Soalan
Apakah dibolehkan untuk membayar zakat di tempat lain, sedangkan dia berkerja di tempat lain.
Jawapan
Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.
Zakat fitrah pada istilahnya ialah sedekah yang wajib dikeluarkan selepas berbuka untuk beraya dan selesainya Ramadan.[1]
Zakat fitrah adalah salah satu jenis zakat yang diwajibkan orang Islam membayarnya setiap tahun. Ia mula difardhukan pada tahun ke dua hijrah ketika difardhukan puasa Ramadhan. Daripada Ibn Umar R.Anhuma dia berkata:
فَرَضَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ زَكَاةَ الفِطْرِ صَاعًا مِنْ تَمْرٍ، أَوْ صَاعًا مِنْ شَعِيرٍ عَلَى العَبْدِ وَالحُرِّ، وَالذَّكَرِ وَالأُنْثَى، وَالصَّغِيرِ وَالكَبِيرِ مِنَ المُسْلِمِينَ، وَأَمَرَ بِهَا أَنْ تُؤَدَّى قَبْلَ خُرُوجِ النَّاسِ إِلَى الصَّلاَةِ
Maksudnya: “Rasulullah SAW mewajibkan pelaksanaan zakat fitrah dengan segantang tamar, atau segantang barli ke atas hamba dan orang yang merdeka, lelaki dan perempuan, yang muda dan yang tua, daripada kalangan Muslimin, dan baginda menyuruh agar ditunaikan sebelum manusia keluar menuju solat (Hari Raya).”[2]
Imam al-Nawawi menyatakan: Di sisi ulama mazhab Imam al-Syafie, pendapat yang paing sahih tentang penentuan kadar dan jenis zakat fitrah adalah mengikut غالب قوت البلد (jenis makanan ruji bagi majoriti penduduk).[3]
Syeikh Muhammad al-Zuhaili menyatakan: Zakat Fitrah telah ditetapkan kadarnya, wajib dikeluarkan ketika matahari terbenam pada hari terakhir bulan Ramadhan, dengan syarat-syarat yang ditetapkan, bagi setiap mukallaf dan orang yang dibawah tanggungan nafkahnya.[4]
Syarat-syarat wajib bagi menunaikan zakat fitrah adalah:
- Al-Islam, diwajibkan juga kepada orang yang murtad selepas ia memeluk islam.
- Waktu, sesungguhnya telah ditetapkan waktu diwajibkannya. Iaitu ketika terbenamnya matahari pada hari yang terakhir bulan Ramadhan
- Berkemampuan untuk mengeluarkan zakat fitrah ketika waktu diwajibkan zakat. Sekiranya kemampuannya itu selepas waktunya maka tidak diwajibkan.[5]
Membayar Zakat Di luar Tempat Dia Bekerja
Lajnah al-Daimah di dalam fatwanya menyebut: Ukuran zakat fitrah adalah satu sa’ daripada kurma, gandum, kismis, keju atau makanan. Waktunya adalah malam Eid al-Fitri sehingga sebelum solat hari raya. Diperbolehkan untuk membayarnya dua atau tiga hari awal sebelumnya. Diberikan kepada orang fakir daripada kalangan umat Islam di negara tempat mengeluarkannya. Diperbolehkan membayar kepada orang fakir di negara lain dimana penduduknya lebih memerlukan. Imam masjid dan seumpamanya yang mempunyai amanah diperbolehkan mengumpulkan dan membahagikan kepada orang-orang fakir yang mana ia boleh sampai kepada orang yang berhak sebelum solat hari raya. Kadarnya tidak mengikuti mata wang, tetapi kadarnya telah ditetapkan oleh agama iaitu satu sa’. Orang yang tidak mempunyai kemampuan yang cukup untuk keperluannya sewaktu hari raya untuk dirinya dan nafkah tanggungan bawahnya, maka kewajiban membayar zakat gugur daripadanya. Tidak diperbolehkan menggunakan zakat ini untuk pembangunan masjid atau hal ehwal kebaikan.” [6]
Kesimpulan
Setelah meneliti pendapat berkenaan isu ini, zakat fitrah wajib dibayar berdasarkan kepada di mana seseorang itu berada ketika masuknya waktu wajib untuk zakat fitrah iaitu bermula pada malam hari raya sehingga sampai sebelum solat hari raya walaupun di luar kawasan dia berkerja. Hal ini kerana perintah membayar zakat tidak terikat dengan tempat, tetapi ia terikat dengan waktu sebagaimana riwayat Ibn Umar R.Anhuma:
وَكَانُوا يُعطُونَ قَبلَ الفِطرِ بِيَومٍ أَو يَومَينِ
Maksudnya: Orang ramai membayarnya sehari atau dua hari sebelum Aidilfitri.[7]
Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.
Wallahua`lam.
Bertarikh: 19 April 2022 bersamaan 17 Ramadhan 1443H
[give_form id=”14962″]
[1] Lihat Haasyiah as-Syalabi Syarh al-Zailaie (1/306) dan Nail al-Maarib (1/255).
[2] Riwayat al-Bukhari (1503)
[3] Lihat al-Majmu` Syarh al-Muhazzab, 6/132
[4] Lihat al-Muktamad fi al-Fiqh al-Syafi’e, 2/95
[5] Ibid, 2/98
[6] Lihat Fatawa al-Lajnah al-Daimah, 9/369-370
[7] Riwayat al-Bukhari (1511)