dengan kadar yang sedikit seperti dengan sebiji kurma atau seteguk air, agar kita tidak terlepas daripada mendapat kelebihan dan fadhilat bersahur. Terdapat riwayat daripada Abu Said al-Khudri R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

السَّحُورُ أَكْلُهُ بَرَكَةٌ ، فَلاَ تَدَعُوهُ ، وَلَوْ أَنْ يَجْرَعَ أَحَدُكُمْ جُرْعَةً مِنْ مَاءٍ ، فَإِنَّ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ وَمَلاَئِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى الْمُتَسَحِّرِينَ

Maksudnya:Makan pada waktu sahur adalah satu keberkatan. Justeru, janganlah kamu meninggalkannya sekalipun dengan satu tegukan air, kerana sesungguhnya Allah ‘Azza wa Jalla dan para malaikat-Nya mendoakan ke atas orang yang bersahur.”[15]

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahua‘lam.

Bertarikh: 28 Mac 2022 bersamaan 25 Syaaban 1443H

[give_form id=”14962″]

[1] Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 6/360.

[2] Riwayat al-Bukhari (1923)

[3] Riwayat Muslim (1096)

[4] Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 7/207.

[5] Lihat Fath al-Bari, 4/140.

[6] Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 2/89.

[7] Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 6/360.

[8] Lihat Mughni al-Muhtaj, 2/166.

[9] Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 6/360.

[10] Riwayat al-Bukhari (1921)

[11] Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 7/208-209.

[12] Lihat Fath al-Bari, 4/138.

[13] Lihat al-I‘anah al-Talibin, 2/277.

[14] Lihat Hasyiah al-Syeikh Ibrahim al-Baijuri, 1/563.

[15] Riwayat Ahmad (11102)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *