“Ustaz, ana baru dapat call. Syeikh Usamah al-Azhari berhajat nak ziarah ustaz hari Ahad ni.”, kata Hashim ketika sedang memandu. Zulkifli yang berada di sebelahnya bertanya kembali, “Syeikh Usamah ni, yang muda-muda lagi tu ya? Tak silap ana umur dia tak sampai lagi 40 tahun. Sorang lagi Syeikh Usamah al-Rifa’ie, ulama Syam yang ana kenal masa belajar di Syria dulu. Tapi itu dah berumur…”
Hashim mengangguk dan berkata, “Ya. Muda lagi rasanya. Ana cuba Google tadi cari sikit biodata Syeikh ni.” Sesekali beliau menjeling ke cermin belakang.
Sejak mula berkhidmat sebagai Mufti Wilayah Persekutuan, bertali arus tetamu datang berkunjung, samada dari dalam atau luar negara. Kerap kali Puan Rahmah, Setiausaha Pejabat kepada Zulkifli memaklumkan, “Cepat sangatla gula dengan teh habis, Dr. Cawan pun tak cukup ni.”
“Dakpe. Nah, pakai duit ana. Mintak Azrin pergi beli teh, gula. Ambik sikit lagi duit ni. Beli cawan.”, kata Zulkifli menghulurkan beberapa not hijau kepada Puan Rahmah.
Dalam tempoh 6 bulan memegang jawatan sebagai Mufti, Zulkifli sudah menerima tetamu daripada segenap pelusuk Malaysia dan juga luar negara seperti Arab Saudi, Syria, Yaman, dan Mesir. Tetamu yang hadir ke Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, sekurang-kurangnya dihidangkan dengan air Teh O dan sedikit kuih-muih sebagai menyahut seruan Rasulullah SAW:
قَالَ مَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ فَلْيُكْرِمْ ضَيْفَهُ
Maksudnya: “Barang siapa beriman kepada Allah dan hari Akhirat, hendaknya ia memuliakan tetamunya.[1]
Ini juga bertepatan dengan sabda Rasulullah SAW:
مَنْ أَحَبَّ أَنْ يُبْسَطَ لَهُ فِي رِزْقِهِ وَيُنْسَأَ لَهُ فِي أَثَرِهِ فَلْيَصِلْ رَحِمَهُ
“Barangsiapa ingin dilapangkan pintu rezeki untuknya dan dipanjangkan umurnya hendaknya dia menyambungkan silaturrahim.”[2]
Menyantuni tetamu sudah pasti termasuk dalam amalan-amalan yang menyambung silaturrahim sesama Muslim.
*********************
“Jika tidak keberatan, saya amat mengharapkan Maulana mengijazahkan kepada saya hadis musalsal bil awwaliyah yang jalurnya melalui almarhum Syeikh Dr. ‘Abdullatif Soleh al-Farfour. Ia merupakan jalur yang nadir pada zaman sekarang memandangkan almarhum telah pun meninggalkan kita.”, Syeikh Usamah memujuk Zulkifli beberapa kali untuk memberikannya ijazah hadith berkenaan sambil memegang erat tangan Zulkifli. Pertemuan yang diadakan di rumah Zulkifli itu berlangsung dengan amat mahabbah.
Abdullah ibn al-Mubarak pernah menyebut:
الإسناد عندي من الدين ولو لا الإسناد لقال من شاء ما شاء.
“Sanad bagiku termasuk bagian dari agama. Jika sanad tidak ada, niscaya orang akan berkata sesuka hatinya.”
Pemberian dan penerimaan ijazah sanad merupakan tradisi penuntut ilmu Islam zaman berzaman. Ia adalah satu keberkatan, namun apa yang lebih penting adalah tafaqquh ilmu. Itu yang difahami daripada guru-guru Zulkifli di Madinah dan Syria satu ketika dahulu.
Itulah jua nasihat daripada Malik bin Anas kepada dua orang anak saudaranya, Abu Bakr bin Ismail bin Abu Uways, “Sekiranya kamu ingin memperoleh manfaat daripadanya (pengajian hadith), dan Allah memanfaatkan melalui kamu berdua, maka kurangkanlah periwayatannya dan perbanyakkanlah tafaqquh.”
Kefahaman kepada kitab perlulah didahulukan daripada ijazah kitab. Sekalipun tinggi ijazah dan sanad, tetapi tanpa kefahaman, maka seorang penuntut ilmu tidak akan ke mana. Apabila sampai masanya, apa yang akan disampaikan kepada masyarakat adalah kefahaman agama dan bukannya sanad.
Musalsal dari sudut bahasa ialah sesuatu yang bersambung antara satu sama lain.[3] Manakala dari sudut istilah pula ialah:
التَّسَلْسُل هو تَتَابَعَ رِجَالُ إِسْنَادِهِ عَلَى صِفَةٍ أَوْ حَالَةٍ لِلرُّوَاةِ تَارَةً وَلِلرِّوَايَةِ تَارَةً أُخْرَى
Makna at-Tasalsul adalah “satu turutan rangkaian perawi pada sesuatu sanad dalam sifat atau hal keadaan tertentu bagi setiap perawi dan kadang-kadang ia juga berlaku pada periwayatan”.[4]
Ini merupakan definisi yang diberikan oleh Imam al-Nawawi bagi hadith musalsal di dalam kitabnya al-Taqrib. Di samping itu, para ulama’ telah membahagikan hadith musalsal ini kepada beberapa bahagian:
- Persamaan yang terdapat pada perawi contohnya pada namanya, nasabnya atau sifatnya. Antara contoh musalsal ini ialah musalsal fuqaha’ al-Syafi’iyyah.
- Persamaan pada perkataan atau perbuatan. Antara contoh musalsal ini ialah musalsal dengan bersalam.
- Persamaan pada sifat atau cara pengriwayatan atau hal keadaan ketika diriwayatkan. Antara contoh musalsal ini ialah musalsal al-Awwaliyyah.
Adakalanya hadith musalsal adalah sahih dan adakalanya juga hukumnya adalah dhaif tetapi secara umumnya sanad yang terdapat pada hadith musalsal adalah dhaif.[5] Imam al-Zahabi telah menyebut: “Kebanyakan hadith musalsal ini adalah terlalu lemah, terutamanya yang melibatkan perkataan dan perbuatan yang datang tanpa cara periwayatan. Adapun musasal yang berkaitan dengan sifat perawi atau cara pengriwayatan, kebanyakkannya adalah sahih dan hanya sebahagian daripadanya adalah lemah”.[6] Telah berkata Syeikh Ibnu Taymiyyah: “Musalsal yang paling baik di dunia ini adalah musalsal surah al-Saf”.[7]
Melihat kesungguhan Syeikh Usamah yang datang daripada jauh untuk menziarahinya, Zulkifli meraikan permintaan tetamu besar ini dan membaca:
الرَّاحِمُونَ يَرْحَمُهُمُ الرَّحْمَنُ ارْحَمُوا مَنْ فِي الأَرْضِ يَرْحَمْكُمْ مَنْ فِي السَّمَاءِ
Maksudnya: “Orang-orang yang penyayang itu akan dikasihi oleh al-Rahman (Allah yang Maha Penyayang). Kasihilah sesiapa yang berada di bumi nescaya kamu akan dikasihi oleh yang berada di atas langit.”[8]
“Saya ijazahkan hadith ini kepada Syeikh Usamah al-Azhari sebagaimana yang saya peroleh daripada guru saya, Syeikh Dr. Abdullatif al-Farfour dan guru-gurunya…”.
Riwayat dan sanad para ulama’ telah muncul sebagai suatu bidang ilmu yang tersendiri. Peminatnya akan mendapati gabungan ilmu sejarah, geografi dan sosiologi pada tradisi periwayatan ini. Inilah yang wajar dihargai oleh penuntut ilmu kerana disamping keberkatan yang dicari, terdapat pelbagai bidang ilmu yang boleh didapati dengan hanya memelihara tradisi ini walaupun ia tidaklah berperanan sebagaimana zaman dahulu.
Perbincangan Zulkifli dan Syeikh Usamah dilanjutkan ke meja makan. Banyak yang beliau tanyakan, terutamanya tentang sejarah al-Azhar, para ulamanya dan tokoh yang menjadi idola Zulkifli seperti Syeikh Jad al-Haq Ali Jad al-Haq, Syeikh Mutawalli al-Sya’rawi dan lain-lain.
********************
Bulan Ogos lalu, Zulkifli menerima kunjungan pensyarah daripada Universiti al-Qasim, Arab Saudi yang ditemani Dr. Fadlan bin Othman. Beberapa hari lepas iaitu pada penghujung November 2014, Zulkifli menerima kunjungan Habib Umar bin Muhammad bin Salim bin Hafidz, ulama dan pendakwah terkemuka daripada Yaman.
Sekurang-kurangnya, 1 atau 2 bulan sekali pasti ada kunjungan tetamu daripada luar negara terutamanya Timur Tengah. Kebiasaannya, Zulkifli memberikan tauliah khas dan mengalu-alukan kehadiran para ulama’ ini untuk menyampaikan dakwah di Wilayah Persekutuan. Adakalanya, lewat petang barulah Zulkifli sempat menikmati makan tengahari dek padatnya jadual sebagai Mufti Wilayah Persekutuan.
“Shafiq. Ana rasa tahun depan ana nak perkenalkan program baru. Tahun 2015 ana nak lebih dekat dengan masyarakat khususnya di Wilayah. Bagi ana, Mufti tak boleh selesa di kerusi tu…”, katanya kepada Pegawai Khas beliau sambil mulutnya dimuncungkan ke arah kerusinya yang empuk.
“Insya-Allah kita namakan Jumaat bersama Mufti Wilayah Persekutuan. Temanya Tazkirah, Khutbah dan Ramah Mesra. Apa pandangan enta?”, tanya Zulkifli kepada Shafiq.
___________________
[1] Sahih Bukhari, no. 5784
[2] Riwayat al-Bukhari, no.
[3] Al-Thamarat al-Janiyyah min Qithof Matn al-Baiquniyyah, 66
[4] Tadrib al-Rawi fi Syarh Taqrib al-Nawawi, 384
[5] Al-Thamarat al-Janiyyah min Qithof Matn al-Baiquniyyah, m. 67
[6] Al-Muqizah, m.131
[7] Tadrib al-Rawi fi Syarh Taqrib al-Nawawi, m. 385
[8] Riwayat al-Tirmizi (1924)