SOALAN
Bagaimana jika saya solat dengan arah kiblat yang sedikit tersasar. Perlukah saya meneruskan solat jemaah di surau itu atau solat jemaah saya tidak sah setelah mengetahui kiblatnya salah?
JAWAPAN
Menghadap Kaabah itu yakni menghadap dengan dada, bukan dengan kepala bagi orang yang solat berdiri dan duduk; dengan kepala dan dada bagi orang yang solat baring atas lambung; dan dengan kepala dan hujung jemari kaki bagi orang yang solat dengan terlentan.[1]
Menurut Syeikh Prof. Dr. Muhammad al-Zuhaili, bagi mereka yang jauh dari Kaabah atau mereka yang terhalang daripada melihat terus kepada Kaabah, tidak memudaratkan solat jika posisi agak ke kanan sedikit dan ke kiri sedikit daripada Kaabah, kerana itu adalah kesilapan yang tidak terlalu jauh, selagi mana tidak tersasar daripada arah Kaabah.[2]
Jika tersasar sedikit ke kanan atau kiri, ia tidak memudaratkan kesahihan solat. Sebaiknya, gunalah khidmat Unit Falak di Jabatan Mufti setiap negeri atau NGO yang menawarkan perkhidmatan mengukur kiblat untuk mendapatkan anggaran arah kiblat yang lebih tepat. Wallahu a’lam.
[1] Kasyifah al-Saja, m. 197; al-Taqrirat al-Sadidah. m. 200.
[2] al-Mu`tamad fi al-Fiqh al-Syafie (1/217)