“Zulkifli, kamu sudah hampir menamatkan tesis ini. Setahun berulang alik bertemu aku di rumah. Apa perancangan kamu selepas ini?”, tanya Syeikh Dr. Mustafa al-Khin pada satu petang, selepas sesi konsultasinya sebagai penyelia kepada tesis Zul.

“Insya-Allah, saya akan sambung PhD di sini.”, jawab Zul ringkas dan penuh yakin.

“Baik, aku tunggu kamu mendaftar sebagai pelajar PhD di sini!”, ujar Syeikh dengan penuh gembira.

Selama lebih setahun, Zul bertungkus lumus menyiapkan tesisnya dengan tulisan tangan. Tak pernah terbayang di fikirannya untuk menulis tesis setebal 300 mukasurat lebih hanya dengan tangan. Namun, ia tidak boleh diserahkan begitu sahaja kepada pihak pentadbiran al-Majma’ al-‘Ilmi kerana tesis yang dihantar mestilah bertaip. Zul kemudianya mengupah seorang pemuda Algeria bernama Mahdi untuk mendapatkan khidmat menyalin semula tesisnya menggunakan mesin taip. “Mahdi, kalau boleh engkau segerakan ya. Minggu depan aku perlu hantar tesis ni.”, katanya kepada Mahdi. Tesis bertulisan tangan itu dihantar kepada seorang lelaki yang mengambil upah menaip dokumen rasmi, termasuk tesis. Setelah beberapa minggu, ia siap ditaip dan dijilid.

********************

Terasa sekejap tempoh setahun di Dataran Syam. Hari yang ditunggu-tunggu bagi setiap pelajar pasca siswazah telah tiba. Majlis viva voce berlangsung di al-Majma’ al-‘Ilmi al-‘Ali (MIA) Jami’ Sadat pada sebelah malam, selepas solat ‘Isyak. Dewan kecil di MIA penuh dengan para pelajar Malaysia yang turut hadir memberi sokongan kepada Zul. Majlis dimulakan dengan bacaan al-Qur’an oleh Hazman.

“Zulkifli bin Mohamad, kini aku persilakan kamu untuk memberi sepatah dua kata sebelum kita mulakan majlis viva voce kamu.”. Syeikh Prof. Dr. ‘Abd al-Latif Soleh al-Farfour selaku ketua penilai memulakan bicaranya.

Zul melihat di hadapannya. Penyelia beliau, Syeikh Dr. Mustafa al-Khin mengangguk dan tersenyum. Seakan memberi isyarat untuk beliau memulakan sesi pembentangan dan mempertahankan tesisnya, Al-‘Uqubat: Dirasah Muqaranah baina al-Syari’ah wa al-Qanun al-Wadh’ie (Hukuman: Kajian Perbandingan antara Syariah dan Undang-Undang Berkanun).

“Terima kasih kepada al-Majma’ al-Ilmi al-‘Ali Jami’ Sadat kerana sudi menerima saya bagi menyambung pengajian di sini. Kenangan di Dataran Syam, takkan saya lupakan kerana saya bukan sahaja menikmati teduhan ilmu para ulama’ di sini, bahkan akhlak penduduknya yang sentiasa dekat di hati saya. Sekalung penghargaan saya ucapkan kepada Syeikh Dr. Mustafa Sai’d al-Khin atas tunjuk ajar sepanjang bergelar penyelia saya, begitu juga kepada Rektor, Syeikh Prof. Dr. Abd al-Latif Soleh al-Farfour yang begitu prihatin kepada para penuntut ilmu. Saya tidak ada apa-apa yang ingin disampaikan kecuali doakan saya semoga kepulangan saya ke Malaysia memberi manfaat yang besar kepada umat Islam di Malaysia, satu hari nanti.”

Tepukan gemuruh para hadirin selepas ucapannya sedikit sebanyak menghilangkan perasaan gementar Zul.

Sepanjang majlis, Syeikh Dr. Mustafa al-Khin banyak mencelah dan membantu Zul dalam mempertahankan tesisnya. Setelah hampir 1 jam, Syeikh Prof. Dr. ‘Abd al-Latif Soleh al-Farfour mengadakan perbincangan ringkas dengan para penilai.

Mikrofon dibuka dan beliau bersuara. “Zulkifli telah berjaya menyiapkan tesis ini dengan amat baik dan memenuhi prasyarat awal untuk bergelar Sarjana dalam bidang Syariah daripada institusi pengajian tinggi yang bertuah ini. Sebelum saya mengumumkan keputusannya, saya ingin menarik perhatian semua untuk membudayakan metodologi tarjih dalam menukilkan satu-satu pandangan. Kita perlu keluar daripada kejumudan dan menggunakan segala kemampuan yang ada untuk berani menyokong atau mengkritik atau menambahbaik pandangan para ulama’ silam, dengan pandangan kita sendiri. Itulah langkah awal untuk bergelar seorang sarjana yang berjaya.”

“Setelah meneliti tesis yang dikemukakan ini, melihat pembentangannya dan kemampuan Zulkifli dalam mempertahankan setiap penghujahannya, dengan ini para penilai bersetuju untuk meluluskan tesis ini dengan pangkat Mumtaz (cemerlang)!”

“Alhamdulillah…Allahuakbar!!!”, bersahut-sahutan suara hadirin memuja-muji Allah SWT atas nikmat kejayaan ini. Tidak tergambar kegembiraan yang Zul rasai pada malam itu. Sahabat-sahabatnya bergilir-gilir datang memeluknya dan mengucapkan tahniah.

Mengingatkan janjinya kepada penyelia beliau, keesokan paginya Zul terus mendaftar sebagai calon PhD di institusi yang sama, dan membayar yuran pengajian. Tak sabar untuk beliau khabarkan kepada isteri dan keluarganya tentang kejayaan ini.

********************

“Alhamdulillah, minggu lepas selesai majlis viva voce saya. Dapat pangkat Mumtaz. Saya terus sambung PhD di sini.”, Zul memaklumkan kepada isterinya melalui panggilan telefon. Agak lama juga isterinya diam.

Kemudian terdengar suara di corong telefon, “Kalau saya cadang awak sambung di Malaysia boleh? Lagipun, saya dah grad dari RCSI Dublin. Dah balik Malaysia.”

Berat juga saranan itu untuk diterimanya. Hati beliau sudah terpaut dengan Syria. Yuran pendaftaran dan yuran pengajian PhD untuk semester pertama sudah dibayar.  Itu tidak termasuk janjinya kepada Syeikh Dr. Mustafa al-Khin untuk kekal sebagai pelajar PhD di sini. Namun Zul perlu berikan jawapan segera kerana beliau yakin, mana-mana isteri pun sentiasa mengharapkan suaminya ada di sisi. Seorang wanita, walaupun ringkas permintaannya tetapi sudah pasti ada harapan yang besar di sebaliknya.

“Insya-Allah. Boleh, boleh.”, jawab Zul ringkas.

“Awak ok ke? Tu cadangan saya je…”, isterinya bertanya untuk kepastian.

“Ok je. Hehe…Tunggu saya sampai Malaysia. Saya mungkin cari kerja dulu, lepas tu sambung PhD.”, ujar Zul, sambil berkongsi perancangan baharunya. Beliau sedar, kini beliau sudah berkeluarga. Sebarang keputusan samada kecil atau besar, perlu dibuat bersama dan mengambil kira pandangan isterinya.

*******************

Ijazah dalam dunia keilmuan Islam secara umumnya bermaksud lesen atau kebenaran untuk mengajar. Ia juga merujuk kepada sijil yang dikeluarkan oleh seorang syeikh (al-mujiz) di dalam sesebuah institusi pengajian kepada seseorang pelajar yang mengikuti pengajiannya dan berdasarkan penilaian Syeikh tersebut, sudah cukup kelayakannya menyampaikan ilmu yang sama kepada anak muridnya sendiri.

Rangkaian perawi atau lebih tepat disebut sebagai sanad ini akan berakhir pada pengarang kitab yang dipelajari, amalan yang diambil daripada mana-mana ulama’ atau Rasulullah SAW. ‘Ilmu tersebut misalnya dipindahkan secara lisan oleh Rasulullah SAW kepada para Sahabatnya, yang kemudiannya disampaikan pula kepada Tabi’in dan Tabi’ al-Tabi’in, dan begitulah seterusnya beberapa kurun sehingga sampai kepada para ulama’ sepertimana periwayatan hadith. Metodologi ataupun cara periwayatan ialah dengan mendengar hadith, membaca, menghafaz dan kemudian menyebutnya dengan kuat sepertimana cara Nabi SAW berhadapan dengan Jibril AS ketika menerima wahyu pertama daripada Allah SWT di Gua Hira’.

Sebagai contoh, terdapat beberapa kaedah penerimaan hadis oleh seseorang perawi daripada gurunya iaitu kaedah:

  1. Al-sama’: Seorang syeikh membaca dan murid mendengarkan.
  2. Al-‘ard wa al-qira’ah: Seorang perawi membaca hadis kepada seorang syeikh, dan syeikh mendengarkan bacaannya, samada bacaan daripada hafazan atau daripada buku, atau syeikh mengikut pembaca dari hafalannya atau memegang kitabnya sendiri atau memegang kitab orang lain yang thiqah
  3. Al-ijazah: Seorang syeikh mengizinkan muridnya meriwayatkan hadis atau riwayat, baik dengan ucapan atau tulisan.
  4. Al-munawalah: Seorang syeikh memberikan kepada pelajarnya kitab asal atau bahan salinan atau apa sahaja bentuk bahan bertulis yang mengandungi hadis untuk diriwayatkan.
  5. Al-kitabah: Seorang sheikh menulis sendiri atau dia menyuruh orang lain menulis riwayatnya kepada orang yang hadir ditempatnya atau yang tidak hadir disitu.
  6. Al-I’lam: Seorang syeikh memaklumkan muridnya sesebuah hadis atau kitab yang diriwayatkannya, didengar atau diambil daripada orang lain tanpa makluman jelas mengenai ijazah atau kebenaran tersebut untuk diriwayatkan pula kepada orang lain.
  7. Al-Wasiyyah: Syeikh memberi kepercayaan untuk menyerahkan sesebuah kitab hadis kepada seseorang supaya dia boleh meriwayatkan hadis- hadis di dalamnya dengan bersandarkan kepada orang yang memberikan kepercayaan untuk mempergunakan kitab tersebut. Menurut pandangan para muhaddith, kaedah ini adalah paling lemah. Sebahagian ulama’ menolak untuk menggunakan kaedah ini.
  8. Al-Wijadah: seseorang yang mengambil hadis daripada kitab tertentu tanpa mendengar, tanpa ijazah dan mengambilnya untuk diriwayatkan hadis tersebut. Imam al-Syafie mengharuskannya dengan syarat sumber pengambilan itu dijelaskan.

Selain ijazah untuk meriwayatkan hadis, ijazah dalam bidang lain turut mula meluas penggunaannya sepertimana ijazah untuk mengajar (ijazah li al-tadris). Dikatakan, lesen mengajar ini dikeluarkan pertama kali di Baghdad seawal kurun ke-3 Hijrah.

“Ijazah ni banyok kelebihannye. Kite boleh tahu biografi ulama’ dalam senarai perawi, pusat penyebaran ilmu di jaman tu, kite buleh tahu pelbagai jenis kitab, dan macam-macam lagi lah. Paling utama, keberkatan. Sebab tu kene rajin ngaji, talaqqi. Belajor habih tey! [1] Bukan bangge kumpul sanad tapi dop aa’uu stabuk.”[2]. Zul berkongsi pandangannya kepada beberapa orang pelajar junior tentang kepentingan mengikuti pengajian dengan bersanad.

Malam itu adalah malam terakhir pengajian Zul secara bersemuka seorang diri bersama Syeikh Rusydi Qalam. Selepas kelas, beliau memaklumkan kepada Syeikh, “Insya-Allah, saya akan pulang ke Malaysia dalam masa terdekat. Saya berhajat untuk dapatkan ijazah sanad daripada Syeikh, semua kitab-kitab yang saya belajar dengan Syeikh.”

“Insya-Allah boleh, esok kamu datang ke Masjid Manjak.”, jawab Syeikh ringkas.

Selepas Solat Zohor keesokan harinya, Zul berbasikal menuju ke Masjid Manjak. Kelihatan Syeikh sudah berada di sana dengan anak kecilnya.

Al-‘Aqidah al-Asbahaniyyah, Ithaf al-Murid bi Syarh Jaurahah al-Tauhid, Qatr al-Nada, al-Adab al-Bahth wa al-Munazarah, Syarah Hikam Syeikh al-Syarnubi, adalah antara beberapa kitab yang kamu pelajari denganku daripada kulit ke kulit sehingga tamat. Aku ijazahkan kepada kamu juga ijazah al-tadris, yang memberi keizinan kepadamu untuk mengajar di mana-mana sahaja. Mula saat ini, kamu secara rasminya bergelar muridku dan aku izinkan kamu mengajar dengan segala ilmu yang telah aku perturunkan kepadamu…”, kata Syeikh Rusydi Qalam kemudiannya menyerahkan dua helai kertas yang bertulis perincian ijazah dengan tulisan tangan dan tandatangan beliau.

Zul mengucup tangan gurunya dan berterima kasih atas kurniaan yang cukup indah. Ia lebih besar daripada kenangannnya sepanjang 4 tahun menuntut ilmu di Syria.

“Zulkifli, apa perancangan kamu selepas ini? Kamu sudah ada isteri dan bakal sambung PhD di Malaysia. Apa selepas itu?”, tanya Syeikh dengan penuh minat.

Zul tersenyum, menggelengkan kepala dan membalas, “Saya cuma berserah kepada Allah SWT.”

“Insya-Allah kamu akan pulang sebagai bintang. Siapa tahu, kamu bakal menjadi Mufti? Pada masa itu, jangan lupakan aku di sini!”, gurau Syeikh dan kedua-duanya tertawa.

Meminjam kata-kata Hiraqla, maharaja Rom saat sampai ke telinganya tentang kekalahan Rom kepada tentera Islam dalam Perang Yarmouk,

سلام عليك يا سوريا، سلام لا لقاء بعده

“Salam sejahtera kepadamu Syria, salam yang tiada lagi akan bersua selepas itu…”

Selamat tinggal Damsyik. Selamat tinggal Syria. Selamat tinggal Dataran Syam yang menjadi saksi perjuangan para Sahabat dan para nabi di sini. Lagu Tetamu Dataran Syam nyanyian Hasrizal kembali bergema di telinganya…

Tetamu Dataran Syam, engkaulah harapan,

Untuk ummah melihat masa depan,

Sebagai ulama’ sebagai pejuang,

Islam pasti akan kau merdekakan,

____________________

[1] Bersungguh-sungguh.

[2] Tidak tahu apa-apa.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *