Nama penuh beliau ialah Abu ‘Ubaidah bin al-Jarrah ialah ‘Amir bin Abdullah bin al-Jarrah bin Hilal bin Uhaib bin Dhabbah bin al-Harith bin Fihr bin Malik bin al-Nadhr bin Kinanah bin Khuzaimah bin Mudrikah bin Ilyas bin Mudhar bin Nizar bin Ma‘ad bin ‘Adnan al-Qurasyi al-Fihri al-Makki. Beliau termasuk salah seorang al-Sabiqun al-Awwalun (orang-orang yang terdahulu — yang mula-mula berhijrah dan memberi bantuan), dan merupakan orang yang diinginkan oleh al-Siddiq untuk mengambil alih pemerintahan khalifah dan Abu Bakar al-Siddiq telah menunjuk kepada beliau pada hari peristiwa al-Saqifah disebabkan kelayakkannya yang cukup menurut Abu Bakar. Selain itu, beliau juga termasuk dalam kalangan orang yang dijanjikan syurga oleh Nabi SAW, dan nasab beliau bertemu dengan nasab Baginda SAW pada Fihr. (Lihat Siyar A‘lam al-Nubala’, 1/5-6).
Nabi SAW memuji keperibadiannya sepertimana dicatatkan dalam sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Anas R.A, Baginda bersabda:
لِكُلِّ أُمَّةٍ أَمِينٌ وَأَمِينُ هَذِهِ الْأُمَّةِ أَبُو عُبَيْدَةَ بْنُ الْجَرَّاحِ
Maksudnya: “Setiap umat mempunyai orang kepercayaan, dan orang kepercayaan umat ini ialah Abu ‘Ubaidah bin al-Jarrah.”
Riwayat al-Bukhari (4382)
Abdullah bin Umar R.Anhuma berkata: “Tiga lelaki Quraisy yang paling berseri wajahnya, paling baik akhlaknya dan paling teguh sifat malunya; jika mereka berkata kepadamu, mereka tidak berdusta. Jika kamu berkata kepada mereka, mereka tidak akan mendustakannya. Mereka ialah Abu Bakar, Uthman bin ‘Affan dan Abu ‘Ubaidah bin al-Jarrah.” (Lihat Hilyat al-Auliya’, 1/56).
Menurut satu riwayat, Saidina Umar berkata ketika menjelang kewafatannya:
لَوْ كَانَ أَبُو عُبَيْدَةَ بْنُ الْجَرَّاحِ حَيًّا اسْتَخْلَفْتُهُ، فَإِنْ سَأَلَنِي رَبِّي قُلْتُ: سَمِعْتُ نَبِيَّكَ يَقُولُ: إِنَّهُ أَمِينُ هَذِهِ الأُمَّةُ
Maksudnya: “Jika Abu Ubaidah masih hidup hari ini, aku akan mengangkatnya sebagai Khalifah. Kemudian jika Tuhanku bertanya kepadaku (mengapa dia yang diangkat), aku akan menjawab: ‘Wahai Tuhan, aku telah mendengar daripada Nabi-Mu (SAW) bahawa Abu ‘Ubaidah adalah orang terpercaya daripada kalangan umat ini.’” (Lihat Tarikh al-Umam wa al-Muluk, 2/580).
Dr. Abd al-Rahman Ra’fat al-Basha dalam bukunya Suwarun min Hayat al-Sahabah menyebut:
Abu ‘Ubaidah merupakan seorang yang tenang, berwibawa, kurus, mempunyai bulu kening yang nipis dan tinggi. Beliau juga seorang yang peramah dan rendah hati tapi tegas dan berani dalam situasi serius.
Abu ‘Ubaidah termasuk dalam kalangan sahabat yang awal memeluk agama Islam iaitu sehari selepas pengislaman Abu Bakar. Ia selepas daripada dakwah Abu Bakar R.A kepada beliau. Abu Bakar mengajak Abu ‘Ubaidah, ‘Abd al-Rahman bin ‘Auf, Uthman bin Maz‘un dan al-Arqam bin Abu al-Arqam datang menemui Nabi SAW dan mereka semua memeluk Islam.
Setelah memeluk Islam pelbagai ujian dan kesedihan yang ditempuhi oleh beliau tetapi ujian yang paling berat adalah ketika beliau turut serta dalam peperangan Badar. Daripada Abdullah bin Syauzab berkata:
جَعَلَ أَبُو أَبِي عُبَيْدَةَ يَتَصَدَّى لِأَبِي عُبَيْدَةَ يَوْمَ بَدْرٍ، فَجَعَلَ أَبُو عُبَيْدَةَ يَحِيدُ عَنْهُ، فَلَمَّا أَكْثَرَ، قَصَدَهُ أَبُو عُبَيْدَةَ فَقَتَلَهُ، فَأَنْزَلَ اللهُ عَزَّ وَجَلَّ فِيهِ هَذِهِ الْآيَةَ حِينَ قَتَلَ أَبَاهُ: {لَا تَجِدُ قَوْمًا يُؤْمِنُونَ بِاللهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ} [المجادلة: 22] إِلَى آخِرِ الْآيَةِ
Maksudnya: “Bapa kepada Abu ‘Ubaidah sentiasa mengejar anaknya dalam peperangan Badar, namun Abu ‘Ubaidah berusaha untuk mengelaknya. Ketika bapanya terus mengejarnya, Abu ‘Ubaidah pun menghadapinya lalu berjaya membunuhnya. Maka Allah SWT menurunkan ayat ini sehingga ke akhirnya ketika Abu ‘Ubaidah membunuh ayahnya: Firman Allah SWT dalam surah al-Mujadalah ayat 22:
لَّا تَجِدُ قَوْمًا يُؤْمِنُونَ بِاللَّـهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ يُوَادُّونَ مَنْ حَادَّ اللَّـهَ وَرَسُولَهُ وَلَوْ كَانُوا آبَاءَهُمْ أَوْ أَبْنَاءَهُمْ أَوْ إِخْوَانَهُمْ أَوْ عَشِيرَتَهُمْ ۚ أُولَـٰئِكَ كَتَبَ فِي قُلُوبِهِمُ الْإِيمَانَ وَأَيَّدَهُم بِرُوحٍ مِّنْهُ ۖ وَيُدْخِلُهُمْ جَنَّاتٍ تَجْرِي مِن تَحْتِهَا الْأَنْهَارُ خَالِدِينَ فِيهَا ۚ رَضِيَ اللَّـهُ عَنْهُمْ وَرَضُوا عَنْهُ ۚ أُولَـٰئِكَ حِزْبُ اللَّـهِ ۚ أَلَا إِنَّ حِزْبَ اللَّـهِ هُمُ الْمُفْلِحُونَ
Maksudnya: “Kamu tidak akan dapati sesuatu kaum yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, tergamak berkasih-mesra dengan orang-orang yang menentang (perintah) Allah dan Rasul-Nya. Sekalipun orang-orang yang menentang itu ialah bapa-bapa mereka, atau anak-anak mereka, atau saudara-saudara mereka, ataupun keluarga mereka. Mereka (yang setia) itu, Allah telah menetapkan iman dalam hati mereka dan telah menguatkan mereka dengan semangat pertolongan daripada-Nya dan Dia akan memasukkan mereka ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai. Mereka tetap kekal di dalamnya. Allah redha akan mereka dan mereka redha (serta bersyukur) akan nikmat pemberian-Nya. Merekalah penyokong-penyokong (agama) Allah. Ketahuilah! Sesungguhnya penyokong-penyokong (agama) Allah itu ialah orang-orang yang berjaya.”
Riwayat al-Tabarani dalam al-Mu‘jam al-Kabir (360)
Muhammad bin Jaafar menceritakan: Suatu hari, sebuah rombongan Nasrani datang kepada Nabi SAW dan mereka berkata: “Wahai Abu Qasim, utuslah kepada kami salah seorang sahabatmu yang engkau sukai untuk memutuskan sebuah perkara tentang harta kami yang membuat kami menjadi berselisih, kerana kalian wahai kaum Muslimin ialah orang-orang yang kami sukai.” Rasulullah SAW menjawab: “Datanglah kepadaku malam hari, nanti aku akan mengirimkan seseorang yang kuat dan terpercaya kepada kalian.” Umar bin Khattab berkata: “Maka aku pergi untuk mendirikan solat Zohor lebih awal, dan aku tidak pernah berharap mendapatkan jawatan pada hari itu kecuali aku hanya ingin menjadi orang yang dipilih untuk menyelesaikan perkara ini. Sebaik sahaja Rasulullah SAW selesai solat Zohor, Baginda menoleh dan melihat ke kanan dan ke kiri. Aku berusaha meninggikan badanku agar Rasullullah SAW melihatku. Tetapi Baginda SAW terus melihat di sekeliling sehingga melihat ke arah Abu ‘Ubaidah bin al-Jarrah. Nabi SAW terus memanggilnya dan bersabda: ‘Pergilah kepada mereka. Putuskanlah perkara yang tengah mereka perselisihkan dengan benar,’ dan akhirnya Abu ‘Ubaidah pergi ke tempat mereka.”
Abu ‘Ubaidah bukan sahaja amanah, akan tetapi beliau juga merupakan orang yang mampu menggabungkan kekuatan dengan amanah. Kekuatan yang dimilikinya ini sering kali muncul dalam banyak peristiwa. Di antaranya:
Suatu hari Rasulullah SAW mengutus sekelompok orang dari para sahabatnya untuk menghalang sebuah kafilah suku Quraisy. Rasulullah SAW melantik Abu ‘Ubaidah sebagai ketua. Rasulullah membekalkan mereka dengan sekantung kurma sahaja.
Abu ‘Ubaidah memberikan hanya satu kurma saja kepada setiap sahabatnya dalam sehari. Maka setiap orang menghisap kurma tersebut sebagaimana seorang bayi menghisap payudara ibunya, kemudian mereka meminum air. Kesemuanya merasa cukup dengan makanan seperti itu hingga malam hari.
Begitu juga dalam perang Uhud ketika tentera Muslimin mengalami kekalahan, kaum musyrikin mulai berteriak: “Tunjukkan kepadaku di mana Muhammad! Tunjukkan kepadaku di mana Muhammad! Ketika itu Abu ‘Ubaidah adalah antara sahabat yang melindungi Rasulullah SAW dengan dada mereka daripada serangan tombak musuh.
Apabila perang sudah tamat, didapati gigi geraham Rasulullah SAW pecah dan kening Baginda luka. Setibanya di samping Rasulullah SAW, Abu ‘Ubaidah mendapati bahawa pipi Rasulullah SAW telah cedera disebabkan tertembusnya dua rantai besi pelindung kepala yang dipakai Baginda SAW. Lalu, Abu Ubaidah pun berusaha untuk segera mencabut kedua rantai tersebut daripada pipi Rasulullah SAW. Beliau mencabut rantai besi tersebut dengan menggunakan giginya.
Ketika rantai pertama telah lepas dari pipi Baginda, pada waktu yang sama juga gigi Abu ‘Ubaidah pun turut tercabut. Namun beliau tetap tidak putus asa sehingga membuatkan beliau berusaha lagi untuk melepaskan rantai yang kedua itu. Beliau masih menggunakan giginya untuk mengeluarkannya. Sama seperti rantai pertama, ketika rantai terakhir itu keluar, pada waktu yang sama gigi Abu ‘Ubaidah pun tercabut dari gusinya untuk kedua kalinya dan membuatkan gigi depannya rongak.
Abu ‘Ubaidah merupakan sahabat yang sentiasa turut serta bersama Rasulullah SAW dalam semua peperangan sejak beliau mengenal Rasullullah SAW hingga Baginda wafat.
Dalam peristiwa Thaqifah, Umar R.A berkata kepada Abu ‘Ubaidah: “Berikan tanganmu agar dapat aku berbai‘ah kepadamu kerana aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: ‘Setiap umat memiliki seorang yang dipercayai (Amin), dan engkau adalah Amin umat ini.” Abu ‘Ubaidah menjawab: “Aku tidak akan mendahului seorang lelaki yang diperintahkan Rasulullah SAW untuk menjadi imam kita dalam solat, dan kita mempercayainya sehingga Rasulullah SAW wafat.” Kemudian Abu Bakar pun dibai‘ah, dan Abu ‘Ubaidah adalah penasihat serta kawan Abu Bakar yang terbaik dalam urusan umat Islam. Kemudian Abu Bakar menyerahkan khilafah setelahnya kepada Umar bin al-Khattab. Abu ‘Ubaidah juga tunduk dan taat kepada Umar. Beliau tidak pernah melanggar perintah Umar kecuali satu kali saja iaitu sebelum kewafatan beliau. Pada suatu ketika wilayah Syam sedang dilanda wabak penyakit Taun ‘Amwas. Beliau sempat dipanggil balik ke Makkah oleh Amirul Mukminin Umar bin al-Khattab, namun beliau menolak panggilan tersebut kerana ingin bersama dengan pasukan Muslimin yang berada di Syam bersamanya. Akhirnya beliau wafat disebabkan penyakit taun yang tersebar luas di negeri Syam.
Al-Waqidi berkata: Abu ‘Ubaidah bin al-Jarrah meninggal dunia disebabkan oleh Taun ‘Amwas di Syam pada tahun 18 Hijrah. Uthman bin ‘Ata’ daripada bapanya menyatakan bahawa dikuburkan Abu ‘Ubaidah di Bisan. Begitu juga Sa‘id bin ‘Abd al-‘Aziz berkata: Abu ‘Ubaidah bin al-Jarrah meninggal dunia di Urdun (satu wilayah di Syam) dan beliau disolatkan oleh Muaz bin Jabal.
Sebelum wafat, beliau sempat berpesan kepada tenteranya: “Dirikanlah solat, tunaikanlah zakat yang menjadi kewajipan, berpuasalah di bulan Ramadhan, bersedekahlah dengan harta kamu, tunaikanlah ibadah haji dan umrah serta janganlah lupa untuk saling menasihati sesama kamu. Berikanlah nasihat yang baik kepada pemimpin kamu dan jangan pernah berbohong serta jangan pernah tertipu dengan kekayaan dunia. Sesungguhnya Allah SWT telah menetapkan ajal bagi setiap manusia, oleh sebab itu seluruh manusia pasti akan mati. Orang yang beruntung adalah mereka yang paling taat kepada Allah SWT dan mempunyai banyak bekalan untuk dibawa ke akhirat.”
Selepas beliau mengakhiri pesannya itu, Muaz bin Jabal R.A berucap di hadapan orang ramai: “Wahai seluruh kaum Muslimin! Kamu sudah dikejutkan dengan berita kewafatan seorang pahlawan yang demi Allah SWT aku tidak menemukan ada orang yang lebih baik hatinya, memiliki pandangan yang jauh, lebih mencintai hari akhirat dan suka memberikan nasihat kepada orang ramai. Oleh kerana itu, kasihanilah beliau dan semoga kamu juga akan dikasihi Allah SWT.” (Lihat juga al-Isabah, 2/252; al-Isti‘ab, 3/2; Hilyah al-Auliya’, 1/100 dan Sifah al-Safwah, 1/142; Siyar al-Salaf al-Salihin, 1/262).