Beliau ialah Hafsah binti Amirul Mukminin Abu Hafs Umar bin al-Khattab. Ibu beliau ialah Zainab binti Maz‘un. Beliau adalah adik-beradik kandung kepada Abdullah bin Umar. Hafsah R.Anha dilahirkan pada 5 tahun sebelum kenabian. Selain daripada itu, Hafsah R.Anha juga termasuk salah seorang yang berhijrah ke Madinah. Sebelum berkahwin dengan Rasulullah SAW, beliau sudah pun berkahwin dengan Khunais bin Huzafah al-Sahmi, yang merupakan salah seorang ahli Badar serta salah seorang dalam kalangan Muhajirin dan meninggal dunia di Madinah. Rasulullah SAW berkahwin dengan Hafsah selepas tamat iddahnya pada tahun 3 Hijrah. Menurut Ibn Sa‘ad, Rasulullah SAW menikahi Hafsah R.Anha pada bulan Syaaban, 30 bulan dari tarikh Hijrah dan dua bulan sebelum peperangan Uhud. (Lihat al-Isti‘ab fi Ma‘rifah al-Ashab, 4/1811; Siyar A‘lam al-Nubala’, 2/227; al-Isabah fi Tamyiz al-Sahabah, 8/85; al-Tabaqat al-Kubra, 10/206).

Di antara kelebihan Hafsah binti Umar R.Anhuma adalah Rasulullah SAW sendiri yang meminangnya sebelum berkahwin. Hal ini kerana Umar R.A pernah menawarkan anaknya untuk dikahwini kepada beberapa orang sahabat, tetapi mereka tidak menerima tawaran tersebut sebagai penghormatan kerana mengetahui  bahawa Rasulullah SAW ingin meminang dan berkahwin dengannya. Perkara ini ada diceritakan dalam sahih al-Bukhari menerusi riwayat daripada Abdullah bin Umar R.Anhuma:

أَنَّ عُمَرَ بْنَ الخَطَّابِ، حِينَ تَأَيَّمَتْ حَفْصَةُ بِنْتُ عُمَرَ مِنْ خُنَيْسِ بْنِ حُذَافَةَ السَّهْمِيِّ، وَكَانَ مِنْ أَصْحَابِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَدْ شَهِدَ بَدْرًا، تُوُفِّيَ بِالْمَدِينَةِ، قَالَ عُمَرُ: فَلَقِيتُ عُثْمَانَ بْنَ عَفَّانَ، فَعَرَضْتُ عَلَيْهِ حَفْصَةَ، فَقُلْتُ: إِنْ شِئْتَ أَنْكَحْتُكَ حَفْصَةَ بِنْتَ عُمَرَ، قَالَ: سَأَنْظُرُ فِي أَمْرِي، فَلَبِثْتُ لَيَالِيَ، فَقَالَ: قَدْ بَدَا لِي أَنْ لاَ أَتَزَوَّجَ يَوْمِي هَذَا.قَالَ عُمَرُ: فَلَقِيتُ أَبَا بَكْرٍ، فَقُلْتُ: إِنْ شِئْتَ أَنْكَحْتُكَ حَفْصَةَ بِنْتَ عُمَرَ، فَصَمَتَ أَبُو بَكْرٍ فَلَمْ يَرْجِعْ إِلَيَّ شَيْئًا، فَكُنْتُ عَلَيْهِ أَوْجَدَ مِنِّي عَلَى عُثْمَانَ، فَلَبِثْتُ لَيَالِيَ ثُمَّ خَطَبَهَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَأَنْكَحْتُهَا إِيَّاهُ فَلَقِيَنِي أَبُو بَكْرٍ فَقَالَ: لَعَلَّكَ وَجَدْتَ عَلَيَّ حِينَ عَرَضْتَ عَلَيَّ حَفْصَةَ فَلَمْ أَرْجِعْ إِلَيْكَ؟ قُلْتُ: نَعَمْ، قَالَ: فَإِنَّهُ لَمْ يَمْنَعْنِي أَنْ أَرْجِعَ إِلَيْكَ فِيمَا عَرَضْتَ، إِلَّا أَنِّي قَدْ عَلِمْتُ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَدْ ذَكَرَهَا، فَلَمْ أَكُنْ لِأُفْشِيَ سِرَّ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، وَلَوْ تَرَكَهَا لَقَبِلْتُهَا.

Maksudnya:Umar bin al-Khattab ketika Hafsah binti Umar menjadi janda sepeninggalan Khunais bin Huzafah al-Sahmi – dia termasuk sahabat Rasulullah SAW yang menyertai perang Badar yang wafat di Madinah – lalu Umar berkata: ‘Aku bertemu dengan Uthman bin ‘Affan dan menawarkan Hafsah kepadanya, aku berkata: ‘Jika engkau mahu, aku nikahkan engkau dengan Hafsah binti Umar.’ Dia menjawab: ‘Aku akan fikirkan dahulu.’ Aku menunggu beberapa malam, lalu Uthman memberi jawapan: ‘Aku membuat keputusan untuk tidak berkahwin pada waktu sekarang.’’ Umar berkata: ‘Lalu aku menemui Abu Bakar dan berkata pula: ‘Jika engkau mahu, engkau aku nikahkan dengan Hafsah binti Umar.’ Abu Bakar diam tanpa menjawab pertanyaanku sedikitpun. Maka dia lebih membuatku marah daripada Uthman. Aku pun menunggu selama beberapa malam, kemudian Hafsah dipinang oleh Rasulullah SAW dan aku menikahkannya dengan Baginda. Abu Bakar bertemu denganku dan berkata: ‘Barangkali engkau merasa marah ketika menawarkan Hafsah padaku dan aku tidak memberi jawapan padamu.’ Aku berkata: ‘Benar!’ Abu Bakar berkata: ‘Sesungguhnya tiada apa yang menghalangku untuk menerima apa yang engkau tawarkan kepadaku, kecuali aku telah mengetahui Rasulullah SAW bercakap tentang Hafsah, maka aku tidak mahu menyebarkan rahsia Rasulullah SAW. Sekiranya Baginda SAW meninggalkannya, nescaya aku akan menerimanya.’’

Riwayat al-Bukhari (4005)

Selain daripada itu juga, Hafsah merupakan seorang yang banyak berpuasa dan mendirikan solat malam (Qiamullail). Begitu juga beliau termasuk dalam kalangan isteri Baginda di dalam syurga kelak. Hal ini adalah sebagaimana riwayat daripada Anas R.A:

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ طَلَّقَ حَفْصَةَ، فَأَتَاهُ جِبْرِيلُ عَلَيْهِ الصَّلَاةُ وَالسَّلَامُ، فَقَالَ: يَا مُحَمَّدُ، طَلَّقْتَ حَفْصَةَ وَهِيَ صَوَّامَةٌ قَوَّامَةٌ، وَهِيَ زَوْجَتُكَ فِي الْجَنَّةِ، فَرَاجِعْهَا 

Maksudnya: Nabi SAW menceraikan Hafsah. Lalu Jibril A.S datang bertemu Baginda dan berkata: ‘Wahai Muhammad, engkau menceraikan Hafsah sedangkan dia banyak berpuasa dan banyak solat malam. Begitu juga dia adalah isterimu di dalam syurga kelak. Maka, rujuklah Hafsah semula.

Riwayat al-Hakim (6754); Imam al-Zahabi dalam al-Talkhis tidak memberikan apa-apa komentar berkenaan riwayat ini; Syeikh Syu‘aib al-Arna’ut dalam Takhrij Siyar A‘lam al-Nubala’ (2/228) menilainya sebagai sahih, manakala dalam (2/231) beliau menyatakan, Qais bin Zaid adalah seorang tabi‘in saghir yang tidak dikenali (majhul) dan perawinya yang lain adalah thiqah; al-Albani dalam Sahih al-Jami‘ (4351) menilainya sebagai hasan; al-Suyuti dalam al-Jami‘ al-Saghir (6061) menilainya sebagai sahih.

Terdapat riwayat daripada Abdullah bin Umar R.Anhuma bahawa:

دخَل عمرُ على حفصةَ وهي تبكي فقال: ما يُبكيكِ؟ لعلَّ رسولَ اللهِ ﷺ طلَّقكِ؟ ! إنّه قد كان طلَّقكِ ثمَّ راجَعكِ مِن أجلي فايْمُ اللهِ لئنْ كان طلَّقكِ لا كلَّمْتُك كلمةً أبدًا

Maksudnya: Umar masuk menemui Hafsah yang ketika itu sedang menangis, lalu bertanya: ‘Apa yang membuatmu menangis? Mungkin Rasulullah SAW menceraikanmu? Sesungguhnya Baginda pernah menceraikanmu, kemudian Baginda merujukmu kembali keranaku. Demi Allah, jika Baginda menceraikanmu lagi, maka aku tidak akan bercakap denganmu buat selama-lamanya.’

Riwayat Ibn HIbban (4276); Syeikh Syu‘aib al-Arna’ut dalam Takhrij Sahih Ibn Hibban (4276) dan Takhrij al-Musnad (25/272) menyatakan sanadnya adalah baik (jayyid).

Hafsah R.Anha meninggal dunia pada bulan Jamadi al-Ula tahun 41 Hijrah. Ada pendapat lain menyatakan, beliau meninggal dunia pada tahun 45 Hijrah. (Lihat al-Isabah fi Tamyiz al-Sahabah, 8/87; al-Isti‘ab fi Ma‘rifah al-Ashab, 4/1812).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *