Telah sampai ke meja saya, soalan berhubung wang syubhah. Di manakah diagihkan wang yang haram, tidak patuh syarak atau yang syubhah?

Menurut Ibn al-Arabi dalam tafsirnya :

فإن التبس عليه الأمر ولم يدركم الحرام من الحلال مما بيده، فإنه يتحرى قدر ما بيده مما يجب عليه رده حتى لا يشك أن ما يبقى قد خلص له

Maksudnya: “Jika seseorang itu ragu-ragu tentangnya, dan dia tidak mengetahui berapakah yang halal dan berapakah yang haram di tangannya, maka wajiblah dia berhati-hati kadar harta yang masih ada ditangannya dengan mengembalikannya kepada tuannya sehingga dia tidak ada sebarang kesangsian lagi bahawa yang berbaki sudah bersih daripadanya.”

Al-Imam al-Ghazali di dalam Ihya’ Ulumuddin (2/93) mengatakan: “Jika bercampur antara harta yang halal dengan harta yang haram dan kedua-duanya tidak dapat dibezakan, maka tidaklah mengapa untuk kita menggunakannya. Hal ini adalah seperti harta yang diperolehi pada zaman kita sekarang (pada zaman al-Imam Ghazali yang wafat pada tahun 505H itu sendiri telah pun berlaku percampuran harta yang halal dan haram, apatah lagi zaman yang lebih teruk seperti sekarang.)” Katanya lagi: “Jika harta tersebut dapat dipastikan mana satu yang halal dan mana satu yang haram maka wajiblah menjauhi perkara yang haram tersebut.”

Apabila harta pendapatan seseorang bercampur diantara yang halal dan yang haram, ada beberapa cadangan yang sesuai:

  • Cuba asingkan antara duit yang halal dan yang haram.
  •  Jika dapat diasingkan, duit yang haram dikembalikan kepada tuannya manakala yang baki adalah halal boleh dimiliki serta halal untuk dibelanjakan kepada ahli keluarga.
  • Jika percampuran antara harta yang halal dan haram serta ia tidak dapat dibezakan, maka halal untuk seseorang itu menggunakannya sebagaimana keterangan Imam al-Ghazali di atas.

Manakala wang yang diyakini sumbernya haram dinasihatkan agar melakukan tindakan berikut :

  • Hendaklah diserahkan kepada pemiliknya jika mampu.
  • Diagihkan untuk kemaslahatan muslimin seperti pembinaan jalan, jambatan, tandas, pembelian ventilator dan sebagainya.
  • Baitulmal
  • Disedekahkan bagi pihak tuannya.

Sebagai kesimpulan, wang yang tidak patuh syariah boleh dimasukkan dalam sumber am dan diberi untuk maslahah umum.

Semoga pencerahan ini memberi jawapan dan menyelesaikan isu wang yang berbaki dalam akaun baitulmal bersabitan dengan wang tidak patuh syariah.

PENAFIAN: Al-Bayan adalah siri pandangan hukum yang dikeluarkan oleh Unit al-Bahth al-‘Ilmi (Penyelidikan Ilmiah) Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama). Ianya tidak berperanan sebagai fatwa dalam konteks akta di Wilayah-Wilayah Persekutuan dan enakmen di peringkat Negeri.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *