Soalan:
Assalamualaikum w.b.t. Saya ada satu soalan. Apakah hukum memakai pendakap gigi (braces)? Mohon pencerahan. Terima kasih.
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t.
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Definisi Pendakap Gigi
Gigi yang tidak teratur dan gigitan yang tidak sempurna adalah penyebab utama pesakit mendapatkan rawatan ortodontik dan pemakaian pendakap gigi. Pendakap gigi ialah alat yang digunakan di dalam bidang ortodontik untuk menyusun atur gigi ke posisi gigitan yang lebih baik dan juga menambah baik kesihatan pergigian secara keseluruhannya. Terdapat dua jenis pendakap gigi iaitu aplians boleh tanggal dan aplians tetap. Komponen-komponen aplians tetap adalah:
- Braket – braket ialah besi kecil bersegi empat yang dilekatkan pada permukaan gigi. Ia mempunyai satu alur kecil yang merintangi di tengahnya untuk pemasangan wayar arkus. Sesetengah braket mempunyai eksesori tertentu seperti bebola cangkuk yang berfungsi untuk memegang getah dan sebagainya. Braket boleh diperbuat daripada Titanium Nikel, keluli nirkarat, akrilik, seramik atau emas.
- Wayar arkus – wayar ini dipasang pada braket untuk memandu gigi bergerak ke dalam satu barisan. Kebiasaannya wayar ini diperbuat dari keluli nirkarat dan Titanium Nikel. Wayar arkus diikat pada braket menggunakan getah atau dawai besi yang halus.
- Getah pengikat – Ia ialah getah bulat yang kecil, kebiasaannya berwarna dan digunakan untuk mengikat wayar arkus pada setiap braket.
- Dawai besi pengikat – dawai halus yang digunakan untuk mengikat wayar arkus pada braket ortodontik.
- Gegelang molar – Ia ialah gelungan besi yang diletakkan pada gigi geraham menggunakan ejen pengikat khas.
Manakala komponen aplians boleh tanggal (ABT) pula adalah:
- Tapak akrilik (menyokong komponen dawai dan menyediakan penahanan).
- Komponen dawai keluli nirkarat (untuk pembikinan komponen pemegang bagi membantu perlekatan).
- Komponen dawai keluli nirkarat (untuk komponen aktif).[1]
Secara umumnya, Pendakap gigi menawarkan rawatan pembetulan untuk beberapa masalah seperti:
- Susunan gigi yang terlalu padat atau bengkok.
- Ruang di antara gigi terlalu besar.
- Gigi depan bahagian atas yang terlalu bertindih dengan gigi bawah, sama ada secara menegak (overbite) atau melintang (overjet).
- Gigi bahagian bawah yang melunjur ke luar lebih jauh daripada gigi atas (underbite).
- Masalah ketidakseimbangan rahang lain yang boleh menyebabkan gigitan tidak sekata.
Keselarasan gigi dan rahang yang betul, bukan sahaja dapat memperbaiki penampilan gigi seseorang, tetapi juga kesihatan mulut, cara menggigit, mengunyah dan bercakap.[2]
Hukum pendakap gigi
Pada asasnya, Islam mengharamkan sebarang bentuk pengubahan ciptaan asal bahagian tubuh seseorang yang dilakukan dengan alasan untuk kelihatan lebih cantik sama ada dengan cara penyambungan atau dengan cara pembedahan atau seumpamanya. Hal ini kerana, terdapat hadith yang melarang perkara tersebut sebagaimana diriwayatkan daripada Abdullah bin Mas‘ud R.A, beliau berkata:
لَعَنَ اللَّهُ الوَاشِمَاتِ والمــُوتَشِمَاتِ، والمــُـــتَنَمِّصَاتِ، والمــُـتَفَلِّجَاتِ لِلْحُسْنِ، المــُـغَيِّرَاتِ خَلْقَ اللَّهِ
Maksudnya: “Allah melaknat wanita-wanita yang membuat tatu, yang meminta dilukiskan tatu, yang mencabut bulu-bulu wajah dan yang merenggangkan gigi untuk kecantikan, yang mengubah ciptaan Allah.”[3]
Hadith ini menunjukkan akan pengharaman semua perkara tersebut dan lafaz ‘laknat’ yang terdapat di dalamnya merupakan dalil bahawa ia termasuk dalam dosa-dosa besar. Selain itu, sebab kepada laknat itu turut dinyatakan dalam hadith melalui lafaz “المــُـغَيِّرَاتِ خَلْقَ اللَّهِ” iaitu sifat yang dikehendaki oleh orang yang membuat tatu, mencabut bulu wajah dan merenggangkan gigi.[4]
Manakala lafaz “المــُـتَفَلِّجَاتِ لِلْحُسْنِ” pula bermaksud mereka melakukan perbuatan tersebut — yakni merenggangkan gigi — kerana ingin mencantikkannya lagi. Oleh yang demikian, terdapat isyarat yang menunjukkan bahawa hukum haram itu ditujukan kepada sesiapa yang melakukannya demi kecantikan semata-mata. Adapun jika kerana adanya keperluan mendesak seperti tujuan perubatan atau menghilangkan aib dan seumpamanya, maka ia adalah diharuskan.[5] Selain daripada itu, al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani ketika mensyarahkan hadith ini juga ada menyebutkan, difahami daripada lafaz “المــُـتَفَلِّجَاتِ لِلْحُسْنِ” bahawa ia adalah perbuatan tercela jika mereka melakukan perbuatan tersebut untuk tujuan kecantikan. Namun, jika adanya keperluan bagi perkara tersebut seperti untuk rawatan, maka ia adalah diharuskan.[6]
Di samping itu, Dr. Soleh al-Fauzan menjelaskan lagi, pengikat iaitu lafaz “لِلْحُسْنِ” yakni untuk kecantikan tambahan, yang terdapat dalam hadith di atas menunjukkan bahawa larangan tersebut adalah khusus sekiranya ia dilakukan dengan tujuan mendapatkan kecantikan tambahan pada kejadian yang sedia ada (normal). Sekiranya dilakukan untuk merawat atau menghilangkan aib, maka hukumnya adalah diharuskan. Ini menunjukkan bahawa bukan semua bentuk perubahan itu diharamkan. Bahkan, huruf ‘lam’ yang terdapat pada lafaz “لِلْحُسْنِ” ini adalah untuk menjelaskan sebab (التعليل), sekali gus mengecualikan urusan yang melibatkan rawatan dan seumpamanya daripada larangan tersebut.[7]
Kesimpulannya
Berdasarkan kepada perbahasan dan perbincangan di atas, kami berpendapat bahawa pemakaian pendakap gigi adalah diharuskan sekiranya ada keperluan seperti untuk merawat gigi yang rosak, membetulkan semula susunan gigi yang tidak teratur, menghilangkan aib pada gigi dan seumpamanya, di samping mengembalikan fungsi gigi yang asal. Namun, jika pemakaiannya tanpa sebarang keperluan dan hanya demi kecantikan semata-mata, maka ia kembali kepada hukum asalnya iaitu tidak dibolehkan.
Selain itu, kami mengambil kesempatan di sini menasihati, rujuklah dan dapatkan nasihat daripada pakar ortodontik atau pegawai pergigian terlebih dahulu sebelum membuang sebarang keputusan untuk memakai pendakap gigi ini. Begitu juga pemakaiannya hendaklah dilakukan oleh mereka yang pakar dan berkeahlian dalam bidang ortodontik supaya sebarang risiko atau kesan memakai pendakap gigi yang tidak diingini dapat dielakkan.
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.
Wallahua‘lam.
Bertarikh: 15 April 2022 bersamaan 13 Ramadhan 1443H
[give_form id=”14962″]
[1] Lihat http://www.myhealth.gov.my/rawatan-kecemasan-untuk-pendakap-gigi-anda/. Diakses pada 14 April 2022.
[2] Lihat https://hellodoktor.com/kesihatan-mulut/pergigian-kosmetik/keburukan-pendakap-gigi-besi/. Diakses pada 14 April 2022.
[3] Riwayat al-Bukhari (4886)
[4] Lihat Fath al-Bari, 10/373.
[5] Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 14/107.
[6] Lihat Fath al-Bari, 10/372.
[7] Lihat al-Jirahah al-Tajmiliyyah, hlm. 73.