SOALAN
Apakah hukum pemindahan organ khinzir kepada manusia? Bukankah khinzir ni najis mughalllazah dalam Islam?
JAWAPAN
Saya telah menghuraikan hukum berkaitan pendermaan dan pemindahan organ dan tisu di sini. Adapun pemindahan organ ataupun tisu satu spesies kepada spesies yang lain atau diistilahkan sebagai xenotransplantation, ia memerlukan perincian yang mendalam. Xenotransplantation adalah (i) pemindahan sel hidup, tisu, atau organ-organ haiwan yang berasal dari manusia atau (ii) pemindahan cecair atau sel badan manusia yang mempunyai hubungan dengan sel atau tisu bukan manusia langsung.[1]
Prinsip asas bagi pemindahan organ melibatkan manusia-haiwan adalah, haram menggunakan najis untuk berubat jika ada bahan yang suci. Bahan najis boleh digunakan jika ia adalah keperluan yang mendesak dan tidak ada bahan yang suci yang boleh digunakan.
Asas pengharaman khinzir adalah jelas di sisi syarak sebagaimana firman-Nya:
إِنَّمَا حَرَّمَ عَلَيْكُمُ الْمَيْتَةَ وَالدَّمَ وَلَحْمَ الْخِنزِيرِ وَمَا أُهِلَّ بِهِ لِغَيْرِ اللَّهِ ۖ فَمَنِ اضْطُرَّ غَيْرَ بَاغٍ وَلَا عَادٍ فَلَا إِثْمَ عَلَيْهِ ۚ إِنَّ اللَّهَ غَفُورٌ رَّحِيمٌ
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah hanya mengharamkan kepada kamu memakan bangkai, dan darah, dan daging babi, dan binatang-binatang yang disembelih tidak kerana Allah maka sesiapa terpaksa (memakannya kerana darurat) sedang ia tidak mengingininya dan tidak pula melampaui batas (pada kadar benda yang dimakan itu), maka tidaklah ia berdosa. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”[2]
Sabda Rasulullah SAW:
إِنَّ اللَّهَ حَرَّمَ الْخَمْرَ وَثَمَنَهَا، وَحَرَّمَ الْمَيْتَةَ وَثَمَنَهَا، وَحَرَّمَ الْخِنْزِيرَ وَثَمَنَهُ
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah telah mengharamkan arak dan harganya, mengharamkan bangkai dan harganya, serta mengharamkan khinzir dan harganya.”
Para ulama’ bersepakat tentang haramnya penggunaan najis sebagai bahan ubat namun berbeza pada keharusannya atas sebab darurat. Bagi mazhab Syafie, penggunaan tulang yang dikira najis, tidak dibenarkan kecuali pada keadaan yang amat mendesak dan tidak ada alternatif lain daripada tulang yang suci.
Kata Imam al-Nawawi: “Jika tulangnya patah, maka perlulah ia disambung dengan tulang yang suci. Para ulama’ Syafi’iyyah berkata, ‘Tidak dibenarkan untuk menyambungkannya dengan najis selagi mana mampu dicari yang suci. Sekiranya disambung dengan najis atas hajat, dan tidak ditemui yang suci, ia dianggap uzur (dimaafkan). Sekiranya dia tidak memerlukannya atau menjumpai tulang yang suci [tetapi masih memilih tulang yang najis], dikira berdosa dan wajib untuk dicabut tulang itu [untuk digantikan dengan tulang yang suci] jika dia tidak khuatir memudaratkan dirinya.”[3]
Majma’ al-Fiqh al-Islami Rabitah al-‘Alam al-Islami yang bersidang pada 28 Rabi’ al-Akhir hingga 7 Jamadil Awwal 1405H telah memutuskan bahawa pemindahan organ haiwan kepada manusia mestilah daripada haiwan yang boleh dimakan dan disembelih dengan cara yang syar’ie sahaja. Selain daripada itu, hanya dibenarkan jika ada darurat.[4]
Hal ini juga sebagaimana yang ditegaskan oleh Syeikh ‘Atiyyah Saqar, mantan Mufti Republik Arab Mesir dalam fatwanya bertarikh Mei 1997 pada soalan “Sekiranya tulang seseorang itu patah dan tidak ditemui tulang melainkan tulang haiwan yang dianggap najis, bolehkah disambungkan dengannya?”[5] Pandangan yang sama juga dikemukakan oleh Syeikh Jad al-Haq ‘Ali Jad al-Haq, mantan Mufti Mesir pada 5 Disember 1979 dalam fatwanya.[6]
Apabila bertembung antara pengharaman dan mudarat, kaedah fiqh ini perlu diambil kira:
إذَا تَعَارَضَ مَفْسَدَتَانِ رُوعِيَ أَعْظَمُهُمَا ضَرَرًا بِارْتِكَابِ أَخَفِّهِمَا
Maksudnya: “Apabila bertembungnya dua mafsadah, maka dipelihara (ditolak) mudarat yang paling besar dengan melakukan mudarat yang lebih ringan.”[7]
Syeikh Mustafa Al-Zarqa berkata: “[Yang dimaksudkan dengan] meraikan yang paling berat dari keduanya adalah dengan cara meninggalkannya. Ini kerana, mafsadah-mafsadah diraikan dengan dinafikan seperti mana maslahah-maslahah diraikan dengan melakukannya.”[8]
Berbalik kepada Surah al-Baqarah ayat 173 di atas, Allah SWT menyimpulkan di hujungnya,
فَمَنِ اضْطُرَّ غَيْرَ بَاغٍ وَلَا عَادٍ فَلَا إِثْمَ عَلَيْهِ ۚ إِنَّ اللَّهَ غَفُورٌ رَّحِيمٌ
Maksudnya: “…maka sesiapa terpaksa (memakannya kerana darurat) sedang ia tidak mengingininya dan tidak pula melampaui batas (pada kadar benda yang dimakan itu), maka tidaklah ia berdosa. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”
Guru kami, Syeikh Dr. Muhammad bin Muhammad al-Mukhtar al-Syinqiti meletakkan dua syarat bagi pemindahan organ haiwan yang bersifat najis iaitu:
- Pesakit tersebut memerlukan pemindahan organ haiwan najis tersebut, dan disahkan oleh pakar perubatan akan keperluannya.
- Tidak ada alternatif organ yang suci.
Jika dua syarat ini dipenuhi, maka tidak ada masalah untuk pemindahan organ tersebut. Ia juga tidak memberi kesan kepada solat dan ibadah yang mensyaratkan kesucian, atas faktor keuzuran dalam menggunakan najis tersebut.[9]
Kesimpulannya, saya berpendapat bahawa pemindahan organ khinzir kepada manusia adalah dibolehkan dengan syarat ia adalah darurat yang disahkan oleh pakar perubatan dan tidak ada alternatif lain yang lebih sesuai. Jika sudah ada alternatif lain yang halal, maka terbatallah keharusan ini. Walaupun begitu, organ khinzir yang telah dipindahkan kepada pesakit, tidak perlu digantikan jika ia boleh mendatangkan mudarat kepada pesakit. Saya juga berpandangan sudah sampai masanya bagi Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia mengeluarkan pandangan dalam isu ini. Sesungguhnya kajian seperti ini adalah amat penting untuk menyelesaikan masalah yang kritikal pada masa kini yang terkait dengan rawatan dan perubatan. Wallahu a’lam.
[1] https://www.fda.gov/vaccines-blood-biologics/xenotransplantation
[2] Surah al-Baqarah: 173.
[3] Al-Majmu’ Sharh al-Muhazzab, 3/145.
[4] Qararat al-Majma’ al-Fiqh al-Islami bi Makkah al-Mukarramah (1977-2004), m. 158
[5] Al-Fatawa al-Islamiyyah, 10/258
[6] Ibid., 7/356.
[7] Al-Ashbah wal-Naza’ir, m. 76
[8] Sharh al-Qawa’id a-Fiqhiyyah, m. 201.
[9] Ahkam al-Jirahah al-Tibbiyyah wa al-Athar al-Mutarattibah ‘Alayha, m. 402.