Seperti yang telah kita bahaskan dalam Siri Fiqh Politik yang lalu berkenaan dengan siyasah, sifat pemimpin dan kepimpinan yang baik dan lain-lain lagi, maka pada kali ini sempena dengan selesainya PRU-15 bagi Malaysia, maka saya fokuskan kepada tajuk Kewajiban Melantik Pemimpin dan Kerajaan.
Sabda Baginda Nabi SAW:
لاَ يَحِلُّ لِثَلَاثَةٍ يَكُوْنُوْنَ بِفَلَاةٍ مِنَ الْأَرْضِ إِلَّا أَمَّرُوا أَحَدَهُمْ
Maksudnya: “Tidak harus bagi tiga orang yang berada di tengah-tengah bumi yang lapang (bermusafir), melainkan mereka mesti melantik salah seorang mereka sebagai pemimpin.” [Riwayat Ahmad (2/177) dan Abu Daud (2608, 2609)]
Ibn Taimiyah berkata: “Kalaulah diwajibkan memilih salah seorang sebagai pemimpin dalam jemaah yang paling sedikit (tiga orang) dan dalam kumpulan yang paling kecil, maka ini adalah peringatan tentang kewajipan tersebut bagi kumpulan yang lebih ramai.” (Lihat Kitab al-Hisbah, hlm. 11)
Telah ijmak para ulama tentang kewajipan melantik imam (pemimpin) sepertimana kata Imam al-Nawawi rahimahullah: “Telah ijmak para ulama bahawa wajib atas orang Islam melantik khalifah.” (Lihat al-Minhaj Syarah Sahih Muslim, 12/205)
Ibn Khaldun berkata: “Melantik pemimpin adalah wajib dan kewajipan tersebut dapat diketahui dalam syarak dengan ijmak para sahabat dan tabiin kerana para sahabat Rasulullah SAW ketika wafatnya Baginda, mereka bersegera memberi taat setia kepada Abu Bakar RA dan menyerahkan kepadanya urusan mereka. Demikianlah pada setiap zaman dan perkara ini telah tetap sebagai ijmak yang menunjukkan kewajipan melantik pemimpin.” (Lihat al-Muqaddimah, hlm. 191)
Imam al-Ghazali berkata:
الدِّينُ أُسٌّ والسُّلْطَانُ حَارِسٌ وَمَا أُسَّ لَهُ فَمَهْدُومٌ وَمَا لَا حَارِسَ لَهُ فَضَائِعٌ
Maksudnya: “Agama itu adalah asasnya sedangkan pemerintah sebagai pengawalnya. Apa yang tidak ada asasnya, nescaya boleh membawa keruntuhan dan apa yang tidak ada pengawalnya akan menjadi hilang.” (Rujuk al-Iqtisad fi al-I’tiqad, hlm. 128)
Imam Mawardi pula menyebut:
الإمَامَةُ مَوضُوعَة لِخلَافَةِ النُّبُوَّةِ فِي حِرَاسَةِ الدِّينِ وَسِيَاسَةُ الدُّنْيَا بِه
Maksudnya: “Imamah atau pemimpin utama adalah menjadi pengganti kenabian dalam mengawal agama dan bersiyasah dunia dengan agama.” (Lihat al-Ahkam al-Sultaniyyah, hlm. 5)
Imam al-Haramain al-Juwaini juga pernah berkata:
الإمَامَةُ رياسَةٌ تَامَّةٌ وزعامَةٌ تَتَعَلَّق بِالْخَاصَّةِ وَالعَامَّةِ فِي مهماتِ الدِّين وَالدُّنْيَا
Maksudnya: “Pemimpin utama adalah pemerintah yang sempurna dan kepimpinan berkaitan dengan khusus dan umum pada semua kepentingan agama dan dunia.” (Lihat Ghiyath al-Umam fi al-Tayas al-Zulam, hlm. 15)
Kewajipan melantik pemimpin juga dibuktikan dengan satu kaedah Syarak iaitu:
مَا لَا يَتِمُّ اَلْوَاجِبْ إِلَّا بِهِ ، فَهُوَ وَاجِبٌ
Maksudnya: “Perkara yang tidak akan sempurna suatu kewajipan melainkan dengannya, maka ia adalah wajib.”
Dalam menetapkan perkara ini, Saidina Ali bin Abi Talib RA berkata: “Manusia mesti mempunyai pemerintahan sama ada yang baik atau jahat.” Lalu ditanya kepada beliau: “Wahai Amirul Mukminin, yang baik telah sedia kami ketahui. Bagaimana pula dengan yang jahat itu?” Beliau menjawab: “Dengannya dapat dijalankan hudud, dengannya jalan-jalan juga akan aman, dengannya juga dapat berjihad menentang musuh dan dengannya juga dapat dibahagikan harta rampasan.” (Lihat Minhaj al-Sunnah, 1/548)
Imam Ahmad berkata: “Fitnah (berleluasa) apabila tiada pemimpin yang mengendalikan urusan manusia.” (Lihat al-Khallah, al-Sunnah 1/81, Kata muhaqqiq: Sanadnya Sahih)
Semoga pelantikan ketua negara bagi Malaysia atau Perdana Menteri dan kerajaan dapat direalisasikan dengan sebaik mungkin dan secepat mungkin. Amin.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ لَا سَهْلَ إِلاَّ ما جَعَلْتَهُ سَهْلاً، وأنْتَ تَجْعَلُ الحَزْنَ إذَا شِئْتَ سَهْلاً
Maksudnya: “Ya Allah! Tiada kemudahan kecuali apa yang Engkau jadikannya sebagai kemudahan. Dan Engkaulah yang menjadikan perkara yang sukar itu jika Engkau kehendaki dengan kemudahan.”
Riwayat al-Baihaqi dalam al-Da’awat al-Kabir (265), Ibn Hibban (974) dan Ibn al-Sunni dalam ‘Amal al-Yaum wa al-Lailah (351)