Soalan
Assalamualaikum ustaz. Apa hukum perbuatan memilih-milih masjid untuk melakukan solat tarawih. Hal ini supaya dapat membantu untuk lebih khusyuk apabila mendengar bacaan imam dengan suara yang lunak, dan keadaan masjid yang lebih selesa.
Jawapan
Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.
Solat tarawih merupakan suatu solat yang dituntut bagi umat Islam untuk melaksanakannya. Ganjaran melakukannya adalah sangat besar, sebagaimana yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda :
مَنْ قَامَ رَمَضَانَ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ
Maksudnya: “Sesiapa yang melakukan qiyam Ramadan dengan penuh keimanan dan mengharapkan ganjaran serta keampunan, akan diampunkan buatnya dosa-dosa yang terdahulu.”[1]
Imam al-Nawawi berkata: “Makna “إيمانًا” ialah mempercayainya sebagai benar, lagi dijanjikan pahala dan fadilatnya, manakala makna “إحتِسابًا” ialah menginginkan redha Allah Taala semata-mata, bukan bertujuan pandangan manusia, dan bukan juga apa-apa tujuan lain yang menyelisihi makna keikhlasan.”
Menurut Imam al-Nawawi lagi, makna yang dikehendaki daripada “Qiyam Ramadhan” ialah perlaksanaan solat Tarawih. Para ulama bersepakat tentang hukumnya adalah disunatkan.[2]
Al-Hafiz al-‘Iraqi pula berkata: “Bukan dimaksudkan dengan qiyam Ramadhan ialah mendirikan keseluruhan malamnya bahkan yang dimaksudkan ialah mendirikan sebahagian kecil daripada malam seperti yang difahami secara mutlak dengan pelaksanaan solat Tahajjud, solat Terawih di belakang imam — seperti kebiasaan yang dilakukan —serta pelaksanaan solat Isyak dan solat Subuh secara berjemaah.”[3]
Hadith di atas jelas menunjukkan bahawa perbuatan qiyam Ramadhan yang meliputi solat tarawih, pembacaan al-Quran, zikir dan doa, serta selainnya daripada ibadah yang dilakukan pada malam hari bulan Ramadan, sekiranya ia dilakukan dengan penuh keimanan akan pensyariatannya serta mengharapkan ganjaran pahala dari Allah SWT, nescaya pelakunya akan diampunkan dosa-dosa kecilnya yang terdahulu.
Pensyariatan solat tarawih dapat dilihat melalui sebuah riwayat daripada Umm Al-Mu’minin Aisyah R.Anha, katanya:
أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم صَلَّى ذَاتَ لَيْلَةٍ فِي الْمَسْجِدِ فَصَلَّى بِصَلاَتِهِ نَاسٌ، ثُمَّ صَلَّى مِنَ الْقَابِلَةِ فَكَثُرَ النَّاسُ، ثُمَّ اجْتَمَعُوا مِنَ اللَّيْلَةِ الثَّالِثَةِ أَوِ الرَّابِعَةِ، فَلَمْ يَخْرُجْ إِلَيْهِمْ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم، فَلَمَّا أَصْبَحَ قَالَ “ قَدْ رَأَيْتُ الَّذِي صَنَعْتُمْ وَلَمْ يَمْنَعْنِي مِنَ الْخُرُوجِ إِلَيْكُمْ إِلاَّ أَنِّي خَشِيتُ أَنْ تُفْرَضَ عَلَيْكُمْ ”، وَذَلِكَ فِي رَمَضَانَ
Maksudnya: Sesungguhnya Rasulullah SAW pada suatu malam sedang solat di dalam masjid. Maka orang ramai pun mengikut solat bersama baginda. Kemudian pada malam berikutnya, baginda solat sekali lagi dan jemaah yang mengikutnya semakin banyak. Pada malam yang ketiga atau keempat, orang ramai berkumpul menanti ketibaan Rasulullah SAW sebaliknya baginda tidak keluar kepada mereka. Apabila masuk waktu subuh, baginda bersabda kepada para jemaah: Sesungguhnya aku telah melihat apa yang kamu semua lakukan. Dan tidaklah yang menghalang aku dari keluar kepada kamu melainkan aku takut solat itu akan difardhukan ke atas kamu semua. Yang demikian itu berlaku pada bulan Ramadan.[4]
Berdasarkan hadith di atas, Rasulullah SAW pada malam hari pertama bulan Ramadan baginda keluar menuju ke masjid pada waktu malam dan mendirikan solat. Kemudian orang ramai yang berada di sekitar turut serta mengikuti solat malam Rasulullah SAW. Demikian juga pada malam yang kedua, Cuma bilangan jemaah yang solat bersama baginda semakin ramai. Manakala malam yang berikutnya, bilangan jemaah semakin ramai sehingga memenuhi masjid. Maka pada malam yang berikutnya, Nabi SAW tidak keluar ke masjid dan ramai orang pada ketika itu yang menanti kehadiran baginda. Sebaik sahaja waktu subuh, selepas sahaja solat baginda berpaling seraya mengatakan sebagaimana yang disebutkan dalam hadis di atas.
Syeikh Syams Al-Haq Al-‘Azhim Abadi Rahimahullah ketika mensyarahkan hadis ini beliau berkata: Baginda bimbang solat tarawih akan difardhukan ke atas mereka. Ini kerana boleh jadi berlakunya kefardhuan atas perbuatan qiyam Ramadhan secara berjamaah disebabkan ia dilakukan secara berterusan.[5]
Memilih Masjid Untuk Dilaksanakan Solat
Pada asasnya, semua masjid adalah merupakan rumah-rumah Allah. Oleh itu, seseorang boleh melakukan solat di mana-mana masjid yang dia ingini sama ada jarak masjid tersebut dekat atau jauh daripada rumahnya.
Meskipun begitu, terdapat kelebihan bagi mereka yang menuju ke masjid yang jaraknya jauh daripada rumahnya. Hal ini boleh dilihat sepertimana dalam hadith yang diriwayatkan oleh Abu Musa al-Asy’ari, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
إِنَّ أَعْظَمَ النَّاسِ أَجْرًا فِي الصَّلاَةِ أَبْعَدُهُمْ إِلَيْهَا مَمْشًى
Maksudnya: “Sesungguhnya manusia yang paling besar ganjarannya di dalam solat adalah mereka yang paling jauh menuju ke arahnya.”[6]
Menurut Ibn ‘Allan, hadith di atas menunjukkan bahawa semakin jauh tempat solat, maka semakin besarlah pahala yang diperolehnya.[7]
Justeru, berdasarkan hadith di atas, jelas bahawa dibolehkan bagi seseorang untuk menuju ke masjid lain yang lebih jauh daripada tempatnya, dengan tujuan untuk meraih pahala yang besar. Begitu juga, dibolehkan bagi mereka yang berusaha untuk menambahkan kekhusyukan dalam beribadah dengan memilih-milih masjid disebabkan suara imam yang lebih merdu dan keadaan masjid yang lebih selesa.
Membaca al-Quran dengan suara yang lunak dan baik adalah dituntut kepada setiap yang membaca al-Quran sepertimana dijelaskan dalam sabda Nabi SAW:
لَيْسَ مِنَّا مَنْ لَمْ يَتَغَنَّ بِالْقُرْآنِ
Maksudnya: “Bukan dari kalangan kami mereka yang tidak memperelokkan suaranya dalam pembacaan al-Quran.”[8]
Hal ini juga boleh dilihat melalui hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Mas’ud R.A, di mana sabda Nabi SAW:
اقْرَأْ عَلَىَّ الْقُرْآنَ
Maksudnya: “Bacakan al-Quran kepadaku.”[9]
Menurut Ibn ‘Allan, hadith di atas adalah dalil dalam meminta seseorang yang memiliki suara yang lunak dan sedap untuk membaca al-Quran. Ia juga menjadi dalil bagi seseorang untuk mendengar kepada bacaan al-Quran yang baik.[10]
Kesimpulan
Berdasarkan nas dan keterangan di atas, kami nyatakan bahawa dibolehkan bagi seseorang untuk memilih masjid tertentu bagi melakukan solat tarawih, dengan tujuan menambah kekhusyukan melalui suasana masjid yang kondusif dan selesa, serta bacaan imam yang lebih lunak dan merdu.
Wallahu a’lam.
Bertarikh: 19 April 2022 bersamaan 17 Ramadhan 1443H
[give_form id=”14962″]
[1] Riwayat al-Bukhari (37) dan Muslim (759)
[2] Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 6/39
[3] Lihat Tarh al-Tathrib, 4/161
[4] Riwayat Al-Bukhari (1129)
[5] Lihat ‘Aun Al-Ma’bud Syarah Sunan Abi Daud, 4/180
[6] Riwayat Muslim (662)
[7] Lihat Dalil al-Falihin, 6/543
[8] Riwayat al-Bukhari (7527)
[9] Riwayat al-Bukhari (5049)
[10] Lihat Dalil al-Falihin, 6/488