“Insya-Allah, minggu depan kita bertolak ke Mekah untuk buat haji. Kita akan tumpang dengan sahabat-sahabat kita di Jordan, ikut jalan darat. Siapa nak ikut, boleh beri nama kepada Ustaz Ghazali.”. Begitulah keputusan mesyuarat antara pelajar anjuran Persatuan Pelajar Malaysia Syria. Zul turut memberikan namanya.
Menjadi budaya sebahagian masyarakat di Syria, Turki dan beberapa buah negara untuk pergi menunaikan haji dengan menaiki bas. Perjalanan daripada Damsyik ke Mekah mengambil masa sehari suntuk namun ia adalah pengalaman baharu buat Zul. Sepanjang berada di Syria, Zul berpeluang melaksanakan ibadah haji sebanyak 2 kali. Perjalanan haji kali kedua pada tahun 1996 inilah yang banyak membentuk dirinya untuk menempuhi fasa yang baharu dalam kehidupannya.
*********************
“Ape yang berubah Atuk? Zul jadi ape???”, tanya Sarah dengan penuh teruja.
“Sarah nak tahu ke? Sarah kena belanja atuk makang KFC dulu…Hehehe.”, Tok Aki cuba bergurau dengan cucunya. “Alahhh. Atuk ni! Yelah…yelah. malam ni Sarah belanja air je. Atuk belanja ayam goreng KFC. Cadangan ditutup!”. Sarah menyeringai dan memandang tepat kepada Tok Aki.
“Hehe..panda je ye nok tutup cadangang. Zul di Mekoh, ditugaskan jadi mutawif untuk pimpinan jemaah haji. Kali pertame, Zul pergi dengan bas. Kali kedue, dengan kapal terbang dengan pelajar Malaysia daripada Damsyik. Zul pergi dengan kawannya, Khairul Anuar. Ye panggil Mala.”, kata Tok Aki memulakan ceritanya.
*********************
“Di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah. Nabi SAW pernah bersabda:
الْحَجُّ الْمَبْرُورُ لَيْسَ لَهُ جَزَاءٌ إِلاَّ الْجَنَّةُ
Maksudnya :” Haji mabrur tidak ada ganjaran baginya melainkan syurga.”[1]
Dari segi bahasa kata mabrur diambil daripada kata Barra, yang mengandungi pelbagai makna seperti syurga, benar, diterima, pemberian, keluasan dalam kebajikan. Begitu juga antara maksud mabrur atau al-Bir ialah ihsan dengan makna lain jemaah haji yang memperoleh haji mabrur sudah pasti banyak melakukan ihsan dan sifat yang baik.
Di dalam kitab Lisan al-Arab, mabrur membawa maksud diganjari. Juga membawa maksud tidak bercampur dengan sesuatu daripada dosa. Dari segi istilah, ada beberapa pandangan para ulama berkenaan hal ini. Imam al-Syaukani di dalam kitabnya Nail al-Authar menyebutkan, Ibnu Khalawaih berpandangan bahawa haji mabrur adalah haji yang maqbul (diterima oleh Allah SWT). Ulama’ lain berpendapat bahawa ia adalah haji yang (pelaksanaannya) tidak dinodai oleh dosa. Pendapat ini dipilih dan dikuatkan oleh Imam al-Nawawi.
Al-Hasan al-Basri menyatakan bahawa haji mabrur ialah apabila seseorang itu pulang ke tanah watannya dengan perasaan zuhud pada dunia dan inginkan akhirat. Bila kita teliti, sebenarnya pandangan para ulama’ ini selain melengkapi maknanya sebagaimana kata Imam al-Qurtubi. Kesimpulannya, haji yang mabrur adalah haji yang sempurna hukum-hukumnya sehingga terlaksana secara sempurna sebagaimana yang dituntut.”
Pada petang Arafah, Zul dijemput ke khemah pelajar Malaysia daripada United Kingdom untuk menyampaikan ceramah berkenaan haji kepada mereka. Terdapat lebih kurang 20 orang yang ada di dalam khemah tersebut. Rombongan tersebut datang melalui Majlis Syura Muslimun. Zul memilih tajuk tentang haji mabrur dan bagaimana untuk memperolehnya.
“Ana sengaja pilih tajuk haji mabrur supaya kita semua ada misi dan visi yang jelas sepanjang tempoh singkat di sini. Dalam sebuah hadis yang direkodkan oleh Imam Ahmad daripada Jabir Bin Abdullah. Nabi saw pernah ditanya tentang apakah kesan daripada haji mabrur. Nabi saw menyatakan:
إِطْعَامُ الطَّعَامِ وَإِفْشَاءُ السَّلاَمِ
Maksudnya :” (Haji mabrur itu ialah) memberi makan dan menyebarkan salam.”[2]
Hadis ini dilemahkan oleh Sheikh Syu’aib al-Arnaut. Ini kerana, di dalam sanadnya terdapat perawi yang munkar iaitu Muhammad Bin Thabit. Sekiranya hadis ini sahih, maka berkemungkinan itulah yang dimaksudkan dengan haji mabrur.
Syeikh Prof. Dr. Abdul Halim Mahmud, mantan Syeikh al-Azhar menulis bahawa haji merupakan simbol-simbol kerohanian yang sangat indah yang membentuk seseorang Muslim apabila dilaksana dalam bentuk dan caranya yang benar untuk masuk dalam lingkungan Ilahi.
Daripada Abu Hurairah. Beliau berkata bahawa Nabi saw bersabda:
مَنْ حَجَّ هَذَا الْبَيْتَ فَلَمْ يَرْفُثْ وَلَمْ يَفْسُقْ رَجَعَ كَمَا وَلَدَتْهُ أُمُّهُ
Maksudnya :” Sesiapa yang menunaikan haji dalam keadaan dia tidak bercakap perkataan yang buruk dan keji serta tidak melakukan perkara yang fasiq maka dia akan kembali sepertimana dia dilahirkan oleh ibunya (iaitu dalam keadaan suci bersih dari dosa).”[3]
Di dalam riwayat yang lain menyatakan :
كَيَوْمِ وَلَدَتْهُ أُمُّهُ
Maksudnya :” ….seperti hari dia dilahirkan oleh ibunya.”[4]
Apa maksudnya? Al-Qastalani menyatakan bahawa perumpamaan tersebut adalah sebagai persamaan iaitu bebas dari sebarang dosa sama ada kecil atau besar.[5] Begitulah besarnya makna haji yang mabrur, ikhwah yang ana hormati.
Hadis ini menunjukkan bahawa orang yang mendapat haji mabrur maka segala dosanya diampunkan oleh Allah. Inilah tafsiran kebanyakan para ulama. Ianya juga menunjukkan betapa istimewanya amalan haji.
Zul menamatkan ceramahnya dengan memberi beberapa nasihat dan saranan kepada para hadirin. “Kesimpulannya, janganlah kita mengotori diri dengan kembali kepada dosa-dosa sebaik sahaja selesai menunaikan haji. Sebaliknya hendaklah kita memelihara semangat dan roh ibadah pada prestasi yang tertinggi yang pernah kita lakukan semasa mukhayyam tarbawi kita iaitu ibadah haji yang sedang kita laksanakan ini.”
Semua hadirin mengangguk setuju dan tersenyum tanda berpuas hati. Mereka mengerumuni Zul dan mengucapkan terima kasih dan bersalaman dengannya. Jemaah mula kembali ke tempat masing-masing dan meneruskan ibadah bagi mengisi waktu yang masih berbaki di hari Arafah. Zul diajak Husni ke sudut khemah untuk bertemu sahabat-sahabatnya.
“Untuk makluman Ustaz Zul, ni ikhwah kita juga daripada Majlis Syura Muslimun (MSM). Dari kiri ana Abdul Latif, Zairul, Abdul Wahid Omar. Semua pimpinan MSM dan bakal doktor ni!”. Husni memperkenalkan kepada Zul, seorang demi seorang pimpinan pelajar daripada United Kingdom yang turut mengerjakan haji pada tahun 1996.
“Selamat berkenalan. Ana Zulkifli, asal Terengganu. Sekarang sambung Master di Syria. Ana rasa seronok dapat jumpa antum semua, orang-orang hebat daripada UK.”, kata Zul kepada kawan-kawan baharunya.
Abdul Latif pantas membalas, “Eh, ustaz! Kami yang kena ucap terima kasih kepada ustaz sebab sudi terima jemputan kami untuk sampaikan ceramah berkenaan haji kepada kami pelajar Malaysia di UK. Sesi soal jawab pun meriah tadi. Hari ni ustaz bagi pengisian kepada kami di Arafah. Kalau ustaz tak keberatan, kami nak jemput Ustaz sekali lagi untuk perkongsian di Mina…”
“Boleh, insya-Allah. Cuma ana nak tanya. Sesi MSM dengan Dr. Abu Mu’az tu jadi ke? Insya-Allah, ana akan jadi penterjemahnya.”. Zul berpaling kepada Husni untuk mendapatkan jawapan. Sejak Zul berkenalan dengan Husni di Mekah, hubungan mereka menjadi rapat. Apa-apa urusan melibatkan jemputan ceramah MSM kepada Zul sepanjang musim haji, Husnilah yang menjadi orang tengahnya.
“Jadi, jadi. Kami nak ambil semangat ilmuan haraki di bumi barakah ni. Untuk bawa pulang, bekalan kami di negara Fish and Chips! Hehe…”, kata Abdul Wahid berseloroh, menyampuk perbualan Husni dan Zul. Kesemuanya ketawa besar dengan celoteh Abdul Wahid.
********************
“Syeikh, apa yang sepatutnya kami laksanakan sebaik sahaja pulang daripada haji ini sebagai seorang ahli jemaah yang istiqamah dengan gerakan Islam?” tanya Abdul Latif kepada Dr. Abu Mu’az. Zul berbisik Dr. Abu Mu’az maksud soalan tersebut yang diterjemahkan ke dalam Bahasa Arab.
Dr. Abu Mu’az mengangguk faham dengan soalan yang diterjemahkan itu dan berkata, “Ringkasnya, antara amalan yang perlu dilakukan dan diteruskan oleh para jemaah haji selepas pulang dari Tanah Suci ialah: memperbanyakkan zikrullah, memperbanyakkan doa, sentiasa ke masjid dan berjemaah, menjadi agen perubah dalam masyarakat setempat, sentiasa mengimarahkan masjid, melazimkan diri untuk infaq dan waqaf, dan membina keluarga bahagia. Zul mencatatkan isi penting jawapan tersebut dan menterjemahkannya.
Kelihatan beberapa orang pelajar tersenyum-senyum. Salah seorang mereka mengangkat tangan dan bertanya. “Syeikh, bagaimana kalau belum ada isteri? Bagaimana untuk bina keluarga bahagia?”. Para pelajar lain ketawa kecil dengan soalan tersebut. Nampaknya pelajar tersebut bertanya dengan serius cuma mungkin ia dianggap lucu oleh sebahagian pelajar.
Zul menahan ketawanya dan menggelengkan kepala. Entah mengapa soalan berkenaan boleh timbul dalam perbincangan yang serius berkenaan persediaan selepas haji. Beliau berbisik kepada Dr. Abu Mu’az yang kemudiannya turut ketawa.
“Perkara pertama kamu perlu buat selepas balik ke UK adalah kahwin! Baru lengkap kamu mengikut nasihatku sebentar tadi.”, jawab Dr. Abu Mu’az dengan berseloroh.
Selepas selesai ceramah oleh Dr. Abu Mu’az, Zul duduk beristirahat di bawah pokok bersama Husni sambil menjamah kurma. Angin panas yang bertiup di Mina, terasa menggigit di kulit. Kedua-duanya berbual santai tentang kehidupan dan masa depan.
Tiba-tiba terpacul soalan daripada mulut Husni. “Alang-alang Dr. Abu Mu’az cerita pasal kena kahwin tu, ana nak tanya. Ustaz Zul dah ada yang berpunya?”
“Lain macam soalan enta ni. Hehe…”, Zul tersenyum melihat Husni dan menunduk. Mungkin sedikit malu dengan soalan yang tidak pernah diterimanya selama ini. “Sejujurnya, belum…” katanya sambil menguis pasir dengan jari telunjuknya.
Husni mengeluarkan sekeping gambar daripada begnya. “Ana berhajat nak cadangkan kepada ustaz, beberapa akhawat MSM. Mungkin ada yang ustaz berkenan untuk jadikan calon isteri. Ada tiga orang di sini. Ustaz ada berkenan yang mana-mana ke?”, tanya Husni dengan serius.
_____________________
[1] Riwayat Ahmad, no. 7348.
[2] Riwayat Ahmad, no. 14706, al-Baihaqi, no. 3825.
[3] Riwayat al-Bukhari, no. 1819.
[4] Riwayat al-Bukhari, no. 1820.
[5] Irsyad al-Sari Syarh Sahih al-Bukhari, 3/290.