Soalan:
Assalamualaikum w.b.t. Bolehkah seorang suami itu memasukkan jarinya ke dalam dubur isterinya ketika melakukan hubungan intim? Maaf atas soalan begini. Mohon pencerahan. Terima kasih.
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t.
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Pada asasnya seorang suami diharuskan untuk menikmati secara seksual setiap bahagian tubuh isterinya melainkan menyetubuhi isterinya pada dubur.[1] Hal ini adalah berdasarkan riwayat daripada Khuzaimah bin Thabit R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:
إِنَّ اللهَ لَا يَسْتَحِيي مِنَ الْحَقِّ فَلَا تَأْتُوا النِّسَاءَ فِي أَدْبَارِهِنَّ
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah tidak malu daripada menyatakan kebenaran, maka janganlah kamu mendatangi isteri pada dubur mereka.”[2]
Selain itu, terdapat riwayat daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
مَلْعُونٌ مَنْ أَتَى امْرَأَتَهُ فِي دُبُرِهَا
Maksudnya: “Orang yang dilaknat itu ialah seorang yang mendatangi isterinya pada duburnya.”[3]
Begitu juga diharuskan untuk bermain-main secara seksual antara suami dan isteri secara intim dan mesra, sebelum memulakan persetubuhan, dengan syarat selagi mana tidak membawa kepada kerosakan. Perkara ini berdalilkan firman Allah SWT:
نِسَاؤُكُمْ حَرْثٌ لَّكُمْ فَأْتُوا حَرْثَكُمْ أَنَّىٰ شِئْتُمْ
Maksudnya: “Isteri-isteri kamu adalah sebagai kebun tanaman kamu, oleh itu datangilah kebun tanaman kamu menurut cara yang kamu sukai dan sediakanlah (amal-amal yang baik) untuk diri kamu.”[4]
Tambahan lagi, terdapat riwayat daripada Jabir bin Abdullah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
هَلَّا تَزَوَّجْتَ بِكْرًا تُلاَعِبُهَا وَتُلاَعِبُكَ
Maksudnya: “Mengapakah engkau tidak berkahwin dengan anak dara yang engkau boleh bermain dengannya dan dia bermain dengan engkau?”[5]
Justeru, para ulama berpendapat bahawa diharuskan bagi seorang suami dan isteri untuk menyentuh dan bermain-main dengan alat sulit pasangannya, secara seksual dan makruf, bukan dengan cara yang merosakkan. Perkara ini disebut oleh Zainuddin al-Malibari — murid kepada Ibn Hajar al-Haitami — bahawa:
يَجُوزُ لِلزَّوْجِ كُلُّ تُمَتَّعُ مِنْهَا بِمَا سِوَى حَلَقَةِ دُبُرِهَا وَلَوْ بِمَصِّ بَظَرِهِ
Maksudnya: “Diharuskan bagi seorang suami itu menikmati secara seksual akan tubuh isterinya, selain daripada lubang dubur (yakni dengan cara meliwat), sekalipun dengan menghisap biji kelentitnya.”[6]
Larangan mendatangi isteri pada dubur bermaksud meliwatnya yang melibatkan penembusan. Sekiranya sekadar menikmati secara seksual pada dubur isteri, ia dibenarkan dengan syarat tidak melibatkan penembusan sebagaimana yang dijelaskan oleh Syeikh al-Islam Zakaria al-Ansari.[7]
Selain daripada itu, diharamkan buat suami untuk melakukan sebarang penembusan terhadap dubur isterinya kerana dua sebab:
- Perbuatan tersebut termasuk dalam perkara menyentuh najis secara terus (direct). Hal ini kerana pada asalnya, seorang Muslim itu hendaklah menjauhi segala tempat-tempat bernajis dan kotor. Mengenai hal ini, al-Khatib al-Syirbini dan al-Ramli menyebutkan:
التَّضَمُّخ بِالنَّجَاسَةِ حرام
Maksudnya: “Melumuri dengan najis — secara terus dan sengaja — adalah haram.”[8]
Pengarang-pengarang hasyiah dalam mazhab Syafi‘i mengikat hukum haram tersebut, jika ia dilakukan tanpa sebarang keperluan seperti yang disebutkan oleh al-Syabramalisi, al-Syarwani dan lain-lain.[9] Di dalam Bughyah al-Mustarsyidin dinyatakan bahawa haram untuk menyentuh najis secara terus (direct) dalam keadaan lembap atau basah tanpa sebarang keperluan. Maka, wajib membasuhnya secara segera (jika menyentuhnya tanpa keperluan), berbeza sekiranya ada keperluan seperti beristinja’.[10]
- Perbuatan tersebut terdapatnya kemudaratan seperti munculnya beberapa penyakit di kawasan itu seperti buasir dan seumpamanya. Menurut Dr. Alex Ky-Miyasaka, seorang pakar bedah kolorektal di Mount Sinai Medical Center, bersenggama dengan tusukan di dubur ini tidak menyebabkan kemunculan buasir baharu pada tubuh anda. Walau bagaimanapun, penetrasi atau kemasukan zakar ke dalam anus secara tidak langsung dapat menyebabkan iritasi pada buasir yang sudah anda alami. Buasir yang sedia ada bengkak akan terus berasa sakit akibat daripada gesekan semasa penetrasi. Ini menyebabkan anda akan berasa sakit ketika melakukan hubungan seks anal.
Tambahan lagi, dubur tidak menghasilkan bahan pelincir semula jadi seperti faraj yang boleh membuatkan penetrasi berasa lebih mudah dan kurang sakit. Gesekan yang kering pada dubur boleh menjadikan benjolan buasir tersebut menjadi haus, terluka dan koyak sehingga menyebabkan pendarahan. Pakar perubatan juga berpendapat bahawa penetrasi seks anal dapat menyebabkan iritasi atau mengoyakkan lapisan dubur yang sudah sedia ada mempunyai buasir, sehingga menyebabkan rekahan pada lubang dubur.
Selain daripada memburukkan buasir yang sedia ada, seks anal juga mempunyai beberapa risiko kesihatan yang lain. Antaranya, ia boleh membuatkan dinding dubur mengalami iritasi. Dubur berbeza dengan faraj, kerana faraj akan mengeluarkan lebih banyak cecair pelincir semula jadi apabila semakin terangsang. Kulit di dalam dubur tidak diciptakan sama seperti kulit di dalam faraj. Oleh sebab itu, ia berisiko untuk mengalami koyakan dan berdarah. Apabila kulit dalam dubur telah terbuka, koyakan yang berlaku ini akan lebih berisiko tinggi menjadi pintu kemasukan bakteria dan juga virus penyebab penyakit kelamin dari satu individu kepada individu lain.[11]
Kesimpulannya
Justeru, berdasarkan kepada soalan yang diajukan, kami berpendapat bahawa diharamkan bagi suami untuk memasukkan jarinya ke dalam dubur isterinya kerana terdapat hadith yang melarangnya dan perbuatan itu mendatangkan kemudaratan. Justeru, larangan ini juga bertepatan dengan hadith Nabi SAW agar kita menjauhi daripada sebarang bentuk kemudaratan sebagaimana sabdanya:
لاَ ضَرَرَ وَلاَ ضِرَارَ
Maksudnya: “Tidak boleh mudarat dan tidak boleh memudaratkan.”[12]
Selain daripada itu, diharuskan untuk bermain-main secara seksual dengan menggunakan mulut dan lain-lain dengan syarat tidak membawa kepada penyakit dan masalah kesihatan, dilakukan secara konsensual, tidak membawa kepada kerosakan dan dilakukan dengan penuh adab. Apatah lagi pada zaman sekarang yang terdedah dengan pelbagai fitnah syahwat seperti penzinaan, pelacuran dan pornografi, sebarang teknik untuk menambahkan lagi kualiti hubungan seksual antara suami dan isteri amatlah wajar dilakukan, selagi mana tidak melibatkan perkara yang haram seperti meliwat dan menelan najis.
Kami akhiri dengan doa:
رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا
Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berikanlah kepada kami isteri-isteri dan juga anak pinak yang menjadi penyejuk mata bagi kami, serta jadikanlah kami ini sebagai pemimpin bagi orang-orang yang bertaqwa.”
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.
Wallahua‘lam.
Bertarikh: 4 April 2022 bersamaan 2 Ramadhan 1443H
[give_form id=”14962″][1] Lihat al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, 4/84.
[2] Riwayat al-Nasa’i (8942)
[3] Riwayat Ahmad (9733)
[4] Surah al-Baqarah: 223
[5] Riwayat al-Bukhari (2967)
[6] Lihat Fath al-Mu‘in, hlm. 482.
[7] Lihat Asna al-Matalib, 3/113.
[8] Lihat Mughni al-Muhtaj, 1/194; Nihayah al-Muhtaj, 1/185.
[9] Lihat Tuhfah al-Muhtaj wa Hawasyi al-Syarwani wa al-‘Abbadi, 1/174; Nihayah al-Muhtaj wa Hawasyi al-Syabramalisi wa al-Rasyidi, 1/143.
[10] Lihat Bughyah al-Mustarsyidin, hlm. 33.
[11] Lihat https://hellodoktor.com/penyakit-perut-gastrousus/buasir/seks-anal-buasir/. Diakses pada 1 April 2022.
[12] Riwayat Ibn Majah (2341)