Beliau ialah Asma’ binti Abdullah bin Uthman bin ‘Amr bin Ka‘ab bin Sa‘ad bin Taim al-Taimiyyah al-Qurasyiyyah. Beliau ialah anak kepada Abu Bakar al-Siddiq dan ibu kepada Abdullah bin al-Zubair bin al-‘Awwam. Ibunya bernama Qatlah — dalam sesetengah naskhah disebut “Qailah” — atau Qutailah binti ‘Abd al-‘Uzza al-Qurasyiyyah daripada Bani ‘Amir bin Lu’ai. Umur Asma’ adalah lebih tua daripada Aisyah lebih daripada sepuluh tahun.
Beliau masuk Islam ketika berada di Makkah. Ibn Ishaq berpendapat, iaitu selepas dirinya berusia 17 tahun. Beliau dikahwini oleh al-Zubair bin al-‘Awwam. Beliau juga ada meriwayatkan hadith, dan di antara mereka yang meriwayatkan hadith daripadanya ialah anaknya iaitu Abdullah dan ‘Urwah, cucunya iaitu Abdullah bin ‘Urwah, cucu kepada cucunya iaitu ‘Abbad bin Abdullah, Ibn Abbas, Abu Waqid al-Laithi, Safiyyah binti Syaibah, Muhammad bin al-Munkadir, Wahb bin Kaisan, Abu Nufail Mu‘awiyah bin Abu ‘Aqrab, al-Muttalib bin Abdullah bin Hantab, Fatimah binti al-Munzir bin al-Zubair dan maulanya iaitu Abdullah bin Kaisan, serta ramai lagi.
Beliau juga berhijrah ke Madinah dalam keadaan mengandungkan anaknya, Abdullah dan melahirkannya di Quba’. Beliau hidup sehingga anaknya menjadi khalifah dan dibunuh, kemudian beliau meninggal dunia tidak lama selepas itu. Beliau diberi gelaran Zat al-Nitaqain. Beliau digelar sedemikan pada tahun peristiwa Hijrah, bila mana beliau mengoyakkan lilitan tali pinggangnya, lalu mengikatnya pada hidangan (bekalan) Nabi SAW dan Abu Bakar al-Siddiq ketika mereka keluar ke Gua Thaur untuk berhijrah ke Madinah. (Lihat al-Isabah fi Tamyiz al-Sahabah, 8/12-13; al-Bidayah wa al-Nihayah, 12/223; Siyar A‘lam al-Nubala’, 2/288).
Terdapat riwayat daripada Asma’ R.Anha sendiri, katanya:
صَنَعْتُ سُفْرَةً لِلنَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَأَبِي بَكْرٍ، حِينَ أَرَادَا المَدِينَةَ، فَقُلْتُ لِأَبِي: مَا أَجِدُ شَيْئًا أَرْبِطُهُ إِلَّا نِطَاقِي، قَالَ: فَشُقِّيهِ فَفَعَلْتُ فَسُمِّيتُ ذَاتَ النِّطَاقَيْنِ. قَالَ ابْنُ عَبَّاسٍ: أَسْمَاءُ ذَاتَ النِّطَاقِ
Maksudnya: “Aku membuat (menyediakan) bekalan perjalanan untuk Nabi SAW dan Abu Bakar R.A ketika mereka berdua hendak (hijrah) ke Madinah. Aku berkata kepada bapaku: ‘Aku tidak mendapati sesuatu untuk mengikatnya (bekalan) selain daripada tali pengikat pinggangku.’ Abu Bakar berkata: ‘Koyakkanlah ia (tali tersebut).’ Aku pun melakukannya (seperti yang disuruh), maka (disebabkan itu) aku dinamakan Zat al-Nitaqain (pemilik dua pengikat pinggang).” Ibn Abbas berkata: “(Gelaran) Asma’ ialah Zat al-Nitaq.”
Riwayat al-Bukhari (3907)
Begitu juga dalam riwayat lain, riwayat daripada Wahb bin Kaisan, katanya:
كَانَ أَهْلُ الشَّأْمِ يُعَيِّرُونَ ابْنَ الزُّبَيْرِ. يَقُولُونَ: يَا ابْنَ ذَاتِ النِّطَاقَيْنِ. فَقَالَتْ لَهُ أَسْمَاءُ: يَا بُنَيَّ إِنَّهُمْ يُعَيِّرُونَكَ بِالنِّطَاقَيْنِ، هَلْ تَدْرِي مَا كَانَ النِّطَاقَانِ؟ إِنَّمَا كَانَ نِطَاقِي شَقَقْتُهُ نِصْفَيْنِ. فَأَوْكَيْتُ قِرْبَةَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِأَحَدِهِمَا، وَجَعَلْتُ فِي سُفْرَتِهِ آخَرَ. قَالَ: فَكَانَ أَهْلُ الشَّأْمِ إِذَا عَيَّرُوهُ بِالنِّطَاقَيْنِ، يَقُولُ: إِيهًا وَالإِلَهِ تِلْكَ شَكَاةٌ ظَاهِرٌ عَنْكَ عَارُهَا.
Maksudnya: “Penduduk Syam dahulu selalu mengejek Ibn al-Zubair. Mereka berkata: ‘Wahai anak pemilik dua ikat pinggang.’ Maka Asma’ berkata kepadanya: ‘Wahai anakku, mereka mengejekmu dengan sebab dua ikat pinggang, dan tahukah kamu apakah itu dua ikat pinggang? Ia tidak lain merupakan tali ikat pinggangku yang aku belah menjadi dua bahagian. Lalu aku mengikat (mulut) bekas minuman Rasulullah SAW dengan salah satunya dan yang lainnya aku ikatkan pada sufrahnya.’” Dia (Wahb bin Kaisan) berkata: “Maka jika penduduk Syam mengejeknya dengan sebab dua ikat pinggang, maka beliau berkata: ‘Ya benarlah, demi Tuhan, ejekan (dengan suara yang kuat) itu, menghilangkan keaibannya daripada engkau.’”
Riwayat al-Bukhari (5388)
Beliau juga merupakan salah seorang dalam kalangan al-Sabiqun al-Awwalun (orang-orang yang terdahulu — yang mula-mula berhijrah dan memberi bantuan). Allah SWT berfirman:
وَالسَّابِقُونَ السَّابِقُونَ أُوْلَئِكَ الْمُقَرَّبُونَ
Maksudnya: “Dan (puak yang ketiga pula ialah) orang-orang yang telah mendahului (dalam mengerjakan kebaikan di dunia), — yang akan mendahului (mencapai balasan yang sebaik-baiknya di akhirat kelak); Mereka itulah orang-orang yang didampingkan (di sisi Allah).”
(Surah al-Waqi‘ah 10-11)
Demikianlah juga firman Allah SWT:
لَا يَسْتَوِي مِنكُم مَّنْ أَنفَقَ مِن قَبْلِ الْفَتْحِ وَقَاتَلَ ۚ أُولَٰئِكَ أَعْظَمُ دَرَجَةً مِّنَ الَّذِينَ أَنفَقُوا مِن بَعْدُ وَقَاتَلُوا ۚ وَكُلًّا وَعَدَ اللَّهُ الْحُسْنَىٰ ۚ وَاللَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ خَبِيرٌ
Maksudnya: “Tidaklah sama di antara kamu, orang-orang yang membelanjakan hartanya serta turut berperang sebelum kemenangan (Nabi menguasai Makkah). Mereka itu lebih besar darjatnya daripada orang-orang yang membelanjakan hartanya serta turut berperang sesudah itu. Dan tiap-tiap satu puak dari keduanya, Allah janjikan (balasan) yang sebaik-baiknya. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendalam PengetahuanNya akan apa yang kamu kerjakan.”
(Surah al-Hadid: 10)
Kami tidak menjumpai mana-mana hadith yang secara khusus menyatakan bahawa beliau diberi khabar gembira syurga, kecuali riwayat daripada al-Zubair bin Bakkar, katanya: “Asma’ dipanggil Zat al-Nitaqain kerana apabila Rasulullah SAW dan Abu Bakar al-Siddiq sedang bersiap untuk berangkat ke Madinah (dalam peristiwa Hijrah), Abdullah bin Abu Bakar datang kepada mereka di dalam gua pada waktu malam dengan membawa makanan mereka iaitu bekalan untuk perjalanan. Tidak ada apa-apa untuk mengikat (bekalan tersebut), maka Asma’ mengoyakkan ikat pinggangnya menjadi dua dan mengikat bekalan itu dengannya. Maka Rasulullah SAW bersabda: ‘Allah akan menggantikan tali pinggangmu ini dengan dua tali pinggang di syurga.’ Oleh sebab itu, beliau dipanggil sebagai Zat al-Nitaqain.” (Lihat Tarikh Dimasyq, 6/69; al-Isti‘ab oleh Ibn ‘Abd al-Bar, 4/1782; al-Isabah fi Tamyiz al-Sahabah, 7/487; Tahzib al-Kamal fi Asma’ al-Rijal, 35/124).
Menurut Hisyam bin ‘Urwah daripada bapanya, usia Asma’ mencecah 100 tahun. Pada usia yang begitu lanjut itu, tidak ada satu pun giginya yang patah dan akalnya juga masih sangat sihat. Abu Nu‘aim al-Asbahani berpendapat, beliau dilahirkan 27 tahun sebelum HIjrah dan hidup sehingga awal 24 Hijrah. Dikatakan, beliau hidup selepas kewafatan anaknya semalam 20 hari, dan ada juga yang berpendapat selain daripada itu. (Lihat al-Isabah fi Tamyiz al-Sahabah, 8/14)
Ibn Kathir menukilkan dalam kitabnya bahawa beliau sempat hidup pada tahun anaknya dibunuh, dan kemudiannya beliau meninggal dunia lima hari selepas peristiwa pembunuhan itu. Ada yang berpendapat, selepas sepuluh hari. Ada juga yang berpendapat, selepas 20 hari, dan ada juga pendapat lain menyatakan, selepas 20 hari lebih. Selain itu, terdapat juga pendapat yang menyatakan, beliau hidup selepas peristiwa pembunuhan itu selama 100 hari, dan ini merupakan pendapat yang masyhur. Usianya juga mencecah 100 tahun, idak ada satu pun giginya yang patah dan akalnya juga masih sangat sihat. (Lihat al-Bidayah wa al-Nihayah, 12/224)
Menurut Ibn Sa‘ad, beliau meninggal dunia beberapa malam selepas kematian anaknya, dan pembunuhan anaknya itu berlaku pada 17 Jamadil Awwal, tahun 73 Hijrah. Al-Zahabi berpendapat, beliau adalah sahabat terakhir yang meninggal dunia dalam kalangan Muhajirin dan Muhajirat. (Lihat Siyar A‘lam al-Nubala’, 2/295-296).