Soalan:
Assalamualaikum w.b.t. Saya ada satu soalan. Saya ada memelihara kucing dalam rumah. Kadang-kadang ketika saya sedang solat, kucing saya bermain-main di hadapan tempat saya solat atau menggesel-gesel badannya pada kaki saya. Justeru, adakah solat saya sah kerana kadang-kadang saya terganggu dengannya? Mohon pencerahan. Terima kasih.
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t.
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Bagi menjawab persoalan ini, terdapat riwayat daripada Abu Hurairah R.A bahawa Nabi SAW bersabda:
يَقْطَعُ الصَّلَاةَ الْمَرْأَةُ وَالْحِمَارُ وَالْكَلْبُ
Maksudnya: “Yang memutuskan solat (seseorang) adalah perempuan, keldai dan anjing.”[1]
Jumhur ulama berpendapat bahawa tidak batal solat seseorang disebabkan oleh sesuatu yang melintas di hadapannya. Makna terputusnya solat sebagaimana yang dinyatakan dalam hadith adalah kurangnya pahala solat kerana hatinya — yakni fokusnya — telah terganggu dengan perkara-perkara tersebut.[2] Begitu juga Imam al-Nawawi turut menyebutkan, lafaz “القطع” (terputus) di sini bermaksud terputus daripada khusyuk dan zikir kerana dia telah disibukkan dengannya serta telah berpaling kepadanya. Bukan kerana perkara itu merosakkan atau membatalkan solatnya.[3]
Oleh itu, jelaslah bahawa perkara-perkara tersebut, yakni yang dinyatakan sebagai pemutus solat bukanlah bermaksud membatalkan solatnya, tetapi menyebabkan kekhusyukkan dan perhatiannya ketika solat terganggu. Akhirnya, ia telah membawa kepada kurangnya ganjaran pahala solatnya. Oleh sebab itu, ketika solat kita hendaklah berusaha semampu mungkin dalam menjaga kekhusyukkan solat kita dan menjauhi segala perkara yang boleh menyebabkan hati kita hilang fokus ketika solat. Hal ini adalah sebagaimana riwayat daripada Abu Sa‘id al-Khudri, bahawa Nabi SAW bersabda:
لا يَقطَعُ الصَّلاةَ شيءٌ، وادرَؤوا ما استطَعْتُم؛ فإنَّما هو شيطانٌ
Maksudnya: “Tidak ada sesuatu yang dapat memutuskan solat kamu, dan hendaklah kamu mencegahnya semampu mungkin kerana sesungguhnya ia adalah syaitan.”[4]
Oleh yang demikian, kucing yang melintas di hadapan orang yang sedang solat, tidak membatalkan solatnya. Perkara ini dikuatkan lagi dengan riwayat daripada Abdullah bin Umar dan Ali bin Abu Talib R.Anhum bahawa mereka berkata:
لا يَقطَعُ الصَّلاةَ شَيءٌ ممّا يَمُرُّ بيْنَ يَدَيِ المُصَلِّي
Maksudnya: “Tidak ada sesuatupun yang boleh memutuskan solat seseorang, daripada apa-apa yang melintasi di hadapan seseorang yang sedang solat itu.”[5]
Lebih-lebih lagi Kucing merupakan haiwan yang suci dan selalu berkeliaran di sekeliling manusia. Kabsyah binti Ka‘ab bin Malik ada melaporkan bahawa pada suatu hari Abu Qatadah berada di dalam rumah, lalu dia telah menyediakan baginya sebekas air untuk dijadikan sebagai air wuduk. Kemudian, datang seekor kucing meminum air tersebut. Abu Qatadah membiarkan sahaja kucing itu meminum air daripada bekas tersebut. Kemudian, Abu Qatadah perasan yang Kabsyah memandang kepadanya lalu dia bertanya: “Adakah kamu merasa pelik wahai anak saudaraku?” Kabsyah menjawab: “Ya.” Lalu Abu Qatadah menjelaskan bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda:
إِنَّهَا لَيْسَتْ بِنَجَسٍ، إِنَّمَا هِيَ مِنَ الطَّوَّافِينَ عَلَيْكُمْ، أَوِ الطَّوَّافَاتِ
Maksudnya: “Sesungguhnya kucing itu tidak najis kerana ia ialah haiwan yang berkeliaran di sekeliling kamu.”[6]
Maka, kita ketahui bahawa di sana ada kelonggaran dan hukum khas yang diberikan kepada kucing kerana ia termasuk dalam haiwan yang biasanya berkeliaran di tempat tinggal manusia atau dijadikan sebagai haiwan peliharaan.
Al-San‘ani menyebutkan dalam kitabnya bahawa Allah SWT telah memberi keringanan kepada hamba-Nya (hukum berkaitan kucing) dengan menjadikannya tidak najis, bagi menghilangkan kesusahan kepada manusia, dan hadith ini merupakan dalil bahawa kucing itu adalah suci, begitu juga bekas minumannya (air yang telah diminum).[7]
Hadith ini menunjukkan kepada sucinya mulut kucing dan air lebihan yang diminumnya. Inilah pendapat yang dipegang oleh al-Syafi‘i dan al-Hadi. Manakala Abu Hanifah pula berpendapat, ia adalah najis sepertimana binatang buas. Akan tetapi diberi keringanan (rukhsah) padanya, maka air lebihan yang diminum oleh kucing hukumnya adalah makruh — untuk digunakan,[8] dan tidak makruh menggunakannya sekiranya tidak ada air lain.[9] Walau bagaimanapun, dalam mazhab al-Syafi‘i, air baki jilatan kucing itu adalah suci dan tidak makruh menggunakannya.[10] Ibn Qudamah juga ada menyatakan bahawa bagi setiap haiwan hukum kulitnya, bulunya, peluhnya, air matanya atau air liurnya adalah mengikut hukum bekas minumannya (air yang telah diminum) sama ada suci atau najis.[11]
Manakala al-Khatib al-Syirbini pula menyatakan bahawa bahagian yang terpisah daripada haiwan yang hidup, hukumnya adalah seperti bangkainya. Dalam erti kata lain, haiwan yang hidup itu, sekiranya bangkainya adalah suci maka bahagian yang terpisah itu juga adalah dikira sebagai suci. Sekiranya bangkainya adalah najis maka bahagian yang terpisah itu juga adalah dikira sebagai najis. Oleh itu, bahagian yang terpisah daripada manusia, ikan atau belalang adalah suci, manakala haiwan selainnya adalah dianggap najis. Adapun, bahagian yang terpisah daripada haiwan yang sudah mati, hukumnya mengikut sebagaimana haiwan tersebut mati (disembelih ataupun tidak) tanpa syak lagi melainkan pada bulu haiwan yang boleh dimakan. Hukumnya adalah suci secara ijma‘ para ulama.[12]
Oleh itu, secara asasnya menurut mazhab Syafi‘i bulu kucing yang tercabut semasa ia masih hidup dianggap sebagai najis kerana kucing termasuk dalam kategori haiwan yang tidak halal dimakan. Walaupun begitu, ia adalah dimaafkan jika sedikit. Begitu juga dimaafkan bagi mereka yang bekerja sebagai doktor haiwan, penjaga zoo dan lain-lain kerjaya yang tidak dapat mengelakkan diri daripada kucing — termasuklah mereka yang memeliharanya. Hal ini dinyatakan oleh Syeikh Ibrahim al-Bajuri sebagaimana berikut:
وَخَرَجَ بِالـمَأْكُولِ غَيْرُهُ كَالحِمَارِ وَالـهِرَّةِ فَشَعْرُهُ نَجِسٌ لَكِن يُعْفَى عَن قَلِيلِهِ بل وعَن كَثِيرِهِ فِي حَقٍّ مَن ابتلى به كالقصاصين
Maksudnya: “Dikecualikan dengan hukum haiwan yang halal dimakan (halal bulunya) iaitu selainnya seperti keldai dan kucing. Maka bulunya adalah najis namun dimaafkan jika sedikit. Bahkan (turut dimaafkan) dalam jumlah banyak (bulunya) bagi individu yang ada kesulitan dengannya seperti pemotong bulu.”[13]
Kesimpulannya
Berdasarkan kepada perbahasan dan perbincangan di atas, kami berpendapat bahawa solat seseorang itu tidak terbatal, bahkan ia tetap sah sekalipun terdapat kucing yang melintas, mahupun bermain-main di kakinya kerana tidak ada suatu apapun yang melintas boleh membatalkan solat seseorang sebagaimana pendapat jumhur ulama. Selain itu, kucing termasuk dalam haiwan yang dianggap suci kerana ia merupakan haiwan peliharaan dan sukar untuk dikawal, lebih-lebih lagi bagi mereka yang memeliharanya. Oleh kerana itu, jika badan, pakaian atau tempat solat terkena bulu kucing, maka solat yang dikerjakan adalah sah.
Pada kesempatan ini juga, kami ingin menasihati jika dapat meletakkan sebentar kucing peliharaan tersebut di dalam ruangan yang lain selain ruangan solat atau mengurungnya sebentar di dalam sangkar adalah lebih baik. Mudah-mudahan, kekhusyukan kita di dalam solat tidak terganggu sehingga boleh menyebabkan pahala solat kita berkurangan. Apatah lagi kita dituntut bahkan disunatkan untuk menghadirkan sepenuh hati dan khusyuk ketika menunaikan solat serta menghayati segala bacaan di dalamnya. Khusyuk di dalam solat adalah merupakan salah satu ciri orang beriman yang berjaya sebagaimana firman Allah SWT:
قَدْ أَفْلَحَ الْمُؤْمِنُونَ، الَّذِينَ هُمْ فِي صَلَاتِهِمْ خَاشِعُونَ
Maksudnya: “Sesungguhnya telah berjayalah orang-orang yang beriman, yang mana mereka itu khusyuk di dalam solat mereka.”[14]
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.
Wallahua‘lam.
Bertarikh: 1 April 2022 bersamaan 29 Syaaban 1443H
[give_form id=”14962″]
[1] Riwayat Muslim (511)
[2] Lihat al-Dibaj ‘ala Sahih Muslim, 2/193.
[3] Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 3/251.
[4] Riwayat Abu Daud (719)
[5] Lihat al-Muwatta’, 1/156.
[6] Riwayat al-Tirmizi (92); Abu Daud (75); al-Nasa’i (68); Ibn Majah (367)
[7] Lihat Subul al-Salam, 1/33.
[8] Lihat Nail al-Autar, 1/53;
[9] Lihat al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu, 1/269-270.
[10] Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 1/172.
[11] Lihat al-Mughni, 1/39.
[12] Lihat Mughni al-Muhtaj, 1/235.
[13] Lihat Hasyiyah al-Baijuri ‘ala Ibn Qasim al-Ghazi, 2/290.
[14] Surah al-Mukminun: 1-2