Sale!
Original price was: RM28.00.Current price is: RM20.00.
Sale!
Original price was: RM35.00.Current price is: RM20.00.
Sale!

Buku Fizikal

Taufan Al-Aqsa

Original price was: RM20.00.Current price is: RM10.00.
Sale!
Original price was: RM20.00.Current price is: RM10.00.
Sale!
Original price was: RM40.00.Current price is: RM30.00.
Sale!
Original price was: RM70.00.Current price is: RM60.00.
Sale!
Original price was: RM310.00.Current price is: RM160.00.

Soalan:         

Assalamualaikum w.b.t. Bagaimanakah status puasa orang yang beronani sehingga keluar air mani dan adakah dia dikenakan kafarah? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Onani ialah perbuatan mengeluarkan mani dengan tangan.[1] Lafaz “الاسْتِمْنَاء” atau onani berasal daripada kata terbitan “اسْتَمْنَى” iaitu usaha mengeluarkan air mani. Manakala dari sudut istilah pula ia bermaksud mengeluarkan air mani tanpa melalui proses persetubuhan, sama ada secara haram seperti menggunakan tangan bagi memenuhi tuntutan syahwat, ataupun secara tidak haram, seperti mengeluarkan air mani melalui tangan isteri.[2]

Kebanyakan ulama berpendapat perbuatan onani adalah haram. Firman Allah SWT:

وَالَّذِينَ هُمْ لِفُرُوجِهِمْ حَافِظُونَ إِلَّا عَلَىٰ أَزْوَاجِهِمْ أَوْ مَا مَلَكَتْ أَيْمَانُهُمْ فَإِنَّهُمْ غَيْرُ مَلُومِينَ فَمَنِ ابْتَغَىٰ وَرَاءَ ذَٰلِكَ فَأُولَٰئِكَ هُمُ الْعَادُونَ

Maksudnya: “(Dan golongan yang beriman itu) adalah mereka yang memelihara kemaluan mereka. Melainkan ke atas para isteri mereka atau hamba-hamba sahaya mereka, sesungguhnya mereka itu tidak tercela. Maka sesiapa yang mencari-cari di sebalik itu mereka merupakan golongan yang melampaui batas.”[3]

Imam al-Syafi‘i ketika mengulas ayat di atas menyebutkan, tidak halal menggunakan zakar melainkan kepada isteri atau kepada hamba perempuan yang dimiliki. Begitu juga tidak halal perbuatan istimna’ — yakni mengeluarkan air mani.[4]

Seterusnya, perbuatan onani yang mewajibkan pelakunya untuk mandi wajib, diikat dengan syarat keluarnya air mani. Sekiranya air mani tidak keluar disebabkan oleh zakar yang menahannya daripada keluar dan dia tidak mengetahui — atau nampak tanda-tanda — mengenai keluarnya air mani tersebut selepas itu, maka majoriti ulama termasuk mazhab Syafi‘i berpendapat tidak perlu mandi wajib.[5] Begitulah juga halnya dengan seorang perempuan yang beronani, diwajibkan ke atasnya untuk mandi wajib jika keluar air mani dan tidak diwajibkan untuk mandi jika tidak keluar air mani.[6]

Perkara ini juga adalah berdasarkan kepada hadith Aisyah R.Anha, beliau berkata:

سُئِلَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنِ الرَّجُلِ يَجِدُ الْبَلَلَ وَلاَ يَذْكُرُ احْتِلاَمًا قَالَ : يَغْتَسِلُ. وَعَنِ الرَّجُلِ يَرَى أَنَّهُ قَدِ احْتَلَمَ وَلاَ يَجِدُ الْبَلَلَ قَالَ: لاَ غُسْلَ عَلَيْهِ. فَقَالَتْ أُمُّ سُلَيْمٍ: الْمَرْأَةُ تَرَى ذَلِكَ أَعَلَيْهَا غُسْلٌ قَالَ: نَعَمْ ، النِّسَاءُ شَقَائِقُ الرِّجَالِ

Maksudnya: “Rasulullah SAW ditanya tentang seorang lelaki yang mendapati dirinya basah tetapi dia tidak ingat mimpinya. Rasulullah SAW menjawab: ‘Dia hendaklah mandi.’ Baginda juga ditanya tentang seorang lelaki yang bermimpi tetapi mendapati dirinya tidak basah. Baginda menjawab: ‘Dia tidak wajib mandi.’ Kemudian Ummu Sulaim pula bertanya: ‘Jika perempuan bermimpi demikian, adakah dia wajib mandi?’ Rasulullah SAW menjawab: ‘Ya, kerana perempuan ialah pasangan kepada lelaki.’”[7]

Berbalik kepada soalan yang diajukan, umumnya perbuatan onani (mengeluarkan air mani dengan sengaja) termasuk dalam perkara yang membatalkan puasa — sekiranya keluar air mani — sebagaimana disebutkan oleh Imam al-Nawawi.[8] Menurut Dr. Muhammad al-Zuhaili, apabila keluarnya air mani dengan sengaja tanpa bersetubuh seperti berciuman, beronani dengan tangannya atau dengan tangan isterinya atau melalui sentuhan kerana ia dikira sebagai inzal (keluarnya air mani) dengan cara mubasyarah (berseronok dengan bersentuhan tanpa lapik). Adapun jika air mani itu keluar dengan cara tidak sengaja (bukan disebabkan perkara-perkara di atas atau dengan bermesraan) maka hal tersebut tidak membatalkan puasa. Begitu juga, jika dia melihat dengan matanya walaupun diulang-ulang penglihatan tersebut tanpa bersentuhan atau berfikir di dalam hatinya tanpa bersentuhan lalu keluar air mani, maka hal ini tidak membatalkan puasanya kerana tidak berlakunya mubasyarah.[9]

Selain daripada itu, Ibn Qudamah juga ada menyebutkan bahawa sekiranya seseorang itu beronani dengan tangannya, maka sesungguhnya dia telah melakukan perkara haram. Namun, puasanya tidak rosak — yakni terbatal — disebabkan oleh perbuatan onani itu kecuali apabila keluarnya air mani. Justeru, jika keluar air mani kerana perbuatan onani tersebut, maka puasanya terbatal.[10]

Hal ini adalah berdasarkan kepada hadith daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

يَتْرُكُ طَعَامَهُ وَشَرَابَهُ وَشَهْوَتَهُ مِنْ أَجْلِي

Maksudnya:Dia — yakni orang yang berpuasa itu — meninggalkan makanannya, minumannya, serta syahwatnya kerana Aku.”[11]

Oleh itu, dapat difahami daripada hadith ini bahawa sebagaimana makan dan minum membatalkan puasa, begitulah juga perbuatan seseorang yang mendatangi syahwatnya dengan cara beronani turut membatalkan puasa. Tambahan lagi, Imam al-Nawawi menegaskan, apabila seseorang itu mengeluarkan air maninya dengan sengaja (beronani), maka batallah puasanya dan tiada kafarah dikenakan ke atasnya.[12] Tiada kafarah dikenakan ke atasnya kerana kafarah diwajibkan ke atas orang yang berjimak dengan isterinya pada siang hari Ramadhan.

Kesimpulannya

Oleh itu, berdasarkan kepada perbahasan di atas, kami berpendapat bahawa puasa seseorang yang beronani adalah terbatal jika keluar air mani disebabkan oleh perbuatan onaninya itu kerana ia termasuk dalam perkara mengeluarkan air mani dengan sengaja. Namun, jika tidak keluar air mani, maka puasanya masih dikira sah. Akan tetapi dia telah melakukan sesuatu perkara yang haram yang sepatutnya dijauhi. Apatah lagi melakukannya di bulan yang mulia ini iaitu bulan Ramadhan.

Begitu juga tiada sebarang kafarah dikenakan ke atas mereka yang puasanya terbatal kerana onani kerana kafarah hanya diwajibkan ke atas orang yang berjimak dengan isterinya pada siang hari Ramadhan, dan dia wajib menggantikan semula puasa hari yang ditinggalkan itu.

Kami juga mengambil kesempatan di sini menasihati semua, marilah kita sama-sama berusaha untuk mencapai darjat puasa yang terbaik iaitu puasa khusus atau puasa khusus lagi khusus, dan bukannya semata-mata puasa awam sebagaimana yang ditegaskan oleh Imam al-Ghazali.[13]

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahua‘lam.

Bertarikh: 6 April 2022 bersamaan 4 Ramadhan 1443H

[give_form id=”14962″]

 

[1] Lihat Kamus Dewan Edisi Keempat, hlm. 1097.

[2] Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 4/97.

[3] Surah al-Mukminun: 5 – 7

[4] Lihat al-Umm, 5/102.

[5] Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 2/140.

[6] Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 4/99.

[7] Riwayat Abu Daud (236)

[8] Lihat Raudhah al-Talibin, 2/356.

[9] Lihat al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, 2/184.

[10] Lihat al-Mughni, 4/363.

[11] Riwayat al-Bukhari (1894)

[12] Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 6/342.

[13] Lihat Ihya’ ‘Ulum al-Din, 1/234.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *