Sale!
Original price was: RM28.00.Current price is: RM20.00.
Sale!
Original price was: RM35.00.Current price is: RM20.00.
Sale!

Buku Fizikal

Taufan Al-Aqsa

Original price was: RM20.00.Current price is: RM10.00.
Sale!
Original price was: RM20.00.Current price is: RM10.00.
Sale!
Original price was: RM40.00.Current price is: RM30.00.
Sale!
Original price was: RM70.00.Current price is: RM60.00.
Sale!
Original price was: RM310.00.Current price is: RM160.00.

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t. Saya ada satu soalan. Adakah terbatal solat seseorang jika perempuan melintas di hadapannya? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pada asasnya, melintasi di hadapan orang yang sedang solat adalah tidak dibolehkan bahkan haram, kerana nas yang sahih lagi sarih. Ini jika tiada sebarang sutrah atau penghadang. Rasulullah SAW pernah bersabda:

لَوْ يَعْلَمُ الْمَارُّ بَيْنَ يَدَيِ الْمُصَلِّي مَاذَا عَلَيْهِ، لَكَانَ أَنْ يَقِفَ أَرْبَعِينَ خَيْرًا لَهُ مِنْ أَنْ يَمُرَّ بَيْنَ يَدَيْهِ

Maksudnya:Kalaulah seseorang yang melintasi di hadapan orang yang solat mengetahui hukuman ke atasnya nescaya baik baginya berdiri 40 daripada melintasinya.”[1]

Berdasarkan hadith ini, diharamkan melintasi orang yang sedang solat. Hikmah terhadap larangan ini adalah kerana orang yang sedang solat sedang bermunajat kepada Allah. Maka, orang yang melintasi orang yang sedang solat bererti dia telah memutus munajat ini dan menganggu fokus orang yang sedang solat.[2]

Berbalik kepada soalan yang diajukan, terdapat riwayat daripada Abu Hurairah R.A bahawa Nabi SAW bersabda:

يَقْطَعُ الصَّلَاةَ الْمَرْأَةُ وَالْحِمَارُ وَالْكَلْبُ

Maksudnya:Yang memutuskan solat (seseorang) adalah perempuan, keldai dan anjing.”[3]

Jumhur ulama berpendapat bahawa tidak batal solat seseorang disebabkan oleh sesuatu yang melintas di hadapannya. Makna terputusnya solat sebagaimana yang dinyatakan dalam hadith adalah kurangnya pahala solat kerana hatinya — yakni fokusnya — telah terganggu dengan perkara-perkara tersebut.[4] Begitu juga Imam al-Nawawi turut menyebutkan, lafaz “القطع” (terputus) di sini bermaksud terputus daripada khusyuk dan zikir kerana dia telah disibukkan dengannya serta telah berpaling kepadanya. Bukan kerana perkara itu merosakkan atau membatalkan solatnya.[5]

Oleh itu, jelaslah bahawa perkara-perkara tersebut, yakni yang dinyatakan sebagai pemutus solat bukanlah bermaksud membatalkan solatnya, tetapi menyebabkan kekhusyukkan dan perhatiannya ketika solat terganggu. Akhirnya, ia telah membawa kepada kurangnya ganjaran pahala solatnya. Oleh sebab itu, ketika solat kita hendaklah berusaha semampu mungkin dalam menjaga kekhusyukkan solat kita dan menjauhi segala perkara yang boleh menyebabkan hati kita hilang fokus ketika solat. Hal ini adalah sebagaimana riwayat daripada Abu Sa‘id al-Khudri, bahawa Nabi SAW bersabda:

لا يَقطَعُ الصَّلاةَ شيءٌ، وادرَؤوا ما استطَعْتُم؛ فإنَّما هو شيطانٌ

Maksudnya:Tidak ada sesuatu yang dapat memutuskan solat kamu, dan hendaklah kamu mencegahnya semampu mungkin kerana sesungguhnya ia adalah syaitan.”[6]

Begitu juga terdapat riwayat daripada Aisyah, bahawasanya telah disebutkan padanya beberapa perkara yang memutuskan solat. Mereka berkata: “Anjing, keldai dan orang perempuan.” Aisyah pun berkata:

لَقَدْ جَعَلْتُمُونَا كِلاَبًا، لَقَدْ رَأَيْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُصَلِّي، وَإِنِّي لَبَيْنَهُ وَبَيْنَ القِبْلَةِ، وَأَنَا مُضْطَجِعَةٌ عَلَى السَّرِيرِ، فَتَكُونُ لِي الحَاجَةُ، فَأَكْرَهُ أَنْ أَسْتَقْبِلَهُ، فَأَنْسَلُّ انْسِلاَلًا

Maksudnya:Kamu semua telah menyamakan kami — yakni orang perempuan — dengan anjing. Sesungguhnya aku pernah melihat Nabi SAW mengerjakan solat, sedangkan aku berada di antara Baginda dengan arah kiblat. Aku sedang berbaring di atas katil. Lalu aku ada suatu hajat dan aku tidak suka untuk menghadapnya. Oleh itu, aku pun beralih sedikit demi sedikit.[7]

Kesimpulannya

Berdasarkan kepada perbincangan dan perbahasan di atas, kami berpendapat bahawa solat seseorang itu tidak terbatal disebabkan oleh perempuan melintas di hadapannya kerana makna terputusnya solat sebagaimana yang dinyatakan dalam hadith adalah kurangnya pahala solat kerana hatinya — yakni fokusnya — telah terganggu dengan perkara-perkara tersebut. Lebih-lebih lagi terdapat hadith sahih yang menyatakan bahawa Aisyah R.Anha pernah berbaring di hadapan Baginda yang sedang mengerjakan solat — yakni Aisyah berada di antara Baginda dan kiblat.

Oleh sebab itu, ketika solat kita hendaklah berusaha semampu mungkin dalam menjaga kekhusyukkan solat kita dan menjauhi segala perkara yang boleh menyebabkan hati kita hilang fokus ketika solat. Hal ini kerana kita dituntut bahkan disunatkan untuk menghadirkan sepenuh hati dan khusyuk ketika menunaikan solat serta menghayati segala bacaan di dalamnya. Khusyuk di dalam solat adalah merupakan salah satu ciri orang beriman yang berjaya sebagaimana firman Allah SWT:

قَدْ أَفْلَحَ الْمُؤْمِنُونَ، الَّذِينَ هُمْ فِي صَلَاتِهِمْ خَاشِعُونَ

Maksudnya:Sesungguhnya telah berjayalah orang-orang yang beriman, yang mana mereka itu khusyuk di dalam solat mereka.[8]

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahua‘lam.

Bertarikh: 3 April 2022 bersamaan 1 Ramadhan 1443H

[give_form id=”14962″]

[1] Riwayat al-Bukhari (510) dan Muslim (507)

[2] Lihat Minhah al-‘Allam fi Syarh Bulugh al-Maram, 2/397.

[3] Riwayat Muslim (511)

[4] Lihat al-Dibaj ‘ala Sahih Muslim, 2/193.

[5] Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 3/251.

[6] Riwayat Abu Daud (719)

[7] Riwayat al-Bukhari (511)

[8] Surah al-Mukminun: 1-2

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *