Sale!
Original price was: RM28.00.Current price is: RM20.00.
Sale!
Original price was: RM35.00.Current price is: RM20.00.
Sale!

Buku Fizikal

Taufan Al-Aqsa

Original price was: RM20.00.Current price is: RM10.00.
Sale!
Original price was: RM20.00.Current price is: RM10.00.
Sale!
Original price was: RM40.00.Current price is: RM30.00.
Sale!
Original price was: RM70.00.Current price is: RM60.00.
Sale!
Original price was: RM310.00.Current price is: RM160.00.

Soalan:         

Assalamualaikum w.b.t. Apakah hukum membaca basmalah ketika berwuduk, wajib atau sunat? Mohon pencerahan. Terima Kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan riwayat daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

كلُّ كلامٍ، أو أمرٍ ذي بالٍ لا يُفتَحُ بذِكْرِ اللَّهِ عزَّ وجلَّ فَهوَ أبترُ

Maksudnya:Setiap ucapan atau perkara yang tidak dimulai dengan mengingati Allah ‘Azza wa Jalla (zikrullah), maka amalan tersebut akan terputus.[1]

Menurut Imam al-Nawawi, maksud perkara penting dalam hadith di atas ialah sesuatu perkara yang dititikberatkan oleh seseorang itu. Manakala makna terputus pula bermaksud kurangnya keberkatan. Justeru, para ulama berpendapat disunatkan untuk memulakan setiap penulisan, pembelajaran, pengajaran, khutbah, percakapan dan lain-lain perkara yang dilihat penting dengan memuji Allah SWT.[2]

Berbalik kepada soalan yang ditanyakan, secara umumnya para ulama telah berbeza pendapat mengenai perkara ini kepada dua pendapat. Pendapat pertama menyatakan bahawa hukumnya adalah wajib dan ini merupakan pendapat Imam Ahmad.[3] Hal ini adalah berdasarkan kepada hadith daripada Nabi SAW, Baginda bersabda:

لا وُضُوءَ لِمَنْ لَمْ يَذْكُرْ اسْمَ اللَّهِ عَلَيْهِ

Maksudnya:Tidak ada wuduk bagi sesiapa yang tidak menyebut nama Allah.”[4]

Manakala pendapat kedua, jumhur ulama berpendapat membaca basmalah termasuk dalam sunat wuduk dan bukannya wajib. Ini adalah sebagaimana disebutkan oleh Imam al-Nawawi bahawa hukumnya adalah sunat dan bukannya wajib. Jika ditinggalkan secara sengaja, wuduknya tetap sah. Ini merupakan pendapat mazhab Syafi‘i, Malik, Abu Hanifah dan jumhur ulama, termasuklah juga merupakan salah satu riwayat daripada Imam Ahmad.[5] Hal ini adalah berdasarkan kepada beberapa dalil dan hujah. Di antaranya, Nabi SAW telah mengajarkan seseorang mengenai cara berwuduk, Baginda bersabda:

تَوَضَّأْ كَمَا أَمَرَكَ اللَّهُ

Maksudnya:Berwuduklah sebagaimana yang Allah perintahkan kamu.[6]

Ini merupakan isyarat kepada firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا قُمْتُمْ إِلَى الصَّلَاةِ فَاغْسِلُوا وُجُوهَكُمْ وَأَيْدِيَكُمْ إِلَى الْمَرَافِقِ وَامْسَحُوا بِرُءُوسِكُمْ وَأَرْجُلَكُمْ إِلَى الْكَعْبَيْنِ

Maksudnya:Wahai orang yang beriman, apabila kamu hendak mengerjakan sembahyang (padahal kamu berhadas kecil), maka (berwuduklah) iaitu basuhlah muka kamu, dan kedua belah tangan kamu meliputi siku, dan sapulah sebahagian dari kepala kamu, dan basuhlah kedua belah kaki kamu meliputi buku lali.[7]

Imam al-Nawawi menyatakan bahawa tidak terdapat dalam ayat di atas, perintah atau kewajipan untuk membaca basmalah.[8]

Selain itu, terdapat juga riwayat daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إنَّها لا تَتِمُّ صَلاةُ أحَدِكم حتى يُسبِغَ الوُضوءَ كما أمَرَهُ اللهُ عزَّ وجلَّ، فيَغسِلَ وَجهَه ويَدَيْه إلى المِرفَقَيْنِ، ويَمسَحَ برَأسِه ورِجلَيْه إلى الكَعبَيْنِ

Maksudnya:Sesungguhnya tidak sempurna solat seseorang daripada kamu sehinggalah dia menyempurnakan wuduk sebagaimana yang diperintahkan oleh Allah ‘Azza wa Jalla. Maka, dia membasuh wajahnya, kedua tangannya meliputi siku, menyapu kepalanya dan (membasuh) kedua kakinya meliputi buku lali.”[9]

Dalam hadith di atas, tidak disebutkan bahawa Nabi SAW membaca basmalah. Justeru, ia menunjukkan bahawa membaca basmalah ketika berwuduk tidak diwajibkan.[10] Selain daripada itu, mereka juga berhujah dengan menyatakan bahawa kebanyakkan hadith-hadith yang menceritakan mengenai sifat wuduk Nabi SAW tidak menyebutkan di dalamnya bacaan basmalah. Maka, jika ia adalah wajib, sudah tentu akan disebutkan.[11] Pendapat ini juga dipegang dan dipilih oleh ramai dalam kalangan ulama mazhab Hanbali seperti al-Khiraqi dan Ibn Qudamah.[12] Lebih-lebih lagi hadith yang diguna pakai sebagai dalil yang mewajibkan, dinilai sebagai dhaif di sisi sebahagia ulama seperti Imam al-Nawawi, al-Baihaqi dan Ahmad. Imam Ahmad pernah ditanya berkenaan bacaan basmalah ketika berwuduk. Beliau menjawab, tidak ada hadith yang sabit daripada Nabi SAW, mahupun yang baik sanadnya dalam hal ini.[13] Di samping itu, ada juga dalam kalangan mereka yang berpendapat, jika hadith itu sahih sekalipun, maknanya adalah merujuk kepada ‘wuduk yang sempurna’ dan bukannya ‘wuduk yang sahih.’[14] Oleh itu, hadith — yang menjadi dalil bagi pendapat pertama — jika sahih adalah menunjukkan kepada sunat membaca basmalah dan bukannya mewajibkannya.

Kesimpulannya

Berdasarkan kepada perbahasan dan perbincangan di atas, kami berpendapat bahawa membaca basmalah ketika berwuduk adalah termasuk dalam perkara sunat dalam berwuduk dan bukannya wajib sebagaimana pendapat mazhab Syafi‘i dan jumhur ulama. Oleh itu, seseorang yang meninggalkan bacaan basmalah itu ketika berwuduk, wuduknya tetap dikira sah.

Walau bagaimanapun, sebaik-baiknya janganlah sesekali kita meninggalkan bacaan basmalah ini sebagai langkah berhati-hati dan keluar daripada khilaf kerana keluar daripada khilaf itu adalah lebih utama dan digalakkan.[15]

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahua‘lam.

Bertarikh: 30 Mac 2022 bersamaan 27 Syaaban 1443H

[give_form id=”14962″]

[1] Riwayat Ahmad (8712); Ahmad Syakir menyatakan bahawa sanadnya adalah sahih. Manakala Syu‘aib al-Arna’ut pula menyebutkan bahawa sanadnya adalah dhaif. Begitu juga riwayat Ibn Majah dengan hadith seumpamanya (1894)

[2] Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 1/73.

[3] Lihat al-Mughni, 1/145.

[4] Riwayat al-Tirmizi (25); hadith ini dinilai hasan oleh al-Albani.

[5] Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 1/346.

[6] Riwayat al-Tirmizi (302); hadith ini dinilah sahih oleh al-Albani.

[7] Surah al-Ma’idah: 6

[8] Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 1/346-347.

[9] Riwayat Abu Daud (858)

[10] Lihat al-Sunan al-Kubra, 1/44.

[11] Lihat al-Syarh al-Mumti‘, 1/130.

[12] Lihat al-Mughni, 1/145; al-Insaf, 1/128.

[13] Lihat al-Mughni, 1/145; al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 1/343; al-Sunan al-Kubra, 1/43.

[14] Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 1/347; al-Mughni, 1/146.

[15] Lihat Mausu‘ah al-Qawaid al-Fiqhiyyah, 3/278.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *