Sebaik sahaja dilantik menjadi khalifah, Umar Ibn Abdul Aziz memecat gabenor-gabenor daerah yang diketahui kejam atau tidak berlaku adil terhadap rakyat. Semua barangan kemas dan hadiah berharga yang diberikan kepada beliau tatkala beliau menaiki tahkta kerajaan dihantar ke Baitul Mal.

Firman Allah SWT:

الَّذِينَ إِن مَّكَّنَّاهُمْ فِي الْأَرْضِ أَقَامُوا الصَّلَاةَ وَآتَوُا الزَّكَاةَ وَأَمَرُوا بِالْمَعْرُوفِ وَنَهَوْا عَنِ الْمُنكَرِ ۗ وَلِلَّـهِ عَاقِبَةُ الْأُمُورِ

Maksudnya: “Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar. Dan (ingatlah) bagi Allah SWT jualah kesudahan segala urusan.”

(Surah al-Hajj: 41)

Sayyid Qutb berkata: Maksudnya, janji Allah yang kukuh dan tidak mungkir ialah Dia akan menolong siapa sahaja yang menolong agama-Nya. Siapakah orang-orang yang menolong agama Allah hingga mereka wajar menerima pertolongan Allah yang Maha Gagah dan Maha Perkasa, dan tidak akan mengalahkan siapa sahaja yang menjadikan Allah sebagai pelindungnya? Mereka ialah: (أَقَامُوا الصَّلَاةَ) Mereka yang sentiasa beribadat kepada Allah dan mengukuhkan hubungan mereka dengan-Nya; (وَآتَوُا الزَّكَاةَ) Mereka yang menunaikan kewajipan harta, mengatasi tabiat bakhil, membersihkan diri mereka dari tamak haloba dan menumpaskan bisikan-bisikan syaitan, mengukuhkan perpaduan masyarakat dan menjamin keperluan golongan yang lemah dan golongan yang memerlukan bantuan dalam masyarakat; (وَأَمَرُوا بِالْمَعْرُوفِ) Mereka yang menyeru dan mendorong manusia ke arah kebaikan; (وَنَهَوْا عَنِ الْمُنكَرِ) Dan mereka yang menentang kejahatan dan kerosakan. (Lihat Tafsir Fi Zilal al-Quran, 11/184)

Khalifah Umar bin Abdul Aziz telah menyempurnakan segala titah perintah Allah dan pra syarat yang telah disebut seperti di atas.

Beliau menjadi seorang yang telah berubah sama sekali. Beliau menganggap dirinya sebagai pengganti kepada Umar Ibn al-Khattab, tidak kepada Sulaiman Ibn Abdul Malik. Hamba sahaya milik keluarga diraja dimerdekakan. Istana kediaman diraja yang dibina menurut ciri-ciri Parsi dan Rom, diubah sama sekali dan mengambil rupa yang penuh kesederhanaan.

Beliau mengembalikan kepada negara bukan hanya tanah pusakanya, tetapi juga barang kemas dan barang bernilai yang isterinya telah terima daripada bapa dan saudara¬ maranya. Beliau menjalani hidupnya dengan begitu sederhana dan zuhud sehingga payah dijumpai oleh mana-mana para rahib seperti beliau, apatah lagi para raja dan maharaja. Pernah beberapa ketika, beliau lewat menghadiri solat Jumaat kerana menunggu bajunya yang tunggal itu kering sesudah dibasuh.

Sebelum pelantikan Umar Ibn Abdul Aziz sebagai khalifah, Baitul Mal diperlakukan seperti harta peribadi raja, dan ahli kerabat diraja memperolehi peruntukan yang besar daripadanya, tetapi sekarang mereka semua terpaksa berpuas hati dengan elaun sara hidup yang amat sedikit.

Pernah berlaku pada suatu ketika, Umar Ibn Abdul Aziz memerhatikan anak-anak gadisnya menutup mulut mereka dengan tangan apabila mereka berbual dengannya. Apabila beliau meneliti, beliau dapati bahawa makanan yang terdapat dalam rumah pada hari itu hanyalah bawang dan kacang. Anak-anak beliau menutup mulut mereka kerana takut mengganggu bapanya dengan bau bawang yang kurang menyenangkan. Dengan berlinangan air mata beliau berkata: “Wahai anakku, adakah kamu inginkan makanan yang enak sedangkan bapamu dihumbankan ke dalam neraka?”

Umar Ibn Abdul Aziz adalah ketua kerajaan bagi sebuah empayar yang terkuat pada zaman itu, tetapi beliau tidak memiliki wang yang cukup untuk mengerjakan ibadah haji. Pada suatu ketika, beliau bertanya kepada khadamnya jika terdapat wang simpanan yang cukup untuk mengerjakan haji. Kha¬dam memberitahunya bahawa wang simpanan yang ada hanya sepuluh atau dua belas dinar sahaja, maka dengan itu beliau tidak dapat menunaikan ibadah haji. Selang beberapa ketika, Umar Ibn Abdul Aziz memperolehi wang yang cukup untuk menunaikan haji hasil daripada penda¬patan harta peribadinya. Khadamnya mengucapkan tahniah kepadanya kerana dapat menunaikan ibadah haji.

Akan tetapi Umar Ibn Abdul Aziz menjawab: “Kami telah mengambil manfaat daripada harta ini sekian lama. Sekarang orang Islam berhak menikmati hasilnya.”

Kemudian beliau memasukkan semua hasil pendapatan itu ke dalam Baitul Mal. Perbelanjaan harian Umar Ibn Abdul Aziz tidak melebihi dua dirham. Jika ada mana-mana pegawai yang datang menemuinya dan berbual mengenai hal ehwal peribadi khalifah, nescaya beliau serta merta memadamkan lilin yang dibekalkan oleh pihak kerajaan dan menggunakan lilinnya sendiri.

Beliau tidak pernah menggunakan air panas daripada dapur awam atau menghidu wangi-wangian milik Baitul Mal.

Membaca sirah Umar ibn Abdul Aziz mengingatkan kita betapa wataknya persis moyangnya Umar ibn al-Khattab dan ini juga mengiyakan firasat Umar apabila meminang anak perempuan pengembala kambing yang takutkan Allah SWT dan bercakap jujur. Beliau berkata kepada ibunya: 

إِنْ كَانَ عُمَر لَا يَرَانَا، فَإنَّ رَبَّ عُمَر يَرَانَا

Maksudnya: “Jika sekiranya Umar tidak melihat kepada kita, tetapi Tuhan kepada Umar (yakni Allah SWT) melihat kepada kita.”

Semoga Allah SWT kurniakan kepada kita secebis sikap dan sifat serta mawaqif yang ditunjukkan dan dipamerkan oleh Umar ibn Abdul Aziz. Amin.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *