Soalan

Assalamualaikum ustaz. Saya selalu mendengar istilah mahram selama-lamanya (mua’abbad). Mohon ustaz jelaskan, apakah maksudnya? Dan bagaimana kesan hukum terhadap seseorang yang ada hubungan dengan mereka. Terima kasih.

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Islam meletakkan batas-batas pergaulan yang perlu dijaga antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram. Ini berdasarkan kepada firman Allah SWT:

قُل لِّلْمُؤْمِنِينَ يَغُضُّوا مِنْ أَبْصَارِهِمْ وَيَحْفَظُوا فُرُوجَهُمْ ۚ ذَٰلِكَ أَزْكَىٰ لَهُمْ ۗ إِنَّ اللَّـهَ خَبِيرٌ بِمَا يَصْنَعُونَ ﴿٣٠﴾ وَقُل لِّلْمُؤْمِنَاتِ يَغْضُضْنَ مِنْ أَبْصَارِهِنَّ وَيَحْفَظْنَ فُرُوجَهُنَّ وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا مَا ظَهَرَ مِنْهَا ۖ

Maksudnya: Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah Amat Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan. Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya.[1]

Antara batasan pergaulan yang perlu dijaga ialah tidak boleh berdua-duaan antara lelaki dan perempuan yang ajnabi tanpa ditemani oleh mahram bagi lelaki atau perempuan tersebut. Dalam satu hadith yang diriwayatkan oleh Ibn ‘Abbas, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لاَ يَخْلُوَنَّ رَجُلٌ بِامْرَأَةٍ إِلاَّ وَمَعَهَا ذُو مَحْرَمٍ ‏

Maksudnya: Janganlah bersunyi-sunyian seorang lelaki dan perempuan (yang ajnabi) melainkan yang bersama-sama perempuan tersebut mahramnya.[2]

Imam al-Nawawi dalam mensyarahkan hadith ini menyebut bahawa apabila seorang lelaki dan perempuan yang ajnabi duduk bersama dan tiada orang yang ketiga bersama-sama mereka, maka perbuatan tersebut adalah haram dengan ijma’ para ulama’.[3]

Definisi Mahram

Dari sudut bahasa mahram  membawa makna larangan. Ibn Manzur dalam kitabnya menyebut bahawa mahram itu adalah individu-individu yang tidak boleh dinikahi.[4] Inilah maksud mahram yang dikemukakan oleh para fuqaha.

Dari sudut istilah para fuqaha’, mahram bermaksud: “Seseorang yang diharamkan untuk kita berkahwin dengannya dan pengharamannya tersebut adalah dalam bentuk al-ta’bid (selama-lamanya) dengan sebab yang mubah bukan kerana kemuliaannya dan bukan juga kerana terdapat penghalang yang boleh hilang.”[5]

Pada perkataan ‘’dalam bentuk al-ta’bid’’ membawa maksud: Ia tidak termasuk adik beradik perempuan kepada isteri. Begitu juga ibu saudara isteri dari sebelah ayah dan juga ibu saudara isteri dari sebelah ibu. Ini kerana pengharaman mereka itu dari sudut apabila dihimpunkan bersama sahaja (iaitu berkahwin dalam masa yang sama antara isteri dan ibu-ibu saudara mereka atau adik beradik perempuan mereka).

Manakala perkataan ‘’bukan kerana kemuliaannya’’ merujuk kepada isteri-isteri Nabi SAW. Ini kerana pengharaman mereka adalah disebabkan kemuliaan mereka. Mereka diharamkan kepada keseluruhan umat dan juga ke atas para Nabi juga.

Dan perkataan ‘’bukan juga kerana terdapat penghalang yang boleh hilang’’ adalah seperti wanita majusi, ataupun wanita yang murtad. Ini kerana pengharaman mereka adalah disebabkan penghalang yang boleh hilang. Maka boleh menjadi halal pada waktu yang lain (seperti apabila mereka memeluk Islam).

Penjelasan berkenaan dengan golongan yang dianggap sebagai mahram ini ada dinyatakan dalam firman Allah SWT:

حُرِّمَتْ عَلَيْكُمْ أُمَّهَاتُكُمْ وَبَنَاتُكُمْ وَأَخَوَاتُكُمْ وَعَمَّاتُكُمْ وَخَالَاتُكُمْ وَبَنَاتُ الْأَخِ وَبَنَاتُ الْأُخْتِ وَأُمَّهَاتُكُمُ اللَّاتِي أَرْضَعْنَكُمْ وَأَخَوَاتُكُم مِّنَ الرَّضَاعَةِ وَأُمَّهَاتُ نِسَائِكُمْ وَرَبَائِبُكُمُ اللَّاتِي فِي حُجُورِكُم مِّن نِّسَائِكُمُ اللَّاتِي دَخَلْتُم بِهِنَّ فَإِن لَّمْ تَكُونُوا دَخَلْتُم بِهِنَّ فَلَا جُنَاحَ عَلَيْكُمْ وَحَلَائِلُ أَبْنَائِكُمُ الَّذِينَ مِنْ أَصْلَابِكُمْ وَأَن تَجْمَعُوا بَيْنَ الْأُخْتَيْنِ إِلَّا مَا قَدْ سَلَفَ ۗ إِنَّ اللَّهَ كَانَ غَفُورًا رَّحِيمًا

Maksudnya: “Diharamkan ke atas kamu ibu-ibu kamu, anak-anak perempuan kamu, adik beradik perempuan kamu, ibu-ibu saudara kamu (dari sebelah bapa), ibu-ibu saudara kamu (dari sebelah ibu), anak-anak saudara perempuan kamu (dari sebelah adik beradik lelaki kamu), anak-anak saudara perempuan (dari sebelah adik beradik perempuan kamu), ibu-ibu susuan kamu, adik-beradik perempuan susuan kamu, ibu-ibu kepada isteri-isteri kamu, anak-anak perempuan kepada isteri kamu yang telah kamu setubuhi. Sekiranya kamu belum bersetubuh dengan mereka maka tidak ada dosa ke atas diri kamu. Dan isteri-isteri kepada anak-anak lelaki kandung kamu (menantu perempuan), dan (perbuatan) menghimpunkan antara dua adik beradik perempuan melainkan apa yang telah berlaku pada masa dahulu. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”[6]

Dalam ayat yang panjang ini menjelaskan berkenaan beberapa adab dan batas yang perlu dijaga dan dipelihara oleh setiap orang yang beriman sama ada lelaki atau perempuan. antaranya ialah memelihara aurat agar tidak diperlihatkan kepada orang yang bukan mahram. Begitu juga tidak diperbolehkan untuk melihat perkara yang haram apatahlagi melakukannya sehingga melanggar batas yang telah ditetapkan oleh Allah SWT.

Syeikh Mustafa al-Maraghi menyebut bahawa para lelaki perlulah untuk sentiasa menjaga mata mereka dari melihat perkara  haram dan jika mereka melihatnya hendaklah segera mengalihkan  kerana hikmah daripada pengharaman tersebut adalah untuk menutup perkara kejahatan dan menghalang dari melakukan maksiat dan dosa. Beliau menyebut lagi bagi wanita-wanita tidak boleh untuk memperlihatkan perhiasan yang sepatutnya mereka sembunyikan dan juga tidak boleh mendedahkan aurat kepada orang selain yang telah disebutkan.[7]

Imam al-Nawawi menyatakan dalam menghuraikan siapakah “saudara-saudara perempuan kamu”  dalam ayat di atas: “Dan saudara perempuan kamu (yang diharamkan atas kamu berkahwin dengannya) adalah setiap wanita yang diperanakkan oleh ibu bapa kamu atau salah seorang daripada mereka.”[8]

Imam al-Mawardi menukilkan kata-kata Imam al-Syafi’e yang menyebut: “Asal perkara yang menjadikan seorang wanita itu mahram adalah dua bahagian. Pertamanya adalah ansab (nasab keturunan) dan berikutnya adalah asbab (sebab-sebab), iaitu daripada pernikahan atau susuan.”

Kemudian Imam al-Mawardi menghuraikannya dengan lebih lanjut melalui katanya: Wanita yang mahram itu ada dua kategori berikut:

Pertama: Bahagian yang mana individu ini haram secara selamanya. Bahagian ini ada dua kategori pula iaitu melalui nasab serta asbab (perkahwinan dan susuan).

Kedua: Bahagian yang haram untuk dihimpunkan (dalam satu masa yang sama sahaja).[9]

Dalam kitab Nihayah al-Matlab (12/222) pula dijelaskan: Mahram adalah orang yang haram dikahwini dan diharamkan melakukan hubungan persetubuhan badan dengannya. Para ulama menjelaskan perkahwinan adalah akad yang menghalalkan persetubuhan, sekiranya individu yang mempunyai hubungan mahram dengan orang lain maka diharamkan berkahwin dengannya. Demikian juga diharamkan melakukan persetubuhan dengannya. Mahram terjadi melalui sebab pertalian darah, penyusuan dan persemendaan. Antara golongan yang diharamkan berkahwin dengan sebab pertalian darah ialah ibu, anak perempuan, saudara perempuan, ibu saudara dan anak saudara perempuan.[10]

 

Ringkasan Senarai Mahram Muabbad

Berdasarkan kenyataan di atas, kami ringkaskan di sini senarai mahram bagi lelaki dan perempuan. Bagi lelaki, mahramnya adalah seperti berikut

  • Ibu dan ke atas. Termasuklah nenek sama ada sebelah ayah atau ibu
  • Anak perempuan dan ke bawah. Termasuklah cucu perempuan
  • Saudara perempuan iaitu kakak atau adik perempuan
  • Ibu saudara sebelah ayah dan ibu
  • Anak perempuan kepada anak saudara lelaki dan perempuan.
  • Ibu tiri
  • Menantu perempuan
  • Bapa mertua
  • Anak tiri perempuan
  • Mahram disebabkan susuan termasuklah ibu susuan, adik beradik susuan dan lain-lain.

Bagi perempuan pula, mahramnya adalah seperti berikut :

  • Ayah dan ke atas termasuklah datuk sama ada sebelah ayah atau ibu
  • Anak lelaki dan ke bawah termasuklah cucu cicit lelaki dan seterusnya.
  • Saudara lelaki iaitu abang atau adik lelaki
  • Bapa saudara sebelah ayah dan ibu
  • Ana lelaki kepada adik-beradik lelaki atau perempuan iaitu anak saudara
  • Bapa tiri
  • Menantu lelaki
  • Ibu mertua
  • Anak tiri lelaki
  • Mahram disebabkan susuan termasuklah suami kepada ibu susuan, adik beradik lelaki se-susuan dan lain-lain.

Mahram-mahram ini disebut sebagai mahram muabbad iaitu haram untuk dinikahi selama-lamanya. Selain daripada senarai ini maka mereka dianggap sebagai ajnabi iaitu orang asing yang bukan mahram yang halal untuk dinikahi. Ada juga yang disebut sebagai mahram muaqqat.

Implikasi daripada mahram muabbad ialah:

  • Tidak boleh dinikahi
  • Boleh bersalaman dengannya
  • Boleh bersendirian dengannya

Adapun selain dari mahram muabbad maka ianya boleh dinikahi dan tidak boleh untuk bersentuhan mahupun bersendirian dengannya apatahlagi mendedahkan aurat.

Wallahu a’lam.

Bertarikh: 21 Februari 2022 bersamaan 19 Rejab 1443H

[give_form id=”14962″]

[1] Surah al-Nur: 30-31

[2] Riwayat Muslim (1341)

[3] Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 9/109

[4] Lihat Lisan al-Arab, 12/119

[5] Lihat Kasyifah al-Saja, hlm. 114

[6] Surah al-Nisa’: 23

[7] Lihat Tafsir al-Maraghi, 18/97

[8] Lihat Raudhah al-Talibin, 7/108

[9] Lihat al-Hawi al-Kabir, 9/196

[10] Lihat Nihayah al-Mathlab, 12/222

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *