“Mesti best kan Zul boleh jalan-jalan di Jordan?”, sampuk Sarah semasa Tok Aki sedang bercerita. Tok Aki mencapai cucur jagung dan mengunyahnya. “Memanglah best. Lagi jauh kite jalan, lagi luas pengalaman.”, jawab Tok Aki. “Zul sempat pergi banyak tempat masa di Jordan. Meh atuk cite…”, Tok Aki menyambung kata-katanya.

***********************

Sepanjang perjalanan, Zul kaget melihat budaya masyarakat Arab Jordan yang sedikit berbeza dengan Madinah. Pemakaian orang Arab di sini lebih moden dan hampir tidak ada yang berjubah kecuali beberapa orang tua di masjid. Umumnya, rakyat Jordan berdisiplin dan beratur ketika menaiki bas. “Kalu enta nok beli kasut comey dari Eropah, nanti ana bowok gi Abdali.”, Din berkata kepada Hazman. Hazman mengangguk dengan matanya masih melihat ke luar tingkap kereta.

Turut bersama mereka, Nazri selaku “pemandu pelancong”. Beliau adalah antara pelajar yang arif tentang Jordan, termasuk sejarahnya.

Firman Allah SWT:

سُبۡحَٰنَ ٱلَّذِيٓ أَسۡرَىٰ بِعَبۡدِهِۦ لَيۡلٗا مِّنَ ٱلۡمَسۡجِدِ ٱلۡحَرَامِ إِلَى ٱلۡمَسۡجِدِ ٱلۡأَقۡصَا ٱلَّذِي بَٰرَكۡنَا حَوۡلَهُۥ لِنُرِيَهُۥ مِنۡ ءَايَٰتِنَآۚ إِنَّهُۥ هُوَ ٱلسَّمِيعُ ٱلۡبَصِيرُ

Maksudnya: “Maha Suci Allah yang telah menjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haraam (di Makkah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.”[1]

“Sebenarnya, banyak masjid dalam kawasan ni. Ramai yang salah sangka, masjid kubah emas tu Masjid al-Aqsa. Ade jugak yang ingat masjid kubah perak tu Masjidil Aqsa.”, Nazri menerangkan tentang sejarah dan latarbelakang Masjid al-Aqsa. Zul ada membaca sedikit sebanyak tentang sejarah Masjid al-Aqsa. Jadi, tidaklah sukar bagi beliau untuk menghadam kisah yang disampaikan. Kompleks Masjid al-Aqsa memiliki keluasan sekitar 144,000 meter persegi.  Seluruh yang ada di dalam kawasan tembok tersebut merupakan Masjid al-Aqsa.

Pembukaan Masjid al-Aqsa bermula jauh pada era Khalifah Umar al-Khattab. Beliau diriwayatkan berangkat menuju ke Jerusalem, dan bermesyuarat bersama para sahabatnya tentang permintaan khusus rakyat Iliya’. Saidina Uthman ibn Affan menegah Umar pergi ke al-Quds, tetapi Saidina Ali bin Abi Talib mengusulkan cadangan lain yang kemudiannya diterima oleh Khalifah Umar al-Khattab iaitu melakukan rapat umum bersama rakyat Iliya’. Dalam tempoh pemergian Khalifah Umar al-Khattab ke Jerusalem, beliau telah melantik Saidina Ali bin Abi Talib menggantikan tugas kekhalifahannya untuk menjaga penduduk-penduduk Islam di Madinah. Lantikan tersebut merupakan usul daripada Saidina Uthman kepada Khalifah Umar Ibn al-Khattab.

Di sinilah hikayat gemilang kisah agung pembukaan Kota al-Quds yang dilaksanakan oleh Khalifah Umar al-Khattab. Beliau yang pernah mendapat gelaran al-Faruq ini, dipuji Baginda saw sebagaimana sabdanya:

إِنَّ اللَّهَ جَعَلَ الحَقَّ عَلَى لِسَانِ عُمَرَ وَقَلْبِهِ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah SWT menempatkan kebenaran pada lisan Umar dan hatinya.”[2]

Khalifah Umar al-Khattab tidak pergi ke Bait al-Maqdis dengan rombongan tentera, pakaian yang mewah-mewah dan keagungan kerajaannya. Menurut satu riwayat[3], beliau pergi dengan hanya menaiki seekor unta secara bergilir-gilir dengan pembantunya. Apa yang paling utama, tauladan daripada pemergian Khalifah Umar al-Khattab ke al-Quds adalah dengan cara yang amat menginsafkan.

Setibanya di al-Quds, Khalifah Umar al-Khattab telah melalui khemah tentera-tentera Islam yang dipimpin oleh Abu Ubaidah bin Jarrah di Jabiya. Apabila Abu Ubaidah melihat kaki Khalifah Umar al-Khattab berdebu dan calar-balar akibat perjalanan yang jauh, Abu Ubaidah dengan niat yang baik memberi cadangan kepada Umar untuk mengiringinya sehingga ke gerbang utama al-Quds. Khalifah Umar al-Khattab merenung Abu Ubaidah, dengan wajah yang sangat tegas terbitlah kata-kata Umar yang mahsyur kepadanya:

أولو غيرك يقولها يا أبا عبيدة، إنكم كنتم أذل الناس، وأحقر الناس، وأقل الناس، فأعزكم الله بالإسلام، فمهما تبتغون العزة في غيره، أذلكم الله

Maksudnya: “Kalaulah bukan engkau yang mengucapkannya wahai Abu Ubaidah (nescaya aku menghukummu sebagai pengajaran). Sesungguhnya kita semua ini adalah sehina-hina manusia, adapun kamu semua dimuliakan Allah dengan Islam, sekiranya kita mencari kemuliaan selain Islam sudah tentu kita akan dihina oleh Allah.”

Di Jabiya, Khalifah Umar al-Khattab menyampaikan khutbahnya kepada tentera-tentera Islam:

أيها الناس أصلحوا سرائركم تصلح علانيتكم، واعملوا لآخرتكم تُكْفَوْا أَمْرَ دنياكم؛ فمن أراد بحبوحة الجنة فليلزم الجماعة فإن الشيطان مع الواحد، وهو من الاثنين أبعد؛ ولا يخلون أحدكم بامرأة فإن الشيطان ثالثهما

Maksudnya: “Wahai sekalian manusia, perbaikilah hal-hal yang tersembunyi dalam diri kalian nescaya akan baik yang zahir dari diri kalian, bekerjalah untuk akhirat maka urusan dunia akan sentiasa mencukupi; sesiapa yang menginginkan syurga hendaklah bersama jamaah, sesungguhnya syaitan bersama orang yang sendirian, dan ia menjauh orang yang berdua; tetapi jangan pula kalian berdua-duan dengan kaum perempuan, kerana syaitan menjadi teman yang ketiganya.”

Beliau meneruskan perjalanan meninggalkan perkhemahan tentera Islam di Jabiya. Seorang lelaki Yahudi tiba-tiba menyapanya dan berkata:

يا أمير المؤمنين، إنك لا ترجع إلى بلادك حتى يفتح الله عليك إيلياء

Maksudnya: “Wahai Amir al-Mukminin, sesungguhnya engkau tidak akan kembali ke negerimu (Madinah) sehinggalah Allah membukakan kepadamu kemenangan di Iliya’ (nama lama bagi Jerusalem).”

Umar menghentikan untanya apabila tiba di hadapan gerbang Jerusalem. Mata mereka tertumpu kepada seorang pemimpin umat yang tidak pernah dilihat di sepanjang sejarah empayar-empayar besar Rom dan Parsi. Mereka menyangka Khalifah Umar al-Khattab akan tiba dengan satu rombongan yang besar dan sejumlah kebanggaan diraja seperti emas, mahkota, permaisuri, gundik-gundik dan sebagainya. Tetapi apa yang terlihat di depan mata adalah sebaliknya. Khalifah Umar al-Khattab menerima penyerahan kunci kota suci itu secara rasmi daripada rakyat Iliya’.

Menariknya di Jordan, ada banyak peninggalan sejarah yang menarik. Zul dibawa melihat Jerash. Mengikut sejarah, Jordan pernah ditakluk oleh beberapa kuasa besar dunia bermula dengan zaman batu hingga zaman pemerintahan Roman, Byzantine dan terakhir, pemerintahan Khilafah Turki Uthmaniyyah.

“Kite maghi sini jam 9 molek doh. Kalu lewat, payoh. 3-4 jam jugok nok pusing di Jerash ning.”, kata Din kepada Zul. Kota Jerash mempunyai tiga pintu utama. Dikatakan juga, jika berada di dalam kota itu, kita diberi pilihan untuk keluar menggunakan pintu menuju Eropah, Palestin dan Tanah Suci Makkah.

“Enta tengok dop rama orang hok cakak-cakak tadi? Enta cube cakak di sini,” Din mempelawa Azli Khalid mencuba teknologi purba yang ada di Jerash. Ada banyak teknologi purba yang menarik di sini. Antaranya adalah sistem pembesar suara. Sesiapa sahaja boleh menggunakannya dengan berdiri di tengah dan berada di titik yang sedia ada. “Assalamualaikum…”, Azli Khalid mencuba. Suara bergema seolah-olah sedang menggunakan pembesar suara yang canggih. Itulah kehebatan sistem pembesar suara zaman silam. Rekabentuk binaannya membolehkan suara kita dipantulkan seakan-akan ada pembesar suara.

“Qubbah al-Sakhra dibina pada zaman Khalifah Abdul Malik bin Marwan. Di dalamnya terletak batu yang menjadi penanda terakhir Rasulullah SAW sebelum berangkat ke langit dalam misi mi’raj baginda. Sebelah kanan kita ni, lokasi asal Masjid Al-Aqsa yang dibuka oleh Khalifah Umar Al-Khattab. Asalnya masjid kayu je. Sekarang ni ada di kawasan bawah tanah bila masjid yang kita berdiri sekarang ni iaitu Masjid Qibli dibina pada zaman Khalifah Malik ibn Marwan. Berdekatan dengan Masjid Lama al-Aqsa, itu Masjid Buraq. Ada di bawah tanah jugak. Dikatakan di situlah lokasi Buraq yang Rasulullah SAW naik, berhenti bila tiba di al-Aqsa dalam peristiwa Isra’. Sebelah kiri Masjid Qibli ni, ada Masjid al-Marwani. Juga dibina pada era Khalifah Malik ibn Marwan. Masuk terowong sana tu, sampailah ke Masjid al-Marwani. Di situ ada maqam Nabi Sulaiman dan tempat Maryam beruzlah sebelum melahirkan Nabi ‘Isa alaihissalam.”. Panjang lebar penjelasan Nazri. Zul amat kagum melihat senibina masjid yang begitu indah walaupun hanya batu-batan. “Guane gamok arkitek jamang dulu? Hebak ork?”, tanya Zul kepada Din. Din tergelak kecil dan mengangkat bahunya tanda tidak tahu.

“Ana tahu ustaz-ustaz semua lapar. Kita iftar di rumah. Dengar kata Ustaz Din dengan Ustaz Misbah ada buat juadah special Lepas tu kita solat Tarawih di Masjid ‘Abd al-Rahman bin ‘Auf. Subuh esok kita solat di situ dan hadir Kuliah Tafsir Syeikh Dr. Solah ‘Abd al-Fattah al-Khalidi.”, Nazri mengajak Zul, Azli dan Hazman pulang ke rumah.

*********************

Zul tersandar kekenyangan. Sedap betul Mansaf yang dibuat oleh sahabat-sahabatnya di Jordan.

“Mende lagi hok sedak di sini? Ana nok try blake sebelum gi Syria.”, tanya Zul kepada Din. Misbah yang berada di sisinya ketawa besar. “Enta ni Ustaz Zul, ana tengok kurus je. Tapi bab makan nombor wahid!”, katanya bergurau.

“Enta nok makang ndape? Kunafah? Syawarma? Dalek Karsyak? Arais? Hehehe…Ade blake. Ade mase kite gi insya-Allah sebelum antum ke Syria. Cume matawang sini mahal skek kalu banding dengan Malaysia.”, kata Din sambil menikmati Teh ‘Adni.

Ramadhan di Jordan, tidak jauh bezanya dengan Madinah. Cuma, mungkin suasana di Madinah terutamanya Masjid Nabawi lebih meriah. Selepas solat Tarawih, ada persembahan nasyid daripada pelajar-pelajar Malaysia di Jordan yang mengikut pengajian dengan tajaan oleh kumpulan al-Arqam. Lagu-lagu seperti Ahmad Ya Habibi, Khairul Bariyyah dan Ya Nabi Salam Alaik menggamit kenangan Zul ketika menyertai konsert Nadamurni semasa beliau di SMAASZA. Nampaknya orang Arab Jordan begitu menggemari nasyid Malaysia.

Keesokan harinya, Zul bersama sahabat-sahabatnya mengikuti Kuliah Tafsir yang disampaikan oleh Syeikh Dr. Solah ‘Abd al-Fattah al-Khalidi. Nazri menguis kaki Zul dan berbisik, “Enta nampak di depan tu? Itu Asri Zainul Abidin. Antara yang rapat dengan Syeikh. Selalu ke rumah Syeikh. Dia orang Penang, lulusan KISAS.” Ibu jarinya ditunjukkan ke arah Asri yang sedang khusyuk menulis catatan kuliah dalam buku notanya. Beliau terasa seakan diperhatikan dan kemudiannya menoleh ke arah Zul dan Nazri. Asri tersenyum dan menganggukkan kepala. Tidak susah hendak mengecam orang Melayu dalam ramai-ramai pak Arab di sini. Zul membalasnya dengan senyuman. Di sebelahnya kelihatan Hasrizal.

******************

Pagi Hari Raya Aidilfitri di Sweileh dimeriahkan dengan persembahan kumpulan Usrah al-Firdaus. Sebelum itu, Zul bersama-sama pelajar Malaysia yang lain menunaikan solat di tengah padang. Usrah al-Firdaus membawakan lagu Tetamu Dataran Syam yang begitu popular dalam kalangan pelajar Malaysia di Jordan. Vokalisnya sudah pasti Hasrizal, antara sahabat di Jordan yang mula-mula dikenalinya di rumah Ustaz Jamnul Azmin.

Tetamu di Dataran Syam ini,

Harus gagah seperti Abu Ubaidah,

Tanah yang gersang disuburkan

Dengan darah jihad dan jiwa pahlawan

Entah mengapa lagu itu sangat dekat di hati Zul. Ia memberinya satu semangat baharu untuk menempuh masa depan yang belum pasti. Beliau dimaklumkan, lirik lagu itu ditulis oleh Hasrizal dan Asri Zainul Abidin.

Lamunannya terhenti bila disapa Misbah. “Enta tiga orang ada sehari dua lagi di sini. Laut Mati dah, Yarmouk dah. Dr Hammam Sa’id dengan Dr Abd al-Qadir Abu Faris pun kami dah bawak jumpa. Ada apa-apa lagi hajat enta di Jordan ni yang boleh kami bantu?”

Zul tersenyum dan menggeleng kepala. “Terima kasih sangat-sangat. Tak ada ape-ape dah. Ana puas hati sangat dengan layanan sahabat-sahabat di sini.”

Lagu Tetamu Dataran Syam masih terngiang-ngiang di telinga.

Tetamu Dataran Syam, engkaulah harapan,

Untuk ummah melihat masa depan,

Sebagai ulama’ sebagai pejuang,

Islam pasti akan kau merdekakan,

Selamat datang Tetamu Dataran Syam!

____________________

[1] Surah al-Isra’: 1

[2] (Riwayat al-Tirmizi, no. 3682)

[3] Riwayat ini adalah lemah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *