Soalan:
Assalamualaikum w.b.t. Adakah boleh melewatkan mandi junub selepas terbit fajar pada bulan Ramadhan sebab kadang-kadang apabila mandi junub sebelum fajar menyebabkan terkejar-kejar kerana risau terlepas waktu untuk bersahur? Mohon pencerahan. Terima kasih.
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t.
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Pada asasnya, orang yang berpuasa diharuskan untuk mandi dan perkara itu tidak menjejaskan puasanya. Mengenai hal ini, Ibn Qudamah menyebutkan, tidak mengapa orang yang berpuasa itu mandi — pada siang Ramadhan.[1] Hal ini adalah berdasarkan kepada riwayat daripada Abu Bakar bin ‘Abd al-Rahman, daripada sebahagian sahabat Nabi SAW, katanya:
رَأَيْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَمَرَ النَّاسَ فِي سَفَرِهِ عَامَ الْفَتْحِ بِالْفِطْرِ، وَقَالَ: تَقَوَّوْا لِعَدُوِّكُمْ، وَصَامَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، قَالَ أَبُو بَكْرٍ: قَالَ الَّذِي حَدَّثَنِي: لَقَدْ رَأَيْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِالْعَرْجِ يَصُبُّ عَلَى رَأْسِهِ الْمَاءَ، وَهُوَ صَائِمٌ مِنَ الْعَطَشِ، أَوْ مِنَ الْحَرِّ
Maksudnya: “Aku melihat Rasulullah SAW memerintahkan orang ramai ketika dalam perjalanannya pada tahun penaklukan Makkah untuk berbuka. Baginda bersabda: ‘Perkuatkanlah tubuh kamu untuk menghadapi musuh,’ sedangkan Rasulullah SAW berpuasa. Abu Bakar berkata: Orang yang menyampaikan kepadaku berkata: ‘Sesungguhnya aku melihat Rasulullah SAW di al-‘Arj menuangkan air ke atas kepalanya kerana haus atau panas, sedangkan ketika itu Baginda sedang berpuasa.’”[2]
Hadith ini merupakan dalil yang menunjukkan bahawa orang yang berpuasa diharuskan untuk mengurangkan rasa panas dengan menyiram air pada sebahagian anggota badannya atau pada seluruh badannya. Jumhur ulama berpendapat dengan pendapat ini dan tidak membezakan di antara mandi wajib mahupun mandi sunat atau mandi harus.[3]
Selain daripada itu, Imam al-Bukhari juga ada meletakkan dalam kitab sahihnya, ‘Bab Mandi bagi Orang yang Berpuasa.’[4] Al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani ketika mengulas kenyataan Imam al-Bukhari ini menyebutkan, perkataannya ‘Bab Mandi bagi Orang yang Berpuasa’ bermaksud bagi menjelaskan keharusannya. Al-Zain bin al-Munir menyatakan bahawa perkataan “اغْتِسَال” (mandi) datang dalam bentuk mutlak bagi meliputi mandi sunat, mandi wajib dan mandi harus.[5]
Berbalik kepada soalan yang diajukan, terdapat hadith yang menunjukkan bahawa Baginda SAW melewatkan mandi junub sehingga terbit fajar di bulan Ramadhan. Perkara ini adalah sebagaimana riwayat daripada Aisyah dan Ummu Salamah bahawa:
أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يُدْرِكُهُ الفَجْرُ وَهُوَ جُنُبٌ مِنْ أَهْلِهِ، ثُمَّ يَغْتَسِلُ، وَيَصُومُ
Maksudnya: “Rasulullah SAW mendapati fajar telah pun terbit, sedangkan ketika itu Baginda masih lagi dalam keadaan berjunub setelah bergaul dengan isterinya. Kemudian Baginda mandi dan berpuasa.”[6]
Begitu juga hadith ‘Abd al-Rahman yang bertanya kepada Aisyah dan Ummu Salamah berkenaan dengan mandi junud selepas waktu fajar, maka Aisyah dan Ummu Salamah berkata:
كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُصْبِحُ جُنُبًا مِنْ غَيْرِ حُلُمٍ، ثُمَّ يَصُومُ
Maksudnya: “Nabi SAW dalam keadaan berjunud disebabkan selain dari mimpi, kemudian Baginda meneruskan puasanya.”[7]
Tambahan lagi, hadith-hadith ini juga selain menjadi dalil mengenai keharusan melewatkan mandi junub sehingga terbitnya fajar, ia juga menjadi dalil mengenai keharusan untuk mandi selepas terbitnya fajar — yakni pada siang Ramadhan. Walau bagaimanapun, Imam al-Nawawi menjelaskan lagi, disunatkan untuk mengawalkan mandi junub disebabkan oleh jimak atau mimpi basah sebelum terbitnya fajar. Hal ini kerana hadith-hadith sahih yang menceritakan berkenaan perbuatan Baginda SAW melewatkan mandi janabah sehingga terbitnya fajar, dapat difahami bahawa ia adalah bertujuan bagi menjelaskan mengenai keharusannya — yakni mandi selepas terbitnya fajar. Sedangkan kebanyakannya menceritakan bahawa Baginda SAW mengawalkan mandi junub sebelum fajar.[8]
Kesimpulannya
Berdasarkan kepada perbahasan di atas, kami berpendapat bahawa tidak mengapa melewatkan atau menangguhkan mandi wajib bagi orang yang berjunub sehingga terbitnya fajar pada bulan Ramadhan. Namun, hukumnya boleh menjadi wajib — yakni untuk segera mandi junub selepas terbit fajar — jika ia menyebabkan terlewat menunaikan solat subuh atau luputnya waktu solat. Begitu juga puasa orang yang melewatkan mandi junub ini juga adalah tidak terjejas dan tetap sah.
Walau bagaimanapun, sekiranya seseorang itu dapat menunaikan mandi junub sebelum fajar, maka hal itu adalah lebih baik, bahkan disunatkan sebagaimana dinyatakan oleh Imam al-Nawawi.
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.
Wallahua‘lam.
Bertarikh: 5 April 2022 bersamaan 3 Ramadhan 1443H
[give_form id=”14962″]
[1] Lihat al-Mughni, 3/18.
[2] Riwayat Abu Daud (2365)
[3] Lihat ‘Aun al-Ma‘bud, 6/352.
[4] Lihat Sahih al-Bukhari, 3/30.
[5] Lihat Fath al-Bari, 4/153.
[6] Riwayat al-Bukhari (1925-1927)
[7] Riwayat Muslim (1109)
[8] Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 6/377.