Soalan
Adakah terdapat doa yang khusus ketika berbuka puasa?
Jawapan
Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.
Doa orang yang berpuasa merupakan antara doa yang sangat mustajab. Hal ini sebagaimana yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
ثَلاَثَةٌ لاَ تُرَدُّ دَعْوَتُهُمُ الصَّائِمُ حَتَّى يُفْطِرَ وَالإِمَامُ الْعَادِلُ وَدَعْوَةُ الْمَظْلُومِ
Maksudnya: Ada tiga golongan yang doa mereka tidak ditolak: Orang yang berpuasa hinggalah dia berbuka, doa pemimpin yang adil dan doa orang yang dizalimi.[1]
Al-Sindi berkata: Lafaz ‘حَتَّى يُفْطِرَ’ (sehingga dia berbuka) menunjukkan bahawa doa orang yang berpuasa sepanjang hari itu adalah mustajab.[2]
Imam al-Nawawi menyatakan bahawa hadith ini menunjukkan anjuran kepada kita agar memperbanyakkan doa sewaktu berpuasa dari bermulanya puasa hingga ke akhirnya.[3]
Doa Berbuka Puasa
Berdasarkan soalan di atas, kita dituntut di dalam agama untuk sentiasa berdoa kepada Allah walaupun ketika makan. Tambahan pula, doa orang yang berpuasa adalah mustajab. Terdapat hadith yang diriwayatkan daripada Ibn Umar R.Anhuma, bahawa Nabi SAW apabila hendak berbuka, Baginda SAW membaca (doa):
ذَهَبَ الظَّمَأُ، وَابْتَلَّتِ الْعُرُوقُ، وَثَبَتَ الْأَجْرُ إِنْ شَاءَ اللَّهُ
Maksudnya: “Telah hilang dahaga, telah basah urat-urat dan telah ditetapkam pahala insyaAllah”.[4]
Menurut Imam al-Nawawi di dalam al-Azkar[5], makna “الظَّمَأُ” di dalam hadith di atas adalah dahaga sebagaimana firman Allah SWT:
ذَٰلِكَ بِأَنَّهُمْ لَا يُصِيبُهُمْ ظَمَأٌ
Maksudnya: “Yang demikian kerana sesungguhnya (tiap-tiap kali) mereka merasai dahaga”.[6]
Tambahan pula, terdapat satu lagi doa yang masyhur apabila hendak berbuka sebagaimana riwayat daripada Muaz bin Zuhrah, telah sampai kepadanya bahawa Nabi SAW bersabda apabila hendak berbuka:
اللَّهُمَّ لَكَ صُمْتُ، وَعَلَى رِزْقِكَ أَفْطَرْتُ
Maksudnya: “Ya Allah Ya Tuhan kami kerana Engkau aku berpuasa dan dengan rezeki Engkau aku berbuka”.[7]
Imam al-Nawawi di dalam al-Azkar [8] menyatakan bahawa hadith ini dihukum sebagai mursal iaitu sanadnya terputus iaitu nama sahabat gugur di dalam sanad hadith ini.
Di sini kami sertakan beberapa lagi lafaz doa yang dinukilkan oleh Ibn Sunni di dalam kitabnya. Antaranya adalah:
- Daripada Abdullah bin ‘Amr berkata bahawa Nabi SAW apabila hendak berbuka beliau bersabda:
اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ بِرَحْمَتِكَ الَّتِي وَسِعَتْ كُلَّ شَيْءٍ أَنْ تَغْفِرَ لِي
Maksudnya: “Ya Allah Ya Tuhan kami, aku memohon kepada-Mu dengan rahmat-Mu yang mana meliputi semua perkara agar Engkau ampunkan aku”.[9]
- Daripada Muaz bin Zuhrah, adapun Rasulullah SAW bersabda apabila hendak berbuka:
الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي أَعَانَنِي فَصُمْتُ، وَرَزَقَنِي فَأَفْطَرْتُ
Maksudnya: “Segala puji bagi Allah yang telah membantuku maka disebabkan itu aku telah berpuasa dan Dia telah memberi rezeki kepadaku maka aku berbuka dengannya”.[10]
- Daripada Ibn Abbas RA, bahawa Nabi SAW bersabda ketika berbuka:
اللَّهُمَّ لَكَ صُمْنَا، وَعَلَى رِزْقِكَ أَفْطَرْنَا، فَتَقَبَّلْ مِنَّا، إِنَّكَ أَنْتَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ
Maksudnya: “Ya Allah Ya Tuhan kami kerana Engkau kami berpuasa dan dengan rezeki Engkau kami berbuka maka terimalah daripada kami, sesungguhnya Engkau Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui ”.[11]
Kesimpulan
Sebagai kesimpulan, kami berpandangan bahawa setiap orang boleh dibolehkan berdoa dengan apa jua doa selagimana maksud atau makna doa itu tidak bertentangan dengan al-Qur’an dan hadith Nabi SAW tanpa menyandarkannya kepada Rasulullah SAW. Akan tetapi, jika ingin dilihat dari sudut status hadith, doa yang pertama lebih sahih dari sudut sanadnya berbanding hadith yang lain berkaitan doa ketika berbuka puasa.
Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.
Wallahua`lam.
Bertarikh: 12 April 2022 bersamaan 10 Ramadhan 1443H
[give_form id=”14962″]
[1] Riwayat al-Tirmizi (3598) dan Ibn Majah (1752). Syeikh Syuaib al-Arna’uth mengatakan hadith ini adalah hasan.
[2] Lihat Hasyiyah al-Sindi, 1/533
[3] Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 6/375
[4] Riwayat Abu Dawud (2357). Syeikh al-Arnout menghukum sanad hadith ini adalah hasan
[5] Lihat al-Azkar, hlm. 190
[6] Surah al-Taubah: 120.
[7] Riwayat Abu Dawud (2358)
[8] Lihat al-Azkar, hlm. 190
[9] Riwayat Ibn Majah (1753). Syeikh Syuaib al-Arnout mengatakan sanad hadith ini adalah hasan
[10] Lihat Amal al-Yaum wa al-Lailah (479). Syeikh Syuaib al-Arnout menghukum sanad hadith ini adalah mursal kerana Muaz bin Zuhrah tidak mendengar langsung daripada Nabi SAW.
[11] Lihat Amal al-Yaum wa al-Lailah (480). Syeikh Syuaib al-Arnout menghukum sanad hadith ini adalah dhaif