Sale!
Original price was: RM28.00.Current price is: RM20.00.
Sale!
Original price was: RM35.00.Current price is: RM20.00.
Sale!

Buku Fizikal

Taufan Al-Aqsa

Original price was: RM20.00.Current price is: RM10.00.
Sale!
Original price was: RM20.00.Current price is: RM10.00.
Sale!
Original price was: RM40.00.Current price is: RM30.00.
Sale!
Original price was: RM70.00.Current price is: RM60.00.
Sale!
Original price was: RM310.00.Current price is: RM160.00.

Soalan

Assalamualaikum ustaz. Apa hukum seseorang melakukan solat tarawih sebanyak empat rakaat dengan satu salam? Adakah cara seperti ini dibolehkan? Mohon penjelasan.

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Solat tarawih merupakan suatu solat yang dituntut bagi umat Islam untuk melaksanakannya. Ganjaran melakukannya adalah sangat besar, sebagaimana yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda :

‎مَنْ قَامَ رَمَضَانَ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ

Maksudnya: “Sesiapa yang melakukan qiyam Ramadan dengan penuh keimanan dan mengharapkan ganjaran serta keampunan, akan diampunkan buatnya dosa-dosa yang terdahulu.” [1]

Imam al-Nawawi berkata: “Makna “إيمانًا” ialah mempercayainya sebagai benar, lagi dijanjikan pahala dan fadilatnya, manakala makna “إحتِسابًا” ialah menginginkan redha Allah Taala semata-mata, bukan bertujuan  pandangan manusia, dan bukan juga apa-apa tujuan lain yang menyelisihi makna keikhlasan.”

Menurut Imam al-Nawawi lagi, makna yang dikehendaki daripada “Qiyam Ramadhan” ialah perlaksanaan solat Tarawih. Para ulama bersepakat tentang hukumnya adalah disunatkan.[2]

Al-Hafiz al-‘Iraqi pula berkata: “Bukan dimaksudkan dengan qiyam Ramadhan ialah mendirikan keseluruhan malamnya bahkan yang dimaksudkan ialah mendirikan sebahagian kecil daripada malam seperti yang difahami secara mutlak dengan pelaksanaan solat Tahajjud, solat Terawih di belakang imam — seperti kebiasaan yang dilakukan —serta pelaksanaan solat Isyak dan solat Subuh secara berjemaah.”[3]

Hadith di atas jelas menunjukkan bahawa perbuatan qiyam Ramadhan yang meliputi solat tarawih, pembacaan al-Quran, zikir dan doa, serta selainnya daripada ibadah yang dilakukan pada malam hari bulan Ramadan, sekiranya ia dilakukan dengan penuh keimanan akan pensyariatannya serta mengharapkan ganjaran pahala dari Allah SWT, nescaya pelakunya akan diampunkan dosa-dosa kecilnya yang terdahulu.

Pensyariatan solat tarawih dapat dilihat melalui sebuah riwayat daripada Umm Al-Mu’minin Aisyah R.Anha, katanya:

 ‎أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم صَلَّى ذَاتَ لَيْلَةٍ فِي الْمَسْجِدِ فَصَلَّى بِصَلاَتِهِ نَاسٌ، ثُمَّ صَلَّى مِنَ الْقَابِلَةِ فَكَثُرَ النَّاسُ، ثُمَّ اجْتَمَعُوا مِنَ اللَّيْلَةِ الثَّالِثَةِ أَوِ الرَّابِعَةِ، فَلَمْ يَخْرُجْ إِلَيْهِمْ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم، فَلَمَّا أَصْبَحَ قَالَ ‏ “‏ قَدْ رَأَيْتُ الَّذِي صَنَعْتُمْ وَلَمْ يَمْنَعْنِي مِنَ الْخُرُوجِ إِلَيْكُمْ إِلاَّ أَنِّي خَشِيتُ أَنْ تُفْرَضَ عَلَيْكُمْ ‏”‏، وَذَلِكَ فِي رَمَضَانَ

MaksudnyaSesungguhnya Rasulullah SAW pada suatu malam sedang solat di dalam masjid. Maka orang ramai pun mengikut solat bersama baginda. Kemudian pada malam berikutnya, baginda solat sekali lagi dan jemaah yang mengikutnya semakin banyak. Pada malam yang ketiga atau keempat, orang ramai berkumpul menanti ketibaan Rasulullah SAW sebaliknya baginda tidak keluar kepada mereka. Apabila masuk waktu subuh, baginda bersabda kepada para jemaah: Sesungguhnya aku telah melihat apa yang kamu semua lakukan. Dan tidaklah yang menghalang aku dari keluar kepada kamu melainkan aku takut solat itu akan difardhukan ke atas kamu semua. Yang demikian itu berlaku pada bulan Ramadan. [4]

Berdasarkan hadith di atas, Rasulullah SAW pada malam hari pertama bulan Ramadan baginda keluar menuju ke masjid pada waktu malam dan mendirikan solat. Kemudian orang ramai yang berada di sekitar turut serta mengikuti solat malam Rasulullah SAW. Demikian juga pada malam yang kedua, Cuma bilangan jemaah yang solat bersama baginda semakin ramai. Manakala malam yang berikutnya, bilangan jemaah semakin ramai sehingga memenuhi masjid. Maka pada malam yang berikutnya, Nabi SAW tidak keluar ke masjid dan ramai orang pada ketika itu yang menanti kehadiran baginda. Sebaik sahaja waktu subuh, selepas sahaja solat baginda berpaling seraya mengatakan sebagaimana yang disebutkan dalam hadis di atas.

Syeikh Syams Al-Haq Al-‘Azhim Abadi Rahimahullah ketika mensyarahkan hadis ini beliau berkata: Baginda bimbang solat tarawih akan difardhukan ke atas mereka. Ini kerana boleh jadi berlakunya kefardhuan atas perbuatan qiyam Ramadhan secara berjamaah disebabkan ia dilakukan secara berterusan.[5]

Isu Solat Tarawih Empat Rakaat Satu Salam

Berbalik kepada persoalan di atas, para fuqaha’ telah berbeza pendapat dalam isu ini. Menurut Imam al-Nawawi – dari kalangan fuqaha’ Syafi’iyyah, – solat tarawih yang dilakukan dengan cara empat rakaat satu salam adalah tidak sah, dan inilah fatwa yang dikeluarkan oleh Qadhi Husain kerana ia menyalahi ketetapan syara’ (khilaf al-masyru’). Pelaksanaan solat tarawih hendaklah dilakukan dengan cara melakukan dua rakaat satu salam, sepertimana yang biasa dilakukan.[6]

Secara jelasnya, Imam al-Nawawi menyebut: “Waktu solat tarawih masuk setelah selesai melakukan solat Isya’. Hal ini disebutkan oleh al-Baghawi dan selainnya. Dan ia berakhir sehingga terbit fajar. Hendaklah seseorang melakukan solat tarawih dua rakaat, dua rakaat seperti biasanya. Jika dia melakukan solat tarawih empat rakaat dengan sekali salam, maka hukumnya tidak sah. Inilah yang dikatakan oleh al-Qadhi Husain dalam kitab-kitab fatwanya, dan hal itu disebabkan kerana ia menyalahi aturan yang disyariatkan (خِلَافُ الْمَشْرُوعِ).”

Hal ini berdasarkan satu riwayat di mana Rasulullah SAW bersabda:

صَلاَةُ اللَّيْلِ مَثْنَى مثنى

Maksudnya: “Solat malam itu dua rakaat, dua rakaat (satu salam)…”[7]

Menurut Imam al-Ramli pula, solat tarawih empat rakaat satu salam adalah tidak sah sekiranya ia dilakukan dengan sengaja. Jika tidak, solat itu dihukumkan sebagai solat sunat mutlak.[8]

Hal yang sama juga dijelaskan dalam kitab Fath al-Qarib (hlm. 40), bahawa: “Solat tarawih berjumlah dua puluh rakaat dengan sepuluh kali salam pada setiap malam Ramadhan, dan jumlahnya lima kali istirahat. Seseorang itu hendaklah berniat tarawih atau qiyam Ramadhan pada setiap dua rakaat. Sekiranya dia solat empat rakaat (sekaligus) dengan satu kali salam, maka solatnya tidak sah. Adapun waktu tarawih adalah antara solat Isya’ dan terbitnya fajar.”

Antara sebab ditegah daripada melakukan solat sunat empat rakaat berjemaah dengan satu salam adalah kerana ia menyerupai solat fardhu, maka ia tidak dibenarkan.[9] Disebut oleh Imam al-Ramli dalam Nihayah al-Muhtaj (5/329) bahawa, “Sesungguhnya ditegah mengumpulkan empat rakaat dalam solat tarawih adalah kerana solat tarawih menyerupai solat fardhu dengan sama-sama dituntut berjemaah di dalamnya.”

Meskipun begitu, dalam pendapat Imam al-Nawawi yang lain, beliau menjelaskan bahawa solat tarawih dua rakaat dengan satu salam adalah sunat sahaja. Oleh itu, melakukan solat tarawih empat rakaat dengan satu salam adalah sah hukumnya.[10]

Jelas Imam al-Nawawi: “Solat sunat malam dan siang itu adalah (dengan cara) dua rakaat, dua rakaat.” Kata beliau lagi, “Yang dimaksudkan dalah hadith ini adalah bahawa yang lebih afdhal adalah mengerjakan solat dengan setiap dua rakaat (satu salam), sama ada dalam solat sunat pada waktu malam atau waktu siang. Di sini, disunatkan untuk memberi salam pada setiap dua rakaat. Namun, jika seseorang menggabungkan seluruh rakaat yang ada dengan sekali salam atau melakukan solat sunat dengan satu rakaat sahaja, maka hal itu dibolehkan menurut kami.”

Ulama’ Hanafiyyah pula berpandangan bahawa sekiranya seseorang mengerjakan solat tarawih seluruhnya dengan sekali salam, maka solatnya adalah sah. Akan tetapi, menurut pendapat yang lebih sahih, ia menjadi makruh sekiranya dilakukan dengan sengaja. Walaupun begitu, di sisi Muhammad bin Hasan al-Syaibani, solat tersebut tidak sah. Hal ini berbeza dengan pandangan Imam Abu Hanifah sendiri dan al-Qadhi Abu Yusuf di mana kedua-dua mereka tetap menghukumkannya sebagai sah.[11]

Daripada kalangan fuqaha’ Maliki pula, Abu al-Hasan al-So’idi menyatakan bahawa sunat memberi salam pada setiap dua rakaat dalam solat Tarawih, dan makruh memberi salam pada setiap empat rakaat atau lebih.[12] Manakala al-Mardawi – dari kalangan Hanabilah – menyatakan bahawa dalam melakukan solat sunat, yang lebih afdhal adalah dengan melakukannya secara dua rakaat satu salam. Adapun jika lebih, maka hukumnya tetap sah.[13]

Jika diteliti, terdapat juga hadith yang mengisyaratkan bahawa Baginda Nabi SAW melakukan solat empat rakaat dengan satu salam. Hal ini sepertimana dinyatakan oleh Aisyah R.Anha, katanya:

يُصَلِّي أَرْبَعًا فَلاَ تَسْأَلْ عَنْ حُسْنِهِنَّ وَطُولِهِنَّ، ثُمَّ يُصَلِّي أَرْبَعًا فَلاَ تَسْأَلْ عَنْ حُسْنِهِنَّ وَطُولِهِنَّ، ثُمَّ يُصَلِّي ثَلاَثًا

Maksudnya: “Baginda SAW pernah solat malam sebanyak empat rakaat, jangan bertanya betapa bagus dan lamanya solat itu. Kemudian Baginda solat lagi empat rakaat, jangan bertanya betapa bagus dan lamanya solat itu, kemudian Baginda solat (witir) 3 rakaat…”[14]

Meskipun begitu, hadith ini tidaklah menafikan bahawa Nabi SAW duduk pada setiap dua rakaat dan mengucapkan salam berdasarkan sabda Baginda yang lain: “Solat malam itu dua rakaat, dua rakaat (satu salam pada setiap dua rakaat).” Dan adalah mustahil Nabi SAW menyuruh sesuatu lalu melakukan sebaliknya. Inilah sepertimana dijelaskan oleh al-Zarqani.[15]

Di samping itu, untuk memahami hadith di atas, maka perlu juga bagi kita untuk merujuk kitab-kitab syarah hadith. Antara yang mensyarahkan hadith di atas ialah Ibn Battal, di mana beliau menyebut: “Adapun maksud perkataan Aisyah bahawa ‘Nabi SAW solat empat rakaat dan jangan ditanya tentang sempurna dan lamanya, kemudian Baginda melakukan solat empat rakaat lagi, lalu Baginda lakukan tiga rakaat’, maka hal ini sudah dijelaskan ketika kami membahaskan tentang masalah witir, iaitu dalam hadith lain, bahawa Nabi SAW bersabda: “Solat malam itu dua rakaat, dua rakaat salam.” Hadith kedua ini mentafsirkan dan menjadi penegas bagi hadith yang masih bersifat mujmal. Dan telah ada keterangan lain dalam jalur hadith lain, yang diriwayatkan daripada Abu Dzi’b, daripada Ibn Syihab, daripada Aisyah R.Anha, katanya: ‘كان رسول الله  – صلى الله عليه وسلم –  يصلى بالليل إحدى عشرة ركعة بالوتر، يسلم بين كل ركعتين’ (“Rasulullah SAW melakukan solat malam sebanyak 11 rakaat dan sudah termasuk witir, dan Baginda memberi salam pada setiap dua rakaat.”

Menurut Ibn Battal lagi, sebahagian ulama’ ada yang mengatakan, bahawa maksud Aisyah di mana Nabi SAW solat empat rakaat salam, empat rakaat salam, iaitu Baginda biasanya tidur sebentar ketika menyelesaikan empat rakaat, lalu Baginda melakukan solat lagi selepas tidur sebentar itu. Setelah itu Baginda tidur lagi beberapa ketika, kemudian Baginda berdiri lagi dan melanjutkan dengan witir tiga rakaat. Yang berhujahkan seperti ini, mereka berdalilkan dengan hadith al-Laith, daripada Ibn Abi Mulaikah, daripada Ya’la, daripada Ummu Salamah, bahawa beliau mensifatkan solat malam dan bacaan Rasulullah SAW ketika itu, ‘كان يصلى ثم ينام قدر ما صلى، ثم يصلى قدر ما نام، ثم ينام قدر ما صلى، ثم يقوم فيوتر.’ (“Baginda solat, kemudian Baginda tidur selama tempoh Baginda solat tadi. Kemudian Baginda solat lagi selama tempoh Baginda tidur tadi. Lalu Baginda tidur kembali selama tempoh Baginda solat. Setelah itu, Baginda berdiri untuk melaksanakan witir.”) Inilah penjelasan seperti yang dikemukakan oleh Ibn Battal dalam kitab Syarh Sahih al-Bukhari (5/155).

Hal ini juga sepertimana yang difatwakan oleh Syeikh ‘Abd al-Aziz di mana, ketika beliau ditanya berkenaan sebahagian imam yang melakukan solat tarawih empat rakaat atau lebih dengan sekali salam, tanpa duduk antara dua rakaat. Jawab beliau: “Perbuatan seperti ini tidak dianjurkan, bahkan makruh atau haram menurut majoriti ahli ilmu. Hal ini berdasarkan sabda Nabi SAW: ‘صَلاَةُ اللَّيْلِ مَثْنَى مثنى’ (“Solat malam itu dua rakaat, dua rakaat.”) [Riwayat Muslim: 749] Begitu juga terdapat riwayat daripada Aisyah R.Anha, katanya: ‘كان النبي صلى الله عليه وسلم يصلي من الليل إحدى عشر ركعة ، يسلم من كل اثنتين ، ويوتر بواحدة’ (“Biasanya Nabi SAW menunaikan solat malam sebelas rakaat. (Baginda) memberi salam pada setiap dua (rakaat). Dan melaksanakan witir satu rakaat.” [Riwayat al-Bukhari, 994 dan Muslim, 736)

Adapun berkenaan hadith Aisyah R.A yang masyhur: ‘إن النبي صلى الله عليه وسلم كان يصلي من الليل أربعاً ، فلا تسأل عن حسنهن وطولهن ، ثم يصلي أربعاً ، فلا تسأل عن حسنهن وطولهن’ (“Sesungguhnya Nabi SAW biasanya solat malam empat rakaat, jangan kamu bertanya tentang sempurna dan lamanya. Kemudian Baginda solat empat rakaat, dan jangan kamu tanya tentang sempurna dan lamanya..” [Riwayat al-Bukhari, 1147 dan Muslim, 738] Maksudnya adalah Baginda SAW memberi salam setiap dua (rakaat), bukan menunaikan secara berterusan empat rakaat dengan satu salam. Hal ini berdasarkan hadith sebelumnya, dan sabda Baginda SAW: “Solat malam itu dua rakaat, dua rakaat,” seperti yang telah disebutkan. Hadith-hadith itu antara satu sama lain saling membenarkan. Sewajarnya seorang muslim mengambil semuanya, yang bersifat umum dijelaskan (ditafsirkan) dengan yang terperinci. Wallahu a’lam. (Lihat Fatawa Islamiyyah, 2/156)

 

Penutup

Berdasarkan nas dan keterangan di atas, kami nyatakan bahawa solat tarawih perlu dilakukan dengan cara dua rakaat satu salam, dan inilah pendapat yang muktamad dalam mazhab al-Syafi’i. Dan hal ini juga bertepatan dengan sabda Nabi SAW:

صَلاَةُ اللَّيْلِ مَثْنَى مثنى

Maksudnya: “Solat malam itu dua rakaat, dua rakaat (satu salam)…”[16]

Wallahu a’lam.

Bertarikh: 21 April 2022 bersamaan 19 Ramadhan 1443H

[give_form id=”14962″]

[1] Riwayat al-Bukhari (37) dan Muslim (759)

[2] Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 6/39

[3] Lihat Tarh al-Tathrib, 4/161

[4] Riwayat al-Bukhari (1129)

[5] Lihat ‘Aun Al-Ma’bud Syarah Sunan Abi Daud, 4/180

[6] Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 4/32

[7] Riwayat Muslim (749)

[8] Lihat Nihayah al-Muhtaj, 2/127

[9] Lihat Fath al-Wahhab, 1/67. Lihat juga Nihayah al-Muhtaj, 5/329 dan Tuhfah al-Muhtaj, 7/287

[10] Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 6/30

[11] Lihat Bada’i’ al-Sana’i’, 1/289

[12] Lihat Hasyiyah al-‘Adawi ‘ala Kifayah al-Talib, 1/463

[13] Lihat al-Insaf fi Ma’rifati al-Rajih min al-Khilaf, 2/186

[14] Riwayat al-Bukhari (3569)

[15] Lihat Syarh al-Zarqani ‘ala Muwatta’ al-Imam Malik, 1/432

[16] Riwayat Muslim (749)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *