Sale!
Original price was: RM28.00.Current price is: RM20.00.
Sale!
Original price was: RM35.00.Current price is: RM20.00.
Sale!

Buku Fizikal

Taufan Al-Aqsa

Original price was: RM20.00.Current price is: RM10.00.
Sale!
Original price was: RM20.00.Current price is: RM10.00.
Sale!
Original price was: RM40.00.Current price is: RM30.00.
Sale!
Original price was: RM70.00.Current price is: RM60.00.
Sale!
Original price was: RM310.00.Current price is: RM160.00.

Soalan:         

Assalamualaikum w.b.t. Saya ada satu soalan. Baru-baru ini saya ada melihat video tiktok yang tular, di mana penjual menjual barangan mereka seperti kerongsang, gula-gula dan lain-lain dengan cara cedok-cedok secara live. Apakah hukum jual beli tersebut dan adakah ia sah? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami juga melihat dan meneliti video berkenaan. Secara ringkasnya, jual beli barang secara cedok-cedok yang dilakukan secara live (siaran langsung), sama ada melalui tiktok, instagram dan seumpamanya adalah dengan cara peniaga akan mempromosikan barang-barang yang hendak dijual kepada para pengikutnya. Kemudian peniaga tersebut akan mencedok pelbagai jenis barangan yang diletakkan di dalam bekas yang lebih besar menggunakan senduk atau seumpamanya. Pembeli hanya menetapkan nilai atau harga belian, dan peniaga akan mencedok sekali atau beberapa kali. Barang-barang yang dicedok itu secara automatik menjadi milik pembeli. Barang-barang yang dijual itu pula terdiri daripada gula-gula, aksesori, barang kosmetik dan seumpamanya dengan harga tertentu untuk satu cedokan. Dalam erti kata lain, pembeli tidak ada pilihan dan hanya perlu menerima serta redha untuk mengambilnya walaupun mungkin sebahagian barangan yang diperolehi tidak diperlukan dan tidak diminati.

Secara umumnya, di antara jual beli yang tidak dibenarkan ialah jual beli yang mengandungi unsur perjudian merangkumi jual beli yang tidak menyatakan barangan yang dijual secara jelas, atau wujud perbuatan yang menafikan kehendak salah satu pihak.

Di antara bentuk jual beli bahagian ini yang dinyatakan oleh nas ialah jual beli munabazah (campak-mencampak) dan mulamasah (sentuh-menyentuh). Iaitu kedua-dua pihak berurusan dengan suatu barangan yang tidak ditentukan mana satu.  Dengan itu, apabila penjual mencampakkan mana-mana satu barangan atau pembeli menyentuh mana-mana satu barangan, barangan tersebutlah yang akan dijual. Termasuk dalam erti kata jual beli ini adalah menjual baju dalam gelap dan pembeli akan menyentuh tanpa melihat barangan yang ingin dibeli.

Begitu juga pembelian sesuatu barangan walaupun sudah ditentukan, tetapi dikira berlaku terus apabila sahaja barang tersebut dilempar atau disentuh. Jelas dalam contoh yang pertama, wujud keadaan tidak mengetahui barangan yang dijual. Sementara dalam contoh yang kedua, wujud keadaan kehendak salah satu pihak dinafikan. Ini kerana pembeli atau penjual tidak mengetahui sebaik sahaja sesuatu barang dicampak atau disentuh, pihak yang satu lagi mesti membeli atau menjual barang tersebut.[1]

Terdapat riwayat daripada Abu Sa‘id al-Khudri R.A, beliau berkata:

نَهَى رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ لِبْسَتَيْنِ وَعَنْ بَيْعَتَيْنِ، نَهَى عَنِ الـمُلاَمَسَةِ وَالـمُنَابَذَةِ فِي البَيْعِ. وَالـمُلاَمَسَةُ: لَمْسُ الرَّجُلِ ثَوْبَ الآخَرِ بِيَدِهِ بِاللَّيْلِ أَوْ بِالنَّهَارِ وَلاَ يُقَلِّبُهُ إِلَّا بِذَلِكَ. وَالـمُنَابَذَةُ: أَنْ يَنْبِذَ الرَّجُلُ إِلَى الرَّجُلِ بِثَوْبِهِ، وَيَنْبِذَ الآخَرُ ثَوْبَهُ، وَيَكُونَ ذَلِكَ بَيْعَهُمَا عَنْ غَيْرِ نَظَرٍ وَلاَ تَرَاضٍ، وَاللِّبْسَتَيْنِ: اشْتِمَالُ الصَّمَّاءِ، وَالصَّمَّاءُ: أَنْ يَجْعَلَ ثَوْبَهُ عَلَى أَحَدِ عَاتِقَيْهِ، فَيَبْدُو أَحَدُ شِقَّيْهِ لَيْسَ عَلَيْهِ ثَوْبٌ. وَاللِّبْسَةُ الأُخْرَى: احْتِبَاؤُهُ بِثَوْبِهِ وَهُوَ جَالِسٌ، لَيْسَ عَلَى فَرْجِهِ مِنْهُ شَيْءٌ.

Maksudnya:Rasulullah SAW melarang daripada dua cara berpakaian dan dua jenis jual beli. Baginda melarang daripada mulamasah dan munabazah dalam jual beli. Mulamasah ialah seseorang memegang pakaian orang lain dengan tangannya pada waktu malam atau siang hari tanpa membalikkannya (memeriksanya dengan teliti) kecuali demikian (sudah dianggap sebagai jual beli). Munabazah adalah seseorang melemparkan pakaiannya kepada orang lain dan orang itu juga melemparkan kain kepadanya, maka terjadilah perbuatan itu sebagai jual beli antara kedua-duanya tanpa memeriksa barangan tersebut terlebih dahulu dan juga tanpa keredhaan. Adapun dua cara berpakaian (yang dilarang) salah satunya adalah isytimal al-samma’. Al-Samma’ adalah meletakkan pakaian di atas salah satu bahunya sehingga bahagian badannya yang lain terbuka tanpa ada kain yang menutupi, dan cara berpakaian yang lain (yang juga dilarang) adalah ihtiba’ dengan pakaian, dalam keadaan dia duduk tanpa ada sebarang kain yang menutupi kemaluannya.[2]

Al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani dalam Fath al-Bari menyebutkan, lafaz pada hadith Abu Sa‘id “ نَهَى عَنْ الْمُنَابَذَةِ” (melarang jual beli munabazah) iaitu seseorang melemparkan kainnya kepada orang lain untuk dijual sebelum orang itu membalikkan atau melihatnya. Baginda juga melarang jual beli mulamasah, dan mulamasah ialah seseorang menyentuh kain tanpa melihat kepadanya. Adapun munabazah pula ialah seseorang melemparkan kainnya kepada orang lain, lalu orang lain itu melemparkan pula kain miliknya, maka jual beli (barter) antara keduanya berlangsung tanpa memeriksa barang dan tanpa didasari oleh suka sama suka.

Dalam riwayat Abu ‘Awanah, daripada jalur lain, daripada Yunus disebutkan: “Dan yang demikian itu adalah orang-orang yang melakukan jual beli barang tanpa melihat kepadanya dan tidak pula memberitahukan tentangnya, atau orang-orang yang saling melempar kain sama seperti itu.Justeru, hal ini termasuk dalam kategori qimar (judi).

Begitu juga dalam riwayat Ibn Majah, daripada jalur Sufyan, daripada al-Zuhri disebutkan bahawa munabazah ialah seseorang mengatakan, “Lemparkan kepadaku apa yang ada padamu, dan aku akan melemparkan kepadamu apa yang ada padaku.” Manakala al-Nasa’i meriwayatkan daripada hadith Abu Hurairah bahawa mulamasah ialah seseorang berkata kepada orang lain, “Aku menjual kepadamu kainku dengan kainmu.” Masing-masing daripada keduanya tidak melihat kepada kain yang hendak dijual kepadanya, akan tetapi mereka sekadar merabanya. Sedangkan munabazah pula ialah seseorang mengatakan, “Aku melemparkan apa yang ada padaku dan engkau melemparkan apa yang ada padamu.” Keduanya melakukan jual beli (barter) tanpa ada satu pihak pun di antara keduanya yang mengetahui apa yang ada pada pihak yang lain, dan yang sepertinya.[3]

Seterusnya dalam al-Fiqh al-Manhaji juga dinyatakan, periwayat hadith telah menafsirkan mulamasah iaitu seorang lelaki menyentuh sehelai pakaian dengan tangan pada waktu malam atau siang dan dia tidak boleh mengambil selain daripada barangan yang disentuhnya itu. Manakala munabazah pula ialah seorang lelaki mencampakkan bajunya kepada lelaki lain dan lelaki itu mencampakkan pula bajunya kepada lelaki lain dan lelaki itu mencampakkan pula bajunya kepada lelaki pertama, dengan itu berlakulah jual beli tanpa melihat atau saling meredhai.

Jual beli yang hampir sama dengan jual beli sentuhan dan campakan ialah jual beli baling batu (hasah). Dalam jual beli ini, kedua-dua pihak bersetuju untuk berjual beli salah satu barang dan ia ditentukan dengan cara yang salah seorang antara mereka membaling anak batu, dan mana-mana barangan yang terkena batu tersebut akan dijual. Terdapat nas yang melarang jual beli seperti ini dan para fuqaha’ pula merumuskan jual beli seperti ini tidak sah kerana wujudnya ketidakpastian dan penafian kepada kehendak salah satu pihak yang berjual beli. Abu Hurairah R.A berkata:

أن النَّبِىِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ نَهَى عَنْ بَيْعِ الْحَصَاةِ

Maksudnya:Nabi SAW melarang jual beli baling batu.”[4]

Demikian juga dengan jual beli yang diamalkan hari ini. Iaitu beberapa barangan diletakkan di suatu tempat dan sekeping papan atau besi akan dipusingkan. Mana-mana barangan yang berada di tempat papan atau besi itu berhenti akan dijual kepada pembeli dengan harga tertentu. Begitu juga dengan barangan yang ditandakan dengan nombor, kemudian dipusingkan papan putar nombor yang ada pada barangan tersebut akan diambil sebagai barangan yang dijual dan pembeli mesti membelinya. [5]

Dr. Abdullah bin Soleh al-Fauzan menyebutkan, dilarang daripada jual beli secara mulamasah (sentuh-menyentuh) dan munabazah (campak-mencampak) kerana terdapatnya ketidaktahuan (jahalah) yang membawa kepada pertelingkahan.[6]

Jual beli sebegini, menurut al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani sebagai bentuk jual beli Jahiliyyah.[7] Imam al-Nawawi menyifatkan jual beli sebegini adalah batil dan tidak sah kerana mengandungi unsur gharar. [8]

Begitu juga dengan hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A, katanya:

أنَّ النَّبِي صلى الله عليه وسلم نَهَى عَنْ بَيْعِ الْغَرَرِ

Maksudnya: Sesungguhnya Nabi SAW melarang jual-beli gharar (tidak jelas statusnya).” [9]

Al-Baji menjelaskan, apabila hal ini telah diketahui dengan baik, maka ketahuilah bahawa gharar dapat terjadi daripada tiga sudut: akad, harga atau barang yang diperjual-belikan dan tempoh pembayaran atau penyerahan barang.[10]

Ibn al-Rusyd lebih terperinci menegaskan, antara akad jual-beli yang terlarang ialah pelbagai jenis akad jual-beli yang berpotensi menimbulkan kerugian pada orang lain, kerana adanya ketidakjelasan status. Dan ketidakjelasan status dalam akad jual-beli dapat ditemukan pada:

  • Ketidakpastian dalam penentuan barang yang diperjual-belikan.
  • Ketidakpastian akad.
  • Ketidakpastian harga.
  • Ketidakpastian barang yang dijual belikan.
  • Ketidakpastian kadar harga atau barang.
  • Ketidakpastian tempoh pembayaran atau penyerahan barang.
  • Dan ketidakpastian sepenuhnya pada barangan yang diperjual-belikan.[11]

Imam al-Mawardi menyebutkan, hakikat gharar yang terlarang dalam akad jual beli ialah suatu keadaan yang memiliki dua kemungkinan, akan tetapi kemungkinan buruklah yang paling besar peluangnya. [12]

Hukum jual beli secara cedok-cedok

Berbalik kepada soalan yang diajukan, kami melihat jual beli secara cedok-cedok sepertimana yang dinyatakan di atas adalah mirip dengan jual beli mulasamah dan munabazah serta termasuk dalam jual beli yang dilarang kerana mengandungi unsur gharar, jahalah dan perjudian. Bukan itu sahaja, ia dilihat seolah-olah bergantung kepada nasib semata-mata dan menafikan hak pembeli dalam memilih barangan yang dikehendakinya dan disukainya dengan harga yang setimpal dengan apa yang telah dibayar. Justeru, situasi ini telah melanggar prinsip-prinsip jual beli yang sepatutnya ada seperti khiyar (pilihan).

Selain daripada itu, Dr. Zaharuddin Abd Rahman turut berpendapat bahawa jual beli secara cedok-cedok sebagaimana yang disebutkan di atas adalah haram di sisi hukum syarak disebabkan wujudnya elemen berikut iaitu:

  1. Gharar (ketidaktentuan semasa aqad akan apakah barangan yang akan diperolehi secara tepat dengan bayaran yang dibuat).
  2. Jahalah (ketidaktahuan barangan yang diperolehi).
  3. Elemen judi, kerana terdapat elemen zero sum game iaitu satu pihak untung dan satu pihak akan rugi, yang untung atas kerugian orang lain.

Bahkan, beliau juga menyebutkan, sekiranya pembeli menyatakan redhanya dengan kaedah pembelian ceduk itu, ia tetap tidak diharuskan oleh syarak sebagaimana keredhaan pemain judi akan menang atau kalahnya. Selain itu, ia juga adalah bentuk moden daripada beberapa jenis jual beli yang pernah ditegah dan diharamkan oleh Baginda SAW dahulu iaitu contohnya bai‘ al-munabazah dan juga mempunyai sedikit elemen bai‘ al-mulamasah serta juga bai‘ al-hasah.[13]

Kesimpulannya

Berdasarkan kepada perbahasan dan perbincangan di atas, kami berpendapat bahawa jual beli secara cedok-cedok seperti mana yang dijelaskan di atas adalah tidak dibolehkan dan jual beli tersebut tidak sah. Hal ini kerana ia mengandungi unsur gharar (ketidaktentuan), jahalah (ketidaktahuan) dan perjudian.

Justeru, kami juga mengambil kesempatan di sini menasihati semua agar menjauhi jual beli seperti ini. Apatah lagi di sana terdapat banyak lagi jual beli yang jauh lebih baik dan bebas daripada unsur-unsur yang diharamkan.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahua‘lam.

Bertarikh: 25 Julai 2022 bersamaan 25 Zulhijjah 1443H

[give_form id=”14962″]

[1] Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 6/36.

[2] Riwayat al-Bukhari (5820)

[3] Lihat Fath al-Bari, 6/473

[4] Riwayat Muslim (1513)

[5] Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 6/36-37.

[6] Lihat Minhah al-‘Allam fi Syarh Bulugh al-Maram, 6/93.

[7] Lihat Fath al-Bari, 4/358

[8] Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 10/155

[9] Riwayat Muslim (1513), Abu Dawud  (3376), al-Tirmizi (1230), al-Nasa’i (4518), dan Ibn Majah (2194).

[10] Lihat al-Muntaqa, 5/41

[11] Lihat Bidayah al-Mujtahid, 2/148

[12] Lihat al-Hawi al-Kabir, 5/25

[13] Lihat https://www.shariahscreener.com/news/status-hukum-jual-beli-ceduk. Diakses pada 22 Julai 2022.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *