Mukadimah

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Saya mulakan dengan firman Allah SWT:

وَمَا تَأْتِيهِم مِّنْ آيَةٍ مِّنْ آيَاتِ رَبِّهِمْ إِلَّا كَانُوا عَنْهَا مُعْرِضِينَ ‎

Maksudnya: “Dan (itulah tabiat mereka) tidak ada sesuatu keterangan yang sampai kepada mereka dari keterangan-keterangan tuhan mereka melainkan mereka selalu berpaling daripadanya (enggan menerimanya).”

(Surah Yasin: 46)

Menurut al-Tabari, maksud ayat ini adalah, tidaklah suatu tanda datang kepada orang-orang musyrik itu, iaitu salah satu hujah Allah, salah satu tanda tentang hakikat tauhid-Nya dan membenarkan Rasul-Nya, kecuali mereka pasti berpaling darinya, tidak memikirkannya dan tidak merenungkannya. (Lihat Jami’ al-Bayan, 19/449)

Pada 21 Januari 2023 lalu, ahli politik pelampau kanan Sweden Denmark, Rasmus Paludan telah membakar al-Quran di khalayak ramai, bahkan perbuatan terkutuk itu dilakukan di hadapan kedutaan Turki yang dikawal ketat oleh pasukan polis. Entah apa tujuannya, Allah SWT sahaja yang tahu. 

Sesungguhnya peristiwa terbaru berkaitan ‘bakar al-Quran’ di Sweden jelas menggambarkan sikap Islamophobia yang masih menebal. Kami ingin menzahirkan kekesalan dan kekecewaan yang amat mendalam serta ini juga jelas bertentangan dengan sifat hormat-menghormati kepada pegangan dan anutan kepercayaan seseorang. 

Kronologi Isu Bakar al-Quran

Kronologi peristiwa ini adalah seperti berikut:

  • Pada tahun 2017, Rasmus Paludan mula mendapat perhatian apabila dia mula membuat video YouTube anti-Muslim. Paludan menyatakan bahawa tindakannya adalah salah satu bentuk hak kebebasan bersuaranya.
  • Pada Sabtu yang lalu (21 Januari 2023), Paludan telah membakar senaskhah al-Quran dengan menggunakan pemetik api selepas mendapat kebenaran daripada pihak berkuasa Sweden dalam protesnya dan lebih 100 orang pengikutnya di hadapan Kedutaan Turki di Stockholm, Sweden.
  • Tindakan pihak polis Sweden yang membenarkan Paludan melakukan protes itu menyebabkan kerajaan Turki membatalkan lawatan menteri pertahanannya, Pal Jonson dan memanggil duta Sweden ke Ankara berhubung kejadian membakar al-Quran tersebut.
  • Ini secara langsung menjejaskan lagi hubungan ketika Stockholm cuba menyakinkan anggota NATO, Turki untuk meluluskan Sweden dan Finland menyertai pakatan tentera NATO.
  • Satu demonstrasi besar-besaran telah dilakukan oleh penduduk Turki yang mungkin jumlahnya ratusan ribu sebagai protes atas tindakan pihak Stockholm dalam isu pembakaran al-Quran.

Respon dan Tindak Balas Negara dan Pemimpin Umat Islam

Tindakan Paludan membakar al-Quran ini bukan sahaja menjejaskan hubungan Sweden dan kerajaan Turki malah mengguris dan menyakiti jutaan umat Islam seluruh dunia. Antara negara-negara yang telah mengutuk dan mencela perbuatan keji ini ialah:

  • Arab Saudi yang telah mengecam tindakan pihak berkuasa Sweden kerana membenarkan ahli politik sayap kanan itu membakar al-Quran.
  • Emiriah Arab Bersatu (UAE) telah mengutuk perbuatan keji itu dan berkata bahwa ia dengan tegas mempertahankan prinsip “penolakannya terhadap semua amalan yang bertujuan menjejaskan keselamatan dan kestabilan yang bertentangan dengan nilai dan prinsip manusia dan moral.”
  • Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) juga mengecam tindakan provokatif itu yang “mensasarkan umat Islam, menghina nilai-nilai suci mereka, dan menjadi contoh membimbangkan mengenai Islamophobia” dan meminta Sweden untuk menghukum mereka yang berada di belakang jenayah kebencian.
  • Mesir melalui Kementerian Luarnya yang mengeluarkan kenyataan yang berkata, “perbuatan memalukan itu (membakar al-Quran) membangkitkan kemarahan ratusan juta umat Islam di seluruh dunia.”
  • Kementerian Luar Qatar mengecam kebenaran untuk membakar al-Quran di Sweden itu dengan berkata, “Kejadian kejam ini adalah satu tindakan menghasut dan provokasi serius terhadap perasaan lebih dua bilion umat Islam di dunia,”
  • Negara Oman turut menberi kenyataan bahawa, “tindakan provokasi terhadap perasaan umat Islam dan hasutan untuk keganasan dan kebencian, oleh pelampau di Sweden.”
  • Iran “menamakan pembakaran al-Quran sebagai cubaan untuk mencetuskan kebencian dan keganasan terhadap umat Islam.”
  • Syeikh Salem Abdullah Al-Jaber Al-Sabah, Menteri Luar Kuwait, mengecam pembakaran al-Quran, berkata insiden itu “mencederakan sentimen umat Islam di seluruh dunia dan menandakan provokasi yang serius.”
  • Jordan turut mengecam perbuatan itu dan menegaskan “penolakan kerajaan terhadap tindakan ini yang menyemarakkan kebencian.”
  • Tehran menyuarakan rasa dukacita dan kecamannya yang mengatakan kebenaran bagi tindakan keji itu dengan alasan kebebasan bersuara adalah “membenarkan unsur-unsur ekstremis dan radikal menyebarkan kebencian terhadap kesucian serta nilai Islam.”
  • Kerajaan Maghribi pula memberi ancaman terhadap perbuatan itu dengan berkata, “Perbuatan penuh kebencian ini menyinggung perasaan lebih satu bilion umat Islam, boleh menyemarakkan kemarahan dan kebencian antara agama dan rakyat.”
  • Negara Oman pula mengecam tindakan itu dan menyatakan keperluan untuk menyebarkan budaya keamanan dan penerimaan lain, sambil menambah bahawa “mengutuk ekstremisme adalah tanggungjawab bersama.”
  • Pakistan mensifatkan peritiwa itu sebagai tindakan Islamofobia yang tidak masuk akal dan provokatif yang menyakiti sensitiviti agama lebih 1.5 bilion umat Islam di seluruh dunia. Ia turut menyatakan bahawa tindakan sedemikian “tidak dilindungi di bawah sebarang ungkapan yang sah mengenai hak kebebasan bersuara atau pendapat, yang menjadi tanggungjawab di bawah undang-undang hak asasi manusia antarabangsa, seperti kewajipan untuk tidak mengucapkan kata-kata kebencian dan menghasut orang ramai melakukan keganasan.”
  • Kementerian Luar Bangladesh pula mengecam “tindakan menghina nilai-nilai suci umat Islam di seluruh dunia dengan bertopengkan ‘kebebasan bersuara’.”
  • Kerajaan Taliban di Afghanistan juga dengan keras mengutuk pembakaran dan mencemarkan al-Quran serta menggesa kerajaan Sweden untuk menghukum pelakunya. Dalam satu kenyataan, kementerian itu turut menggesa Stockholm supaya tidak membenarkan mereka melakukan tindakan provokasi terhadap agama dan umat Islam pada masa akan datang.
  • Perbuatan pembakaran al-Quran di Sweden ini turut mendapat kecaman daripada kerajaan Azerbaijan.

Akibat daripada kecaman dan kutukan keras dari seluruh dunia, Perdana Menteri Sweden, Ulf Kristersson mengeluarkan kenyataan yang mengatakan Sweden turut mengutuk tindakan pihak yang membakar senaskah al-Quran di Stockholm, Sabtu lalu.

Erti Sebenar Kebebasan Bersuara

Kebebasan bersuara bukan bererti seseorang itu bebas menyuarakan apa sahaja sehingga melanggar sempadan maruah, agama, bangsa, bahasa, warna kulit, pekerjaan, kehidupan dan lain-lain. Ini amat perlu difahami dan toleransi yang perlu dihormati. Menidakkan kepada pegangan satu-satu umat dengan tindakan seperti membakar kitab pegangan mereka adalah menyanggahi erti sebenar kebebasan bersuara. Ini yang disepakati oleh seluruh dan sejagat umat manusia di alam ini. Allah SWT menciptakan kita dengan kepelbagaian untuk saling menghormati, bertaaruf dan hidup dengan saling lengkap-melengkapi antara satu sama lain. Firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُم مِّن ذَكَرٍ وَأُنثَىٰ وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا

Maksudnya: “Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu daripada lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain).”

Surah al-Hujurat (13)

Ayat ini menjadi salah satu petunjuk dalam membina hubungan yang baik sesama insan atas muka bumi ini. Al-Zamakhsyari ketika mengulas ayat ini menyatakan bahawa manusia diciptakan daripada Adam dan Hawa, daripada seorang ibu dan seorang ayah serta tanpa wujud kelebihan antara satu mengatasi yang lain. Maka, tidak ada sebab untuk berbangga akan diri sendiri dan melebihkan diri sendiri dalam hal keturunan. (Lihat al-Kassyaf, 4/374)

Perdana Menteri Sweden, Ulf Kristersson juga telah menyifatkan perbuatan itu (dengan membakar mushaf al-Quran) adalah tindakan yang tidak wajar serta `tidak menghormati’ sehingga menimbulkan ketegangan dengan Turki ketika Ankara menyekat usaha negara Nordik itu untuk menyertai pakatan tentera Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO). Di dalam satu ciapannya, Kristersson memaklumkan kebebasan bersuara adalah sebahagian asas demokrasi namun bukan semua perkara yang sah semestinya sesuai dilakukan. “Tindakan membakar kitab suci umat Islam adalah perbuatan yang tidak menghormati. Saya menzahirkan rasa simpati kepada semua umat Islam yang tersinggung dengan kejadian yang berlaku di Stockholm.” 

Kami tegaskan bahawa peristiwa seperti ini tidak seharusnya dibiarkan berlaku tanpa bukti dan hujah yang kukuh atas perbuatannya. Sementelahan lagi hujahan bersifat dakwaan dan sangkaan bersandarkan kepada hak kebebasan bersuara. Al-Quran sama juga seperti Injil, Taurat dan Zabur adalah kitab-kitab Allah yang wajib kita imani dan yakini. 

Akibat Kejahilan

Boleh jadi dengan kejahilan yang menyebabkan mereka buta tentang al-Quran, sehingga tindakan yang amat tidak rasional keluar dari pemikiran yang sempit seperti ini. Maka, tidak peliklah pujangga ada menyatakan sesungguhnya musuh kamu yang terbesar ialah kejahilan diri kamu sendiri. 

Ramai orang terperangkap dalam pondok kejahilannya sendiri. Akhirnya, dia membinasakan dirinya, keluarganya, bahkan negaranya akibat tindakannya yang songsang dan terkutuk itu.

Sedangkan al-Quran bila mana kita menekuninya, kita akan dapati ia adalah kitab hidayah dan petunjuk kepada manusia dan orang yang bertaqwa. 

Saya nukilkan di sini beberapa tokoh ulama’ yang menggambarkan berkenaan al-Quran, antaranya:

  • Imam Muslim berkata, “Al-Quran adalah ubat segala penyakit kecuali maut. Semoga hendaknya Allah SWT mematikan kita di dalam iman dan menghembuskan nafas terakhir dengan bibir yang masih basah berkumat-kamit melafazkan ayat-ayat suci al-Quran.”
  • Abdul Qadir al-Jailani berkata, “Wahai kaumku, berlaku baiklah kepada al-Quran dengan beramal dengannya dan bukan dengan berdebat.”

Cukuplah dengan sabda Nabi SAW, daripada Abdullah bin Mas’ud R.A, Baginda SAW bersabda:

إِنَّ هَذَا الْقُرْآنَ مَأْدُبَةُ اللَّهِ؛ فَتَعَلَّمُوا مِنْ مَأْدُبَتِهِ مَا اسْتَطَعْتُمْ. إِنَّ هَذَا الْقُرْآنَ هُوَ حَبْلُ اللَّهِ، وَالنُّورُ الْمُبِينُ، وَالشِّفَاءُ النَّافِعُ، عِصْمَةُ مَنْ تَمَسَّكَ بِهِ، وَنَجَاةُ مَنْ تَبِعَهُ، لَا يَعْوَجُّ فَيُقَوَّمُ، وَلَا يَزِيغُ فَيُسْتَعْتَبُ، وَلَا تَنْقَضِي عَجَائِبُهُ، وَلَا يَخْلَقُ مِنْ كَثْرَةِ الرَّدِّ. فَاتْلُوهُ؛ فَإِنَّ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ يَأْجُرُكُمْ عَلَى تِلَاوَتِهِ بِكُلِّ حَرْفٍ عَشْرَ حَسَنَاتٍ، أَمَا إِنَّى لَا أَقُولُ لَكُمْ ((الم)) حَرْفٌ، وَلَكِنْ: أَلِفٌ حَرْفٌ، وَلَامٌ حَرْفٌ، وَمِيمٌ حَرْفٌ؛ ثَلَاثُونَ حَسَنَةً.

Maksudnya: “Sesungguhnya al-Quran ini adalah hidangan Allah. Maka hendaklah kalian mempelajari daripada hidangannya ini sedaya upaya kamu. Dan sesungguhnya al-Quran ini adalah tali Allah (cahaya yang menjadi petunjuk), dan cahaya yang terang, serta ubat yang memberikan manfaat. (Ia juga adalah) pengawal bagi orang yang berpegang dengannya dan penyelamat bagi yang mengikutinya. Sesiapa yang tersesat akan dipandunya dan sesiapa yang menyimpang akan dibetulkan. Keajaibannya tiada henti, keagungan dan kemanisan bacaannya tidak akan terjejas walau sekerap mana sekalipun ia diulang. Bacalah ia, kerana sesungguhnya Allah akan memberikan ganjaran pahala bagi kamu yang membacanya setiap satu huruf itu sepuluh pahala. Aku tidak menyatakan kepada kamu bahawa (الم) itu satu huruf, akan tetapi, Alif itu satu huruf, Lam itu satu huruf dan Mim itu satu huruf, (yang menjadikan kamu akan mendapat) tiga puluh ganjaran pahala.”

Riwayat al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Saghir (943); al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Kabir, 8646; Abd al-Razzaq dalam al-Musannaf (6017) dan al-Darimi dalam Musnadnya, (3358). Hadith dinyatakan sebagai dha’if (lemah) dalam Silsilah al-Da’ifah.

Inilah Mauqif Kami

Justeru, saya merasa terpanggil untuk memberi respon dan mauqif kami di dalam isu yang panas seperti ini.

  • Jangan kita bermain dengan api apatah lagi disimbah minyak padanya. Ini akan menyebabkan cepat terbakar bahkan menyemarakkan dengan pantas. Sejarah banyak kali terbukti, setiap kali berlaku penghinaan, akan ada tindakan di luar kawalan. Maka, ini sudah tentu, tidak menguntungkan semua pihak. 
  • Al-Quran tetap unggul dan terpelihara yang telah dijamin oleh Allah SWT, iaitu Tuhan manusia. Benarlah firman-Nya:

إِنَّا نَحْنُ نَزَّلْنَا الذِّكْرَ وَإِنَّا لَهُ لَحَافِظُونَ

Maksudnya: “Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan al-Quran, dan Kamilah yang memelihara dan menjaganya.”

(Surah al-Hijr: 9)

Ibn Kathir berkata: “Allah SWT menetapkan bahawa Allah lah yang menurunkan al-Zikr iaitu al-Quran. Dan Dialah juga yang memeliharanya daripada sebarang usaha untuk mengubah dan menggantinya.” (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 4/527)

Buatlah apa yang kamu mahu kepada al-Quran, sama ada membakar atau lain-lain, sikap kebejatan itu semua tidak akan membekas dan tetap al-Quran menjadi kitab rujukan, pedoman dan hidayah ummah yang unggul di sepanjang zaman. Itulah mukjizat al-Quran.

  • Memahami konsep toleransi serta menghormati kepercayaan masing-masing sepatutnya dijunjung tinggi. Tuhan mengajar kita: 

‏ لَكُمْ دِينُكُمْ وَلِيَ دِينِ

Maksudnya: “Bagi kamu agama kamu, dan bagiku agamaku.”

(Surah al-Kafirun: 6)

Ibn Kathir berkata: “Nabi SAW telah berkata kepada kaum kafir Quraisy: {لَكُمْ دِينُكُمْ وَلِيَ دِينِ} sepertimana dalam firman Allah SWT: ‘وَإِنْ كَذَّبُوكَ فَقُلْ لِي عَمَلِي وَلَكُمْ عَمَلُكُمْ أَنْتُمْ بَرِيئُونَ مِمَّا أَعْمَلُ وَأَنَا بَرِيءٌ مِمَّا تَعْمَلُونَ’ (Maksudnya: “Dan jika mereka mendustakanmu, maka katakanlah: Bagi aku amalanku, dan bagi kamu amalanmu. Kamu tidak bertanggungjawab atas apa yang aku kerjakan dan aku juga tidak bertanggungjawab atas apa yang kamu kerjakan.”) [Surah Yunus: 41] (Lihat Tafsir al-Qur’an al-‘Azim, 8/508)

Al-Zamakhsyari berkata: Maknanya adalah, sesungguhnya aku adalah seorang Nabi yang diutus kepada kamu semua untuk mengajak kamu kepada kebenaran dan keselamatan. Jika kamu tidak menerima ajakanku dan tidak mahu mengikutiku, tinggalkanlah aku dan jangan kamu mengajakku kepada kesyirikan. (Lihat al-Kassyaf, 4/809)

  • Al-Quran al-Karim yang menjadi kewajipan kepada kami umat Islam beriman dengannya dan termasuk salah satu dari rukun iman yang enam. Antara maksud beriman dengan al-Quran ialah mencintainya, mentaati titah perintahnya, meninggal larangannya dan menjadikannya rujukan kehidupan.
  • Bantahan dan kemarahan serta seluruh umat Islam dan pemimpin mereka yang menzahirkan rasa dukacita yang amat serta tidak dapat menerima perbuatan terkutuk ini. Arab Saudi, Mesir, Turki, Kuwait, Iran, Afghanistan, Pakistan dan hampir kebanyakan negara umat Islam semuanya senada membangkang, termasuklah negara kita Malaysia melalui YAB Perdana Menteri, NGO, badan kerajaan dan bukan kerajaan serta para ulama’ bahkan orang perseorangan menzahirkan rasa dukacita. 
  • Syeikhul Azhar Prof. Dr. Ahmad Tayyib sebagai contoh, telah mengemukakan bantahan dengan tegas melalui Universiti al-Azhar dan juga Majlis Hukama Muslimin. Kami mengambil pendirian yang tegas menyokong sepenuhnya kenyataan Syeikh al-Azhar dan juga semua pemimpin umat Islam yang tidak mungkin boleh bertoleransi apabila kitab Allah SWT diperhinakannya.  Beliau menggesa agar pemulauan barangan atau boikot semua barangan keluaran negara tersebut sebagai salah satu bentuk protes yang perlu dilaksanakan oleh umat Islam. Ini merupakan sejuzuk daripada maksud membela dan mempertahankan kitab suci al-Quran al-Karim.

Saya mengambil kesempatan di sini dengan menginsafi diri betapa keimanan kita kepada al-Quran selayaknya kita mempertahankannya. Antara bentuk berimannya kita kepada al-Quran ialah dengan meyakini sepenuhnya ia daripada Allah SWT, menentang kepada mereka yang menentang al-Quran dan menghinanya, membacanya, memahami maknanya, serta memahami tafsirnya, tadabbur dengan ayat-ayatnya, menghayati serta mengamalkan perintahnya, menjauhkan larangannya seterusnya, sentiasa merujuk kepadanya sebagai salah satu jalan yang terbaik dalam hidup untuk dipedomankannya.

Doa dan Harapan

Doa dan harapan saya bahawa peristiwa ini adalah peristiwa yang terakhir berlaku yang meremuk jiwa kita dan tidak akan berlaku lagi peristiwa seperti ini. Oleh kerana al-Quran mengajak kita bersatu-padu dan jangan bercerai-berai serta berpecah-belah, nanti kita mudah disambar oleh musuh dan jadilah kita hina dina dengan pelbagai tindakan yang terkena kepada kita serta agama kita. ‘Izzahnya al-Quran dengan sebab umat Islam kukuh bersatu-padu dan mempunyai jati diri serta semangat untuk membela agama.

Alangkah  baiknya, kita bina hidup di muka bumi ini dengan cara kasih sayang, saling hormat-menghormati dan toleransi yang tinggi. Ini akan menatijahkan keamanan dan kebahagiaan.

Saya akhiri dengan doa:

اَللَّهُمَّ اجْعَلِ الْقُرْآنَ رَبِيعَ قُلُوْبِناَ، وَنُوْرَ صُدُوْرِناَ، وَجلاَءَ أَحْزَانِناَ، وَذهَابَ هُمُوْمِناَ

Maksudnya: “Ya Allah, jadikanlah al-Qur’an sebagai penyejuk hati kami, cahaya yang menyinari dada kami, penghibur duka kami dan penghapus kesedihan kami.”

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *