Sale!
Original price was: RM28.00.Current price is: RM20.00.
Sale!
Original price was: RM35.00.Current price is: RM20.00.
Sale!

Buku Fizikal

Taufan Al-Aqsa

Original price was: RM20.00.Current price is: RM10.00.
Sale!
Original price was: RM20.00.Current price is: RM10.00.
Sale!
Original price was: RM40.00.Current price is: RM30.00.
Sale!
Original price was: RM70.00.Current price is: RM60.00.
Sale!
Original price was: RM310.00.Current price is: RM160.00.

Soalan

Assalamualaikum ustaz. Apa hukum selawat selepas azan?

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Takrif Selawat dan Salam kepada Rasulullah SAW

Allah SWT berfirman:

إِنَّ اللَّـهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah dan malaikatNya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad SAW); wahai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya.”[1]

Syeikh al-Maraghi dalam mentafsirkan ayat ini berkata: Wahai orang beriman, doakanlah supaya Nabi SAW mendapat rahmat, muliakan Baginda walau dengan apa cara yang kamu mampu lakukan. Umpamanya mengikut Baginda secara baik atau mematuhi setiap arahannya. Begitu juga, dengan cara mengucapkan selawat dan salam kepada Baginda dengan lidahmu.[2]

Al-Qadhi Iyadh dalam kitab al-Syifa bi Ta’rif Huquq al-Mustafa[3] menyebut: Menurut Ibn Abbas R.Anhuma, makna ayat ini adalah, Allah SWT dan para malaikat sentiasa melimpahkan berkat kepada Nabi SAW. Ada juga yang mengertikan ayat ini dengan menyebut: Sesungguhnya Allah dan para malaikat sentiasa melimpahkan rahmat kepada Nabi.

Al-Mubarrid berkata: Makna asal selawat adalah limpahan rasa kasih sayang. Namun jika selawat itu berasal daripada Allah SWT, maka maknanya adalah rahmat. Manakala jika berasal dari para malaikat, ia bermaksud kasih sayang dan doa permohonan rahmat kepada Allah SWT.

Disebutkan dalam hadis Rasulullah SAW, bentuk bacaan selawat para malaikat untuk orang-orang yang duduk menantikan solat adalah “اللَّهُمَّ اغْفِرْ لَهُ ، اللَّهُمَّ ارْحَمْهُ” (Ya Allah, ampunilah dia. Ya Allah, berikanlah rahmat kepadanya). Tentu sahaja bentuk selawat seperti ini pada hakikatnya adalah bacaan doa.

Abu Bakar al-Qusyairi berkata: Selawat daripada Allah yang diberikan kepada selain Nabi adalah bermaksud rahmat. Manakala selawat Allah kepada Nabi adalah satu bentuk pemuliaan dan tambahan pangkat kepada Baginda.

Abu al-‘Aliyah berkata: Selawat Allah kepada Nabi adalah dalam bentuk pujian kepada Baginda di hadapan para malaikat. Manakala selawat para malaikat kepada Baginda merupakan dalam bentuk doa.

Al-Qadhi Abu al-Fadhl berkata: Dalam hadis yang menyebut berkenaan berkenaan cara membaca selawat, Rasulullah SAW telah membezakan antara lafaz selawat dan lafaz barakah. Kedua-duanya mempunyai makna masing-masing.

Adapun mengenai bacaan Salam yang telah diperintahkan oleh Allah SWT kepada hamba-hamba-Nya, maka menurut al-Qadhi Abu Bakar bin Bukair, ia telah dijelaskan dalam ayat yang telah disebutkan di atas. Dalam ayat tersebut, Allah SWT memerintahkan para Sahabat untuk membaca salam kepada Rasulullah SAW. Hal ini juga berlaku bagi orang-orang yang hidup setelah mereka. Dengan kata lain, orang-orang yang hidup setelah generasi Sahabat juga diperintahkan untuk membaca salam ketika mereka menziarahi maqam Rasulullah SAW atau ketika mengingati Baginda.

Mengenai makna lafaz salam kepada Rasulullah SAW, terdapat tiga bentuk:

Pertama: “السَّلَامَةُ لَكَ ، وَمَعَكَ” yang bermaksud, semoga keselamatan menjadi milikmu dan selalu bersamamu. Perkataan al-salam dalam susunan kalimat seperti ini, dalam tatabahasa Arab berbentuk masdar.

Kedua: “السَّلَامُ عَلَى حِفْظِكَ ، وَرِعَايَتِكَ” yang bermaksud, semoga Zat Yang Maha Pemberi Keselamatan memberikan penjagaan dan jaminan untukmu. Dengan kata lain, kata al-salam dalam kalimat itu bererti salah satu daripada nama Allah.

Ketiga: Al-Salam yang maknanya pasrah dan tunduk. Hal ini sebagaimana yang terungkap dalam firman Allah SWT:

فَلَا وَرَبِّكَ لَا يُؤْمِنُونَ حَتَّىٰ يُحَكِّمُوكَ فِيمَا شَجَرَ بَيْنَهُمْ ثُمَّ لَا يَجِدُوا فِي أَنفُسِهِمْ حَرَجًا مِّمَّا قَضَيْتَ وَيُسَلِّمُوا تَسْلِيمًا

Maksudnya: “Maka demi Tuhanmu (wahai Muhammad)! Mereka tidak disifatkan beriman sehingga mereka menjadikan engkau hakim dalam mana-mana perselisihan yang timbul di antara mereka, kemudian mereka pula tidak merasa di hati mereka sesuatu keberatan dari apa yang telah engkau hukumkan, dan mereka menerima keputusan itu dengan sepenuhnya.”[4]

Inilah sepertimana yang dijelaskan oleh al-Qadhi ‘Iyadh dalam kitab al-Syifa bi Ta’rif Huquq al-Mustafa[5].

Tuntutan Supaya Berselawat dan Ganjarannya

Sesungguhnya amalan berselawat ke atas Rasulullah SAW merupakan satu amalan yang agung dan besar ganjarannya di sisi Allah SWT. Dalam menggambarkan keagungan dan kebesaran amalan tersebut, Allah SWT memulakan perintah untuk berselawat dengan dzat-Nya dan para malaikat terlebih dahulu, sebelum kita sebagai orang-orang beriman dituntut untuk mengucapkan selawat dan salam kepada Rasulullah SAW. Firman Allah SWT:

إِنَّ اللَّـهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah dan malaikatNya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad SAW); wahai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya.”[6]

Selain itu, para ulama’ juga ada membahaskan tentang berapa kali kah kita diwajibkan untuk mengucapkan selawat dan salam ke atas Rasulullah SAW.

Al-Khatib al-Syarbini menjelaskan: Para ulama’ berbeza pandangan berkaitan kewajipan mengucapkan selawat dan salam ke atas Rasulullah SAW kepada beberapa pandangan, iaitu:

  • Pada setiap kali solat didirikan dan Imam al-Syafie memilihnya dengan menyatakan ia di dalam tasyahhud akhir.
  • Sekali seumur hidup.
  • Setiap kali apabila nama Baginda SAW disebut disisinya dan pandangan ini dipilih oleh al-Halimi daripada ulama’ al-Syafieiyyah, Imam al-Tahawi daripada ulama al-Hanafiah, al-Lakhmi daripada ulama’ al-Malikiyyah, Ibn Battoh daripada ulama’ al-Hanabilah.
  • Di dalam setiap majlis.
  • Pada setiap permulaan, pertengahan dan akhir doa.[7]

Dalam satu hadith yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

رَغِمَ أَنْفُ رَجُلٍ ذُكِرْتُ عِنْدَهُ فَلَمْ يُصَلِّ عَلَيَّ

Maksudnya: “Amat rugilah seseorang itu apabila disebutkan namaku tetapi dia tidak berselawat ke atasku.”[8]

Di dalam hadith yang lain pula, Rasulullah SAW bersabda:

الْبَخِيلُ مَنْ ذُكِرْتُ عِنْدَهُ فَلَمْ يُصَلِّ عَلَيَّ

Maksudnya: “Orang yang bakhil adalah orang yang apabila disebutkan namaku, maka dia tidak berselawat ke atasku.”

Riwayat al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Kabir (2885)

Syeikh al-Mubarakfuri menukilkan bahawa Imam Ibn Kathir ada menyatakan selepas menyebut berkaitan hadith daripada Ali dan juga hadith daripada Abu Hurairah menunjukkan akan dalil wajibnya berselawat ke atas Nabi SAW setiap kali mendengar nama Baginda SAW. Ini merupakan pandangan sebahagian mazhab daripada ulama seperti al-Tahawi dan al-Halimi. (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 9/373)

Tambahan pula, disifatkan dengan bakhil adalah disebabkan apabila seseorang itu malas menjalankan ketaatan kepada Allah SWT (seperti berselawat). (Lihat al-Qaul al-Badi’, hlm. 321)

Justeru, dapat difahami bahawa selawat ke atas Rasulullah SAW merupakan satu tuntutan di dalam agama ini. Ini kerana, di sana terdapat banyak kelebihan bagi orang yang sentiasa berselawat ke atas Nabi SAW sebagaimana yang dikhabarkan oleh Baginda SAW, antaranya berdasarkan hadis daripada Abdullah bin ‘Amr RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

فَإِنَّهُ مَنْ صَلَّى عَلَيَّ صَلَاةً صَلَّى الله عَلَيْهِ بِهَا عَشْرًا

Maksudnya: “Sesungguhnya barangsiapa yang berselawat ke atasku dengan satu selawat, maka Allah SWT akan berselawat ke atasnya dengan sepuluh selawat.” [9]

Oleh itu, hendaklah kita memperbanyakkan ucapan selawat dan salam ke atas Rasulullah SAW, kerana sudah tentu mendapat ganjaran di sisi Allah SWT.

Selawat kepada Nabi SAW Selepas daripada Azan

Berbalik kepada persoalan di atas, apakah terdapat anjuran di dalam agama berkaitan selawat selepas daripada azan dan sebelum daripada berdoa, kami nyatakan seperti berikut:

Pertama, hukum menjawab azan adalah sunnah muakkadah (sunat yang dituntut). Ketika azan dilaungkan, kita sebagai umat Islam dianjurkan agar meninggalkan segala aktiviti yang sedang dilakukan serta dalam masa yang sama perlulah menjawab azan sebagai satu bentuk penghormatan.

 Daripada Abu Sa’id al-Khudri bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِذَا سَمِعْتُمُ النِّدَاءَ، فَقُولُوا مِثْلَ مَا يَقُولُ المُؤَذِّنُ

Maksudnya: “Apabila kalian mendengar azan maka ucapkanlah seperti yang sedang diucapkan muazzin.” [10]

Adapun berkaitan persoalan di atas, memang terdapat nas syarak daripada hadith Nabi SAW menuntut agar kita berselawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW selepas daripada azan selesai dilaungkan. Hadith tersebut adalah seperti yang diriwayatkan daripada Abdullah bin ‘Amr R.Anhuma, bahawa sesungguhnya dia mendengar Nabi SAW bersabda:

إِذَا سَمِعْتُمُ الْمُؤَذِّنَ، فَقُولُوا مِثْلَ مَا يَقُولُ ثُمَّ صَلُّوا عَلَيَّ، فَإِنَّهُ مَنْ صَلَّى عَلَيَّ صَلَاةً صَلَّى الله عَلَيْهِ بِهَا عَشْرًا، ثُمَّ سَلُوا اللهَ لِيَ الْوَسِيلَةَ، فَإِنَّهَا مَنْزِلَةٌ فِي الْجَنَّةِ، لَا تَنْبَغِي إِلَّا لِعَبْدٍ مِنْ عِبَادِ اللهِ، وَأَرْجُو أَنْ أَكُونَ أَنَا هُوَ، فَمَنْ سَأَلَ لِي الْوَسِيلَةَ حَلَّتْ لَهُ الشَّفَاعَةُ

Maksudnya: “Apabila kamu mendengar muazzin, maka ucapkanlah sepertimana yang sedang diucapkan oleh muazzin. Kemudian berselawatlah kamu ke atasku kerana sesiapa yang berselawat ke atasku dengan satu selawat, maka Allah akan berselawat ke atasnya dengan sepuluh (10 kali selawat). Setelah itu, mohonlah  (doalah) kepada Allah terhadapku sebagai wasilah kerana ia merupakan salah satu tempat (kedudukan di dalam Syurga) yang mana ia tidak layak untuk sesiapa pun melainkan buat hamba-hamba Allah. Aku mengharapkan agar aku adalah orang tersebut (yang layak di kedudukan tersebut di dalam Syurga kelak). Maka sesiapa yang memohon kepadaku wasilah maka layaklah baginya untuk mendapatkan syafaat (syafaat Nabi SAW).” [11]

Menurut Imam al-Nawawi, hadith ini menunjukkan sunat berselawat ke atas Nabi SAW selepas daripada selesai menjawab azan. Di samping itu juga, sunat seseorang itu berdoa atau memohon wasilah kepada Nabi SAW. Selain itu, sunat juga bagi orang yang mendengar azan untuk menjawab setiap daripada perkataan-perkataan muazzin itu selepas daripada muazzin selesai menyebutnya dan dengan tidak menunggu lama untuk menjawabnya.[12]

Justeru, berdasarkan keterangan di atas, dapat difahami bahawa berselawat kepada Nabi SAW merupakan satu tuntutan dan ia merupakan perkara yang sunat berdasarkan kenyataan Imam al-Nawawi di atas. Semoga dengan sedikit pencerahan ini dapat memberi kefahaman kepada kita agar dapat kita amalkan dalam kehidupan seharian kita dan dengan itu akan melayakkan kita untuk menerima syafaat Nabi SAW di hari Akhirat kelak. Amin.

Wallahu a’lam.

Bertarikh: 31 Mac 2022 bersamaan 28 Syaaban 1443H

[give_form id=”14962″]

 

[1] (Surah al-Ahzab: 56)

[2] Lihat Tafsir al-Maraghi, 11/5511

[3] hlm. 138-139

[4] (Surah al-Nisa’: 65)

[5] hlm. 138-139

[6] (Surah al-Ahzab: 56)

[7] Lihat al-Iqna’ fi Hall Alfaz Abi Syuja’, hlm. 9

[8] Riwayat Ahmad (7451) dan al-Tirmizi (3545)

[9] Riwayat Muslim (384)

[10] Riwayat al-Bukhari (576)

[11] Riwayat Muslim (384)

[12] Lihat al-Minhaj Syarah Sahih Muslim, 4/87

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *