Soalan
Assalamualaikum ustaz. Adakah bayi yang masih berada dalam kandungan wajib untuk dibayarkan zakat fitrah untuknya?
Jawapan
Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.
Zakat fitrah ialah kadar yang tertentu daripada harta yang wajib dikeluarkan oleh setiap mukallaf bagi dirinya dan orang yang di bawah tanggungannya setelah matahari terbenam pada hari terakhir bulan Ramadhan, dengan syarat-syarat tertentu.[1]
Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Umar R.A, beliau berkata:
أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَرَضَ زَكَاةَ الْفِطْرِ صَاعًا مِنْ تَمْرٍ، أَوْ صَاعًا مِنْ شَعِيرٍ، عَلَى كُلِّ حُرٍّ أَوْ عَبْدٍ، ذَكَرٍ أَوْ أُنْثَى، مِنَ الْمُسْلِمِينَ
Maksudnya: “Rasulullah SAW telah mewajibkan Zakat Fitrah, iaitu segantang tamar atau segantang gandum (pada bulan Ramadhan) atas setiap orang Islam, sama ada yang merdeka atau hamba, lelaki atau perempuan.”[2]
Zakat fitrah diwajibkan dengan tiga syarat:
Pertama: Islam.
Zakat fitrah diwajibkan atas orang Islam sahaja. Tidak wajib zakat fitrah atas orang kafir sebagai kewajipan yang dituntut di dunia.
Kedua: Terbenam matahari pada hari terakhir bulan Ramadhan.
Sesiapa yang meninggal dunia selepas matahari terbenam pada hari tersebut, wajib zakat fitrah atasnya sama ada meninggal dunia setelah dia mampu mengeluarkannya atau sebelumnya. Namun tidak wajib zakat atas bayi yang baru dilahirkan selepas matahari terbenam, dan sesiapa sahaja yang meninggal dunia sebelum matahari terbenam. Sementara bayi yang dilahirkan sebelum matahari terbenam wajib dikeluarkan zakat fitrahnya.
Ketiga: Memiliki harta yang melebihi keperluan untuk makan bagi diri dan tanggungannya pada siang dan malam raya, serta keperluan tempat tinggal dan khadam jika perlu.
Seseorang tidak wajib mengeluarkan zakat fitrah jika hartanya tidak mencukupi untuk perbelanjaan pada malam dan siang hari raya bagi diri dan tanggungannya. Bagaimanapun sekiranya dia mempunyai harta yang mencukupi untuk perbelanjaan pada siang dan malam raya sahaja dan tidak pada hari-hari berikutnya, maka zakat fitrah tetap wajib atasnya tanpa mengambil kira perbelanjaan pada hari-hari selepas raya.[3]
Antara hikmah diwajibkan zakat fitrah adalah, sepertimana disebut oleh Waki’ bin al-Jarrah: “Zakat fitrah pada bulan Ramadhan itu seperti sujud sahwi ketika solat. Zakat fitrah itu menutup kekurangan ketika berpuasa sepertimana sujud sahwi menutup kekurangan solat.”[4]
Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Ibn ‘Abbas R.Anhuma, bahawa Nabi SAW bersabda:
زَكَاةَ الْفِطْرِ طُهْرَةً لِلصَّائِمِ مِنَ اللَّغْوِ وَالرَّفَثِ ، وَطُعْمَةً لِلْمَسَاكِينِ ، مَنْ أَدَّاهَا قَبْلَ الصَّلاَةِ ، فَهِيَ زَكَاةٌ مَقْبُولَةٌ ، وَمَنْ أَدَّاهَا بَعْدَ الصَّلاَةِ ، فَهِيَ صَدَقَةٌ مِنَ الصَّدَقَاتِ
Maksudnya: “Zakat fitrah adalah penyucian bagi orang yang berpuasa daripada perkara yang lagha dan percakapan yang buruk. Ia juga adalah makanan bagi orang miskin. Sesiapa yang membayarkan sebelum solat (Aidilfitri) maka zakatnya diterima. Sesiapa yang membayarkan selepas daripada solat maka ia hanya dianggap sebagai sedekah.”[5]
Zakat Fitrah untuk Bayi dalam Kandungan
Berbalik kepada persoalan di atas, tidak wajib dikeluarkan zakat fitrah bagi bayi yang masih berada di dalam kandungan. Hal ini sepertimana dijelaskan oleh Imam al-Nawawi, bahawa tiada zakat fitrah dikenakan untuk bayi yang masih di dalam kandungan. Begitu juga, bapa kepada bayi tersebut juga tidak wajib untuk membayarkan bagi pihaknya.[6]
Pandangan yang sama juga dikemukakan oleh Imam al-Ramli dan kebanyakan ulama’ yang bermazhab Syafi’i.
Meskipun begitu, terdapat juga pandangan bahawa zakat fitrah wajib dibayar bagi pihak bayi yang masih berada dalam kandungan, dengan berdalilkan hadith yang diriwayatkan daripada Ibn ‘Umar, katanya:
فَرَضَ رَسُولُ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- زَكَاةَ الْفِطْرِ صَاعًا مِنْ تَمْرٍ أَوْ صَاعًا مِنْ شَعِيرٍ عَلَى كُلِّ عَبْدٍ أَوْ حُرٍّ صَغِيرٍ أَوْ كَبِيرٍ
Maksudnya: “Rasulullah SAW mewajibkan untuk memberi zakat fitrah.(Kadarnya ialah) segantang dari kurma atau gandum. Ianya diwajibkan untuk setiap hamba,yang merdeka. Yang kecil (kanak-kanak) mahupun besar (dewasa).”[7]
Namun, hal ini dijelaskan oleh al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani dengan katanya, bahawa bayi yang masih berada di dalam kandungan tidaklah dipanggil kanak-kanak, sama ada dari segi bahasa mahupun dari segi uruf. Menurut beliau lagi, bayi dalam kandungan juga boleh jadi akan mati, dan boleh jadi hidup.[8] Justeru, bayi dalam kandungan tidaklah termasuk dalam maksud hadith di atas.
Kesimpulan
Berdasarkan nas dan perbincangan di atas, kami nyatakan bahawa zakat fitrah tidak wajib ke atas bayi yang masih berada di dalam kandungan. Begitu juga, bapanya juga tidak wajib untuk membayar zakat fitrah bagi pihak bayi tersebut.
Wallahu a’lam.
Bertarikh: 19 April 2022 bersamaan 17 Ramadhan 1443H
[give_form id=”14962″]
[1] Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/553
[2] Riwayat al-Bukhari (1433) dan Muslim (984)
[3] Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/553-554
[4] Lihat al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’i, 2/96
[5] Riwayat Abu Daud (1609)
[6] Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 6/139
[7] Riwayat al-Bukhari (1503) dan Muslim (2326)
[8] Lihat Fath al-Bari, 3/369