Soalan
Assalamualaikum ustaz. Adakah puasa seseorang terbatal jika terjeluak? Contohnya, seseorang yang berus gigi selepas Subuh dan dia terjeluak (seperti ingin muntah). Apa yang keluar ialah air liur dan buih ubat gigi, dan bukan makanan. Mohon pencerahan.
Jawapan
Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.
Istilah jeluak sepertimana dijelaskan dalam Kamus Dewan Edisi Keempat bermaksud, berbunyi sewaktu hendak muntah.[1] Jeluak (retch) juga ditakrifkan dengan perihal mengeluarkan bunyi dari kerongkong secara tidak sengaja diikuti gerakan otot seolah-olah hendak muntah, tetapi tidak ada sesuatu yang keluar.[2]
Secara asasnya, muntah dengan sengaja termasuk dalam perkara yang membatalkan puasa, sekalipun muntah yang keluar itu adalah sedikit. Muntah ialah apa-apa makanan yang kembali keluar — daripada mulutnya — selepas melepasi halkum sekalipun air, dan sekalipun tidak berubah rasa dan baunya.[3]
Menurut pengarang kitab al-Fiqh al-Manhaji (1/85), muntah yang disengajakan adalah membatalkan puasa seseorang, sekalipun dia pasti tiada apa-apa daripada muntahan tersebut masuk semula ke dalam perutnya. Akan tetapi, puasa seseorang tidak batal sekiranya tiada upaya untuk menahan muntahnya, sekalipun dia mengetahui ada sesuatu daripada muntahan tersebut yang masuk semula ke dalam perutnya dengan tidak sengaja.[4] Selain daripada itu, maksud muntah dengan sengaja adalah seperti menjolok-jolok lidah ke langit sehingga menyebabkan muntah.[5]
Hal ini berdasarkan sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A, bahawa Nabi SAW bersabda:
مَنْ ذَرَعَهُ قَيْءٌ وَهُوَ صَائِمٌ، فَلَيْسَ عَلَيْهِ قَضَاءٌ، وَإِنِ اسْتَقَاءَ فَلْيَقْضِ
Maksudnya: “Sesiapa yang tidak dapat menahan muntahnya semasa berpuasa, dia tidak wajib mengqadha’ (menggantikan) puasanya dan jika sengaja muntah, dia hendaklah mengqadha’kannya.”[6]
Al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani berkata: “Adapun mengenai muntah, jumhur ulama’ telah membezakan antara orang yang muntah dengan tidak disengajakan – yang mana hal ini tidak membatalkan puasa, – dengan orang yang sengaja mengeluarkan muntah – dan hal ini jelas membatalkan puasa. – Ibn al-Munzir telah menukilkan ijma’ tentang batalnya puasa disebabkan muntah dengan sengaja.[7]
Al-Khattabi ketika mensyarahkan hadith di atas menyatakan, termasuk dalam makna muntah dengan tidak sengaja adalah apa yang biasanya terjadi kepada manusia seperti masuknya lalat dalam kerongkongnya dan masuk air ke dalam perutnya seperti air banjir (tertelan air banjir) dan yang menyerupai perkara ini, sesungguhnya ia tidak merosakkan puasanya.[8] Tambahan lagi, menurut al-Baijuri, muntah yang tidak membatalkan puasa juga adalah jika dalam keadaan dipaksa oleh tubuh untuk muntah. Kecuali jika muntah itu kembali masuk ke dalam perutnya atas usahanya sendiri, maka batal puasanya.[9]
Penutup
Berdasarkan nas dan keterangan di atas, kami nyatakan bahawa sekiranya terjeluak itu dengan maksud seakan-akan ingin termuntah, dan kandungan jeluak tersebut adalah daripada buih-buih ubat gigi yang berada dalam mulut, serta ia berlaku di luar kemampuan seseorang untuk menahan jeluak tersebut, dan berlaku secara tidak sengaja, maka ia tidaklah membatalkan puasa.
Wallahu a’lam.
Bertarikh: 25 April 2022 bersamaan 23 Ramadhan 1443H
[give_form id=”14962″][1] Lihat https://prpm.dbp.gov.my/cari1?keyword=jeluak
[2] Lihat https://prpm.dbp.gov.my/Cari1?keyword=jeluak&d=282704&
[3] Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 455; lihat juga Matn Abi Syuja‘, hlm. 19
[4] Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 2/85
[5] Lihat Zain al-Talib, 2/80
[6] Riwayat Abu Daud (2380) dan al-Tirmizi (720)
[7] Lihat Fath al-Bari, 4/174
[8] Lihat Ma‘alim al-Sunan, 2/112
[9] Lihat Hasyiah Syeikh Ibrahim al-Baijuri, 1/556