“Atuk, orang Islam buat haji di Mekah kan? Jauh tak Mekah dengan Malaysia?”, Sarah bertanya kepada Tok Aki. Tok Aki berpaling kepada cucunya dan berkata, “Jauhnye tu, dok lah jauh sangat. Dalam 9 jam jugok kalu direct flight. Puahsang[1]…Hahaha.”.

“Ohhh…atuk, Zul pernah buat haji tak masa dia belajar di Madinah dulu? Madinah dengan Mekah macam dekat je? Sarah tengok di Google Map tadi.”, tanya Sarah dengan penuh minat.

“Ehh..mestilah. Dop nasaboh doh duduk dekat dengan Mekoh, dop gi buat haji. Ha…mari atuk cite pengalaman Zul buat haji…”, kata Tok Aki sambil mencapai gobek sireh dan kacip pinang.

*********************

Bermulanya bulan Zulhijjah, stesen televisyen dan radio di Mekah dan Madinah sudah mula menggemakan talbiah. Pasaraya juga tidak ketinggalan memasang alunan talbiah hampir setiap masa. Lafaz tersebut adalah bersandarkan hadis daripada Ibn ‘Umar R.Anhuma, Rasulullah SAW bersabda:

لَبَّيْكَ اللَّهُمَّ لَبَّيْكَ لَبَّيْكَ لاَ شَرِيكَ لَكَ لَبَّيْكَ إِنَّ الْحَمْدَ وَالنِّعْمَةَ لَكَ وَالْمُلْكَ لاَ شَرِيكَ لَكَ

Maksudnya: “Hamba-Mu datang menyahut panggilan-Mu ya Allah. Hamba-Mu datang menyahut panggilan-Mu, Tuhan yang tiada sekutu bagi-Mu. Hamba-Mu datang menyahut panggilanMu. Sesungguhnya segala puji dan nikmat dan kerajaan adalah kepunyaanMu, tiada sekutu bagiMu.”[2]

“Alhamdulillah, kita ada dua hari lagi sebelum wukuf. Sebagaimana yang kita faham, sunat membaca laungan talbiah ini bermula daripada berniat ihram hingga permulaan tawaf bagi yang mengerjakan umrah dan hingga mulai melontar Jamrah al-Kubra atau mula tawaf atau bercukur mengikut amalan mana yang didahulukan bagi yang mengerjakan haji.” Zul menyampaikan taklimat kepada rakan-rakannya dan adik-adik junior daripada Madinah yang bersama-samanya untuk menunaikan haji. Kebiasaannya, Persatuan Pelajar Malaysia Madinah akan bekerjasama dengan Persatuan Pelajar Malaysia Mekah bagi kelancaran ibadah haji dalam kalangan mahasiswa daripada Madinah.

“Dalam hadis As-Sa’ib bin Khallad, Rasulullah SAW bersabda:

أَتَانِي جِبْرِيلُ فَأَمَرَنِي أَنْ آمُرَ أَصْحَابِي أَنْ يَرْفَعُوا أَصْوَاتَهُمْ بِالإِهْلاَلِ وَالتَّلْبِيَةِ

Maksudnya: “Telah datang kepadaku Jibril A.S, maka dia memerintahkan aku untuk memerintahkan sahabat-sahabatku agar mengangkat suara-suara mereka ketika berihlal atau bertalbiah”[3]

Bacaan talbiah disunatkan bagi lelaki untuk dikuatkan bagi kita orang lelaki. Firman Allah SWT:

وَأَذِّن فِي النَّاسِ بِالْحَجِّ يَأْتُوكَ رِجَالًا وَعَلَىٰ كُلِّ ضَامِرٍ يَأْتِينَ مِن كُلِّ فَجٍّ عَمِيقٍ

Maksudnya: “Dan serukanlah umat manusia untuk mengerjakan ibadat Haji, nescaya mereka akan datang ke (rumah Tuhan) mu dengan berjalan kaki, dan dengan menunggang berjenis-jenis unta yang kurus yang datangnya dari berbagai jalan (dan ceruk rantau) yang jauh.”

Walaupun talbiah ni sunat, hajinya sah jika tak buat, tak rugi kita tinggal sebab hilang pahala fadhilatnya. Nabi SAW pernah ditanya:

أَىُّ الْحَجِّ أَفْضَلُ قَالَ ‏ “‏ الْعَجُّ وَالثَّجُّ ‏”‏

Maksudnya: “Apakah haji yang paling afdhal? Baginda menjawab: “Menyaringkan ucapan talbiah dan menyembelih binatang korban.”[4]

Panjang lebar huraian Zul kepada semua ahli rombangan. Tiba-tiba Yasir yang berada di belakang, mengangkat tangannya. “Ustaz Zul! Ana nak bertanya. Kalau kita tengok di sebelah ni bha, jemaahnya berihram naik bas teda bumbung. Kenapa ya?”, pekat loghat Sabah yang Yasir gunakan namun masih boleh difahami. Zul ketawa kecil mendengar persoalan tersebut. Beliau menjeling bas sebelah dan berkata, “Itu jemaah haji dari Iran. Orang Syiah memang lain sikit. Bagi Syiah, kalau dah berihram, tak boleh ada apa-apa langsung yang menutup kepala. Termasuk bumbung bas. Sebab tu bas jemaah haji Iran biasanya taka da bumbung.”

Alhamdulillah, ketibaan rombongan pelajar daripada Madinah disambut Persatuan Pelajar Malaysia Mekah yang diwakili Ustaz Abdul Mu’in, Ustaz Talal, Ustaz Zuhdi, Ustaz Saibon, Ust Syahril, Ust Abdul Razak dan ramai lagi. Zul dan rakan-rakan dibahagi-bahagikan ke rumah sewa dan rumah persatuan.

“Kite nok buat haji ape ye?”, tanya Shohor Bani kepada Zul. Zul menutup kitab al-Idhah fi Manasik al-Hajj wa al-‘Umrah oleh Imam al-Nawawi dan meletakkannya dalam beg sandang beliau. “Kita buat haji ifrad, insya-Allah. Dop payoh nok bayar dam. Kite masuk Mekoh lewat doh ekpung.”, jawab Zul sambil melihat suasana sekitar Mekah yang mula sesak dengan manusia dari seluruh dunia.

**********************

Matahari pagi Arafah pada jam 8.15 pagi sudah mula menyengat ke kulit. Zaini, Zul dan Shohor Bani terpisat-pisat kehairanan. Di luar rumah sewa, ada van, bas dan beberapa buah kereta kambing (kereta pacuan empat roda yang biasa digunakan Arab Badwi untuk membawa kambing biri-biri). “Sila, sila…boleh pilih nak naik yang mana satu. Asalkan sampai destinasi. Hehe…”, Ustaz Talal berseloroh.

Maka Zul, Zaini dan Shohor Bani pun bergegas menuju ke van. “Kalau beratur awal depan van, boleh duduk depan.”, Zul berbisik dalam hati. Ditariknya tangan Zaini dan Shohor Bani sambil berlari-lari anak. Berdirilah mereka bertiga, beratur menunggu pintu van dibuka oleh pemandu si Arab Mekah yang entah di mana. Rupanya, ujian pertama mereka sudah bermula. Van yang lengang baru 2-3 minit tadi, tiba-tiba diserbu manusia bak semut menghurung gula. Memandangkan saiz mereka lebih kecil berbanding orang Arab dan Afrika yang menghimpit, semakin lama mereka semakin tertolak ke belakang. “Penat kite duk ccacang sakni. Habih puok die tolok. Nok masuk beng[5] pung bbolok!”, Zaini mengomel sendirian. Pemandu van tiba-tiba muncul dan menjegilkan mata melihat Zul, Zaini dan Shohor Bani yang masih terkebil-kebil. “Kamu nak pergi ke mana…Masjid Namirah???”, tanya pemandu van yang berusia sekitar 50-an tersebut dengan muka yang garang. Ketiga-tiganya mengangguk laju. Pemandu van tersebut tersenyum dan mendongakkan kepala. Jari telunjuknya dihalakan ke bumbung van.

“Ah, jomlah. Janji sapa. Atah ning sedak skek. Kite dok bbolok dengan puok ye…”, kata Zul menyedapkan hatinya dan cepat-cepat naik ke atas bumbung van. Itulah pengalaman pertama ketiga-tiga anak muda ini duduk di atas bumbung van dalam perjalanan menunaikan Rukun Islam kelima. Keadaan van yang uzur dan gaya pemanduan orang Arab yang laju bak menunggang unta, menjadi hiburan dan gelak tawa mereka bertiga sepanjang perjalanan. Sampai di Masjid Namirah, masing-masing mencari tempat untuk berwukuf. Zul memilih satu kawasan yang sedikit lapang berdekatan Jabal Rahmah dan menghampar tikar yang dibawa bersama. Ada sebahagian pelajar lain, rezeki mereka dapat menetap di khemah yang disediakan oleh pihak Muassasah dan Tabung Haji. Keadaan sedikit selesa di sana.

“Kalau enta nak tahu, nama bukit ni masyhurnya Jabal Rahmah. Tapi nama sebenar Jabal ‘Ilal. Sebahagian orang kita suka sangat mari sini. Doa untuk jodoh. Ukir nama di batu atas ni. Selit gambar gewe[6] di celah-celah batu. Ade berkat katanya. Sebenarnya, tak betul buat macam tu. Nak jodoh ke usaha, mintak pada Allah. Bukan buat benda-benda tak molek di sini. Syeikh Bakr Abu Zaid ada hurai isu ni dalam kitab Jabal ‘Ilal bi ‘Arafah.”, Zul berbual dengan Zuhri yang asyik melihat manusia bertali arus naik dan turun daripada Jabal Rahmah.

Apabila jarum jam menginjak ke pukul 12 tengahari, terasa seakan matahari berada di atas kepala. Kawasan di sekitar Arafah kelihatan memutih, dipenuhi jutaan manusia memakai ihram. Tua, muda, miskin dan kaya semuanya berpakaian sama. Semua memanfaatkan waktu yang berbaki untuk beribadah, berdoa dan bermunajat kepada Allah SWT, mengejar pahala dan keampunan di hari yang mulia, di tempat yang mulia. Ada yang menangis teresak-esak, ada yang khusyuk membaca al-Qur’an dan berzikir sejak berjam-jam lamanya. Daripada Aisyah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

مَا مِنْ يَوْمٍ أَكْثَرَ مِنْ أَنْ يُعْتِقَ اللهُ فِيهِ عَبْدًا مِنَ النَّارِ، مِنْ يَوْمِ عَرَفَةَ

Maksudnya: “Tidak ada satu hari yang lebih banyak dibebaskan hamba-Nya daripada api neraka melainkan pada hari Arafah”.[7]

Khutbah ‘Arafah disampaikan dengan penuh bertenaga oleh Syeikh ‘Abdulaziz Aal al-Syeikh. Ada ura-ura yang Zul dengar, beliau antara calon yang disenarai pendek menjadi Mufti Besar Kerajaan Arab Saudi selepas Syeikh Abdulaziz bin Abdullah bin Baz. Selepas solat, masing-masing meneruskan kembali ibadah sehinggalah menjelang Maghrib.

**********************

“Ni, ana ada dengor Tabung Haji keluar pandangan dop buleh lontor jamrah sebelum zawal[8]. Ana dok berape setuju. Ape pandangan enta kalau ana edar satu risalah kecik yang kupas isu ni? Ana doh siapkang mase di Madinah lagi.”, Zul bertanya Zaini ketika dalam perjalanan ke Muzdalifah. “Bagus jugok tu Zul. Molek enta edar pade jemo’oh haji Malaysia.” Lantas pen dan buku notanya di capai dan beberapa catatan dibuat.

Rombongan pelajar Malaysia di Madinah berarak beramai-ramai ke Muzdalifah dengan mengibarkan bendera Malaysia. Terselit rasa bangga kerana dunia luar memang mengagumi disiplin dan akhlak jemaah haji Malaysia. Melihat bendera Malaysia berkibar, beberapa orang berbangsa asing menunjukkan isyarat ibu jari tanda “bagus”. Batu-batu kecil yang dikutip untuk melontar keesokan hari, dikumpulkan dalam plastik kecil yang diikat kemas. Zul dan rakan-rakannya tidur nyenyak berbantalkan lengan, dan berbumbungkan langit di bumi Muzdalifah. Itulah Hotel Lima Ribu Bintang, yang menjanjikan keselesaan dan kerehatan kepada tubuh yang sudah penat. Tidak ada beza warna kulit, harta dan pangkat. Asalkan bergelar dhuyufurrahman, sesiapa sahaja layak menginap di situ.

Di bilik urusetia Tabung Haji di Mina, gempar seketika apabila beberapa risalah yang menjelaskan hukum melontar sebelum zawal ditemui dalam kalangan jemaah. Pandangan tersebut bercanggah dengan pandangan Tabung Haji dalam isu melontar sebelum zawal.

“Sepakat para ulama’ harus melontar sebelum zawal pada hari raya dan itulah yang paling afdhal. Sepakat juga para ulama’ bahawa melontar pada hari-hari Tasyriq selepas zawal sebelum solat Zohor atau selepas solat adalah afdhal. Ia juga sunnah yang sabit dari Nabi SAW. Daripada Jabir R.Anhu berkata:

رَأَيْتُ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم يَرْمِي الْجَمْرَةَ وَهُوَ عَلَى بَعِيرِهِ وَهُوَ يَقُولُ ‏ “‏ يَا أَيُّهَا النَّاسُ خُذُوا مَنَاسِكَكُمْ فَإِنِّي لاَ أَدْرِي لَعَلِّي لاَ أَحُجُّ بَعْدَ عَامِي هَذَا

Maksudnya: “Aku telah melihat Rasulullah SAW telah melontar dan Baginda di atas untanya lalu bersabda: “Wahai manusia, ambillah kerja-kerja haji kamu sesungguhnya aku tidak mengetahui apakah aku masih akan melaksanakan haji lagi selepas tahun ini”[9]

Berdasarkan kepada sunnah Baginda Nabi SAW, melontar tujuh biji anak batu di Jamratul Kubra merupakan amalan yang pertama dilaksanakan oleh jemaah haji pada 10 Zulhijjah di Mina. Perkara ini merupakan penghormatan bagi Mina. Antara amalan-amalan sunat yang digalakkan dibuat semasa melakukan lontaran Jamratul Kubra adalah:

  1. Berhenti bertalbiah apabila melakukan lontaran yang pertama dan digantikan dengan takbir.
  2. Bertakbir setiap kali melontar.
  3. Melontar dengan menggunakan tangan kanan. Bagi lelaki, disunatkan mengangkat tangan dengan tinggi manakala bagi wanita, tidak disunatkan berbuat demikian.
  4. Anak batu yang digunakan untuk melontar hanyalah sebesar kacang kuda.
  5. Melontar dalam keadaan kiblat di sebelah kirinya dan Arafah di sebelah kanannya dan menghadap takungan Jamrah.
  6. Melontar secara berturutan (muwalat).
  7. Melontar dengan batu yang tidak bernajis.

Ulama’ berbeza pendapat adakah melontar selepas terbit fajar dan sebelum zawal harus atau tidak? Terdapat beberapa pendapat. Pendapat pertama, tidak harus melontar sebelum zawal pada hari-hari Tasyriq sama sekali, dan sesiapa yang melontar sebelum zawal perlu melontar semula. Inilah pendapat majoriti ulama’. Pendapat kedua, harus melontar sebelum zawal pada setiap hari Tasyriq. Ini pandangan yang diriwayatkan daripada Ibn ‘Abbas, Ibn al-Zubair, dinukilkan dari ‘Ata’, Tawus, Ikrimah, Ibn Tawus, Abu Jaafar Al-Baqir. Ini merupakan pandangan Abu Hanifah yang tidak masyhur, pandangan al-Juwaini, al-Rafie dan al-Isnawi iaitu ulama’ Syafi’iyyah. Ibn Al-Jauzi, Ibn Az-Zaghuni iaitu ulama’ Hanabilah. Sepanjang pengetahuan penulis, pandangan ini juga adalah pandangan ulama’ semasa seperti Syeikh Mustafa al-Zarqa’ dan Syeikh ‘Abd al-Rahman al-Sa’di.

Akhukum fillah,

Zulkifli bin Mohamad Al-Bakri

Risalah yang tersebar dalam kalangan jemaah haji Malaysia itu dibaca dengan teliti oleh Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Ibadat Haji, Lembaga Tabung Haji. “Bagus hujah anak muda ni. Besar semangatnya. Dengar kata Zulkifli ni pelajar Malaysia di Universiti Islam Madinah. Insya-Allah mana tahu sampai masanya nanti, budak ni akan ada bersama-sama kita dalam jawatankuasa ni atau lebih tinggi.”. Beliau mengongsikan risalah itu kepada beberapa pegawai Tabung Haji di Mua’ssasah.

*********************

Selepas selesai melontar Jamrah al-Kubra di Mina, masing terus mencukur kepala dan ada yang memilih untuk menggunting sedikit rambut sebagai memenuhi tuntutan tahallul awwal sebelum bertolak ke Mekah untuk tawaf dan berkumpul di Rumah Malaysia Mekah.  Tahallul awwal boleh dilaksanakan oleh jemaah haji apabila telah melaksanakan dua daripada tiga perkara iaitu melontar Jamrah al-Kubra, tawaf rukun dan sai’e (jika saie’ masih belum dilaksanakan) dan bercukur atau berguntin. Dalam melaksanakan talallul awwal, jemaah haji boleh untuk melakukan mana-mana perbuatan di atas secara mengikut turutan ataupun sebaliknya.

Allah SWT berfirman:

لَتَدْخُلُنَّ الْمَسْجِدَ الْحَرَامَ إِن شَاءَ اللَّـهُ آمِنِينَ مُحَلِّقِينَ رُءُوسَكُمْ وَمُقَصِّرِينَ لَا تَخَافُونَ

Maksudnya: “Iaitu Sesungguhnya kamu tetap akan memasuki Masjid Al-Haram – insya Allah (pada masa Yang ditentukanNya) – Dalam keadaan aman (menyempurnakan Ibadat Umrah kamu) Dengan mencukur kepala kamu, dan kalau (tidak pun) menggunting sedikit rambutnya, serta kamu tidak merasa takut (akan pengkhianatan musuh sehingga kamu keluar balik dari situ).”[10]

Selepas Asar di Hari Raya iaitu 10 Zulhijjah, rombongan haji Zul dan rakan-rakan sekali lagi bergerak menuju ke Mina dan berada di sana sekitar 2/3 malam. Apabila jam menunjukkan pukul 2 pagi, mereka berkemas dan bersiap-siap untuk melontar kerana semuanya melakukan nafar awwal. Dalam melaksanakan ibadah haji, jemaah haji diberi pilihan untuk melakukan nafar awwal atau nafar thani. Tujuan nafar awwal dibuat adalah untuk meringkaskan tempoh pelaksanaan ibadah haji manakala Nafar thani pula adalah melaksanakan ibadah haji seperti biasa. Firman Allah SWT:

فَمَن تَعَجَّلَ فِي يَوْمَيْنِ فَلَا إِثْمَ عَلَيْهِ وَمَن تَأَخَّرَ فَلَا إِثْمَ عَلَيْهِ

Maksudnya: “Sesiapa yang segera (meninggalkan Mina) pada hari yang kedua, maka ia tidaklah berdosa dan sesiapa yang melambatkan (meninggalkan Mina) maka ia juga tidaklah berdosa”[11]

Antara syarat-syarat bagi pelaksanaan nafar awwal adalah jemaah haji tersebut perlu meninggalkan Mina sebelum jatuh matahari pada 12 Zulhijjah. Jemaah haji tersebut juga telah menyempurnakan kesemua lontaran di ketiga-tiga jamrah bagi dua Hari Tasyriq (11 dan 12 Zulhijjah) sebanyak 42 biji anak batu. Selain itu, dia mestilah telah bermabit di Mina selama dua malam dengan sempurna. Jemaah haji yang melakukan nafar awwal perlu berniat di dalam hatinya untuk melaksanakan nafar awwal sebelum keluar dari Mina dan niat nafarnya itu perlu disegerakan dengan keluarnya dari Mina dan tidak berazam untuk kembali bermabit di Mina. Oleh itu, dia perlulah bernafar sebelum terbenam matahari pada hari 12 Zulhijjah. Sekiranya jemaah tersebut telah memulakan perjalanannya, namun dia masih berada di dalam had kawasan mina lalu matahari telah terbenam, dalam hal ini nafar tersebut adalah dikira sah.

Musim haji juga adalah saat yang amat menggembirakan kerana Zul dapat bertemu orang kampung, ahli keluarga dan saudara mara dari Malaysia. “Zul, ni ambe bowok skek kepok dari Losong. Ustak Mad kirim ke anok die ni. Nok cari kepok memang dok juppe lah di Mekoh ni ye dok? Hahaha…”, Pok De menghulurkan plastik berisi keropok lekor yang dibungkus rapi dalam surat khabar. “Alhamdulillah, terime kasih Pok De. Ambe dop sempat nok beli buoh tangang ke Pok De, Mok De. Mari ambe bowok gi makang di Mat’am Hana’ sebelum kelik Malaysia ning. Nasi Bukhari ye sedak do’oh. Haa…jom. Kite naik teksi tu. Lepah ni ambe kene panggil Haji De lah.”, pelawa Zul dengan penuh santun kepada jirannya di Kubang Kekura itu sambil bergurau.

_____________________

[1] Bosan

[2] Riwayat Muslim (1184)

[3] Riwayat al-Tirmizi, no. 829

[4] Riwayat al-Tirmizi, no. 827

[5] Van

[6] Kekasih

[7] Riwayat Muslim, no. 2402

[8] Gelincir matahari

[9] Riwayat al-Nasaie (3062)

[10] Surah al-Fath: 27

[11] Surah al-Baqarah: 203

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *