Soalan:
Assalamualaikum w.b.t. Saya ada satu soalan. Saya sedang berjimak dengan suami saya pada malam Ramadhan, tiba-tiba azan Subuh berkumandang. Lalu suami saya terus mencabut zakarnya. Justeru, bagaimanakah puasa kami pada hari itu, adakah masih sah ataupun tidak? Begitu juga adakah kami dikenakan kaffarah? Mohon pencerahan. Terima kasih.
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t.
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT:
أُحِلَّ لَكُمۡ لَيۡلَةَ ٱلصِّيَامِ ٱلرَّفَثُ إِلَىٰ نِسَآئِكُم
Maksudnya: “Telah dihalalkan buat kamu pada malam hari puasa itu untuk bersama dengan isteri kamu.”[1]
Cara memahami hukum berdasarkan ayat ini adalah dengan menggunakan kaedah mantuq dan juga mafhum dalam usul fiqh. Mantuq bermaksud perkara yang dituturkan manakala mafhum pula bererti sesuatu yang difahami daripada ayat yang dituturkan. Oleh itu, apabila Allah SWT menyatakan bahawa telah dihalalkan bagi kita untuk bersama dengan isteri pada malam hari puasa, maka ini merupakan mantuq (yang dituturkan). Manakala mafhum — yakni yang difahami — daripada ayat ini pula adalah haramnya bersama dengan isteri di siang hari bulan puasa.
Pada asasnya, termasuk dalam perkara yang membatalkan puasa adalah berjimak dengan sengaja. Habib Hasan al-Kaff menyebutkan, sesiapa yang berjimak dengan sengaja, mengetahui haramnya perbuatan itu dan perbuatan itu atas pilihannya sendiri, maka puasanya adalah batal.[2] Dr. Muhammad al-Zuhaili menjelaskan lagi, persetubuhan pada siang hari Ramadhan secara sengaja membatalkan puasa secara ijmak ulama, sekalipun tidak berlaku inzal — yakni keluar air mani. Manakala persetubuhan yang dilakukan pada malam hari Ramadhan tidak menjejaskan puasanya berdasarkan ayat di atas kerana perkataan “ٱلرَّفَثُ” dalam ayat itu bermaksud jimak.[3]
Selain itu, dinyatakan dalam al-Fiqh al-Manhaji bahawa sesiapa yang sengaja membatalkan puasa Ramadhan dengan melakukan persetubuhan, dengan syarat dia menyedari bahawa dirinya berpuasa, mengetahui perbuatannya itu haram dan bukan dalam bermusafir yang diberikan keringanan, maka dia wajib dikenakan kaffarah. Justeru, mereka yang terlupa dirinya sedang berpuasa Ramadhan, jahil tentang haramnya membatalkan puasa selain puasa Ramadhan dengannya, sengaja membatalkan puasa Ramadhan selain persetubuhan atau dalam musafir yang diharuskan berbuka, lalu dia melakukan persetubuhan, dalam semua keadaan tersebut, dia wajib menggantikan (qadha’) sahaja puasanya yang ditinggalkan itu tanpa kaffarah.[4] Tambahan pula, Dr. Muhammad al-Zuhaili menjelaskan lagi, sekiranya suami isteri berjimak sebelum terbitnya fajar, lalu persetubuhan itu berhenti seiring dengan terbitnya fajar — zakar dicabut keluar dari faraj isteri saat terbitnya fajar — lalu keluarnya air mani, maka puasanya tidak terbatal — yakni masih tetap sah. Hal ini kerana air mani itu keluar hasil daripada mubasyarah (berseronok dengan bersentuhan tanpa lapik) yang diharuskan, maka ia tidak merosakkan puasanya.[5]
Kesimpulannya
Oleh itu, berdasarkan kepada perbahasan di atas, kami berpendapat bahawa suami isteri yang sedang berjimak pada malam Ramadhan, lalu azan Subuh berkumandang, maka puasa kedua-duanya masih dikira sah jika suaminya terus mencabut keluar zakarnya dari faraj isterinya saat mendengar azan tersebut, dan tiada kaffarah dikenakan. Namun, jika kedua-duanya meneruskan persetubuhan itu, dalam keadaan mengetahui waktu Subuh sudah pun masuk — yakni terbitnya fajar sadiq — sekalipun tidak mendengar azan, maka puasa kedua-duanya terbatal tanpa sebarang khilaf dan diwajibkan untuk menggantikan (qadha’) puasa tersebut. Bukan itu sahaja, suaminya juga diwajibkan kaffarah kerana berjimak di siang hari Ramadhan, jika cukup syarat-syaratnya sebagaimana yang disebutkan di atas.
Selain itu, kami juga mengambil kesempatan di sini menasihati semua, marilah kita sama-sama berusaha untuk mencapai darjat puasa yang terbaik iaitu puasa khusus atau puasa khusus lagi khusus, dan bukannya semata-mata puasa awam sebagaimana yang ditegaskan oleh Imam al-Ghazali.[6]
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.
Wallahua‘lam.
Bertarikh: 12 April 2022 bersamaan 10 Ramadhan 1443H
[give_form id=”14962″]
[1] Surah al-Baqarah: 187
[2] Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 449-450.
[3] Lihat al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, 2/184.
[4] Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 3/116.
[5] Lihat al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, 2/184.
[6] Lihat Ihya’ ‘Ulum al-Din, 1/234.