Beliau ialah Umar Ibn al-Khattab bin Nufail bin ‘Abd al-‘Uzza bin Riyah bin Qurt bin Razah bin ‘Adi bin Ka‘ab bin Lu’ai. Nasab Saidina Umar berhimpun dengan nasab Nabi SAW pada Ka‘ab. Nama julukan (kunyah) beliau ialah Abu Hafs. Kunyah ini diberikan kepada beliau oleh Nabi SAW ketika peperangan Badar. Selain itu, beliau juga digelar sebagai al-Faruq yang bermaksud Allah SWT telah membezakan antara perkara yang benar dan perkara yang batil untuknya. Gelaran ini juga telah diberikan kepada beliau oleh Nabi SAW.
Beliau dilahirkan pada tahun ke-13 setelah peristiwa Tahun Gajah. Beliau masuk Islam pada tahun keenam kenabian pada umur 27 tahun. Umar bin al-Khattab adalah seorang yang cerdas daripada kalangan kaumnya. Jika terjadi peperangan di antara kaum Quraisy dan suku lain maka mereka akan mengutus Umar bin al-Khattab sebagai utusan mereka. (Lihat Tarikh Khulafa’ al-Rasyidin oleh al-Suyuti, hlm. 54).
Keislamannya adalah selepas daripada kemasukan 40 lelaki dan 11 wanita ke dalam Islam. Namun terdapat pendapat menyatakan, keislamannya adalah selepas daripada kemasukan 39 lelaki dan 20 wanita, lalu sempurnalah bilangan lelaki sebanyak 40 orang dengannya. (Lihat Usd al-Ghabah fi Ma‘rifah al-Sahabah, 4/137). Menurut Sa‘id bin Jubair ayat 4 daripada Surah al-Tahrim diturunkan mengenai Umar secara khusus iaitu pada firman Allah SWT:
وَصَٰلِحُ ٱلۡمُؤۡمِنِينَ
Maksudnya: “serta orang-orang yang soleh daripada kalangan orang-orang yang beriman.” (Lihat Siyar A‘lam al-Nubala’, Bhg. Khulafa’ al-Rasyidin, hlm. 72).
Terdapat begitu banyak jasa yang telah dilakukan oleh Umar bin al-Khattab kepada agama dan umat ini. Antara jasa yang besar ialah apabila Umar bin al-Khattab mencadangkan kepada Abu Bakar al-Siddiq agar dihimpunkan al-Quran. Cadangan ini muncul apabila Umar khuatir akan hilangnya al-Quran apabila melihat angka para penghafal al-Quran yang terkorban di dalam perang al-Yamamah. Selain itu, Umar juga merupakan penutup kepada fitnah, sehingga beliau digelar sebagai pintu. Apabila pecahnya pintu ini, maka fitnah-fitnah ini akan mula masuk dan merosakkan agama dan umat ini. Hal ini diceritakan dalam hadith yang panjang oleh Huzaifah bin al-Yaman.
Tambahan lagi, Umar bin al-Khattab merupakan khalifah kedua umat Islam daripada Khulafa al-Rasyidin. Semasa zaman pemerintahannya, empayar Islam telah berkembang dengan pesat. Pada zaman pemerintahannya juga dibuka Syam, Iraq, Baitul Maqdis, Madain, Mesir dan Jazirah sehingga empayar Islam tersebar begitu luas. Diceritakan bahawa apabila kota Bait al-Maqdis dibuka oleh Umar bin al-Khattab, beliau telah mengemukakan satu bentuk jaminan untuk menjamin keselamatan penduduk bukan Islam di bawah pemerintahan Islam, iaitu pemerintahan di bawah pimpinan beliau sendiri. Jaminan keamanan Umar telah menyediakan peraturan asas untuk membantu pembangunan dan pembentukan semula komuniti baru di Aelia. Ia menolak fahaman bahawa individu atau bangsa yang mempunyai kuasa boleh menguasai atau mengatasi individu atau bangsa yang lain.
Jaminan Keamanan Umar telah menekankan kepada satu polisi Muslim yang praktikal terhadap pengiktirafan kepada pihak lain dengan menentukan hak-hak penduduk Aelia dan tanggungjawab Muslimin terhadap mereka. Ia memberikan jaminan keamanan kepada setiap orang yang mendiami Aelia, tanpa pengecualian dan diskriminasi. Ini juga termasuk menjamin penuh keselamatan rumah ibadat, tidak ada paksaan dalam beragama, dan tidak juga dianiaya. Di samping itu, rumah ibadat mereka tidak akan dihuni (diambil alih) atau dimusnahkan oleh kaum Muslimin. Termasuk juga tanah yang mereka diami, salib dan harta benda mereka tidak akan diceroboh atau dirampas.
Berkenaan kelebihannya juga, Rasulullah SAW pernah bersabda:
إِيهٍ يَا ابْنَ الخَطَّابِ، وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ مَا لَقِيَكَ الشَّيْطَانُ سَالِكًا فَجًّا قَطُّ، إِلَّا سَلَكَ فَجًّا غَيْرَ فَجِّكَ
Maksudnya: “Tenanglah wahai putera al-Khattab, demi Dia Yang jiwaku berada di tangan-Nya, tidaklah syaitan mendapatimu melalui suatu jalan melainkan ia akan melalui jalan yang lain (kerana takutkanmu).”
Riwayat al-Bukhari (3683)
Rasulullah SAW juga bersabda:
لَقَدْ كَانَ فِيمَا كَانَ قَبْلَكُمْ مِنَ الأُمَمِ نَاسٌ مُحَدَّثُونَ، فَإِنْ يَكُ فِي أُمَّتِي أَحَدٌ، فَإِنَّهُ عُمَرُ.
Maksudnya: “Sesungguhnya pada umat-umat sebelum kamu terdapat manusia yang diberi ilham (walaupun tidak menjadi nabi). Jika ada yang seperti itu di antara umatku maka dia adalah Umar.”
Riwayat al-Bukhari (3689)
Selain itu, terdapat riwayat daripada Buraidah R.A, katanya: Nabi SAW bersabda:
إِنِّي دَخَلْتُ الْجَنَّةَ الْبَارِحَةَ… فَأَتَيْتُ عَلَى قَصْرٍ مِنْ ذَهَبٍ مُرَبَّعٍ، فَقُلْتُ: لِمَنْ هَذَا الْقَصْرُ؟ قَالُوا: لِرَجُلٍ مِنْ أُمَّةِ مُحَمَّدٍ، قُلْتُ: فَأَنَا مُحَمَّدٌ، لِمَنْ هَذَا الْقَصْرُ؟ قَالُو: لِرَجُلٍ مِنَ الْعَرَبِ، قُلْتُ: أَنَا عَرَبِيٌّ، لِمَنْ هَذَا الْقَصْرُ؟ قَالُوا: لِرَجُلٍ مِنْ قُرَيْشٍ، قُلْتُ: فَأَنَا قُرَشِيٌّ، لِمَنْ هَذَا الْقَصْرُ؟ قَالُوا: لَعُمَرَ بْنِ الْخَطَّابِ…
Maksudnya: “Sesungguhnya aku masuk syurga malam tadi… Lalu aku datang ke sebuah istana daripada emas yang berbentuk persegi. Aku bertanya: ‘Milik siapakah istana ini?’ Mereka menjawab: ‘Untuk seorang lelaki daripada umat Muhammad.’ Aku bertanya lagi: ‘Aku Muhammad. Milik siapakah istana ini?’ Mereka menjawab: ‘Milik seorang lelaki daripada Arab.’ Aku bertanya lagi: ‘Aku orang Arab. Milik siapakah istana ini?’ Mereka menjawab: ‘Milik seorang lelaki daripada Quraisy.’ Aku bertanya lagi: ‘Aku daripada Quraisy. Milik siapakah istana ini?’ Mereka menjawab: ‘Milik Umar bin al-Khattab…”
Riwayat al-Tirmizi (3689), Ahmad (23046) dan Ibn Khuzaimah (1209). Syeikh Syu‘aib al-Arna’ut menilai hadith ini sebagai sahih li ghairihi dalam takhrij al-Musnad (23040).
Begitu juga riwayat daripada Jabir bin Abdullah R.Anhuma, Nabi SAW bersabda:
رَأَيْتُنِي دَخَلْتُ الجَنَّةَ، فَإِذَا أَنَا بِالرُّمَيْصَاءِ، امْرَأَةِ أَبِي طَلْحَةَ، وَسَمِعْتُ خَشَفَةً، فَقُلْتُ: مَنْ هَذَا؟ فَقَالَ: هَذَا بِلاَلٌ، وَرَأَيْتُ قَصْرًا بِفِنَائِهِ جَارِيَةٌ، فَقُلْتُ: لِمَنْ هَذَا؟ فَقَالَ: لِعُمَرَ، فَأَرَدْتُ أَنْ أَدْخُلَهُ فَأَنْظُرَ إِلَيْهِ، فَذَكَرْتُ غَيْرَتَكَ فَقَالَ عُمَرُ: بِأَبِي وَأُمِّي يَا رَسُولَ اللَّهِ أَعَلَيْكَ أَغَارُ.
Maksudnya: “Aku melihat diriku (di dalam mimpi) memasuki syurga. Aku terlihat al-Rumaisa’, isteri Abu Talhah (di dalam syurga). Aku mendengar bunyi tapak kaki maka aku bertanya: ‘Siapakah dia?’ Seseorang menjawab: ‘Dia Bilal.’ Kemudian aku melihat sebuah istana yang di halamannya terdapat seorang wanita. Aku bertanya: ‘(Istana) ini kepunyaan siapa?’ Seseorang menjawab: ‘Ia milik Umar.’ Aku ingin masuk untuk melihatnya, tetapi aku teringat akan kecemburuanmu wahai Umar (maka aku tidak masuk). Umar berkata: ‘Kutebus ayah dan ibuku demimu wahai Rasulullah SAW, adakah wajar aku mencemburuimu?’”
Riwayat al-Bukhari (3679)
Begitu juga riwayat daripada Abu Hurairah R.A, katanya: Ketika kami bersama dengan Rasulullah SAW, Baginda bersabda:
بَيْنَا أَنَا نَائِمٌ رَأَيْتُنِي فِي الجَنَّةِ، فَإِذَا امْرَأَةٌ تَتَوَضَّأُ إِلَى جَانِبِ قَصْرٍ، فَقُلْتُ: لِمَنْ هَذَا القَصْرُ؟ قَالُوا: لِعُمَرَ، فَذَكَرْتُ غَيْرَتَهُ، فَوَلَّيْتُ مُدْبِرًا. فَبَكَى عُمَرُ، وَقَالَ: أَعَلَيْكَ أَغَارُ يَا رَسُولَ اللَّهِ.
Maksudnya: “Ketika aku sedang tidur, aku melihat (di dalam mimpiku) diriku berada di dalam syurga. Tiba-tiba aku melihat seorang perempuan sedang berwuduk di tepi sebuah istana. Aku bertanya: ‘Milik siapakah istana ini?’ Mereka menjawab: ‘Milik Umar.’ Aku lalu teringat akan kecemburuannya maka aku pun beransur pergi. Umar menangis dan berkata: ‘Adakah wajar aku cemburu kepadamu wahai Rasulullah?’”
Riwayat al-Bukhari (3680)
Begitu juga al-Zahabi telah menukilkan riwayat daripada Ibn Umar R.Anhuma bahawa Rasulullah SAW bersabda:
إنّ اللهَ وضَعَ الحقَّ على لسانِ عُمَرَ وقَلبِه
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah SW telah meletakkan (menjadikan) kebenaran pada lidah Umar dan begitu juga pada hatinya.”
Menurut al-Zahabi hadith ini telah diriwayatkan oleh sebahagian ulama daripada Nafi‘ daripada Ibn Umar. Begitu juga turut diriwayatkan hadith seumpamanya daripada sebahagian sahabat yang lain. (Lihat Siyar A‘lam al-Nubala’, Bhg. Khulafa’ al-Rasyidin, hlm. 75-76). Riwayat Ahmad (5697) dan Ibn Hibban (6895). Syeikh Syu‘aib al-Arna’ut dalam Takhrij Syarh al-Sunnah (3875) menilainya sebagai sahih.
Apatah lagi banyak pendapat Umar R.A yang dibenarkan oleh al-Quran. Terdapat riwayat daripada Anas bin Malik, katanya: Umar bin al-Khattab R.A berkata:
وَافَقْتُ رَبِّي فِي ثَلاَثٍ: فَقُلْتُ يَا رَسُولَ اللهِ، لَوِ اتَّخَذْنَا مِنْ مَقَامِ إِبْرَاهِيمَ مُصَلًّى، فَنَزَلَتْ: {وَاتَّخِذُوا مِنْ مَقَامِ إِبْرَاهِيمَ مُصَلًّى} وَآيَةُ الحِجَابِ، قُلْتُ: يَا رَسُولَ اللهِ، لَوْ أَمَرْتَ نِسَاءَكَ أَنْ يَحْتَجِبْنَ، فَإِنَّهُ يُكَلِّمُهُنَّ البَرُّ وَالفَاجِرُ، فَنَزَلَتْ آيَةُ الحِجَابِ، وَاجْتَمَعَ نِسَاءُ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي الغَيْرَةِ عَلَيْهِ، فَقُلْتُ لَهُنَّ: عَسَى رَبُّهُ إِنْ طَلَّقَكُنَّ أَنْ يُبَدِّلَهُ أَزْوَاجًا خَيْرًا مِنْكُنَّ، فَنَزَلَتْ هَذِهِ الآيَةُ
Maksudnya: “Pendapat aku seiring dengan perintah Tuhanku dalam tiga perkara. Aku berkata: (Pertama) ‘Wahai Rasulullah, alangkah baiknya kalau kita jadikan Maqam Ibrahim sebagai tempat solat.’ Maka turunlah ayat ini (yang bermaksud): ‘Dan jadikanlah Maqam Ibrahim itu sebagai tempat solat.’ [Surah al-Baqarah: 125] (Kedua) Berhubung dengan ayat hijab, aku berkata: ‘Wahai Rasulullah, alangkah baiknya jika engkau suruh isteri-isteri engkau berhijab, kerana orang baik dan orang jahat semuanya boleh bercakap dengan mereka.’ Maka turunlah ayat hijab. Dan (ketiga) para isteri Nabi SAW berkumpul kerana cemburu kepada Baginda. Aku pun berkata kepada mereka: ‘Mungkin jika Nabi menceraikan kamu, Tuhannya akan menggantikan dengan isteri-isteri yang lebih baik daripada kamu.’ Maka turunlah ayat ini.”
Riwayat al-Bukhari (402)
Al-Hafiz Ibn Hajar al- ‘Asqalani menyebutkan bahawa hadith ini tidak menunjukkan ia hanya terhad kepada tiga perkara itu sahaja, bahkan terdapat banyak lagi pendapatnya yang lain yang selari dengan wahyu. Di antara yang terkenal seperti kisah tawanan Badar dan kisah solat ke atas orang Munafik, dan kedua-dua kisah ini terdapat dalam kitab al-Sahih.
Imam al-Tirmizi telah mensahihkan hadith daripada Ibn Umar R.Anhuma bahawasanya tidaklah suatu perkara terjadi pada suatu orang ramai (masyarakat), kemudian mereka memberi pendapat dan Umar juga memberi pendapat, melainkan al-Quran (wahyu) akan turun mengenainya sebagaimana yang dikatakan oleh Umar.
Ini menunjukkan bahawa banyaknya pendapat Umar yang selari dengan al-Quran (wahyu), dan bilangan paling banyak yang kami dapati daripadanya mencecah sebanyak 15 kali, tetapi perkara itu adalah berdasarkan kepada riwayat yang dinukilkan. (Lihat Fath al-Bari, 1/505).
Selain itu, beliau juga termasuk dalam kalangan sahabat yang dikira sebagai mati syahid. Hal ini adalah sebagaimana riwayat daripada Qatadah, bahawasanya Anas bin Malik R.A menyampaikan kepada mereka bahawasanya:
أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ صَعِدَ أُحُدًا، وَأَبُو بَكْرٍ، وَعُمَرُ، وَعُثْمَانُ فَرَجَفَ بِهِمْ، فَقَالَ: اثْبُتْ أُحُدُ فَإِنَّمَا عَلَيْكَ نَبِيٌّ، وَصِدِّيقٌ، وَشَهِيدَانِ
Maksudnya: “Nabi SAW mendaki gunung Uhud bersama Abu Bakar, Umar dan Uthman . Tiba-tiba gunung Uhud bergoncang. Maka Baginda berkata: ‘Diamlah wahai Uhud kerana sesungguhnya di atasmu ada seorang Nabi, Siddiq (Abu Bakar) dan dua orang syahid (Umar dan Uthman ).’”
Riwayat al-Bukhari (3675)
Diceritakan bahawa ketika Umar bin al-Khattab R.A sedang meluruskan saf solat kaum Muslimin seperti kebiasaannya setiap hari untuk mendirikan solat Subuh, dan apabila hendak bertakbir untuk solat, seorang lelaki bernama Abu Lu’lu’ah al-Majusi datang dengan sebilah belati beracun lalu menikamnya beberapa kali, memutuskan ususnya, dan dengan sebab itu beliau jatuh rebah tidak sedarkan diri. Para sahabat yang berada di situ cuba untuk menangkap Abu Lu’lu’ah, tetapi dia membunuh sebahagian daripada mereka, dan salah seorang daripada mereka datang kepadanya dari arah belakang lalu melemparkan jubah kepadanya dan menjatuhkannya. Maka Abu Lu’lu’ah menikam dirinya sendiri dengan belati yang sama yang membunuh Umar R.A dan dia meninggal dunia di tempat kejadian. Setelah itu, para sahabat membawa Umar bin Al-Khattab yang masih tidak sedarkan diri ke rumahnya. Apabila beliau sedar, lantas beliau bertanya kepada mereka berkenaan pelaksanaan solat Subuh dan kemudian barulah beliau bertanya tentang pembunuhnya, dan mereka menjawab: “Abu Lu’lu’ah.”
Terdapat beberapa riwayat berkenaan tarikh kewafatannya. Ada yang berpendapat, kejadian itu berlaku — yakni beliau ditikam — pada hari Rabu bersamaan 26 Zulhijjah. Ada juga yang berpendapat, beliau ditikam pada 27 Zulhijjah dan hidup selepas kejadian itu selama tujuh hari, dan ada yang berpendapat selama tiga hari. (Lihat Syahid al-Mihrab al-Faruq Umar bin al-Khattab R.A oleh ‘Abd al-Salam bin Muhsin, hlm. 160-168).
Peristiwa pembunuhan Umar bin al-Khattab R.A ini juga ada disebutkan oleh Imam al-Bukhari dalam kitab sahihnya menerusi riwayat daripada ‘Amr bin Maimun, katanya: Aku melihat Umar bin Khattab R.A di Madinah, beberapa hari sebelum ditimpa musibah (yakni peristiwa kesyahidannya). Beliau berdiri di hadapan Huzaifah bin al-Yaman dan Uthman bin Hunaif, lalu berkata: “Apakah yang kamu berdua lakukan? Adakah kamu berdua berasa takut bahawa kamu telah membebankan pemilik tanah dengan sesuatu yang dia tidak mampu?” Mereka berduanya berkata: “Kami telah melaksanakannya mengikut kemampuan yang mana padanya terdapat keutamaan yang. Beliau berkata: “Perhatikanlah barangkali kamu berdua membebankan kepada pemilik tanah perkara yang tidak mampu dipikulnya.” Mereka berdua berkata: “Tidak.” Umar berkata: “Kalau Allah memberi keselamatan kepadaku, nescaya aku akan menjadikan janda-janda penduduk Iraq tidak perlu lagi kepada seorang lelaki sesudahku selama-lamanya (kerana nafkah mereka sudah terjaga).”
Beliau berkata: “Tidaklah datang kepadanya kecuali pada hari keempat sehingga beliau ditimpa musibah (peristiwa kesyahidannya).” Beliau berkata: “Sungguh aku berdiri, tidak ada antara diriku dengannya kecuali Abdullah bin Abbas pada waktu subuh hari beliau ditimpa musibah. Apabila beliau berjalan di antara dua saf, maka beliau berkata: “Luruskan saf kamu,” hinggalah ketika beliau tidak melihat sebarang kerenggangan pada (saf) mereka, beliau pun maju dan bertakbir. Barangkali beliau membaca surah Yusuf, atau al-Nahl, atau yang seumpama dengannya pada rakaat pertama, agar orang-orang (sempat) berkumpul (untuk mendapatkan rakaat pertama). Tidak semena-mena beliau bertakbir dan aku mendengar beliau berkata: “Aku diserang – atau aku dimakan – anjing.” Ketika seseorang menikamnya, si hamba (yang menyerang) itu melompat dengan pisau yang memiliki dua bilah. Tiada seorang pun yang melalui di situ sama ada dari kanan atau dari kiri melainkan ditikamnya sehingga dia berjaya menikam seramai 13 orang (sahabat), 7 orang daripada mereka meninggal dunia.
Apabila keadaan itu dilihat oleh seorang lelaki daripada kaum Muslimin, maka lelaki itu melemparkan jubah kepadanya. Ketika si hamba (yang menyerang) itu yakin dirinya tertangkap, dia pun membunuh dirinya. Umar mengambil tangan ‘Abd al-Rahman bin ‘Auf, lalu mendahulukannya (untuk menjadi imam dan menyempurnakan solat). Sesiapa yang berada berdekatan Umar, nescaya akan melihat apa yang aku lihat. Adapun orang-orang yang berada di bahagian sudut-sudut masjid, mereka tidak mengetahui suatu apapun melainkan mereka kehilangan suara Umar. Mereka pun berkata: “Subhanallah! Subhanallah!” ‘Abd al-Rahman bin ‘Auf mengimamkan solat mereka secara ringkas. Apabila mereka selesai, beliau (Umar) berkata: “Wahai Ibn Abbas, lihatlah siapa yang membunuhku?” Beliau berpusing seketika, kemudian kembali dan berkata: “Hamba si Mughirah.” Beliau bertanya: “Adakah dia itu si tukang?” Beliau menjawab: “Benar.” Beliau berkata: “Semoga Allah membunuhnya! sungguh aku telah memerintahkan kepadanya perkara yang baik. Segala puji bagi Allah yang tidak menjadikan kematianku di tangan seseorang yang mengaku Islam. Sesungguhnya engkau dan ayahmu suka dengan ramainya hamba-hamba bukan Arab di Madinah.” Adapun Abbas adalah orang yang paling banyak memiliki hamba daripada kalangan mereka. Beliau berkata: “Jika engkau mahu, aku akan melakukan.” – yakni jika engkau mahu, kami akan membunuh (mereka). – Beliau berkata: “Engkau berkata yang tidak benar (dan sukar dilaksanakan), adakah setelah mereka bercakap dengan bahasa kamu semua, menunaikan solat menghadap kiblat kamu semua, dan melaksanakan haji kamu semua?”
Beliau dibawa ke rumahnya, kami pun pergi bersamanya. Seakan-akan orang ramai tidak pernah ditimpa musibah sebelum hari itu. Ada yang berkata: “Tidak mengapa.” Ada pula yang berkata: “Aku bimbang dengan (keadaan)nya.” Lalu, dibawakan nabiz (air rendaman kurma) dan beliau meminumnya. Akan tetapi beliau memuntahkannya daripada perutnya. Kemudian, dibawakan air susu dan beliau meminumnya, namun ia keluar daripada kawasan perutnya. Demikian, mereka pun mengetahui bahawa beliau akan meninggal dunia. Kami masuk menemuinya dan orang ramai pun datang. Mereka mulai memujinya (untuk menenangkan hatinya). Setelah itu, seorang pemuda datang dan berkata: “Bergembiralah wahai Amirul Mukminin dengan berita gembira daripada Allah untukmu, bersahabat dengan Rasulullah SAW, jasa-jasa dalam Islam yang telah engkau lakukan, kemudian engkau memegang kekuasaan dan berlaku adil. Setelah itu, syahid pula.” Beliau berkata: “Aku berharap hal-hal itu cukup; tidak menjadi bebanku dan tidak pula menjadi kebaikan bagiku.” Ketika pemuda itu pusing ke belakang, Umar melihat kainnya menyentuh tanah. Umar berkata: “Panggillah pemuda itu untukku.” Beliau berkata: “Wahai anak saudaraku, angkatlah kainmu kerana hal yang demikian itu lebih baik untuk kainmu dan lebih bertakwa kepada Tuhanmu. Wahai Abdullah bin Umar, lihatlah berapa banyak hutang yang menjadi tanggunganku.” Mereka pun menghitungnya dan mendapatinya sebanyak 86 ribu atau lebih kurang itu. Beliau berkata: “Jika mampu dilunaskan dengan harta keluarga Umar, maka bayarlah daripada harta mereka. Jika tidak, maka mintalah kepada Bani ‘Adi bin Ka‘b. Apabila harta mereka tidak dapat melunaskan (hutang Umar), mintalah kepada kaum Quraisy, jangan melewatkan mereka dan terus minta kepada selain mereka. Tunaikanlah hutang ini untukku. Pergilah kepada Aisyah Umm al-Mukminin dan katakan, “Umar mengucapkan salam untukmu,” dan jangan katakan: “Amirul Mukminin,” kerana hari ini aku bukan lagi pemimpin bagi kaum mukminin. Akan tetapi, katakanlah Umar bin al-Khattab meminta izin untuk dikuburkan bersama kedua sahabatnya (yakni Rasulullah dan Abu Bakar).”
Ibn Umar memberi salam lalu meminta izin, kemudian masuk menemui Aisyah dan mendapatinya sedang duduk menangis. Beliau berkata: “Umar bin al-Khattab mengucapkan salam untukmu dan meminta izin agar dikuburkan bersama kedua sahabatnya.” Aisyah berkata: “Tadinya aku menginginkannya (tempat ini) untuk diriku, namun hari ini aku akan lebih mengutamakannya (Umar) mendapatkan hal itu daripada diriku sendiri.” Ketika beliau kembali, maka dikatakan: “Abdullah bin Umar telah datang.” Beliau berkata: “Angkatlah aku.” Maka seorang lelaki menyandarkannya kepada dirinya. Umar berkata: “Ada apa denganmu ini?” Beliau berkata: “(Perkara) yang engkau inginkan, wahai Amirul Mukminin, Aisyah telah memberi keizinan.” Beliau berkata: “Segala puji bagi Allah, tidak ada sesuatu yang lebih penting bagiku daripada perkara itu.” Sekiranya aku telah meninggal dunia, bawalah aku. Kemudian berilah salam dan katakanlah: “Umar bin al-Khattab meminta izin. Apabila beliau (Aisyah) memberi izin kepadaku, maka masukkanlah aku, tetapi sekiranya beliau menolakku, maka kembalikanlah aku ke perkuburan kaum Muslimin.”
Ummul Mukminin Hafsah datang dan wanita-wanita berjalan bersamanya. Ketika kami melihatnya, maka kami berdiri. Beliau masuk menemuinya dan menangis di sisinya seketika. Para lelaki meminta izin, maka beliau pun masuk melalui tempat masuk mereka, dan kami mendengar suara tangisan Hafsah daripada dalam. Mereka berkata: “Berilah wasiat wahai Amirul Mukminin, tunjukkanlah siapa penggantimu.” Beliau berkata: “Aku tidak mendapati yang lebih berhak terhadap perkara ini selain kelompok – atau kumpulan – yang mana Rasulullah wafat dalam keadaan redha terhadap mereka.” Beliau menyebutkan (nama) Ali, Uthman, al-Zubair, Talhah, Sa‘d (bin Abi Waqqas) dan ‘Abd al-Rahman bin Auf. Lalu beliau berkata: “Abdullah bin Umar menjadi saksi bagi kamu semua tapi beliau tidak memiliki (hak) apapun atas urusan ini – sebagai tanda takziah untuknya – jika pemerintahan ini jatuh ke tangan Sa‘d, maka demikianlah keadaannya. Sebaliknya, jika tidak, maka hendaklah minta bantuan kepadanya siapa sahaja di antara kamu semua yang diangkat menjadi pemimpin. Sesungguhnya, aku memecatnya bukan kerana beliau tidak mampu dan tidak pula kerana beliau khianat.”
Beliau menyambung: “Aku berwasiat kepada khalifah sesudahku mengenai kaum Muhajirin awal, hendaklah beliau mengetahui hak dan memelihara kehormatan mereka. Aku berwasiat pula kepada Ansar dengan kebaikan, iaitu orang-orang yang telah menyiapkan tempat tinggal dan keimanan sebelum mereka, hendaklah diterima orang yang baik daripada mereka, dan memaafkan orang yang berdosa daripada kalangan mereka. Aku turut berwasiat kepadanya terhadap penduduk di serata negeri dengan kebaikan, kerana mereka sebenarnya adalah pendokong agama Islam, pemberi harta-harta (zakat), dan pencetus kemarahan musuh. Hendaklah satu apapun tidak diambil daripada mereka, kecuali saki-baki (harta) mereka dengan keredhaan mereka. Aku berwasiat pula kepadanya tentang orang-orang Arab Badwi kebaikan, kerana merekalah asal-usul bangsa Arab, dan sumber-sumber Islam. Hendaklah diambil harta-harta sampingan daripada mereka dan dikembalikan kepada orang-orang fakir daripada kalangan mereka.
Aku berwasiat kepadanya mengenai zimmah (tanggungan) Allah dan zimmah Rasul-Nya (yakni kafir Zimmi). Hendaklah ditepati janji mereka, berperang dari belakang mereka (yakni menyokong dan melindungi mereka), dan tidak dibebani kecuali (sesuai) dengan kemampuan mereka (jizyah).” Setelah (roh)nya diambil, kami keluar membawanya dan berangkat sambil berjalan kaki. Abdullah bin Umar memberi salam dan berkata: “Umar bin al-Khattab meminta izin.” Aisyah menjawab: “Masukkanlah beliau.” Lalu beliau dimasukkan, kemudian diletakkan di sana bersama kedua sahabatnya.
Riwayat al-Bukhari (3700)
Saidina Umar wafat dalam usia 63 tahun pada tahun 23 Hijrah. Suhaib al-Rumi menjadi imam solat jenazahnya. Ia dimakamkan berhampiran Abu Bakar al-Siddiq bersama Rasulullah SAW. (Lihat Usd al-Ghabah fi Ma‘rifah al-Sahabah, 4/156).