Soalan
Assalamualaikum ustaz. Boleh jelaskan tentang hukum melakukan solat di gereja, biara dan sebagainya? Terima kasih.
Jawapan
Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.
Islam merupakan sebuah agama yang penuh dengan rahmah dan toleransi. Penghormatan terdapat rumah ibadat agama lain dirakamkan dalam al-Qur’an melalui firman Allah SWT:
وَلَوْلَا دَفْعُ اللَّـهِ النَّاسَ بَعْضَهُم بِبَعْضٍ لَّهُدِّمَتْ صَوَامِعُ وَبِيَعٌ وَصَلَوَاتٌ وَمَسَاجِدُ يُذْكَرُ فِيهَا اسْمُ اللَّـهِ كَثِيرًا
Maksudnya: “…Dan kalaulah Allah tidak mendorong setengah manusia menentang pencerobohan setengahnya yang lain, nescaya runtuhlah tempat-tempat pertapaan serta gereja-gereja (kaum Nasrani), dan tempat-tempat sembahyang (kaum Yahudi), dan juga masjid-masjid (orang Islam) yang sentiasa disebut nama Allah banyak-banyak padanya…”[1]
Imam al-Tabari dalam tafsirnya, setelah mengemukakan beberapa hadis yang mentakwil ayat ini membuat kesimpulan, “Yang paling baik untuk mendapat takwilan yang betul ialah, Allah SWT memberitahu bahawa kalaulah Allah SWT tidak mengadakan golongan yang menghalang dari melakukan kezaliman, sama ada kaum Muslimin menghalang golongan Musyrikin, atau pihak yang berkuasa menghalang rakyatnya, sudah pasti tempat-tempat ibadah seperti biara, gereja dan masjid akan diruntuhkan.”[2]
Imam al-Maraghi menjelaskan, sekiranya Allah SWT tidak mensyariatkan kepada para nabi dan kaum mukminin agar memerangi musuh dan menegakkan landasan agama, nescaya orang musyrik akan menguasai dan menghancurkan semua tempat peribadatan. Tempat peribadatan yang dimaksudkan ini ialah, rumah ibadah para pendeta, gereja bagi orang Nasrani, tempat ibadah orang Yahudi dan masjid kaum Muslimin.
Sekiranya tidak kerana penolakan daripada Allah SWT ini, nescaya pada zaman Nabi Musa AS gereja telah dihancurkan, pada zaman Nabi Isa AS biara dan rumah ibadah rumah ibadah telah dirobohkan, dan pada masa Nabi Muhammad SAW masjid telah dimusnahkan.[3]
Selain itu, terdapat juga satu riwayat yang menyebut bahawa Khalifah Umar bin Abdul Aziz pernah menulis surat kepada pasukannya yang antara lain tertulis:
أَلاَّ يَهْدِمُوا بِيعَةً وَلاَ كَنِيسَةً وَلاَ بَيْتَ نَارٍ
Maksudnya: “Janganlah kalian menghancurkan biara Yahudi, gereja Kristian dan rumah (sembahan) api Majusi.”[4]
Definisi Gereja dan Biara
Definisi gereja ialah tempat (rumah) sembahyang orang Kristian. Manakala biara pula ialah tempat pertapa tinggal sebagai satu komuniti atas ikrar keagamaan. (Kamus Dewan Edisi Keempat).
Istilah gereja dikenali dalam istilah fiqh sebagai al-kanisah. Terdapat ulama yang mengumumkan istilah al-kanisah kepada rumah ibadat agama Kristian dan Yahudi, tapi Syeikh al-Islam Zakariyya al-Ansari mengkhususkannya kepada rumah ibadat agama Kristian.[5]
Hukum Solat dalam Gereja
Para ulama’ telah khilaf kepada dua pendapat:
Pertama: Mengikut pendapat jumhur ulama dan juga Ibn Abbas, adalah makruh melakukan sembahyang di tempat-tempat ibadah orang kafir, sama ada ia diguna ataupun terbiar, kecuali jika darurat, maka barulah tidak makruh. Contohnya seperti mengelakkan daripada panas, sejuk ataupun dari hujan, juga kerana takutkan musuh, binatang buas dan sebagainya.[6]
Hikmah ia dilarang ialah kerana tempat ini adalah tempat bersarangnya segala syaitan disebabkan tempat-tempat ini biasanya tidak terlepas daripada gambar-gambar dan ukiran patung. Di samping itu, ia juga merupakan tempat yang menimbulkan godaan dan menghalang daripada rasa khusyu’ semasa bersembahyang.
Kedua: Ulama’ Hanbali pula berpendapat, tidak menjadi kesalahan untuk mengerjakan sembahyang di dalam gereja yang bersih. Tindakan ini dibolekan mengikut pendapat al-Hasan al-Basri, Umar bin Abdul Aziz, al-Sya’bi, Imam Abd al-Rahman al-Awza’ie dan juga Sa’ad bin Abdul Aziz. Pendapat ini juga diriwayatkan daripada Sayyidina Umar R.A dan Abu Musa al-Asy’ari R.A. Mereka mengerjakan sembahyang di dalam Ka’bah yang terdapat di dalamnya gambar-gambar.[7] Di samping itu, menurut mereka, keharusan ini adalah diliputi oleh sabda Nabi Muhammad SAW:
فَأَيْنَمَا أَدْرَكَتْكَ الصَّلاَةُ فَصَلِّ، فَهُوَ مَسْجِدٌ
Maksudnya: “Di mana saja kamu menemui sembahyang, maka sembahyanglah kerana bumi dijadikan sebagai tempat sujud.”[8]
Imam al-Nawawi pula menyatakan dalam kitabnya al-Majmu’ yang bermaksud: “Makruh mengerjakan sembahyang di tempat yang menjadi sarang syaitan seperti tempat arak, tempat penipuan atau kezaliman dan segala tempat maksiat seperti itu.”[9]
Tarjih
Kami berpendapat, makruh solat di gereja adalah lebih kuat berdasarkan kepada pendapat jumhur dan juga Mazhab Syafi’e. Dalam konteks di malaysia, kami berpendapat tidak sewajarnya seseorang itu solat di gereja tatkala negara kita yang agama Islam sebagai agama persekutuan mempunyai banyak masjid, surau dan kemudahan tempat solat yang telah dikhususkan untuk umat Islam. Oleh itu, mengelakkan diri daripada solat di gereja adalah perlu diambil kira.
Semoga Allah memberi kefahaman kepada kita dalam melaksanakan perintah-Nya. Ameen.
Wallahu a’lam.
Bertarikh: 3 Mac 2022 bersamaan 29 Rejab 1443H
[give_form id=”14962″][1] Surah al-Haj: 40
[2] Lihat Jami’ al-Bayan ‘an Ta’wil ay al-Qur’an, 18/645
[3] Lihat Tafsir al-Maraghi, 9/4564-4565
[4] Lihat al-Mausu’ah Al-Kuwaitiyyah, 7/129; Fath al-Qadir, 5/300; Mughni al-Muhtaj, 4/254; Asna al-Matalib, 4/220 dan Hasyiyah Qalyubi, 4/234-235
[5] Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 38/148 dan Hasyiyah al-Jamal, 5/223
[6] Lihat al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh, 1/829-830
[7] Ini pada masa dahulu. Tidak lagi pada masa sekarang.
[8] Riwayat al-Bukhari (3366), Muslim (520), al-Nasa’ie (690), Ibn Majah (753) dan Ahmad (21390)
[9] Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 3/162